Monday, 20 November 2017

KETAHUI KEISTIMEWAAN BUMI PALESTIN


PETA PALESTIN

1.   Palestin adalah sebuah negara di barat daya negara Syam. Ia bersempadan dengan laut Mediteranian dan terletak di barat benua Asia. Palestin dianggap titik pertemuan antara Asia dan Afrika dan berdekatan dengan benua Eropah. Bahagian utara Palestin bersempadan dengan Lubnan, manakala Syria di timur laut, Jordan di timur dan Mesir di selatan. Ia berada di kawasan yang beriklim Mediteranian. Bumi Palestin yang asalnya milik umat Islam Palestin kini sebahagian besarnya telah dirampas oleh orang-orang Yahudi dan terhasilah negara haram Israel.  Perampasan tanah umat Islam Palestin ini telah  bermula dengan termetrainya Perjanjian Balfour pada tahun 1948.

2.   Bumi Palestin mempunyai keistimewaan yang sangat tinggi disisi orang Islam. Palestin adalah tanah suci yang diberkati oleh Allah  SWT sebagaimana difirmankanNYA dalam Al Quran, iaitu dalam surah Al-Isra’[Perjalanan Waktu Malam](17:1) yang berbunyi:


 "Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hambaNya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat. "

                   MASJIDIL AQSA SEBENAR IALAH YANG BERKUBAH WARNA HITAM

3.      Apakah keistimewaan atau kemuliaan bumi Palestin?.


3.1.   Di bumi yang penuh keberkatan inilah terdapatnya Masjid Al-Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam. Di zaman Rasulullah SAW, itulah arah kiblat pertama umat Islam.  Sehinggalah Allah SWT memerintahkan Rasulullah mengubah arah kiblat tatkala Rasulullah sedang mengimamkan solat asar di masjid yang kini dikenali dengan nama Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) di Madinah.  Peristwa itu berlaku selepas 17 bulan Rasulullah berhijrah ke Madinah.

3.2    Masjid kedua yang dibina di atas muka bumi seperti dinyatakan di dalam hadis Abu Zar al-Ghifari ra. Beliau berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah:" Wahai, Rasulullah, masjid mana yang pertama kali dibina di atas muka bumi? "Beliau menjawab: "Masjidil Haram". Lalu aku bertanya lagi: "Kemudian masjid apa lagi?". Baginda menjawab: "Masjidil Aqsa". Aku bertanya lagi: "Berapa jarak pembinaan antara keduanya?" Jawab baginda: "Empat puluh tahun. Kemudian di mana sahaja kamu mendapati waktu solat telah tiba, maka solatlah (kamu di situ)". [Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Nasai dan Qazuwaini].

3.3.   Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: "Solat di Masjidil Haram lebih utama seratus ribu kali ganda berbanding solat di masjid lain, dan solat dimasjidku (Masjidil Nabawi) lebih utama seribu kali ganda (berbanding solat di masjid lain) dan solat di masjid Baitul Maqdis (Masjidil Aqsa) lebih utama lima ratus kali ganda (berbanding solat di masjid lain) ". [Riwayat oleh  at Thahawi]

3.4. Bumi Palestin adalah perhentian akhir dari perjalanan Isra’ Rasulullah SAW yang bermula dari Mekah. Dari situlah bermulanya Mi'rajnya ke langit untuk menerima perintah solat lima waktu dari Allah SWT.

3.5. Bumi Palestin adalah bumi atau negeri para nabi. Ramai nabi/rasul yang dilahirkan, menetap dan dikebumikan di sana. Contohnya seperti Nabi Luth, Nabi Ibrahim, Nabi Ishak, Nabi Sulaiman, Nabi Zakaria, Nabi Salih, Nabi Yahya, Nabi Musa, Nabi Daud.
 
3.6. Palestin adalah pusat strategik politik dunia. Sesiapa yang menguasai Palestin, maka mereka sedang mendominasi dunia. Dulu, empayar Kristian Rom menguasai bumi Palestin kemudian diambil alih oleh Khilafah Islam dan  kini dikuasai oleh Yahudi dengan sokongan Kristian Barat. Insya Allah, Islam bakal mengusainya lagi pada masa hadapan. 

"Atom yang begitu kecil itu ada pasangannya. Wayar elektrik pun ada pasangannya yang disebut sebagai negatif dan positif. Jika dipasang dengan cara yang betul, lampu akan menyala. Jika tidak, wayar itu boleh terbakar. Begitu juga dengan lelaki dan perempuan, jika dipasangkan dengan yang tidak baik, dapat anak zina, lalu anak-anak ini dibuang. Benda ini berlaku kerana pasang tak betul. Islam datang untuk mengajar bagaimana memasang atau menyatukan manusia dengan cara yang betul iaitu perkahwinan dengan nama Allah." ~~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

 Sebahagian kandungan dipetik dari blog detikislam