1. Di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman sebanyak 8 kali
tentang tangisan atau air mata manusia. Firman-firman itu ialah dalam surah-surah
berikut:
1.1. Al-Maidah[Hidangan](5:83)
yang berbunyi:
“Dan apabila mereka mendengar Al-Quran
yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang
mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka
berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci
Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi
saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW)”.
1.2. At-Taubah[Pengampunan](9:82)
yang berbunyi:
Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit
(di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak
(di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.
(9:92)
“Dan tidak juga berdosa orang-orang yang
ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada
mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk
membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka
mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak
mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada
jalan Allah).”
1.3. Yusuf(12:16) yang berbunyi:
“Dan sesudah itu datanglah mereka
mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.”
1.4. Al-Israq
[Memperjalankan Di Waktu Malam](17:109) yang berbunyi:
“Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil
menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka
khusyuk.
1.5. Maryam
(19:58) yang berbunyi:
“Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi
yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari
keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam
bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari
keturunan) Israil dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah
petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah)
Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.”
1.6. An-Najm[Bintang](53:43)
yang berbunyi:
“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang
menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu
berdukacita) menangis.”
(53:60)
“Serta
kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis
(menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa
kamu)?”
2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari
kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang
berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata
walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat
Abu Naim). Berdasarkan hadis ini terdapat 3 mata yang akan mendapat rahmat
Allah SWT dihari akhirat nanti sedangkan mata-mata yang lainnya akan menangis tanda
penyesalan yang tidak terhingga. Tiga
mata itu ialah (1) Mata yang dipejamkan dari segala yang haram. (2) Mata yang
berjaga malam dalam jihad fisabilillah. (3) Mata yang mentitiskan air mata
walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah. Huraiannya ialah seperti
berikut:
3. Mata yang dipejamkan
dari segala yang haram:
Terlalu banyak maksiat
dilakukan oleh manusia melalui mata. Mata ini akan menjadi saksi di hari
akhirat nanti kerana manusia menyalahgunakan nikmat mata yang dikurniakan oleh
Allah dengan melihat perkara-perkara yang diharamkan. Antara dosa-dosa yang boleh
dilakukan oleh mata adalah seperti berikut :
3.1. Melihat
aurat wanita /lelaki.
3.2. Melihat
gambar ataupun video lucah.
3.3. Mengintip
rahsia dan mengambil gambar dan mendedahkan keaiban seseorang.
3.4. Menulis,
mengarang dan mencari bahan-bahan fitnah dan menyebarkan fitnah tersebut kepada
orang lain.
4. Apabila seseorang menggunakan matanya untuk melakukan maksiat,
sebenarnya matanya telah melakukan dosa. Tetapi sebaliknya apabila mata
digunakan untuk perkara kebaikan seperti solat, membaca Al-Quran, menulis dan
mengarang buku atau rencana yang bermanfaat, melihat alam ciptaan Allah dan
merasai keagunganNya dan seumpamanya maka Allah SWT akan mengurniakan pahala
dan mata ini nanti boleh merasai kegembiraan di hari akhirat. Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa
yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya, nescaya Allah SWT mencerai-beraikan
urusannya dan dijadikan kefakiran di hadapan kedua matanya dan Allah tidak
memberinya dari harta dunia ini, kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya.” (Hadis
Riwayat Ibnu Majah).
5. Mata yang berjaga malam
dalam jihad fisabilillah:
Jihad fisabilillah, iaitu
jihad di jalan Allah sebaik-baik amalan yang dilakukan semata-mata untuk
mendaulatkan hukum-hukum Allah di muka bumi ini. Tanpa jihad dan pengorbanan, ajaran
Islam tidak boleh disebarkan. Jika seseorang mati ketika berjihad
mempertahankan agama Allah, mempertahankan Negara Islam daripada diceroboh oleh
musuh Islam atau semasa menyebarkan dakwah Islam maka mati tersebut adalah mati
syahid. Mata yang berjaga malam ketika berjihad dijalan Allah untuk menjaga
kepentingan dan maslahah Islam daripada diserang musuh adalah mata yang
dirahmati Allah SWT. Di hari akhirat
nanti mata ini tidak akan menangis kesedihan. Mata yang mulia ini akan
memberitahu Allah bahawa ia telah digunakan untuk mencari keredhaanNya semasa
di dunia dahulu.
6. Mata yang mentitiskan
air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.
6.1. Khalid bin Al-Walid telah berkata : Telah
datang seorang arab badwi kepada Rasulullah SAW dengan menyatakan tujuannya:
"Wahai Rasulullah!. Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya
kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan
akhirat". Maka Rasulullah SAW telah berkata kepadanya: "Tanyalah apa yang engkau kehendaki."
Badwi itu bertanya : "Siapa yang terselamat daripada dosa?."
Rasulullah SAW menjawab : "Orang
yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya
dan mereka yang ditimpa kesakitan."
6.2. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud
:“Tidak ada yang lebih dicintai Allah SWT selain dua titis dan dua bekas kaki.
Titisan air mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang
ditumpahkan di jalan Allah. Sedangkan dua bekas kaki adalah bekas ( perjuangan
) di jalan Allah, dan bekas melakukan kewajiban yang diwajibkan Allah.” (Hadis
Riwayat Termizi).
6.3. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dua mata yang tidak akan disentuh api
neraka untuk selama-lamanya, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah
dan mata yang berjaga malam di jalanAllah”.(HadisRiwayatTermizi)
6.4. Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam
Bukhari dan Imam Muslim disebutkan bahawa salah satu dari tujuh (7) golongan
manusia yang Allah SWT memberi naungannya di hari kiamat ialah "......seseorang yang mengingati Allah
di saat menyendiri lalu kedua matanya menitiskan air mata."
7. Zat Allah SWT tidak akan mampu kita lihat. Justeru,
pergunakanlah mata kita untuk melihat dan menilai kebesaran dan keagungan Allah
SWT melalui ciptaanNya di dunia ini. Pergunakahlah waktu malam untuk kita
bersendirian bersama-sama dengan Allah sebagai teman bagi memohon pertolongan
serta mendapatkan keampunanNya.
Lazimilah mata ini untuk menangis kerana takut dan bersyukur kepada nikmat
dari Allah SWT. Berusahalah memadamkan api neraka dengan air mata keinsafan dan
ketakutan kepadaNya. Ingatlah kematian itu akan datang kepada kita pada
bila-bila masa sahaja.
“Peliharalah
iman kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan
mengeluarkan zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa
kepada Allah.” – Mutiara kata Saidina Ali bin Abi Thalib
No comments:
Post a Comment