Tuesday, 15 September 2015

LAZIMILAH MENGINGATI MATI

INGATLAH, DI SINILAH KESUDAHAN KITA SATU HARI NANTI
1.   Kematian adalah satu kepastian. Tidak ada manusia yang tidak akan mati dan merasai kesakitan ketika sakratul maut. Semua manusia tahu. Yang tidak diketahui manusia hanyalah bila mereka akan mati.  Dalam Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:35), Allah SWT berfirman yang berbunyi: 


“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

2.  Peringatan dan amaran dari Allah SWT ini sudah cukup untuk kita sentiasa mengingati saat sakratul maut kita yang boleh datang pada bila-bila masa. Mati juga disebut sakratul maut. Dikatakan  sakrah kerana pada saat hampir mati itu, manusia sedang berada di sempadan antara hidup dan mati. Dia seolah-olah berada dalam keadaan mabuk, antara sedar dan tidak sedar. Kesakitan sakrah tidak tertanggung lagi oleh seluruh badan orang yang hampir mati. Rasa dahaganya tidak dapat dibayangkan lagi. Pada saat sakrah itu dikatakan pandangan orang yang akan mati menjadi gelap. Seluruh ingatannya akan memutarkan semua kejadian semasa hayatnya. Ia bolehlah diumpamakan seperti DVD yang sedang melalui proses rewind.

3.   Pada saat kematian seseorang maka Izrail ( Malaikat Maut) yang akan berdiri di hadapan orang yang bakal dipanggil pulang itu namun dia tidak akan dapat dilihat oleh sesiapa pun melainkan orang akan mati itu. Izrail akan datang kepada orang hendak mati mengikut kadar keimanan seseorang.  Jika mati dalam keadaan husnul khatimah maka Izrail akan datang dengan wajah yang elok dan bersikap lemah lembut. Sebaliknya pula bagi orang yang mati dalam keadaan suul khatimah ia akan  datang dengan wajah hitam dan hodoh serta bersikap bengis dan kasar.

4.   Pada saat itulah setiap yang orang yang hampir mati akan ditunjukkan suratan amalannya semasa hidup. Bagi orang yang jahat dan derhaka kepada Allah SWT mereka akan menjerit dan meminta tolong orang ramai tetapi sayangnya tidak ada siapa yang mendengar jeritannya walaupun ahli keluarganya sedang mengelilinginya. Inilah saatnya orang yang akan mati akan teringat ancaman dan amaran Allah tentang balasan neraka dalam Al-Quran sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Fajr[Waktu Fajar](89:23) yang berbunyi:



“Serta diperlihatkan neraka Jahannam pada hari itu, (maka) pada saat itu manusia akan ingat (hendak berlaku baik), dan bagaimana ingatan itu akan berguna lagi kepadanya?.”

(89:24)


“Ia akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku dahulu sediakan amal-amal baik untuk hidupku (di sini)!”

5.   Kematian bermakna berakhirlah riwayat hidup manusia.  Hubungan si mati dengan dunia terputus sudah. Semua kesenangan dan nikmat di dunia akan ditinggalkan. Buku catatan amalan si mati akan di tutup dan ia akan di buka semula di Padang Mahsyar nanti untuk dibicarakan di mahkamah Allah Rabbul Jalil. 

6.   Sekiranya sepanjang hidup ini kita sentiasa bertaubat dan melaksanakan suruhan agama dan melakukan kerja dakwah, insyaalah kita akan mati dalam keadaan yang baik (husnul khatimah). Kematian itu merupakan panggilan kehormatan bagi orang-orang beriman.  Allah SWT menyambut mereka seperti dalam firmanNya dalam Surah Al-Fajr[Waktu Fajar](89:27) yang berbunyi:



 “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!”

(89:28)



“Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)”

(89:29)


“Serta masuklah engkau dalam kumpulan hamba-hambaku yang berbahagia.”

(89:30)
“Dan masuklah ke dalam SyurgaKu!.”

7.   Syeikh Said Hawa Rahimahullah di dalam bukunya "Al-Mustakhlas fi tazkiyyatin nafs" telah menyebutkan bahawa mengingati mati adalah salah satu cara berkesan untuk menyucikan jiwa manusia dari kotoran sifat mazmumah. Dengan mengingati mati, bukan sahaja boleh menimbulkan rasa penyeselan di atas dosa yang dilakukan, malah ia boleh melahirkan ketakutan untuk meneruskan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT. Oleh kerana itu Rasulullah SAW apabila ditanya siapakah yang paling bijak menurut pandangan baginda, baginda menjawab: “Orang yang bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling kuat bersedia menempuh saat kematian.”

8.  Imam Ghazali Rahimahullah juga telah mengajar kepada kita bagaimana cara mengingati mati. Antaranya ialah:

8.1.   Ingat kepada rakan atau sahabat yang telah meninggal dunia. Mungkin umur mereka sebaya dengan kita atau penyakit mereka sama dengan kita, oleh itu bila pula Malaikatul maut akan menjemput kita. 

8.2.   Ingat bagaimana cara mereka meninggal. Ada yang disebabkan penyakit buah pinggang, darah tinggi, kencing manis atau lemah jantung. Cuba tanya diri kita, apakah kita betul-betul sihat dan tidak akan menghidapi penyakit seperti ini. Atau ada yang ditimpa kemalangan tiba-tiba. Apakah kita boleh terselamat dari kemalangan seumpama ini. 

8.3.  Bayangkan kehidupan mereka sebelum mati. Ada yang meninggal dalam keadaan baik kerana penghujung hayatnya ia menjadi ahli masjid dan dekat dengan Allah SWT. Ada yang kita dapat lihat jenazah dengan wajah yang tenang bertemu dengan Allah. Ada juga sahabat yang meninggal tetapi hayatnya penuh dengan maksiat, minum arak, disko, tinggal solat dan sebagainya. Lihatlah wajahnya yang penuh dengan tanda azab dan ketakutan. 
“Syaitan lebih suka untuk menyesatkan orang yang alim daripada orang jahil kerana orang alim apabila sesat maka dia akan turut menyesatkan orang lain dengan kejahilannya sedangkan orang jahil tidak begitu” – Mutiara Kata Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Husaini

No comments:

Post a Comment