Saturday, 5 September 2015

MENGENALI HAKIKAT DIRI


1.  Ada tiga persoalan yang perlu kita tanya diri sendiri dan berikan jawapan yang tepat kepadanya. Memahami tiga persoalan ini boleh menjamin keselamatan hidup kita di dunia dan juga akhirat. Tiga persoalan itu ialah dari mana kita datang?, untuk apa kita datang dan ke manakah kita selepas ini?:

1.1.      DARI MANA KITA DATANG?

1.1.1. Asalnya kita semua manusia ini datang dari mana?. Jawabnya kita semua bermula dari roh yang diciptakan oleh Allah SWT dan tinggallah kita dalam alam itu sebelum roh kita dimasukkan dalam jasad tatkala kita berada di alam rahim (kandungan) ibu masing-masing. Mengikut sebahagian pendapat, roh kita ditiupkan oleh malaikat ke dalam jasad semasa kita berumur lebih kurang 4 bulan dalam kandungan ibu. Tatkala kita di alam roh, apabila ditanya oleh Allah SWT siapakah tuhan mereka,  semua roh memberi jawapan yang sama, iaitu Allah adalah  tuhan mereka. Dalilnya ialah seperti firman Allah SWT dalam Surah A’araf[Tempat Yang Tinggi](7:172) yang berbunyi:




“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

1.1.2. Ini bermakna sebelum masuk ke dalam jasad kita, roh telahpun mengenali Allah SWT, bahkan sudah menyaksikan bahawa Allah SWT adalah tuhan mereka dan sudah mengaku menjadi hambaNya. Tetapi tatkala dilahirkan ke dunia, roh dikurung dalam jasad (badan) manusia.

1.1.3. Telah diketahui bahawa manusia pertama iaitu Nabi Adam dicipta dari tanah manakala isterinya Hawa dicipta dari tulang rusuk kiri Nabi Adam. Manusia semua diciptakan daripada air mani lelaki dan benih wanita selepas berlaku persenyawaan. Berikutnya  maka terbentuklah  janin di dalam kandungan perut ibu masing-masing. Apabila dilahirkan sahaja maka manusia telah memasuki alam fana, iaitu alam dunia.


1.1.4. Lihatlah bagaimana anak kita semasa dilahirkan untuk mengetahui bagaimana kita dilahirkan ke dunia dulu.  Lahir dari lubang kemaluan ibu yang kotor.  Kita lahir dengan badan yang diselimuti dengan lendir dan darah yang busuk dengan penuh kehinaan.  Lahir dalam keadaan yang paling lemah selemah-lemahnya.  Tidak mengerti apa-apa dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan.  Hanya menangis yang kita tahu.  Lapar menangis, kencing menangis, berak menangis, sejuk menangis, panas dan tak selesa pun menangis, takut pun menangis. Bukankah menangis itu fitrah kita?. Lalu membesarlah kita hari demi hari.  Siapakah yang membesarkan kita?.  Ibu kita?. Bukan. Ibu kita hanya boleh memberikan susu dadanya dan makanan-makanan yang lain kepada kita. Ibu kita tidak ada kuasa membesarkan kita. Yang membesarkan kita tidak lain melainkan Allah SWT. Sebab itu ada orang yang makannya tidak pernah putus-putus tapi badanya kecil dan kurang membesar.
 
1.2. APAKAH TUJUAN KITA DATANG KE DUNIA?

1.2.1.  Dengan kemahuan dan ehsan Allah SWT  maka membesarlah kita.  Dari seorang bayi menjadi budak.  Dari budak menjadi remaja kemudiannya bertukar menjadi belia.  Dari belia menjadi dewasa dan kemudiannya tua.  Semuanya dengan peliharaan dan rahmat dari Allah SWT.  Namun kita tetap hina di sisi Allah SWT.  Lihatlah sahaja apa yang ada dalam perut kita yang kita bawa ke mana-mana.  Bukankah di dalamnya ada tahi yang busuk dan hina.  Sedarlah itulah kita walaupun badan dilitupi oleh pakaian yang mahal-mahal dan perhiasan yang hebat.

1.2.2. Tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT dan dilahirkan ke dunia ini telah dijelaskan dalam firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat[Angin Kencang](51:56) yang berbunyi:



“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
 
DATANG UNTUK SEKADAR MENCARI BEKALAN AKHIRAT
1.2.3. Beribadat kepada Allah SWT tidak hanya bermaksud mengerjakan solat (menyembah Allah), berpuasa, menunaikan haji, membayar zakat dan melakukan kebajikan dan kebaikan sahaja. Beribadat mempunyai pengertian yang jauh lebih luas. Beribadat kepada Allah SWT bermaksud melaksanakan semua perintah Allah (amal makruf) dan meninggalkan semua laranganNya (nahi mungkar) dengan bersungguh-sungguh. Manusia perlu menerima hakikat bahawa Allah SWT adalah raja  di bumi dan juga di langit. Sebagai seorang hamba kepada Allah SWT maka manusia seharusnya patuh dan taat kepada semua perintah dan laranganNya.  Semua urusan kehidupan di dunia ini wajib  mengguna pakai hukum hakam dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah seperti yang telah diajar oleh pesuruhnya Nabi Muhammad SAW. 

1.2.4. Selain daripada menjadi hamba Allah SWT di dunia ini, kita juga telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini bagi memakmurkan dunia dengan melaksanakan perintah Allah. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:30) yang berbunyi:
 


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

1.2.5. Apakah maksud khalifah menurut bahasa: Khalifah  berasal daripada perkataan Arab iaitu khalafa yang bererti ganti. Ganti maknanya seseorang yang menggantikan seseorang yang lain. Dia melaksanakan sama ada bersama-sama dengan orang yang digantikannya atau melaksanakannya ketika ketiadaannya. Ia termasuklah menggantikan orang yang tiada, menggantikan orang yang telah mati, menggantikan tempat bagi orang yang tidak mampu menguruskannya ataupun menggantikan tempat seseorang sebagai memuliakannya.

1.2.6. Maksud khalifah menurut istilah: Bermakna generasi manusia yang dipilih oleh Allah SWT sebagai penggantiNya untuk mentadbir, mengurus dan memakmurkan muka bumi ini dengan berpandukan Al-Quran dan sunah Rasulullah SAW bagi mencapai matlamat kesejahteraan umat manusia sejagat. Gelaran khalifah diberikan oleh Allah kepada kaum mukmin keseluruhannya.  Ia tidak terhad kepada keluarga tertentu, kelas tertentu, suku kaum tertentu atau bangsa tertentu sahaja. Setiap orang mukmin adalah menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi yang sesuai dengan kemampuan dirinya. 

1.3. KE MANA KITA AKAN PERGI SELEPAS INI?

 
PERMULAAN UNTUK PERGI, ADA LAGIKAH KESOMBONGAN DIRI ?
1.3.1. Sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun yang tidak akan merasai seksaan di saat kematian. Apabila manusia dimatikan oleh Allah SWT maka berpisahlah roh dari jasadnya. Roh manusia akan disimpan oleh Allah di suatu tempat khas manakala jasadnya pula akan disemadikan dalam tanah, iaitu di dalam kubur. Alam kubur ialah alam barzakh, iaitu alam pemisah diantara alam dunia dan alam akhirat. Tidak ada seorang manusia pun yang tahu bila mereka akan mati. Itulah sebabnya ramai orang yang masih leka dan tiada persediaan untuk menanti saat kematian mereka. Dalam Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:35), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

TEMPAT PENANTIAN HARI KEBANGKITAN DAN PERHIMPUNAN
RAKSASA
1.3.2. Apabila seseorang mati maka 3 perkara yang akan mengiringinya ke tanah perkuburan, iaitu manusia (kaum keluarga, jiran, sahabat handai dan sebagainya), harta (kereta, kain penutup keranda, payung dan seumpamanya) dan kebajikan (pahala) dari amalan soleh yang dilakukan semasa hayatnya. Sebaik sahaja selesai mayat ditalqinkan maka manusia dan harta akan balik ke rumah masing-masing.  Tinggalkan kebajikan (pahala) yang akan menjadi teman di dalam kuburnya untuk menjadi pembelanya. Sebaik 3 langkah orang meninggalkan tanah perkuburan maka datanglah janji Allah SWT, iaitu datanglah malaikat Munkar dan Nakir untuk bertanya mayat dalam alam kubur tentang siapa tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya, apa kitabnya, siapa saudaranya dan sebagainya. Begitulah kehidupan manusia di alam barzakh setiap hari berhadapan dengan pertanyaan malaikat. Samada kuburnya menjadi sebahagian dari taman-taman syurga ataupun sebahagian dari jurang neraka akan bergantung sepenuhnya kepada bekalan amalannya semasa hidup di dunia.

1.3.3. Dari hari kehari mayat kita dalam kubur mengalami proses pereputan. Lihat proses pereputan jasad kita di bawah:

Hari  Pertama: Perut dan kemaluan mulai reput. Dua anggota inilah yang merosakan kehidupan manusia. Dengan dua anggota ini manusia akan mendapat untung atau celaka.Warna jasad akan bermula dengan hijau tanpa mekap dan perhiasan.

Hari kedua: Anggota dalaman seperti hati, jantung dan sebagainya mulai hancur.

Hari ketiga:  Semua anggota akan mengeluarkan bau busuk.

Selepas seminggu: Mata, lidah dan pipi mula hancur dan rosak.

Selepas 10 hari: Semua anggota badan telah hancur.

Selepas 2 minggu:  Rambut mulai luruh.

Selepas 15 hari: Lalat dan ulat-ulat mulai mencium bau dan memamah jasad.

Selepas 6 bulan: Tiada lagi sisa dari badan kita. Rangka kita mula terbentuk.

1.3.4.   Renungkanlah gambar di bawah. Mudah-mudahan boleh melembutkan hati kita. 

BETAPA KAYA KITA, BETAPA BESAR PANGKAT KITA, BETAPA TINGGI BINTANG KEBESARAN KITA NAMUN INILAH HAKIKAT KITA YANG SEBENARNYA.  DISEBALIK PAKAIAN YANG MAHAL DAN ISI BADAN ITU IALAH KERANGKA YANG TIDAK ADA SEBARANG NILAI.  RENUNG DAN AMATI GAMBAR DI ATAS DENGAN PENUH KEINSAFAN. INI IALAH KITA SATU HARI NANTI YANG WAJIB BERLAKU. INSAFLAH WAHAI MANUSIA. SEGERALAH BERTAUBAT DAN KEMBALI KEPADA ALLAH SWT, PENCIPTA KITA.
1.3.5. Lama kelamaan jasad kita akan diselimuti oleh tanah. Yang tinggal hanyalah kerangka tanpa sedikit pun isi dan daging. Dari tanah kita datang dan kepada tanah jugalah kita kembali. Begitulah sempurnanya penciptaan Allah SWT.
 
INILAH HAKIKAT KITA SELEPAS RATUSAN ATAU RIBUAN TAHUN DI DALAM KUBUR - HEBAT LAGIKAH KITA?
1.3.6. Selepas berlakunya hari kiamat maka semua manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk melalui proses keadilan di mana manusia akan di adili seadil-adilnya di mahkamah Allah dan dijalankan timbangan amal (mizan). Selepas mizan akan ada pula titian yang perlu dilalui untuk ke syurga atau ke neraka iaitu titian Siratul Mustakim. Ada manusia yang berjaya melalui titian ini hingga berjaya ke syurga dan ramai yang kecundang hingga terjatuh dibawahnya iaitu  ke dalam neraka. Waliyyazubillah. Kesudahan bagi setiap manusia ialah samada kita mampu ke syurga ataupun ke neraka bagi meneruskan kehidupan untuk selama-lamanya.
 
2.      Apakah hakikat diri ini.  Tidak lain melainkan dicipta dan dihidupkan oleh Allah di dunia ini semata-mata untuk mencari bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud dunia ini ialah tempat manusia bercucuk tanam tetapi hasilnya hanya dapat dituai ketika di akhirat nanti.  Persiapkanlah diri masing-masing dengan bekalan yang mencukupi bagi satu perjalanan yang maha jauh. Perjalanan yang tiada penghujungnya lagi. Infiniti.



“Tiada bekal yang lebih utama daripada takwa. Tiada sesuatu yang lebih baik daripada diam. Tiada musuh yang lebih berbahaya daripada kebodohan. Tiada penyakit yang lebih parah daripada berbohong”. – Mutaiara Kata Al-Imam Ja'afar As-Siddiq

No comments:

Post a Comment