1. Setiap orang Islam yang mengaku beriman kepada Allah SWT wajib menyakini bahawa apa jua yang difirmankan Allah SWT dalam Al-Quran adalah benar dan tepat belaka. Ini kerana Allah adalah tuhan yang mencipta alam semesta dan semua isi kandungannya termasuklah manusia.
2. Sebagai pencipta alam semesta ini, benarkah firman Allah SWT
bahawa setiap kehidupan di dalam dunia ini bermula dari air?. Dalam surah Al-Anbiya[Para
Nabi](21:30), Allah SWT telah berfirman tentang perkara ini yang berbunyi:
"Dan
apakah orang-orang yang kafir tidak mengetahui bahawasanya langit dan bumi itu
keduanya dahulu adalah suatu yang padu, kemudian Kami pisahkan antara keduanya.
Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup.
Maka mengapakah mereka tiada juga beriman?" .
3. Firman Allah di atas menjelaskan dua perkara penting. Pertama
mengenai asal-usul kejadian langit dan bumi yang pada asalnya bercantum padu,
kemudian dipisahkan antara kedua-duanya. Fakta dalam Al-Quran ini adalah selari
dengan teori popular saintis moden, iaitu teori Big Bang yang dikatakan berlaku ratusan ribu tahun dahulu. Kedua,
firman Allah ini menjelaskan mengenai hakikat penciptaan air yang menjadi asas
bagi setiap kehidupan. Ini bermakna tanpa adanya air, hidupan tidak akan wujud sama
sekali.
4. Sekali lagi Allah SWT menegaskan penciptaan sesuatu itu dari
air. Misalnya dalam surah An-Nur[Cahaya](24:45)
yang berbunyi:
“Dan Allah menciptakan tiap-tiap haiwan yang bergerak itu dari
air; maka sebahagian di antara mereka menjalar atas perutnya, dan
sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan
dengan empat kaki. Allah menciptakan apa sahaja yang Ia kehendaki (selain dari
yang tersebut), kerana sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
5. Apakah firman-firman Allah SWT di atas dapat dibuktikan secara ilmiah masa kini?. Jawabnya sudah semestinya. Lihatlah kepada kenyataan-kenyataan di bawah:
5.1. Mengikut laporan BBC News dalam segmen “Science and Nature (Space)” pada 27 Mei
2006 lalu, pakar-pakar biologi bersepakat bahawa air adalah asas kepada
kehidupan. Tanpa air, kehidupan tidak boleh wujud dan sekiranya ia wujud
sekalipun, ia tidak boleh berterusan tanpa air.
5.2. Kenyataan bahawa hidupan bermula daripada air
ini disokong dengan penemuan terbaru
yang mendapati hidupan mungkin bermula di bawah lautan. Mengikut BBC News
Online pada 9 September 1998 dalam segmen Sci/Tech bawah tajuk “Springing To Life Under The Sea”,
saintis-saintis mengatakan rahsia mengenai kewujudan hidupan yang awal di dunia
mungkin bermula 9,000 kaki di bawah lautan Atlantik. Di situ para saintis
menemui semburan hidrogen dan selepas mereka mengkaji persekitarannya, mereka
merasakan ia sesuai bagi melahirkan kehidupan di peringkat awal. Setiap
hidupan terbina daripada sel dan
kehidupan sel bergantung kepada protoplasma dan protoplasma memerlukan air
untuk hidup kerana 80 peratus daripadanya adalah air. Kesimpulannya, tidak boleh wujud sebarang
hidupan tanpa air.
6. Penemuan-penemuan saintis ini tidak lain melainkan membuktikan
kebenaran firman Allah SWT dalam Al-Quran seperti yang disebutkan di atas.
Orang-orang yang
suka berkata jujur mendapatkan tiga hal, kepercayaan, cinta, dan rasa hormat.
~~ Mutiara Kata Saidina Ali bin Abi Thalib
Sebahagian sumber dari “Quran
Saintifik”, Dr. Danial Zainal
Abidin
No comments:
Post a Comment