Monday, 7 December 2015

KEBENARAN SABDA RASULULLAH TENTANG SENDI MANUSIA






"Sesungguhnya Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu (pula) kepada Ibrahim, Isma'il, Ishak, Ya'qub dan anak cucunya, 'Isa, Ayyub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud". (Petikan dari Surah An-Nisa, ayat 163)

1.  Lebih dari 1,400 tahun yang lalu, ‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:  “Setiap manusia telah diciptakan dengannya tiga ratus enam puluh sendi. Oleh itu sesiapa yang mengagungkan Allah, bersyukur kepadaNya, bertahlil, memuji Allah, dan mencari pengampunan dari Allah, dan mengalih batu, atau duri, atau tulang dari laluan orang ramai, dan mengajak kepada kebajikan dan melarang daripada kejahatan, dengan sendinya tiga ratus enam puluh, ia akan berjalan pada hari akhirat dengan mengeluarkan dirinya dari neraka.” (Hadis Riwayat Muslim).

2.   Subhanallah. Di zaman yang tidak ada sebarang kemudahan atau alat untuk membilang jumlah sendi manusia, Rasulullah telah memberitahu bahawa dalam badan manusia terdapat sejumlah 360 sendi. Dalam Ensaiklopedia Global (The Global Encyclopedia) ada dinyatakan tentang jumlah tulang dan klasifikasinya namun ia tidak diperincikan. Dalam Ensaiklopedia Britannica pula disebutkan tulang-tulang dan tengkorak pada manusia tergolong dalam 3 kumpulan besar, iaitu:

2.1.   Struktur pusat yang meliputi tulang belakang dan sebahagian besar tengkorak.

2.2.   Struktur dalam yang meliputi rongga dada, tulang rahang bawah dan sebahagian organ-organ tulang rahang atas.

2.3.   Terminal struktur yang meliputi tulang-tulang pinggul (pelvis), tulang-tulang belikat dan hujung-hujung pada tulang rawan.

3.   Di dalam The Hatchinson Encyclopedia yang diterbitkan pada tahun 1995 juga menyebutkan jumlah tulang-tulang di dalam kerangka badan manusia tetapi bilangannya hanya 206 sahaja. Seorang doktor Islam bernama Hamid Ahmad Hamid di dalam bukunya “Rihlah Al-Iman fi Jism Al-Insan”  atau “Perjalanan Iman Dalam Badan Manusia” (The Journey of Faith Inside the Human Body) menyebutkan dengan sangat terperinci 360 sendi yang ada pada manusia sebagaimana yang telah disabdakan secara jelas oleh Rasulullah di dalam hadis di atas. Perincian jumlah sendi-sendi itu ialah seperti berikut:

3.1. 147 sendi yang terdapat pada vertebrae / tulang belakang:

3.1.1. 25 sendi di kawasan vertebrae / tulang belakang

3.1.2. 72 sendi di antara vertebrae / tulang belakang dan costae / tulang rusuk.

3.1.3. 50 sendi di antara vertebrae/tulang punggung.

3.2.   24 sendi pada thorax / dada:

3.2.1. 2 sendi di antara 2 tulang dada dan rongga dada

3.2.2. 18 sendi di antara dada dan rusuk

3.2.3. 2 sendi di antara tulang selangka dan tulang bahu

3.2.4. 2 sendi di antara tulang bahu dan dada.

3.3.   86 sendi tulang bahagian atas:

3.3.1. 2 sendi di antara 2 tulang bahu

3.3.2. 6 sendi di antara 2 tulang siku tangan

3.3.3. 8 sendi di antara 2 tulangtulang pergelangan tangan

3.3.4. 70 sendi di antara tulang-tulang tangan.

3.4.   92 sendi tulang bahagian bawah:

3.4.1. 2 sendi di antara tulang 2 paha

3.4.2. 6 sendi di antara tulang-tulang 2 lutut

3.4.3. 6 sendi di antara 2 tulang-tulang pergelangan kaki

3.4.4. 74 sendi di antara tulang-tulang 2 tapak kaki

3.4.5. 4 sendi di antara tulang-tulang lutut

3.5.   11 sendi tulang tubuh bahagian dalam:

3.5.1. 4 sendi di antara tulang belakang dan tulang ekor

                    3.5.2. 6 sendi di antara tulang pangkal paha (pinggul)

                    3.5.3. 1 sendi pada simfisis pubis (pubic symphysis).

Jumlah keseluruhan adalah: 147 +24 +86 +92 +11 = 360 sendi.

4.    Rangka atau tulang manusia terdiri dari susunan tulang yang berfungsi untuk  menyokong tubuh dan memberinya bentuk dan  melindungi anggota dan bahagian-bahagiannya dalamnya. Tanpa sendi tulang rangka manusia yang keras tidak dapat bergerak. Kesannya manusia akan menderita kesakitan.

5.   Rasulullah SAW berwasiat kepada manusia untuk bersyukur kepada Allah setiap hari sesuai dengan sekurang-kurangnya sejumlah sendi di badannya jika tidak dapat melakukan lebih banyak lagi. Ketika manusia melakukan zikir, syukur dan bersedekah sesungguhnya manusia tidak akan mampu memenuhi syukur kepada Allah walau untuk satu sendi dari 360 sendi yang telah diciptakan Allah di dalam badannya.

6.  Nayatalah bahawa sesungguhnya apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah itu tidak lain melainkan ia datangnya dari wahyu atau petunjuk dari Allah yang mencipta manusia.  Sebagai pencipta hanya Allah yang mengetahui berapakah jumlah sendi yang ada dalam badan manusia. Wahai manusia apakah lagi bukti yang mahu dilihat untuk mengesahkan bahawa Islam itu adalah agama yang benar yang datang dari pencipta manusia dan seluruh isi alam ini.

Gantunglah cita-citamu di tempat yang tinggi supaya ia tidak dapat dimusnahkan oleh orang lain kerana cita-cita itu adalah sumber kekuatan perjuangan yang tidak terhingga dari segi zahir dan batinnya – Mutiara Kata Imam Abu Hanifah

No comments:

Post a Comment