Sunday, 13 September 2015

PADAMKANLAH API NERAKA DENGAN AIR MATA KITA

1.  Tidak ada manusia yang tidak pernah menangis dalam hidupnya.  Seorang bayi yang baru dilahirkan dari rahim ibunya jika tidak menangis adalah tidak normal. Manusia menangis kerana pelbagai sebab seperti kerana takut, cinta, gembira, derita, sakit, dihina dan sebagainya. Bilakah agaknya hari terakhir kita menangis setakat ini. Silalah tanya diri sendiri.  Adakah aku ini tergolong dalam golongan yang mudah menangis atau sukar menangis. 

2.    Bila menangis pasti akan mengeluarkan air mata. Air mata berasal dari proses yang disebut lakrimal. Lakrimal berasal dari Bahasa Latin, iaitu lacrima yang bererti “air mata”. Di atas sudut luar mata kita, tepat di bawah alis mata terdapat kelenjar lakrimal atau lebih dikenali dengan nama kelenjar air mata. Ukurannya hanya sebesar buah kenari, tetapi organ yang kecil ini dapat menyemburkan aliran air mata. Kelenjar air mata berfungsi untuk membuat air  mata.

3.  Dalam Surah An-Najm [Bintang](53:43), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis”.

4.   Berdasarkan firman di atas tahulah kita bahawa tangisan manusia itu datangnya dari Allah SWT. Benarkah air mata dapat memadamkan api neraka?.  Jawabnya benar kerana Rasulullah SAW pernah bersabda tentangnya. Di bawah ini ialah sabda-sabda Rasulullah SAW tentang air mata:

4.1.   "Tidaklah mata seseorang menitiskan air mata kecuali Allah akan mengharamkan tubuhnya dari api neraka. Dan apabila air matanya mengalir ke pipi maka wajahnya tidak akan dikotori debu kehinaan. Sesungguhnya air mata dapat memadamkan api neraka.'

         4.2.   “Tidak ada sesuatu yang paling disukai Allah SWT selain daripada    dua titisan dan dua kesan. Dua titisan itu ialah titisan air mata yang keluar kerana takutkan Allah SWT dan titisan darah yang tumpah di dalam perjuangan di jalan Allah. Manakala dua kesan ialah kesan berjuang di jalan Allah SWT dan kesan kerana menunaikan kefardhuan yang telah difardhukan oleh Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).

      4.3.   "Di antara tujuh golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah di hari qiamat ialah seseorang yang berzikir bersendirian dan mengenang tentang kebesaran Allah SAW lalu bercucuran air matanya."

4.4.   "Jagalah mayat ketika kematiannya dan perhatikanlah tiga perkara, iaitu (1) apabila dahinya berpeluh. (2) air matanya berlinang. (3) hidungnya keluar cecair seperti hingus kerana hal-hal tersebut menandakan rahmat Allah SWT untuk si mayat. (Hadis Riwayat Salman Al-Farisi)

5.      Sesungguhnya air mata itu besar maknanya kepada kita. Janganlah kita menangis jika tidak tercapai hajat dihati kerana bukankah Allah yang telah menentukan segalanya. Bukankah orang Islam diajar untuk menyakini rukun iman yang keenam, iaitu percaya kepada Qada’ dan Qadar Allah SWT.

6.      Air mata boleh menjadikan kita lebih dekat dengan Allah jika tahu menguruskannya. Kerapkanlah untuk bersendirian terutamanya waktu malam.  Lebih-lebih lagi untuk bersolat tahajjud.  Gunakanlah air mata kita untuk menangis sepuas-puasnya mengenangkan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita, misalnya:

          6.1.   Kita masih lagi beriman kepada Allah SWT.

          6.2.   Dipanjangkan umur hingga kini

          6.3.   Diberikan kesihatan

          6.4.   Diberikan isteri atau suami yang baik

          6.5.   Dikurniakan zurita, anak cucu yang sihat dan sempurna

          6.6.   Diberikan rezeki untuk hidup tanpa perlu meminta-minta kepada orang lain. Ada rumah. Ada kereta. Ada tanah dan sebagainya.

          6.7.   Lazimilah lihat gambar-gambar lama dalam album kita.  Ia adalah kenangan hidup kita semasa zaman kanak-kanak, remaja dewasa hingga kini.  Lagi lama gambar itu lagi tinggi nilainya.  Bukankah Allah yang memanjangkan usia kita hingga kini. 

6.8.   Menangislah kerana mengingatkan dosa-dosa kita kepada Allah SWT.  Lazimilah bermohon ampun kepadaNya dan bertaubat nasuha.

7.      Jika kita menangis kerana Allah SWT pasti kita akan dapat merasai nikmatnya setelah berakhirnya tangisan.  Cubalah sendiri. Mudah-mudahan wajah kita kelihatan lebih bercahaya dan berseri.

Peliharalah iman kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan mengeluarkan zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa kepada Allah - Saidina Ali bin Abi Thalib.

No comments:

Post a Comment