Saturday, 10 July 2021

KEISTIMEWAAN 10 HARI PERTAMA BULAN ZULHIJJAH


Rabu 22 Julai 2020 ini nanti merupakan... - Viral Media Johor | Facebook
 
1.   Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam (Hijrah). Ia termasuk dalam “Asyhurul Hurum”, iaitu salah satu dari empat bulan mulia yang Allah SWT haramkan untuk berperang di dalamnya, kecuali dalam keadaan membela diri atau terdesak.  Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:2), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan haram, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.

Bulan bulan yang termasuk dalam Asyhurul hurum (bulan-bulan haram) itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

2.  Esok ialah 11 hb. Julai 2021 yang bersamaan dengan 1 hb. Zulhijjah 1442.  Pada sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah (11 hingga 20  Julai 2021) ini terdapat kemuliaan dan barakah padanya.
Dalam surah Al-Fajr[Waktu Fajar](89:1), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

"Demi waktu fajar.”

(89:2)

“Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”

3.   Adapun yang dimaksudkan dengan “layaalin asyrin” (malam yang sepuluh) itu ialah sepuluh malam pada permulaan bulan Zulhijjah. Pendapat ini dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair,  Mujahid dan beberapa ulama salaf lain. Menurut riwayat Al-Bukhari dari Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada amal-amal soleh yang lebih disukai  Allah melebihi hari-hari itu".

4.    Bulan Zulhijjah ialah bulan bagi umat Islam menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu fardhu haji di Mekah dan juga bulan yang terdapat di dalamnya Hari Raya Haji serta ibadat korban. Hari raya haji pada tahun ini telahpun ditetapkan, iaitu jatuh pada hari Selasa, 20.7.2021 yang bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1442 Hijrah. Bagi orang-orang yang tidak menunaikan rukun haji adalah digalakkan untuk mereka melakukan amalan-amalan berikut dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah.  Ini kerana ganjaran pahalanya amat besar di sisi Allah SWT. Diantara amalan-amalan itu ialah:


4.1.   BERZIKIR: Memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT seperti “La ilaha Illalah”, “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan juga “Allahu Akbar”.  Ini berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani. Dalam konteks ini Allah SWT  berfirman dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:

"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin”.

Ibnu Abbas  mentafsirkan maksud “hari-hari yang tertentu” itu ialah sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah dan inilah pendapat kebanyakan ulama.
                          NIKMAT BAGI ORANG YANG BERPUASA IALAH KETIKA BERBUKA

4.2.   BERPUASA: Umat Islam  sangat-sangat digalakkan untuk berpuasa sunat daripada 1 hingga 9 Zulhijjah atau mana-mana hari darinya.  Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Ia juga dikenali dengan nama puasa Arafah. Jika tidak mampu berpuasa pada hari lain maka berpuasalah pada hari itu. Pada hari itulah umat Islam yang mengerjakan haji berwukuf di Padang Arafah, iaitu yang menjadi salah satu dari rukun haji. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Hadis Riwayat Muslim).  Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah, baginda menjawab; “Puasa itu menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya.” (Hadis Riwayat Muslim).


4.3.   MENUNAIKAN SOLAT EIDUL ADHA: Sangat digalakkan  untuk menunaikan solat Eidul Adha dan mendengar khutbah. Imam Ibnu Taimiyah berpendapat solat Eidul Adha adalah wajib (kecuali jika ada keuzuran atau halangan) berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar[Nikmat Yang Banyak](108:2) yang berbunyi:

“Oleh itu, tunaikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan                    korban (sebagai bersyukur)”.



                     VIDEO  TAKBIR RAYA

4.4. BERTAKBIR: Ibnu Taimiyah dalam majmu' Fatawa menjelaskan; "Hendaklah takbir dilakukan mulai dari waktu fajar hari Arafah sampai akhir hari Tasyriq (pada 11,12,13 Zulhijjah).  Ia dilakukan setiap kali selesai mengerjakan solat dan disyariatkan bagi setiap orang untuk meninggikan suara dalam bertakbir.

Imam Bukhari menjelaskan bahwa Ibnu Umar dan Abu Hurairah, mereka berdua pergi ke pasar pada sepuluh hari Zulhijjah untuk menggemakan takbir pada khalayak ramai, lalu orang-orang lain mengikuti takbir mereka.

4.5.   BERKORBAN: Dalam surah Al-Hajj[Haji](22:32), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hatinya.”

(Syiar-syiar Allah itu bermaksud segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan termasuklah korban).

Berkorban adalah ibadah kepada Allah dengan menyembelih seekor kambing atau sepertujuh binatang korban pada hari Eidul Adha dan tiga hari tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hukumnya ialah sunat muakkadah, menurut jumhur ulama. Ibadah korban bukan kewajiban sekali seumur hidup, tetapi amalan sunat yang dianjurkan setiap tahun jika berkemampuan.

Ketika di Madinah Rasulullah SAW berkorban setiap tahun. Dalam sebuah hadis disebutkan:

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَال : ضحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّ 
 وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا ( متفق عليه)

Dari Anas ra berkata; Rasulullah SAW berkorban dengan dua kambing yang baik dan bertanduk yang disembelihnya dengan tangannya sendiri sambil mengucapkan takbir.


4.6. MENJAUHI MAKSIAT DAN MASA TERBAIK UNTUK BERTAUBAT: Bagi sesiapa yang selama ini menangguhkan taubat kepada Allah SWT, maka 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah ini ialah masa yang terbaik.  Adalah amat tidak beradab sekali kepada Allah jika kita sebagai orang Islam masih lagi bersuka ria dengan melampaui batas dan berbuat maksiat pada hari yang sangat dimulia dan diagungkan oleh Allah SWT.



4.7. BERSEDEKAH, MEMBACA AL-QURAN, SOLAT SUNAT:  Semuanya termasuk dalam hadis umum yang membuktikan amalan-amalan itu amat disukai oleh Allah SWT.

5.   Jom kita pakat beramal dengan amalan-amalan yang mudah ini.  Carilah harta kekayaan akhirat yang pasti akan menjadi milik kekal abadi kita selama-selamanya. Yakinlah bahawa kekayaan duniawi ini akan kita tinggalkan sebaik sahaja berpisahnya roh dari jasad kita.  Perbanyakkan bekalan untuk negeri akhirat. Kita pasti akan ke sana tidak lama lagi.  Carilah JALAN PULANG  seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kita akan hidup abadi dan tinggal di sana untuk selama-lamanya. Infiniti.


"Walaupun malam gelap dan di bawah meja, semua kerja-kerja sulit akan didedahkan apabila kita berhadapan dengan Allah SWT di akhirat kelak. Baik manusia hebat mana pun, semuanya akan didedah rahsianya nanti. Keyakinan seperti ini boleh menyebabkan manusia terbantut untuk buat maksiat.." ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat