Wednesday, 28 October 2020

SELAMAT MENYAMBUT HARI MAULIDUR RASUL 2020 (1442 H)


1.      Esok, tanggal 29 Oktober 2020 (12 Rabiul Awwal 1442) umat Islam di negara ini sekali lagi akan menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 12 Rabiul Awwal adalah tarikh kelahiran seorang insan terbaik didunia yang telah diputerakan pada tahun 571 M, iaitu 1449 tahun yang lalu. Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini ialah “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”.

2.       Di dalam Al-Quran terdapat beberapa firman di mana Allah SWT memuji Rasulullah SAW, iaitu seperti dalam surah Al-Qalam ayat 4, surah An-Najm ayat 2, 3,11 dan 17, surah Asy-Syarh ayat 1 dan  4, surah At Taubah ayat 128, surah Al-Hijr ayat 72 dan surah An-Nisa ayat113.

3.      Menurut pandangan sebahagian ulama’ seperti Imam al-Suyuti beliau menyatakan bahawa amalan sambutan Maulidur Rasul adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”.(Hadis Riwayat Muslim)

Salah satu tanda seseorang itu menyayangi Rasulullah SAW adalah dirinya merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

4.      Antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul adalah dengan berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa  pada hari Isnin. Maka Rasulullah menjawab yang bermaksud:

“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”.(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas memberikan isyarat bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin bagi mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari tersebut. Maka, jika Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari Baginda dilahirkan begitulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari ini sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana diutuskan Rasulullah SAW kepada manusia.

5.      Berselawat juga antara amalan yang sangat digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul. Menurut pandangan Syeikhul Islam Sayid Dahlan menyatakan bahawa selawat dan berdiri kerana membesarkan Rasulullah adalah amalan baik lagi mulia. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah SWT berselawat ke atasnya 10 kali”(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Ini antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tersebut merupakan perkara yang baik, namun mestilah dipastikan ianya menepati syariat Islam baik dari sudut akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.

6.    Dalam surah Al-Ahzab [Golongan Yang Bersekutu](33:21), Allah SWT berfirman tentang Rasulullah SAW yang berbunyi:

 "Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta banyak menyebut nama Allah" .     

7.    Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan An-Nasai, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat padaku"

Oleh itu marilah kita bersama sama mengingati, membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dengan selalu berselawat kepadanya – "Allahummasolli’ala saiyidina Muhammad wa'alaalisaiyidina Muhammad"

 


                                  

"Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu. Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangan dengan lebih meluas."memuliakan Rasulullah SAW. Allahummasoli’ala Muhammad.~ Mutiara Kata Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Sebahagian kandungan dipetik dari laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara