Tuesday, 15 December 2015

KENAPA DINAMAKAN MASJIDIL HARAM ?




“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. {Petikan dari Surah Al-Israq[Memperjalankan Waktu Malam](17:1)}


“Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangun untuk (tempat beribadat) manusia, ialah Baitullah yang di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia”. {Petikan dari Surah Al-Imran [Keluarga Imran](3:96).

1.    Masjidil Haram adalah sebuah masjid yang terletak di Kota Mekah.  Bagi orang Islam inilah masjid yang mulia atas muka bumi.  Masjid yang dikatakan paling suci. Masjid ini dibina mengelilingi Kaabah, bangunan empat persegi yang menjadi arah kiblat bagi umat Islam seluruh dunia dalam mengerjakan ibadah solat. Masjid ini juga merupakan masjid terbesar di dunia.

2.  Kenapakah masjid yang mengelilingi Kaabah ini dinamakan dengan nama Masjidil Haram?.  Dalam bahasa arab, Masjid Haram bermaksud masjid yang mempunyai tanah haram. Kenapa pula dinamakan tanah haram. Para ulama berpendapat kerana di dalam tanah itu ada perkara-perkara yang diharamkan berlaku seperti  memburu, mengangkat senjata, mematahkan tumbuhan malah termasuk juga haram untuk dimasuki oleh orang bukan Islam (kafir).

3.  Di bawah ini diperincikan penjelasan tentang perkara-perkara haram ini:

3.1.   BATAS TANAH HARAM

Batas tanah haram itu merujuk kepada batas miqat makani untuk mengerjakan umrah dan juga haji. Orang-orang bukan Islam tidak dibenarkan melepasi batas-batas miqat ini. Di sebelah timur ada Dzatu 'Irqin, iaitu batas orang yang masuk dari arah Negara Iraq. Beralih ke selatan masih di timur ada Qarnul Manazil. Paling selatan, iaitu dari arah Negara Yaman ada Yalamlam. Dari arah utara pula, beberapa kilometer dari Kota Madinah ada Bi'ru Ali atau disebut juga dengan nama Dzil Hilaifah. Di sebelah barat ada Juhfah atau dipanggil juga dengan nama Rabigh. Kota Makkah keseluruhannya adalah termasuk kawasan tanah haram di mana orang kafir tidak boleh masuk wilayah ini.

3.2.   KELEBIHAN  WILAYAH AL-HARAM

Selain tidak boleh dimasuki oleh orang bukan Islam, tanah haram di Makkah mempunyai keistimewaan lain.  Misalnya:

3.2.1.  Solat di Masjidil Haram, Makkah akan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda, iaitu 100,000 kali. Hal ini sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Dari Jabir, katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Solat di masjidku, lebih utama seribu kali berbanding solat di tempat lain kecuali Masjidil Haram. Dan solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu berbanding solat di tempat lain”.(Hadis Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah).

3.2.2. Tidak ada larangan untuk melakukan solat pada bila-bila masa pun, bahkan termasuk pada waktu-waktu yang tidak digalakkan untuk solat seperti pada saat matahari terbit, terbenam atau betul-betul di atas kepala. Daripada Jubair bin Muth'im katanya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai Bani Abdi Manaf, janganlah kamu melarang seorang pun yang akan tawaf (mengelilingi tujuh kali) Kaabah dan seseorang yang akan menunaikan solat pada waktu malam atau siang”.(Hadis Riwayat Abu Daud dan Nasa'i, dan Termidzi dan Ibnu Majah dan di sahihkan al-Albani).

3.3.   HARAM DIMASUKI ORANG KAFIR

Larangan bagi orang bukan Islam untuk memasuki wilayah Al-Haram di Makkah Al-Mukarramah adalah berdasarkan  firman Allah SWT dalam surah At-Taubah[Pengampunan] (9:28) yang berbunyi:




“Hai orang-orang yang beriman, Sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini. Dan jika kamu khuatir menjadi miskin, maka Allah nanti akan memberimu kekayaan kepadamu dari kurniaNya, jika Dia menghendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

Maksud orang bukan Islam ini najis bukanlah najis hakiki. Ia dikatakan najis dan dianggap kotor hanyalah kerana menyekutukan Allah SWT.

3.4.   HARAM MEMBAWA SENJATA

3.4.1. Di tanah haram Makkah, haram hukumnya membawa senjata. Dalam hal ini Rasulullah SAW telah bersabda. Dari Jabir bin Abdillah Radhiyallahuanhu, dia berkata telah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang berbunyi: Tidak dibenarkan bagi kamu membawa senjata di Makkah" (Hadis Riwayat Muslim).

3.4.2. Larangan ini jika tidak ada keperluan membawa senjata. Jika ada keperluannya maka ia dibenarkan. (Syarah Shahih Muslim Imam Nawawi, hal 130-131, juz 9 jilid ke 5 cetakan Daarul Fikr).

3.5. HARAM MENUMPAHKAN DARAH (PEMBUNUHAN) DAN MEMATAHKAN TUMBUHAN

3.5.1. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

 ".......maka sejak itu (negeri Makkah) haram dengan keharaman Allah hingga hari kiamat, duri-durinya tidak boleh dipatahkan, binatang buruannya tidak boleh di usir (diganggu), barang yang jatuh di Makkah tidak boleh diambil, kecuali untuk mencari (pemiliknya), tumbuh-tumbuhannya tidak boleh ditebang ....." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

Sebahagain kandungan dari detikislam

No comments:

Post a Comment