Wednesday, 4 May 2016

NUR ISLAM TELAH MENGETUK PINTU HATI PROFESOR DR. ATSUSHI OKUDA



 “Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. {Petikan dari Surah Al-Anam[Binatang Ternakan](6:125)}



“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”. {Petikan dari Surah Al-Qashah[Kesah-Kesah](28:56)}

DR. ATSUSHI KAMAL OKUDA
1.   Bangsa Jepun telah ditakdirkan oleh Allah SWT untuk menjadi sebuah bangsa yang maju, hebat dan kuat. Selain itu orang Jepun juga dianugerahkan oleh Allah sebuah negara yang cantik dengan dikelilingi lautan dan terdiri dari ribuan pulau-pulau yang sangat menarik.  Negara Jepun seolah-olah  “sebuah negara Islam tanpa adanya orang Islam (muslim)”. Kenyataan ini bermaksud kebanyakan ajaran Rasulullah SAW nampaknya dipraktikkan oleh orang Jepun walaupun mereka tidak beragama Islam. Lihat sahaja orang Jepun.  Antara sifat-sifat positif orang Jepun ialah seperti rajin dan tekun bekerja, menjaga kebersihan, bersopan santun, menjaga alam sekitar, menghormati jiran dan tetamu, menjaga kualiti hasil kerja, mentaati orang tua, isteri setia dan taat kepada suami, menepati masa, bersatu padu dan suka bergotong royong, semangat mengekalkan tradisi warisan dan lain-lain lagi. Sifat yang paling terkenal dikalangan orang Jepun ialah menjaga kebersihan. Semua sifat-sifat ini diajarkan oleh Rasulullah tetapi malangnya ia sangat kurang dipraktikkan di negara umat Islam sendiri.  Itulah sebabnya Jepun dikatakan sebagai “sebuah negara Islam tanpa adanya orang Islam (muslim)”.

UNIVERSITI KEIO, TOKYO
2.   Untuk posting kali ini kita akan berkenalan dengan Profesor Dr. Atsushi Okuda.  Beliau ialah salah seorang ilmuan dan tenaga pengajar di Universiti Keio, Tokyo.  Beliau adalah pensyarah  di Fakulti Pengurusan Dasar, Pengajian Islam di universiti tersebut. Memiliki  kepakaran dalam bidang Bahasa Arab dan juga Undang-Undang Syariah.

3.   Beliau lahir pada tahun 1960. Mula mengenali Islam dalam pertengahan tahun 80an di mana ketika itu beliau mula mendengar ceramah mengenai agama Islam dan mulai tertarik dengan keindahan agama itu. Berikutnya beliau mula membaca pelbagai jenis buku tentang agama Islam. Beliau membaca terjemahan kitab Fiqh al Usul (فقه الاصول) dan kitab Al Mowafakat (الموافقات) karangan Imam Al-Shatibi. Pernah satu ketika beliau pergi ke Aleppo, Syria untuk mempelajari tentang Islam dan Bahasa Arab di sana. Dikatakan semasa di Syria Dr. Okuda bertemu dengan seorang guru. Beliau amat tertarik dengan perwatakan dan akhlak gurunya yang mengajar Islam di sana. Beliau mula merasakan inilah yang beliau ingin cari dalam kehidupannya. Beliau telah menemui dengan seorang yang benar-benar  mengamalkan apa yang dibacanya dalam Al-Quran dan sunnah Rasulullah.

4.  Dr.Okuda telah lama berusaha untuk  mencari kebenaran dan agama yang haq. Beliau akhirnya memutuskan untuk bersyahadah dan mengatakan: “Pada ketika saya memeluk Islam saya percaya bahawa ini adalah hadiah terbesar dari Allah dalam hidup saya!”.  Beliau pernah menjelaskan kehidupannya sebelum memeluk Islam.  Katanya: “Sebelum memeluk Islam hidup saya adalah barbar. Sangat barbar! Jahil. Saya buta akan kebenaran!”. Beliau menukar namanya kepada Atsushi Kamal Okuda.

5.  Kini, Dr.Okuda adalah salah seorang yang sedang berusaha keras dengan rakan-rakan Islamnya dan mahasiswa di Jepun untuk menyebarkan Islam di sana. Semoga Allah SWT memberi mereka semangat, kekuatan serta keberkatan dalam kerja dakwah yang terlalu besar ganjaran pahalanya di sisi Allah. In sha Allah, Islam akan terus bersinar di negara matahari terbit, Jepun.

6.  Masa depan untuk Islam sentiasa ada di Jepun.  Ikuti kesah penyebaran Islam di sana dalam artikel bertajuk "CAHAYA ISLAM DI NEGARA MATAHARI TERBIT (JEPUN)" bertarikh 12.4.2015



                                                                            





DR. OKUDA - BERDIRI EMPAT DARI KIRI.

                          
                                 Video ceramah Dr.Okuda  dalam bulan Ramadan 
                                                         pada 19.7.2014



“Allah SWT telah menggariskan segala peraturan untuk kita patuhi di dunia dan ganjarannya hanya akan diberikan di akhirat hanya jika peraturan itu dipatuhi.  Sebagaimana kita mengupah tukang rumah untuk bina rumah, kita sudah sediakan pelan seperti yang kita kehendaki.  Jika tukang rumah tidak buat seperti pelan yang kita sediakan, kita tidak akan bayar. Begitulah juga dengan Allah SWT.  Bagaimana Allah hendak ‘bayar’ kita dengan ganjaran jika kita  tidak patuh kepada pelan Allah SWT.” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian kandungan dari sumber Islam in Japan

No comments:

Post a Comment