Semasa hayatnya Rasulullah SAW
telah membayangkan zaman atau masa yang beliau sangat takuti. Zaman itu telah terlalu hampir dengan hari
kiamat. Berikut ini ialah himpunan hadis-hadis Rasulullah SAW mengenai keadaan akhir
zaman petanda dekatnya kiamat:
1. ORANG YANG TAK SEDARKAN DIRI
Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Jika ada
seseorang berkata, ramai orang telah rosak, maka orang yang berkata itu sendiri
yang paling rosak di antara mereka” (Hadis Riwayat Muslim)
2. AHLI IBADAT YANG JAHIL DAN ULAMA YANG FASIK
Anas r.a. berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Akan ada
pada akhir zaman nanti ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasik ” (Hadis
Riwayat Ibnu Ady)
3. MENJUAL AGAMA KERANA DUNIA
Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Akan keluar
pada akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual
agama. Mereka berpakaian di hadapan orang lain dengan pakaian yang dibuat
daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati
orang ramai, dan perkataan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati
mereka adalah hati serigala. Allah SWT berfirman kepada mereka “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanKu?
Ataukah kamu terlalu berani berbohong kepadaKu? Demi kebesaranKu, Aku bersumpah
akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri,
sehingga orang yang alim (cendekiawan) pun akan menjadi bingung” (Hadis
Riwayat Termizi)
4. PENDUSTA DAN PENGKHIANAT DIMULIAKAN
Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Akan datang
kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Pada waktu itu si
pendusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan dusta. Pengkhianat akan
disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Dan yang
berkesempatan berbicara (cuba membetulkan) hanyalah golongan “Ruwaibidhah”.
Sahabat bertanya “Apakah Ruwaibidhah itu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab
“Orang kerdil, hina, dan tidak mengetahui
bagaimana hendak mengurus orang yang ramai” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
5. KEFASIKAN BERLELUASA
Abu Hurairah r.a. berkata Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud; “Bersegeralah
kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat) seumpama malam yang sangat
gelap. Seseorang yang masih beriman pada waktu pagi, kemudian pada waktu petang
dia sudah menjadi kafir, atau seseorang yang masih beriman pada waktu petang,
kemudian pada keesokan harinya dia sudah menjadi kafir. Dia telah menjual
agamanya dengan sedikit harta benda dunia” (Hadis Riwayat Muslim)
6. PENINDASAN TERHADAP UMAT ISLAM
Tsauban r.a. berkata
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan
tiba suatu zaman di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang
mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang kelaparan mengerumuni bekas hidangan
mereka.” Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah kerana kami sedikit
pada hari itu?” Rasulullah SAW menjawab “Bahkan
kamu pada hari itu terlalu ramai, tetapi kamu umpama buih pada masa banjir, dan
Allah akan mencabut rasa gentar dalam hati musuh-musuh kamu terhadap kamu, dan
Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Seorang sahabat
bertanya “Apakah ‘wahan’ itu, wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab “Cinta dunia dan takut mati” (Hadis Riwayat
Abu Daud)
7. ISLAM HANYA TINGGAL PADA NAMA SAHAJA
Ali bin Abi Thalib r.a.
berkata Rasulullah SAW telah bersabda
yang bermaksud: “Telah hampir tiba suatu
zaman, di mana tidak ada lagi dari Islam kecuali hanya namanya, dan tidak ada
lagi dari Al-Quran kecuali hanya tulisannya. Masjid-masjid mereka indah, tetapi
kosong daripada hidayah. Ulama mereka adalah sejahat-jahat makhluk yang ada di
bawah langit. Daripada merekalah keluar fitnah, dan kepada mereka jua fitnah
itu akan kembali ” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi)
8. BUDAYA BARAT MENJADI IKUTAN UMAT ISLAM
Abu Sa’id Al-Khudri r.a.
berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi
sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak
sekalipun kamu akan mengikut mereka” Sahabat bertanya “Ya Rasulullah!
Apakah Yahudi dan Nasrani yang Tuan maksudkan?” Rasulullah SAW menjawab “Siapa lagi?” (Hadis Riwayat Muslim)
9. ULAMA TIDAK DIPEDULIKAN
Sahl bin Saad as-Sa‘idi r.a.
berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Ya Allah! Janganlah Engkau menemukan aku dan mudah-mudahan kamu juga
tidak bertemu dengan suatu zaman di mana para ulama sudah tidak diikuti lagi,
dan orang yang penyantun sudah tidak dihiraukan lagi. Hati mereka seperti hati
orang Ajam, lidah mereka seperti lidah orang Arab” (Hadis Riwayat Ahmad)
10. GOLONGAN ULAMA SEMAKIN BERKURANG
Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a.
berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya Allah SWT tidak akan mencabut (menghilangkan) ilmu dengan
sekali gus daripada manusia. Tetapi Allah SWT menghilangkan ilmu agama dengan
mematikan para ulama. Apabila telah dimatikan para ulama, orang ramai akan
memilih orang-orang jahil sebagai pemimpinnya. Apabila pemimpin yang jahil itu
ditanyakan, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan
menyesatkan orang lain” (Hadis Riwayat Muslim)
Petikan dari
www.detikislam.blogspot.com
"Tiada apa
yang aku kesalkan dalam sehari ketika terbenamnya matahari, selain daripada
umurku menjadi pendek, sedangkan amalanku tidak bertambah" - Mutiara kata
Ibnu Mas'ud
No comments:
Post a Comment