“Dan
tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan
sesungguhnya kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa.
Maka tidakkah kamu memahaminya?” {Petikan dari Surah Al-An’am [Binatang Ternakan](6:32)}.
“Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan
senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya
kehidupan, kalau mereka mengetahui”. {Petikan dari Surah Al-Ankabut[Labah-Labah](29:64)}.
“Sesungguhnya
kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman dan
bertakwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan meminta
harta-hartamu. {Petikan dari Surah Muhammad (47:36)}.
1. Semasa hidup ini manusia selalu memikirkan tentang pelaburan
untuk memastikan kesenangan hidup sementara
di dunia supaya tidak susah. Lalu diusahakanlah pelbagai bentuk projek,
program untuk menjana pendapatan demi kemewahan hidup. Lalu siang dan malam
bekerjalah tanpa henti demi kesenangan. Persoalannya,
jika semasa hidup ini kita amat serius memikirkan tentang kesenangan, kenapakah
pula kita gagal memikirkan kesenangan kita setelah mati nanti. Apakah kita tidak yakin adanya kehidupan
selepas kematian?. Kehidupan yang juga
memerlukan harta dan kesenangan.
2. Setelah mati nanti manusia akan mengharapkan amal jariyah yang
dilakukannya semasa hidup di dunia ini. Amal jariah adalah sebutan bagi amalan
yang terus mengalir pahalanya walaupun orang yang melakukan amalan tersebut
sudah meninggal dunia. Amalan tersebut terus menghasilkan pahala terus menerus
kepadanya. Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Apabila anak Adam (manusia) meninggal
dunia, maka terputuslah semua (pahala) amal perbuatannya kecuali tiga perkara,
iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang mendoakannya”.
(Hadis Riwayat Muslim). Selain dari tiga jenis perkara itu ada lagi beberapa
jenis perbuatan/amalan yang tergolong dalam kategori amal jariah. Dalam riwayat lain,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:, "Sesungguhnya
diantara amal kebaikan yang mendatangkan pahala setelah orang yang melakukannya
meninggal dunia ialah ilmu yang disebar luaskannya, anak soleh yang
ditinggalkannya, mushaf (kitab-kitab keagamaan) yang diwariskannya, masjid yang
dibina, rumah yang dibina untuk penginapan orang yang sedang dalam perjalanan, sungai
yang dialirkannya untuk kepentingan orang ramai dan harta yang
disedekahkannya”. (Hadis Riwayat Ibnu Majah).
3. Di dalam hadis ini disebut tujuh jenis amalan yang tergolong sebagai
amal jariah, iaitu seperti berikut:
3.1. Menyebarluaskan ilmu pengetahuan yang
bermanfaat, samada melalui pendidikan formal atau tidak formal seperti
perbincangan, ceramah, dialog, forum dakwah dan sebagainya. Termasuk dalam
kategori ini adalah seperti menulis buku atau artikel dalam blog yang berguna untuk
pembaca memperolehi manfaat darinya.
3.2. Mendidik anak-anak supaya menjadi anak yang
soleh. Anak yang soleh akan selalu berbuat kebaikan di dunia. Kebaikan yang
dilakukan oleh anak yang soleh pahalanya akan sampai kepada orang tuanya yang
telah meninggal dunia. Anak yang soleh pasti
akan sentiasa berdoa dan berbuat kebajikan untuk orang tuanya.
3.3. Mewariskan mushaf samada quran ataupun buku agama kepada
orang-orang yang dapat memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan masyarakat
setempat.
3.4. Membangun
masjid. Ia juga memberi maksud menghulurkan sumbangan atau bantuan untuk
mendirikan masjid/surau. Perkara ini selari dengan sabda Rasualullah SAW yang
bermaksud: "Barangsiapa yang
membangunkan sebuah masjid kerana Allah walau sekecil mana pun, maka Allah akan
membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga" (Hadis Riwayat Bukhari
dan Muslim). Orang yang membina atau memberi sumbangan untuk mendirikan masjid
akan menerima pahala seperti pahala orang yang beribadah di masjid itu.
3.5. Membangunkan rumah atau pondok untuk ditumpangi oleh orang-orang yang bermusafir
untuk tujuan membuat kebaikan. Setiap orang yang memanfaatkannya, samada untuk
berehat sebentar mahupun untuk bermalam dan kegunaan lain yang bukan untuk
maksiat maka akan mengalirkan pahala kepada orang yang membinanya.
3.6. Mengalirkan air ke tempat-tempat orang yang memerlukannya
atau menggali telaga di tempat yang sering dilalui atau didiami orang ramai.
Setelah orang yang mengalirkan air itu mati pahala akan tetap diperolehinya
selagi air itu boleh dimanfaatkan oleh orang lain. Semakin ramai orang yang
memanfaatkannya semakin banyak ia menerima pahala di akhirat. Rasulullah SAW
bersabda: "Barang siapa membina
sebuah telaga lalu diminum oleh binatang yang kehausan, maka Allah akan
memberinya pahala kelak di hari kiamat." (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah
dan Ibnu Majah).
3.7.
Mensedekahkan sebahagian harta. Sedekah yang diberikan ikhlas semata-mata
kerana Allah SWT akan mendatangkan pahala yang berlipat ganda.
4. Tiga firman Allah SWT di atas dengan jelas menegaskan bahawa kehidupan di dunia ini tidak lain melainkan hanyalah tempat bergurau senda dan main-main sahaja. Kenapa?. Kerana kehidupan yang sebenarnya atau hakiki ialah kehidupan di akhirat nanti yang tidak ada lagi penghujungnya. Infiniti. Bukankah Rasulullah SAW
pernah bersabda yang bermaksud bahawa dunia ini ibarat ladang atau kebun untuk
kita bercucuk tanam. Hasilnya hanya
dapat dituai dan dinikmati di negeri akhirat kelak.
5. Bersiap sedialah kita untuk menghadapi saat sakratul maut yang
boleh datang pada bila-bila masa sahaja. Saat di mana segala kesenangan,
kekayaan dan kemewahan hidup di dunia ini tidak ada sebarang harga dan nilainya
lagi. Tatkala itulah kita akan baru menyedari bahawa segala kekayaan yang kita
miliki itu adalah kepunyaan dan hak orang lain,
samada hak suami, isteri atau anak-anak kita. Apakah harta yang kita ada pada
masa itu?. Salah satu darinya ialah pelaburan jangka panjang yang telah kita
sediakan semasa hidup, iaitu seperti yang dihuraikan di atas.
“Syaitan lebih
suka untuk menyesatkan orang yang alim daripada orang jahil kerana orang alim
apabila sesat maka dia akan turut menyesatkan orang lain dengan kejahilannya sedangkan
orang jahil tidak begitu” – Mutiara Kata Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad
al-Husaini
No comments:
Post a Comment