Sunday, 5 May 2019

AL-QURAN DAN SAINS:PROSES PENDEBUNGAAN (POLLINATION)





“Kami akan memperlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kekuasaan) Kami di segala wilayah bumi dan pada diri mereka sendiri, hingga jelas bagi mereka bahawa Al-Quran itu adalah benar. Tidakah cukup bahawa sesungguhnya Tuhanmu menjadi saksi atas segala sesuatu?” {Petikan dari surah Fussilat[Yang DiJelaskan] (41:53)}


1.      Perbincangan dalam artikel ini akan  memfokuskan kepada kebenaran fakta dalam Al-Quran yang telah diturunkan lebih 1,400 tahun lalu dengan penemuan sains moden kini. Ia bagi membuktikan bahawa kandungan Al-Quran adalah serasi (compatible) dengan sains moden dan ternyata kedua duanya tidak ada percanggahan sama sekali. Justeru, tajuk yang dipilih ialah Al-Quran dan sains dalam pelbagai bidang penemuan sains moden.  Posting kali ini adalah berkaitan dengan fungsi angin bagi mengahwinkan benih tumbuh tumbuhan.

2.      Semasa di sekolah dulu kita tentu telah biasa mendengar ilmu sains biologi tumbuhan yang menerangkan tentang proses pendebungaan.  Pendebungaan ialah  proses pemindahan debunga daripada anther ke stigma. Ia boleh berlaku  dengan dibantu oleh agen pendebungaan seperti angin, haiwan ataupun air. Proses pendebungan oleh angin dikenali dengan nama “Abiotic”.  Teori ini buat pertama kalinya dinukilkan oleh Christian Komrad Sprengel dalam bukunya yang berjudul “Das Entdeckte Geheimnis der natur im Bau und in der Befruchtung der Blumen (Berlin 1793).  Mauseth, James D.Botany: An Intoduction to Plant Biology. Penerbit : Jones & Bartlett, 2008.
 
CHRISTIAN KONRAD SPRENGEL
3.      Christian Konrad Sprengel (22 September 1750 – 7 April 1816) berbangsa Jerman. Seorang naturalis, ahli teologi dan guru. Beliau terkenal dengan pengkajiannya tentang seksualiti pokok dan tumbuhan. Beliau dikatakan orang pertama yang mengetahui fungsi bunga bunga ialah untuk menarik perhatian  serangga dan seterusnya berlakunya proses pedebungaan (pollination). Dengan kerjasama Joseph Gottlieb Kölreuter beliau telah menubuhkan yayasan untuk membuat kajian moden ke atas biologi bunga bungaan dan antikologi.
4.      Sprengel menemui fakta tentang proses pendebungaan bagi pokok pokok hanya lebih kurang 226 tahun lalu.  Tahukah kita bahawa Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah lebih 1,400 tahun lalu telah menjelaskan fakta tentang pendebungaan ini?.  Dalam surah Al-Hijr[Negeri Kaum Thamud] (15:22), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


"Dan Kami telah meniupkan angin untuk mengawinkan (tumbuh-tumbuhan) dan Kami turunkan hujan dari langit, lalu Kami beri minum kamu dengan air itu, dan sekali-kali bukanlah kamu yang menyimpannya."  

5.      Betapa hebatnya Allah SWT yang mentakdirkan berlakunya  mendung sehingga menurunkan hujan, menentukan proses pendebungaan  pohon-pohon dan tumbuh-tumbuhan sehingga menghasilkan pokok pokok baru.

6.      Maka jelaslah kepada kita bahawa Al-Quran datangnya dari Allah, iaitu tuhan yang menciptakan pokok pokok dan tumbuh tumbuhan. Jika tidak masakan Al-Quran mampu bercakap tentang proses pendebungaan yang hanya ditemui oleh sains moden selepas lebih 1,400 tahun. Adalah  sesuatu yang sangat mustahil bagi Nabi Muhammad, seorang nabi yang tidak mampu membaca dan menulis (ummi) untuk memahami ilmu sains biologi pokok pokok lebih 1,400 tahun lampau.

“Bila tiba cuti sekolah, anak-anak berduyun-duyun pulang ke kampong. Alhamdulillah.  Tetapi sedarkah kita, apabila tiba di akhirat kelak, tidak ada lagi balik kampong.  Orang Kelantan tidak boleh pulang ke Kelantan, orang Trengganu tidak boleh pulang ke Trengganu.  Semuanya kekal di akhirat tanpa dapat balik semula.  Beringatlah sebelum tiba masanya di mana kita tidak dibenarkan balik ke kampong lagi.” ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat