1. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: " Dunia ini penjara bagi orang yang beriman dan syurga bagi orang kafir."(Hadis Riwayat Ahmad, Muslim, dan At-Tirmidzi).
2. Imam Nawawi dalam bukunya Syarah Shahih Muslim menerangkan: “Orang mukmin terpenjara di dunia kerana
mesti menahan diri dari pelbagai kehendak nafsu syahwat yang diharamkan dan
dimakruhkan. Orang mukmin juga diperintah untuk melakukan ketaatan. Ketika mati,
barulah dia rehat dari hal itu. Kemudian dia akan memperolehi apa yang telah
Allah janjikan dengan kenikmatan akhirat yang kekal abadi. Bagi orang kafir
pula, dunia yang mereka perolehi sedikit atau pun banyak, ketika meninggal
dunia mereka akan mendapatkan azab (siksa) yang kekal abadi.”
3. Al-Munawi Rahimahullah dalam Mirqah Al-Mafatih menjelaskan, “Dikatakan dalam penjara kerana orang mukmin
terhalang untuk melakukan kehendak syahwat yang diharamkan. Sedangkan keadaan
orang kafir adalah sebaliknya sehingga seakan-akan mereka berada di dalam surga.”
4. Hadis Rasulullah SAW di atas mempunyai
dua tafsiran:
4.1. Tafsiran pertama ialah dunia diibaratkan
penjara bagi orang beriman kerana keimanannya akan mengikat dirinya dari
melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh agama sedangkan orang yang kafir
pula boleh bebas melakukan apa sahaja yang dikehendai tanpa sekatan apa-apa.
4.2. Tafsiran kedua ialah orang beriman walaupun dia
orang yang paling kaya dan nikmat hidupnya di dunia jika dibandingkan dengan
apa yang Allah janjikan di syurga, maka dunia itu ibarat seperti penjara. Bagi orang
kafir pula ia terbalik. Walaupun dia ketika di dunia adalah orang yang paling
sengsara tetapi jika dibandingkan dengan seksa neraka maka dunia ini syurga
baginya.
5. Pengajaran dari hadis ini ialah supaya orang
beriman tidak cenderung kepada jalan orang-orang kafir yang bebas lepas dalam
menjalani kehidupan dunia sehingga tidak ada halal haram bagi mereka. Dunia ini hakikatnya ialah negeri untuk
menguji orang-orang beriman. Orang-orang yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan,
merekalah yang memahami hakikat kewujudan mereka di dunia ini. Jika orang beriman
telah memahami bahawa dunia adalah negeri untuk menguji keimanan, mereka
hendaklah bersabar atas ketentuan Allah SWT dan reda serta rela dengan takdir yang
menimpa. Orang beriman juga dianjurkan untuk berpaling dari kecintaan kepada
dunia dan tidak tenggelam dalam nikmat
sementara di dunia. Sebaliknya dianjurkan untuk sentiasa merindui akhirat.
6. Dunia sebagai ujian untuk orang beriman ini telah ditegaskan
oleh Allah SWT dalam firmannya dalam surah-surah berikut:
“Dialah yang telah mentakdirkan adanya
mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di
antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu),
lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
6.2. Al-Baqarah
[Lembu Betina](2:155) yang berbunyi:
“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu
dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan,
dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil
tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
7. Perlu sentiasa dingati bahawa dunia ini ibarat ladang untuk
manusia bercucuk tanam tetapi hasilnya hanya dapat dituai di akhirat nanti.
Waktu bercucuk tanam memanglah susah, tidak semudah waktu menuai. Tetapi tanpa
melalui kesusahan, kita tidak akan dapat menikmati kesenangan. Jangan kita ikut
ajakan syaitan dan godaan iblis yang menyuruh berbuat jahat dan kemungkaran.
8. Abu Said meriwayatkan, Rasullullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
"Nabi Musa a.s. berkata; Wahai Rabb, sungguh engkau telah menutup dunia
untuk hamba-Mu yang beriman!. Lalu Allah SWT membukakan salah satuu pintu
syurga seraya berfirman maksudnya : ‘Inilah
yang Ku- persiapkan untuknya’. Nabi Musa a.s.
berkata lagi : Demi kemuliaan dan keagungan dan ketinggian kedudukanMu,
andaikan ada orang yang dipotong kedua tangan dan kakinya lalu diseret wajahnya
semenjak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (syurga) ialah
tempat kembalinya, tentu seakan ia sama sekali tak ingat lagi akan seksaan.
Nabi Musa a.s. berkata : Wahai Rabb,
sungguh engkau memberi kenikmatan kepada
orang kafir... Lalu Allah membukakan untuknya salah satu pintu neraka, seraya
berfirman maksudnya : ‘Inilah yang Ku-persiapkan untuknya.’ Nabi Musa a.s. berkata : Wahai Rabb, Demi Kemuliaan-Mu,
andai Engkau berikan kepadanya dunia beserta isinya, dan ia seperti itu terus
sejak Engkau menciptakannya sampai hari kiamat, kemudian ini (neraka) ialah
tempat kembalinya, maka seakan ia tak
pernah merasakan kebaikan sama sekali'." (Hadis Riwayat Ad-Dailami
dengan sanad shahih Abu Said).
9. Dalam sebuah kitab tasauf telah diceritakan kesah dua orang
sahabat yang tinggal berjiran dalam sebuah kampong. Seorang beriman dan seorang lagi kafir. Kedua-dua mereka bekerja sebagai nelayan. Setiap hari mereka akan bersama-sama ke laut
untuk menjala ikan dengan menaiki sampan masing-masing. Satu hari si kafir ini bertanya kepada yang
beriman itu; “Wahai sahabatku mahukah
engkau bertanding tuhan manakah paling berkuasa di kalangan dua tuhan kita.”. Tanya yang beriman itu; “Bagaimanakah caranya?”. Jawab si kafir, “Sebelum
menebar jala kita berdoalah kepada tuhan masing-masing dan siapa yang dapat
ikan paling banyak itu tandanya tuhannya paling berkuasa”. Sahabat yang beriman itu pun bersetuju. Si kafir memulakan dulu menebar jalanya. Ditarik jalanya dan penuh dengan ikan dalamnya.
Tiba giliran yang berimaan pula.
Ditebarlah jalanya dan ditariknya.
Alangkah malang baginya hanya seekor sahaja ikan dalam jalanya. Peristiwa ini disaksikan oleh malaikat Allah.
Lalu mengadulah malaikat kepada Allah kenapa Allah tidak memberi rezeki kepada
hambanya yang beriman itu. Allah lalu
memerintahkan malaikat menjaga syurga untuk membukakan pintu syurga lalu Allah
berkata; “Disinilah tempat tinggal
hambaku yang beriman kepadaKu”. Lepas itu Allah memerintahkan pula pintu
neraka di buka lalu Allah berkata pula; “Di sinilah
tempat tinggal hambuku yang tidak beriman kepadaKu.”
10. Moral kesah di atas ialah bagi seseorang yang beriman, walaupun
menanggung kesusahan hidup di dunia ini, di akhirat nanti mereka akan memasuki
syurga. Bagi yang kafir pula walaupun
kaya dan senang di dunia, akhirat nanti tempatnya ialah di dalam neraka kekal
selama-lamanya.
11. Sedar dan ingatlah apakah yang telah difirmankan oleh Allah SWT
dalam Al-Quran tentang balasan ini seperti dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:72) yang berbunyi:
“(Setelah
itu) dikatakan kepada mereka: “Masukilah pintu-pintu neraka Jahannam itu dengan
keadaan tinggal kekal kamu di dalamnya; maka seburuk-buruk tempat bagi
orang-orang yang sombong takbur ialah neraka Jahannam.”
(39:73)
“Dan
orang-orang yang bertaqwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan
berpasuk-pasukan, sehingga apabila mereka sampai ke Syurga yang pintu-pintunya
sedia terbuka dan penjaga-penjaganya mengalu-alukan mereka dengan kata-kata:”
Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam
Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya” (mereka pun masuk) .”
12. Untuk renungan bersama marilah kita fahami tujuan Allah
mengutuskan Rasulullah SAW ke muka bumi ini.
Tidak lain dan tidak bukan melainkan untuk membimbing manusia menuju
syurga Allah dan menjadikan Rasulullah itu sebagai contoh teladan terbaik untuk
seluruh manusia. Adakah Rasulullah seorang yang senang dan kaya raya?. Apakah
harta yang beliau tinggalkan kepada isteri dan anak-anak semasa baginda wafat. Rasulullah
tidak menjadikan dunia sebagai matlamat sebaliknya ialah akhirat yang akan
kekal abadi. Bukankah kita yang mengaku
beriman dan sayang kepada Rasulullah juga wajar mencontohi baginda?.
“Seseorang itu akan
tetap menjadi ahli ilmu yang sejati selama dia masih menuntut. Tetapi apabila
pada suatu ketika dia berkata ‘aku sudah pandai’, maka sesungguhnya dia sudah
menjadi bodoh dengan sendirinya”. – Mutiara Kata Luqman Hakim
No comments:
Post a Comment