Friday, 15 January 2021

LIMA PERISTIWA YANG BERLAKU KETIKA NABI MUHAMMAD SAW DILAHIRKAN

                TAPAK RUMAH DI MANA RASULULLAH DILAHIRKAN - KINI IALAH PERPUSTAKAAN  MEKAH

                                    

“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)” {Petikan dari surah Al-Ahzab [Tentera Bersekutu](33:21)}

1.      Nabi Muhammad SAW dilahirkan oleh bondanya Aminah bin Wahab  di Kampung Bani Hasyim, Makkah pada hari Isnin 12 Rabiul Awwal bertepatan dengan tahun Gajah atau 20 April 571 Masihi. Baginda lahir dua bulan setelah pasukan tentera bergajah pimpinan Abrahah menyerang Kaabah. Akhirnya seluruh tentera Abrahah dimusnahkan oleh tentera Allah SWT yang berupa burung burung ababil yang melemparkan batu batu kecil yang akhirnya membakar seluruh tentera Abrahah.

2.      Beberapa peristiwa  besar telah berlaku pada masa Rasulullah SAW dilahirkan. Antaranya ialah:

2.1.  RUNTUHNYA BEBERAPA TIANG ISTANA KERAJAAN PARSI.

Singgahsana Raja Parsi bernama Anusyirwan bergoyang-goyang hingga berbunyi dan menyebabkan 14 balkoni istananya runtuh. Kerajaan Parsi ini bertapak di Kirmansyah, Iran. Ia diperintah oleh Dinasti Sassanik yang telah bertapak ribuan tahun lamanya. Rahib rahib Parsi telah membuat tilikan dan mengatakan satu hari akan lahir seseorang yang akan memberi cahaya kepada Parsi dan akan menawan Parsi. Rasulullah wafat pada tahun ke10 hijrah. Pada tahun ke14 hijrah kerajaan Parsi telah jatuh kepada tangan Islam semasa pemerintahan Saidina Umar al-Khattab. Apa yang istimewa tentang Parsi ini ialah apabila Islam menawan Parsi, orang Parsi beramai ramai memeluk agama Islam. Mereka tidak rasa dijajah. Maharaja Parsi, panglima dan anak anak lelaki raja Parsi telah mati. Tetapi 3 orang puteri raja Parsi tidak mati. Para sahabat kemudiannya bermesyuarat dan diputuskan 3 orang puteri raja Parsi ini dikahwinkan dengan anak lelaki khalifah, iaitu Muhammad Abu Bakar (anak Saidina Abu Bakar), Abdullah bin Umar (anak saidina Umar) dan Hussin bin Ali (anak Saidina Ali, bakal khalifah)

2.2    PADAMNYA API SEMBAHAN ORANG MAJUSI.

KUIL API MAJUSI DI YAZD, IRAN   
Tuhan orang Majusi ialah api dan mereka menyembah api. Api sembahan mereka telah diijaga selama 1,000 tahun disebuah kuil di Yazd, Iran. Api dinyalakan dengan arang batu. Setelah terpadam ia cuba dinyalakan tapi tidak menyala selama 1 bulan. Selepas sebulan barulah ia dapat dinyalakan semula. Dalam tilikan rahib rahib Majusi, mereka kata akan lahir seseorang yang akan memadamkan pengaruh agama Majusi.

Agama Majusi dikatakan lebih tua dari agama Islam atau Kristian. Ia muncul sekitar 1,200 tahun Sebelum Masihi. Kuil api atau Otash kadeh ialah tempat suci dan ibadah bagi orang Majusi. Majusi adalah agama kuno orang Iran.

2.3.  JIN TUNDUK KEMBALI KEPADA MANUSIA

Semasa Nabi Sulaiman menjadi nabi baginda bukan sahaja menjadi nabi kepada manusia tetapi juga kepada semua makhluk lain termasuk haiwan dan jin. Allah SWT mentakdirkan jin ini umurnya panjang dan pengalamannya banyak berbanding manusia yang singkat usianya. Lalu ada sebahagian jin ini menjadi sombong. Tetapi pada hari kelahiran Nabi Muhammad,  jin ini telah tunduk kembali kepada manusia.

Sesungguhnya manusia itu diutuskan oleh Allah SWT untuk menjadi khalifah dimuka bumi. Ia sesuai dengan firmanNYA yang berbunyi:

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". {Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:30)}

2.4.  DITUTUP PINTU LANGIT

Sebelum kelahiran Nabi Muhammad, jin jin yang berada di dunia boleh naik ke langit dan mereka mampu mendengar perkhabaran/berita dikalangan malaikat yang bercakap. Kemudian berita itu dibawa turun ke dunia. Ada sebahagian dari berita dari jin itu telah diubah lalu menjadilah berita yang tidak benar. Apabila Nabi Muhammad dilahirkan golongan makhluk jin ini tidak lagi boleh naik ke langit kerana pintu langit telah ditutup oleh Allah.

2.5.  SATU ILMU DARI SYAITAN TELAH DITARIK OLEH ALLAH SWT.

Ilmu itu ialah kemampuan syaitan untuk menyerupai manusia. Tetapi dengan kelahiran Nabi Muhammad itu Allah telah menarik ilmu syaitan yang boleh meyerupai manusia untuk memperdaya manusia.

3.      Peristiwa peristiwa itu berlaku bagi membuktikan bahawa Nabi Muhammad itu seorang hamba Allah yang tersangat istimewa. Ia menggambarkan kehebatan, kemulian dan ketinggian Nabi Muhammad sebagai seorang nabi akhir zaman yang bertaraf kekasih Allah (habibullah) yang membawa cahaya kebenaran ke seluruh alam. 

4.   Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW itu diutuskan oleh Allah SWT untuk memberikan rahmat kepada seluruh alam seperti firman Allah yang bermaksud:

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. {Petikan dari surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:107)}

Sebahagian kandungan dipetik dari ceramah agama Ustaz Muhammad Abdullah Al Amin di youtube.   

"Jika kereta rosak, mekanik yang akan membaikinya. Jika tubuh badan bermasalah, doktor yang akan mengubatinya. Jika kehidupan manusia bermasalah, maka Pencipta manusia itulah yang perlu dirujuk. Pelik sungguh manusia yang mengaku Allah SWT sebagai Tuhan tapi enggan merujuk kepada syariat Allah bila berdepan dengan masalah." ` Mutiara Kata Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

 

 

Thursday, 31 December 2020

SELAMAT TAHUN BARU 2021

1.      Esok (17 Jamadil Awwal 1442 Hijrah)  kita akan melangkah ke tahun baru 2021 Masihi. Ini menandakan blog saya bertajuk “MENCARI JALAN PULANG” sudah memasuki tahun ketujuh. Alhamdulilah saya masih dapat bertahan untuk mengisi blog ini walaupun sejak kebelakangan ini artikel artikel dalam blog saya amat berkurangan. In sha Allah saya akan cuba menambahkannya mulai tahun 2021 ini. 

2.      Tahun paling rancak bagi blog saya ialah pada tahun 2015 dengan pengisian sebanyak 153 posting meliputi berbagai perkara/tajuk. Kemuncaknya ialah pada bulan April dimana terdapat 30 posting. Setiap hari ada satu artikel yang dapat diterbitkan. Ia diikuti pada tahun 2016 sebanyak 91 posting. Tahun 2017 sebanyak 34 posting, tahun 2018 sejumlah 12 posting  dan tahun 2019 sebanyak 6 posting. Sepanjang tahun 2020 pula saya hanya dapat menerbitkan sebanyak 11 posting sahaja.

3.   Walau apapun saya mengucapkan terima kasih banyak kepada penjenguk setia blog saya ini yang masih tetap menjenguk dan membacanya walaupun di luar sana masih ada berbagai medium serta wadah lain untuk mendapatkan maklumat/informasi. 

4.      Selagi terdaya dan ada penjengok blog ini,  in sha Allah  saya akan terus menulis dan berkongsi informasi untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita.  Saya juga amat mengalu alukan komen ikhlas dari penjengok blog ini supaya saya dapat memperbaiki kualiti penulisan dan persembahan blog saya.

5.      Sejak blog ini dimulakan pada 20.10.2014 lalu ia telah menerima page view sebanyak 162,112. Terima kasih banyak banyak atas sokongan anda semua yang sudi melayarinya. Selamat Tahun Baru 2021. Semoga ditahun baru 2021 ini kita akan dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa berada dalam rahmat serta redha Allah SWT. Apa yang lebih utama lagi ialah semoga dengan hadirnya tahun baru ini iman dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT akan bertambah baik lagi. Aamiin.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2021

Wednesday, 28 October 2020

SELAMAT MENYAMBUT HARI MAULIDUR RASUL 2020 (1442 H)


1.      Esok, tanggal 29 Oktober 2020 (12 Rabiul Awwal 1442) umat Islam di negara ini sekali lagi akan menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 12 Rabiul Awwal adalah tarikh kelahiran seorang insan terbaik didunia yang telah diputerakan pada tahun 571 M, iaitu 1449 tahun yang lalu. Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini ialah “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”.

2.       Di dalam Al-Quran terdapat beberapa firman di mana Allah SWT memuji Rasulullah SAW, iaitu seperti dalam surah Al-Qalam ayat 4, surah An-Najm ayat 2, 3,11 dan 17, surah Asy-Syarh ayat 1 dan  4, surah At Taubah ayat 128, surah Al-Hijr ayat 72 dan surah An-Nisa ayat113.

3.      Menurut pandangan sebahagian ulama’ seperti Imam al-Suyuti beliau menyatakan bahawa amalan sambutan Maulidur Rasul adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”.(Hadis Riwayat Muslim)

Salah satu tanda seseorang itu menyayangi Rasulullah SAW adalah dirinya merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

4.      Antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul adalah dengan berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa  pada hari Isnin. Maka Rasulullah menjawab yang bermaksud:

“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”.(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas memberikan isyarat bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin bagi mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari tersebut. Maka, jika Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari Baginda dilahirkan begitulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari ini sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana diutuskan Rasulullah SAW kepada manusia.

5.      Berselawat juga antara amalan yang sangat digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul. Menurut pandangan Syeikhul Islam Sayid Dahlan menyatakan bahawa selawat dan berdiri kerana membesarkan Rasulullah adalah amalan baik lagi mulia. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah SWT berselawat ke atasnya 10 kali”(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Ini antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tersebut merupakan perkara yang baik, namun mestilah dipastikan ianya menepati syariat Islam baik dari sudut akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.

6.    Dalam surah Al-Ahzab [Golongan Yang Bersekutu](33:21), Allah SWT berfirman tentang Rasulullah SAW yang berbunyi:

 "Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta banyak menyebut nama Allah" .     

7.    Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan An-Nasai, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat padaku"

Oleh itu marilah kita bersama sama mengingati, membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dengan selalu berselawat kepadanya – "Allahummasolli’ala saiyidina Muhammad wa'alaalisaiyidina Muhammad"

 


                                  

"Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu. Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangan dengan lebih meluas."memuliakan Rasulullah SAW. Allahummasoli’ala Muhammad.~ Mutiara Kata Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Sebahagian kandungan dipetik dari laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara