Semasa hayatnya Rasulullah SAW telah membayangkan zaman atau masa yang
beliau sangat takuti. Zaman itu telah
terlalu hampir dengan hari kiamat. Berikut ini ialah himpunan hadis-hadis
Rasulullah SAW mengenai keadaan akhir zaman petanda dekatnya kiamat:
1. PERILAKU MANUSIA YANG BURUK
Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga
seorang anak menjadi sebab kemarahan (bagi ibu bapanya), hujan akan menjadi
panas, akan bertambah banyak orang yang tercela dan
akan berkurang orang yang baik, anak-anak menjadi berani melawan orang tua, dan
orang yang jahat berani melawan orang-orang baik” (Hadis
Riwayat Thabrani)
2. ANAK MENJADI TUAN KEPADA IBUNYA
Umar bin al-Khattab r.a.
(dalam sebuah hadis yang panjang), …kemudian Malaikat Jibrail bertanya kepada
Rasulullah SAW “ Khabarkanlah kepadaku tentang hari kiamat?” Lalu Rasulullah
SAW menjawab: “Orang yang ditanya tidak
lebih mengetahui daripada orang yang bertanya” Maka Jibrail berkata “Kalau
begitu cuba khabarkan kepadaku tanda-tandanya” maka Rasulullah SAW menjawab: “Bahawa hamba akan melahirkan tuannya dan
engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi
miskin yang hanya mengembala kambing itu berlumba-lumba untuk membuat binaan” (Hadis
Riwayat Muslim)
3. BERLAKUNYA PEPERANGAN DEMI PEPERANGAN
Abu Hurairah r.a, berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Hari kiamat
tidak akan terjadi sehingga harta benda melimpah ruah dan timbul banyak fitnah
dan sering terjadi “al-Harj”. Sahabat bertanya “Apakah al-Harj itu wahai
Rasulullah?” Rasulullah menjawab “peperangan,
peperangan, peperangan”. Beliau mengucapkannya sebanyak tiga kali. (Hadis Riwayat
Ibnu Majah)
4. PERANG DI SEKITAR SUNGAI FURAT, IRAQ KERANA BEREBUT KEKAYAAN
Abu Hurairah r.a, berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak
terjadi hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, di Iraq) menjadi
surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung dari emas. Banyak orang yang
terbunuh kerana merebutnya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan daripada
seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata
“Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu”. Di dalam riwayat lain
disebutkan: “Sudah dekat suatu masa di
mana Sungai Furat akan menjadi surut airnya lalu kelihatan perbendaharaan dari
emas, maka siapa sahaja yang hadir di situ janganlah dia mengambil sesuatu pun
dari harta tersebut” (Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
[Terdapat sebahagian pihak
yang menyatakan bahawa perkataan emas di dalam hadis ini sebenarnya emas hitam,
iaitu minyak]
5. WAKTU TERASA PENDEK
Anas bin Malik r.a. berkata,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak
akan terjadi kiamat sehingga waktu terasa pendek, maka setahun dirasakan
seperti sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti
sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu
kilatan api” (Hadis Riyawat Termizi)
6. AGAMA ISLAM AKAN PUDAR SECARA PERLAHAN-LAHAN
Huzaifah bin al-Yaman r.a.
berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Islam akan lenyap seperti hilangnya corak pada pakaian, sehingga orang
tidak mengerti apakah yang dimaksudkan dengan puasa, apakah yang dimaksudkan
dengan solat, apakah yang dimaksudkan dengan nusuk (ibadah), dan apakah yang
dimaksudkan dengan sedekah. Al-Quran akan hilang semuanya pada suatu malam
sahaja, maka tidak ada yang tertinggal di permukaan bumi ini darinya walaupun
hanya satu ayat. Sesungguhnya yang ada hanya beberapa kelompok manusia, di
antaranya orang tua, lelaki dan perempuan. Mereka hanya dapat berkata, Kami
sempat menemui nenek moyang kami mengucapkan kalimat LAILAHAILLALLAH, lalu kami
pun mengucapkannya juga.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
7. AMANAH DIKHIANATI
Abu Hurairah r.a. berkata,
“Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang berada dalam suatu majlis dan
berbicara dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi lalu dia
bertanya kepada Rasulullah SAW, “Bilakah akan terjadi hari kiamat?” Rasulullah
terus saja berbicara. Sebahagian yang hadir berkata “Beliau (Rasulullah)
mendengar apa yang ditanyakan, tetapi pertanyaan itu tidak disenanginya”.
Sementara yang lain berkata “Sesungguhnya baginda tidak mendengar pertanyaan
itu”. Sehingga apabila Rasulullah selesai berbicara, beliau bersabda: “Di mana orang yang bertanyakan mengenai
hari Kiamat tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut “Ya! Saya wahai Rasulullah”.
Maka Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari Kiamat”. Arab
Badwi itu bertanya lagi, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah
itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Apabila
urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari
Kiamat” (Hadis Riwayat Bukhari)
.
8. KEJAHATAN TERLALU BANYAK
Ummul Mukminin, Zainab binti
Jahsy (isteri Rasulullah SAW) berkata,”(Pada suatu hari) Rasulullah SAW masuk
ke dalam rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, LAILAHAILLALLAH, celaka
(binasa) bagi bangsa Arab dari kejahatan (malapetaka) yang sudah hampir menimpa
mereka. Pada hari ini telah terbuka dari dinding Yakjud dan Makjud seperti ini”
dan Baginda menemukan ujung jari dan ujung jari yang sebelahnya (jari telunjuk)
yang dengan itu mengisyaratkan seperti bulatan. Aku lalu bertanya “Ya
Rasulullah! Apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada
orang-orang yang soleh?” Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak.”
(Hadis Riwayat Bukhari & Muslim)
9. MANUSIA MELIBATKAN DIRINYA DALAM KEBINASAAN
Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang
suatu zaman di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya,
kecuali apabila dia lari membawanya dari puncak bukit ke puncak bukit yang
lain, dan dari suatu gua ke gua yang lain. Maka apabila zaman itu telah tiba,
segala sumber pendapatan tidak dapat diperoleh kecuali dengan melaksanakan
sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT. Apabila ini telah terjadi, maka
kebinasaan seseorang adalah disebabkan memenuhi kehendak isteri dan anak-anaknya.
Kalau dia tidak mempunyai isteri dan anak, maka kebinasaannya disebabkan
memenuhi kehendak kedua ibu bapanya. Dan jikalau ibu bapanya sudah tidak ada
lagi, maka kebinasaannya disebabkan mengikuti kehendak keluarganya atau
disebabkan mengikuti kehendak jiran tetangganya.” Sahabat bertanya “Wahai
Rasulullah SAW, apakah maksud perkataan engkau itu?” Rasulullah SAW menjawab: “Mereka akan menghinanya dengan kesempitan
hidupnya. Maka ketika itu sesungguhnya dia telah menceburkan dirinya ke
jurang-jurang kebinasaan yang akan menghancurkan dirinya” (Hadis Riwayat
Baihaqi)
10. TERDAPAT PERSELISIHAN YANG BANYAK
Abi Nijih ‘Irbadh bin Sariyah
r.a. berkata: “ Rasulullah telah menasihati kami satu nasihat yang menggetarkan
hati kami dan menitiskan air mata kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata;
Ya Rasulullah, Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali maka
berikanlah pesanan kepada kami.” Lalu baginda pun bersabda: “Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa
bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun
yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang
umurnya daripada kamu pasti dia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka
hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa Ar
Rasyidin Al Mahdiyin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat
pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunah-sunah itu dengan gigi geraham
dan jauhilah perkara-perkara yang baru (bid’ah) yang diada-adakan, kerana
sesungguhnya tiap-tiap bid’ah itu adalah sesat.” (Riwayat Abu Daud dan Termizi)
11. KEPAYAHAN ORANG YANG BERIMAN
Anas r.a. berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: ”Akan datang
pada manusia suatu zaman di mana orang yang berpegang teguh di antara mereka
kepada agamanya laksana orang yang memegang bara api”. (Hadis Riwayat Termizi)
Petikan dari
www.detikislam.blogspot.com
“Hendaklah kamu
lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak
beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa”. ~
Mutiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah
No comments:
Post a Comment