1. Iddah atau edah adalah istilah yang diambil dari bahasa Arab
dari kata (العِدَّة) yang bermakna perhitungan (الإِحْصَاء).
Dinamakan sedemikian kerana seseorang wanita yang kematian suami itu menghitung
masa suci atau bulan dalam menentukan selesainya masa iddah.
2. Persoalan berkaitan dengan iddah seorang isteri yang kematian
suami, iaitu selama 4 bulan 10 hari dikalangan orang Melayu Islam di Malaysia
adalah perkara yang telahpun diketahui umum. Namun susulan cadangan pihak
kerajaan mencalonkan balu allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar bin Wan
Ahmad (bekas ahli parliman Kuala Kangsar), Datin Mastura binti Abdul Yazid
untuk menjadi calon BN dalam pilihanraya kecil Kuala Kangsar maka perkara
berkaitan dengan iddah ini menjadi satu isu yang agak menarik untuk diulas.
3. Barangkali di kalangan orang bukan Islam di Malaysia mereka
baru mengetahui adanya iddah dalam agama Islam untuk wanita yang kematian suaminya. Namun ramai dikalangan orang
Islam sendiri, lebih-lebih lagi orang bukan Islam mereka tidak mengetahui apakah
hikmah/rasionalnya Islam menetapkan tempoh iddah ini.
4. Berkaitan dengan iddah ini Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran,
surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:234)
yang berbunyi:
"Dan
orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedangkan mereka meninggalkan
isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama
empat bulan sepuluh hari. Kemudian apabila telah
habis masa iddahnya itu maka tidak ada salahnya bagi kamu (para wali)
membiarkan mereka berbuat terhadap diri mereka menurut yang patut (yang
diluluskan oleh Syarak), dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui apa jua yang
kamu lakukan."
5. Dalam firman di atas, Allah tidak menjelaskan kenapa mesti 4 bulan 10 hari. Kenapa tidak hanya 4 bulan sahaja atau 5 bulan sahaja. Kenapa mesti 4 bulan dan 10 hari. Berkaitan dengan hikmah tempoh iddah ini, beberapa pandangan
yang diberikan ulama untuk menyokongnya adalah seperti berikut:
5.1. Sa'id ibnul Musayyab dan Abul Aliyah
menyatakan bahawa hikmah penentuan 'iddah bagi wanita yang kematian suaminya selama
4 bulan 10 hari ialah kerana kemungkinan rahimnya telah terisi dengan kandungan
dalam tempoh tersebut. Untuk itu, apabila wanita yang berkenaan menunggu dalam
'iddahnya selama tempoh itu, kandungannya yang berisi sudah tentu dapat dilihat.
5.2. Di dalam hadis riwayat Ibnu Mas'ud yang terdapat
dalam kitab Shahihain dan kitab lainnya disebutkan seperti berikut;
"Sesungguhnya penciptaan seseorang di
antara kamu dihimpun dalam perut ibunya selama 40 hari berupa nutfah, lalu
menjadi 'alaqah dalam masa yang sama (40 hari), kemudian beralih menjadi segumpal
daging (mudghah) dalam masa yang sama, kemudian diutus padanya malaikat, lalu malaikat itu
meniupkan roh ke dalam badannya."
5.3. Ketiga-tiga 40 hari (40 hari x 3 = 120 hari)
ini sama bilangannya dengan 4 bulan. Adapun 10 hari yang selepasnya merupakan
masa cadangan kerana adakalanya bilangan sebahagian bulan itu ada yang tidak genap.
Selepas roh ditiupkan ke dalam janin, maka janin mulai bergerak yang menandakan
bermulanya penghidupan seorang manusia dalam rahim ibunya.
5.4. Sa'id ibnu Abu Arubah meriwayatkan dari
Qatadah yang pernah bertanya kepada Sa'id ibnul Musayyab, "Untuk apakah yang 10 hari itu?". Sa'id ibnul Musayyab menjawab, "Di masa itu dilakukan tiupan roh ke
dalam tubuh janin."
5.5. Ar-Rabi' ibnu Anas pernah mengatakan,
"Aku pernah bertanya kepada Abul Aliyah, "Mengapa 10 hari ini ditambahkan kepada 4 bulan?" Abul
Aliyah menjawab, "Kerana digunakan
untuk masa peniupan roh ke dalam tubuh janin." Kedua-dua atsar ini
diriwayatkan oleh Ibnu Jarir. [Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, surah Al-Baqarah,
ayat 234].
6. Tempoh iddah ditetapkan dalam Islam bertujuan untuk memastikan benih suami terdahulu tidak ada
dalam rahim si balu. Ia bertujuan untuk
mengelakkan percampuran benih antara suami dahulu dengan suami yang mungkin baru
dikahwininya selepas kematian suaminya. Begitulah betapa cermatnya Islam menjaga keturunan/baka manusia agar zuriat seseorang itu sahih siapa bapanya.
7. Bagi perempuan yang kematian suami, tempoh iddah juga ialah tempoh berkabung bagi menghormati arwah si suami. Dalam
tempoh iddah ini wanita dilarang memakai pakaian berwarna yang menarik perhatian
seperti merah dan kuning, memakai wangi-wangian atau haruman walaupun pada
waktu malam sama ada pada pakaian atau tubuh badan, menghias diri seperti
berinai, bercelak mata atau mengenakan solekan pada muka dan gincu pada bibir
serta memasang kanta mata yang berwarna dan berhias dengan memakai apa jua
jenis barang kemas sama ada cincin atau gelang yang diperbuat dari emas atau perak,
permata dan sebagainya. Wanita juga dilarang keluar dari rumah melainkan untuk
urusan sangat penting seperti keluar bekerja mencari nafkah ataupun urusan untuk berubat.
8. Walau bagaimanapun, seseorang wanita yang sedang hamil dan
suaminya meninggal, tempoh iddahnya bukan 4 bulan 10 hari tetapi sampai dia melahirkan anak (tak kira berapa
lamanya).
9. Begitulah maha bijaksananya Allah SWT yang mencipta
manusia menetapkan hukum dan peraturannya kepada manusia.
10. Wallahuaklam. Semoga paparan ini memberi manfaat kepada yang membacanya.
10. Wallahuaklam. Semoga paparan ini memberi manfaat kepada yang membacanya.
"Ilmu itu
tumpang menumpang, murid menumpang ilmu guru, guru juga turut menumpang
kebijaksanaan muridnya. Itulah dia 'taawun' iaitu saling mengambil manfaat
antara satu sama lain" ~ Mutiara
Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian kandungan dipetik dari unikversiti.blogspot.my
No comments:
Post a Comment