1. Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:54),
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
"Wahai
orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya,
maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan
merekapun mencintaiNya, yang mana mereka bersikap lemah
lembut terhadap orang mukmin, yang bersikap
keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad
dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada
celaan orang yang suka mencela. Itulah limpah kurnia Allah, diberikanNya
kepada siapa yang dikehendakiNya, dan Allah maha luas limpah kurniaNya lagi
maha mengetahui."
2. Berdasarkan firman di atas terdapat empat sifat dan kelakuan orang
yang mencintai Allah dan dicintai oleh Allah, iaitu bersikap lemah lembut
terhadap sesama mukmin, bersikap keras (tegas) terhadap orang-orang kafir,
berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Huraian kepada firman Allah SWT ini ialah
seoerti berikut:
2.1. Bersikap
lemah lembut terhadap orang mukmin:
Bersikap
lemah lembut sesama mukmin ini dijelaskan dalam firman Allah SAW dan sabda
Rasulullah SAW seperti berikut:
2.1.1.
Dalam Surah Al-Fath [Kemenangan](48:29),
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan
orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang
serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap
beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari
Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka
(sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan
ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam
Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka
diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu
anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap
berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan
orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad
SAW dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu)
kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan
hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah
telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka,
keampunan dan pahala yang besar.”
2.1.2.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak
beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana
dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari).
2.1.3.
Sabda Rasulullah SAW yang lain pula bermaksud: “Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama
mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami
kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” (Hadis Riwayat Bukhari)
2.2.
Bersikap keras (tegas) terhadap orang-orang kafir:
2.2.1.
Setiap orang mukmin perlu bersikap tegas terhadap orang kafir sekiranya mereka
mengajak kepada ajaran agama mereka, atau pun mereka cuba menghidupkan budaya
mereka dan menyesatkan orang Islam. Apabila Allah SWT kata perlu berkeras ini
bermakna jangan sekali-kali orang mukmin terpengaruh dengan ajakan orang kafir untuk
mengikuti cara hidup mereka. Cara hidup orang mukmin sangat jauh berbeza dengan
cara hidup orang-orang kafir. Orang mukmin menganggap hidup di dunia hanya
sementara sahaja kerana kehidupan yang abadi itu di akhirat sedangkan orang-orang
kafir menganggap dunia ini ialah tempat untuk berhibur dan berseronok-seronok
kerana itulah matlamat hidup bagi mereka.
2.2.2.
Sekiranya orang kafir tidak memusuhi Islam dan boleh bekerjasama dengan
orang-orang Islam maka kita perlu menghormati mereka dan berusaha berdakwah
supaya mereka memahami Islam dan akhirnya masuk Islam.
2.3. Berjihad di jalan Allah:
2.3.1.
Dalam Surah At-Taubah[Pegampunan](9:111),
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Sesungguhnya Allah telah membeli dari
orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan
(balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada
jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan
Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah
di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang
lebih menyempurnakan janjinya selain dari Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan
jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli
(yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”
2.3.2.
Allah telah memberi jaminan akan membeli dari orang-orang yang beriman akan
jiwa dan harta mereka dengan balasan/ganjaran
syurga. Apakah ada tawaran yang lebih hebat dari syurga?. Betapa tinggi dan mulianya
tawaran Allah SWT kepada orang-orang beriman. Orang beriman akan berbahagia
hidup di dunia dan di akhirat nanti bakal memperolehi ganjaran syurga.
2.4. Tidak takut kepada celaan orang yang
suka mencela:
Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Mencela
seorang muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya adalah kekufuran”. (Hadis
Riwayat Muslim). Islam mengajar kita supaya
tidak takut kepada celaan orang selagi mana setiap pekerjaan dan perbuatan yang
dilakukan tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain itu kita juga
diajar supaya tidak mencela orang lain. Orang yang suka mencela, menghina, memfitnah
ataupun mengaibkan orang lain adalah
terdiri dari orang-orang yang fasik.
3. Jika kita mahu menjadi orang yang mencintai Allah dan dicintai
oleh Allah maka kita perlulah beramal dengan empat perkara yang disebutkan di
atas. Empat perkara ini bukanlah sesuatu
yang sukar untuk dipraktikkan sedangkan ganjaran dari Allah adalah amat besar sekali,
iaitu menjadi seorang hamba yang dicintaiNya.
“Orang yang bakhil
itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan
iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu
dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh
penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan
dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan
dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina
Abu Bakar Assyidiq
No comments:
Post a Comment