Saturday, 13 January 2018

MUKJIZAT NABI MUSA YANG DIBUKTIKAN BENAR



1.    Posting kali ini akan membicarakan mukjizat Nabi Musa membelah Laut Merah.  Mengikut catatan sejarah, Nabi Musa hidup antara tahun 1522 hingga 1408 SM, iaitu lebih 3,500 tahun lalu.  Beliau diutuskan oleh Allah SWT untuk berdakwah kepada kaum Mesir kuno, Firaun dan Bani Israel di Mesir.  Namanya Allah sebutkan sebanyak 136 kali dalam Al-Quran dan salah seorang nabi/rasul yang bertaraf Ulul Azmi.

2.    Seperti mana nabi/rasul yang lain, Nabi Musa juga Allah SWT bekalkan dengan mukjizat bagi memudahkannya berdakwah kepada manusia agar beriman kepada Allah.  Salah satu mukjizat baginda yang mashyur ialah membelah Laut Merah dengan menggunakan tongkat.  Dari perspektif Islam, orang Islam percaya dan menyakini bahawa peristiwa ini benar benar berlaku. Ini kerana Allah SWT telah berfirman tentang kejadian ajaib itu dalam Al-Quran, iaitu seperti berikut:
        

“Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya”.  Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:50)


Lalu Kami wahyukan kepada Nabi Musa: "Pukulah laut itu dengan tongkatmu". (Setelah dipukul) maka terbelahlah laut itu (kepada beberapa bahagian), lalu menjadilah air tiap-tiap bahagian yang terbelah itu terangkat seperti gunung yang besar. Petikan dari surah Asy-Syu’ara’[Para Penyair](26:63)

3.  Malah peristiwa ini juga turut disebutkan dalam kitab Bible orang Kristian. Bagi kebanyakan orang tentulah peristiwa tersebut sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal yang logik. Mana mungkin laut boleh dibelah menggunakan sebatang tongkat sehingga umat Nabi Musa boleh melintasinya semasa dikejar oleh tentera tentera Firaun untuk membunuh mereka.

4.  Tapi tahukah kita bahawa kejadian laut terbelah ini telah dapat dibuktikan secara ilmiah oleh saintis dari Amerika Syarikat. Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional mendapati fenomena laut terbelah itu tidak bercanggah dengan hukum fizik. Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

5.  Kini dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air. Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu. Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km. Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami. Hasil kajian saintis berkenaan telah disiarkan di internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. 

"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus lakukan dosa. Tanpa adanya keyakinan seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka." = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian kandungan dipetik dari blog Irfanirsyad.wordpress.com