Tuesday, 19 March 2019

MENCARI KHUSYUK DALAM SOLAT



“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. 


(Iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya. 

 {Petikan dari Surah Al-Mukminun[Orang Beriman] (Ayat 1-2)}

1.      Apakah maksud khusyuk?. Solat yang khusyuk tercapai apabila hati, fikiran, perasaan dan seluruh pancaindera tunduk patuh kepada Allah sepanjang waktu mengerjakan solat. Solat tidak akan berkesan dan mendapat pahala tanpa khusyuk. Mengikut Imam Al-Hakim dan Tirmizi, pada suatu ketika Rasulullah ternampak seorang lelaki menyapu janggutnya ketika solat maka baginda pun bersabda, “Jika khusyuk hati lelaki ini akan tenanglah anggota badannya.” Berkata Imam Al-Alusi, “Khusyuk ialah merendahkan diri dengan perasaan takut di samping tenang anggota badan.” Ibn Jarir meriwayatkan bahawa sahabat Abdullah ibn Abbas berkata, “Mereka yang khusyuk ialah mereka yang takut lagi tenang.” Sahabat Ali bin Abi Talib berkata, “(Khusyuk) tempatnya ialah di hati.” Imam Hasan Al-Basri pula berkata, “Tempat bagi khusyuk ialah di hati dan kemudiannya ia mempengaruhi dan mengawal pandangan mata serta menenangkan anggota badan.” Pandangan yang agak merangkumi tentang khusyuk ialah pandangan sahabat Abu Darda’. Beliau berkata, “(Khusyuk) ialah pengagungan terhadap Tuhan, keikhlasan dalam perkataan, kesempurnaan dalam keyakinan, memberikan sepenuh perhatian dan tidak berpaling ke kiri dan kanan kerana ia adalah dari syaitan.” Kesemua pendapat ini disebutkan dalam Al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa.

2.      Sudah menjadi kelaziman bagi kebanyakan orang, gangguan iblis untuk merosakkan solat kita akan datang sebaik sahaja kita mengangkat takbiratiul ihram.  Sebaik sahaja angkat takbir pelbagai perkara akan menerjah dalam dalam fikiran untuk menggangu ksyusuk slat kita.  

3.      In sya Allah bagi kesempatan ini kita akan sama sama ikuti apakah petua atau formula untuk membantu menambahkan kekhyusukan dalam solat.

3.1.   Berusaha memahami apa yang dibaca:

Oleh kerana semua bacaan dalam solat  adalah Bahasa Arab maka bagi orang yang tidak tahu berbahasa Arab amat digalakkan mempelajari dan memahami maksud/pengertian setiap bacaan rukun qauli/perbuatan dalam solat. Paling kurang pun memahami bacaan wajib dalam solat, iaitu fatihah dan tahiyat.

 MAKSUD BACAAN TAKBIRATUL IHRAM:

  "Allah Yang Maha Besar"

MAKSUD BACAAN DOA IFTITAH:


"Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya. Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang. Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi, dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku, matiku adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam. Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam".

MAKSUD BACAAN FATIHAH:



"Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam. Yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani. Yang menguasai hari pembalasan. Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan. Tunjukilah kami jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat".

MASUD BACAAN KETIKA RUKUK:


"Maha suci Tuhan yang maha agong dengan sifat kepujiannya."
 
MAKSUD BACAAN KETIKA BANGKIT DARI RUKUK (I'TIDAL):



"Sesungguhnya Allah maha mendengar sesiapa yang memujinya"


 MASUD BACAAN KETIKA SUJUD:



"Maha suci Tuhan yang maha tinggi dengan sifat kepujiannya"

 MAKSUD BACAAN KETIKA DUDUK ANTARA DUA SUJUD:


"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku, perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berikalah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."


MAKSUD BACAAN TAHIYAT AWAL:


"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad".

 MAKSUD BACAAN TAHIYAT AKHIR:
"Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah. Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya. Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh. Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya. Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim. Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini. Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung." 

MAKSUD BACAAN KETIKA MEMBERI SALAM:


"Salam sejahtera ke atas kamu dan rahmat Allah serta keberkatanNya"

 MAKSUD BACAAN DOA QUNUT SUBUH:


"Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki. Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan. Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin. Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku. Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan. Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau. Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu. Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi. Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau. Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan. Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau. Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya. Salam Sejahtera ke atas kamu berserta rahmat Allah".


3.2. Memusatkan/fokuskan fikiran:

Perkara kedua ialah pemusatan fikiran, iaitu menghindarkan gangguan hal-hal dunia, sehingga fikiran, perbuatan dan ucapan kita hendaklah seiring yakni terfokus sepenuhnya kepada makna bacaan dan perbuatan dalam solat. Ada kemungkinan kita telah memahami maksud bacaan, tetapi oleh kerana tidak fokus, seseorang yang membacanya hanya umpama orang mengigau dalam tidur. 

3.3. Membesarkan Allah (Rasa ‘Haibah’):

Perlu diingat, pemusatan fikiran bukan ditujukan kepada bacaan itu sahaja tetapi pada makna di sebalik bacaan itu. Ertinya, tumpuan bukan hanya pada huruf dan ayat serta sebutan, tetapi pada makna dan tafsirannya. Apabila orang yang kenal Allah mengucapkan kalimah “Allahuakbar” maka sebenarnya dia bukan sahaja tahu maknanya (Allah Maha Besar) malah hatinya turut merasai betapa hebatnya kuasa Allah yang telah mencipta dirinya, alam semesta, segala makhluk malah alam akhirat serta syurga dan neraka.
Jika mengadap seorang raja pun kita tunduk dan hormat kepadanya inikan pula kita sedang berhadapan dengan Allah, tuhan semesta alam. Tuhan yang tidak ada makhluk yang lebih mulia dan besar dariNya.

3.4. Kagum dan takut akan keagungan dan kebesaran Allah (Rasa Khauf)

Hasil daripada merasai kebesaran Allah, maka timbul pula rasa takut dan kagum kepadaNya. Rasa takut dan kagum kepada Allah ini tidak sama dengan rasa takut dan kagum kepada perkara-perkara lain. Kita takut kepada harimau kerana keganasannya, tetapi kita takut kepada Allah kerana kehebatanNya. Takut kepada harimau, kita lari menjauhinya tetapi takut akan Allah kita datang menghampiriNya. Rasa takut akan timbul apabila seseorang gerun kepada kemurkaan Allah dan NerakaNya. Rasa takut ini diterjemahkan dalam solat dengan perbuatan berdiri dengan tegak, menundukkan kepala, mata melihat ke tempat sujud (tidak berani mendongak), rukuk serta sujud.

3.5. Rasa Mengharap Kepada Allah (Rasa Raja’)

Apakah maksud perasaan mengharap?. Ia membawa maksud pengharapan seorang hamba untuk mendapat keampunan, rahmat, kasih sayang dan akhirnya syurga Allah di negeri akhirat nanti. Jika rasa takut sahaja dibiarkan menguasai jiwa, dibimbangi akan timbul sangka buruk dan jahat  terhadap Allah. Sedangkan sebenarnya Allah lebih suka mengampunkan dosa berbanding menyeksa hambaNya yang berdosa. Oleh sebab itu, ulama berpesan dalam keadaan biasa seseorang hendaklah tahu mengimbangkan rasa  takut dan harapnya umpama dua sayap pada burung yang membolehkannya terbang dengan stabil dan selamat. Jangan terlalu takut, nanti timbul sangka buruk kepada Allah. Jangan terlalu berharap, nanti terjadi sikap sambil lewa terhadap perintah Allah. Rasa harap dalam solat ini adalah menerusi penghayatan ketika bacaan surah al-Fatihah (mengharapkan jalan yang lurus), bacaan qunut (mengharapkan hidayah, kesihatan dan lain-lain) dan bacaan ketika duduk diantara dua sujud (mengharap keampunan, belas kasihan, ditinggikan darjat dan lain-lain). Manakala melalui perbuatan duduk dalam tahiyat awal dan akhir, sujud serta rukuk  semuanya melambangkan rasa pengharapan seorang hamba yang sedang meminta-minta dan merayu-rayu kepada Allah.

3.6. Rasa malu dan hina diri (Rasa Haya’) 

Apabila ada rasa berdosa kepada Allah maka barulah timbul rasa malu. Cara untuk menimbulkan rasa berdosa ialah dengan mengingati kembali semua dosa dosa yang telah dilakukan terhadap Allah selama ini. Sewaktu sujud, kita meletakkan kepala, dahi dan muka yang sentiasa berada “di atas” (sentiasa dihormati) ke tempat yang paling bawah (tempat sujud). Manakala dubur yang sentiasa disorokkan dibawah, ketika sujud telah dijongketkan ke atas sebagai cara menghilangkan kesombongan dan kebesaran diri.

3.7. Solat terakhir

Anggaplah bahawa solat kita itu adalah solat terkahir kerana selepas itu kita tidak perlu bersolat lagi kerana kita akan dimatikan oleh Allah SWT. Justeru kita kenalah menjaga kualiti solat supaya ia menjadi solat yang paling baik terutama dari segi khusyuknya.

3.8. Memakai Pakaian Yang Paling Selesa Dan Paling Cantik Ketika Solat:

Pakaian juga boleh menyumbang kepada tahap kekhusyukan dalam solat. Sebolehnya pilihlah pakaian yang paling selesa, suci dan khas untuk solat. Pilih pakaian  yang diperbuat daripada material yang paling baik, yang tidak membuatkan kita berpeluh apabila panas, tidak longgar atau ketat sehingga mengganggu pergerakan solat. Dan juga pilihlah yang paling cantik, sempurna dan dikhaskan untuk solat. Kerana solat kita adalah untuk menghadap Allah, Raja yang paling Agung dan Allah sangat sukakan kecantikan. Innallah jamil, wa yuhibbu jamal (Allah itu cantik dan sukakan kecantikan). Walau bagaimanapun elakkan pakaian yang terlalu mahal dan mewah bagi mengelakkan timbulnya sifat riak, ujub mahu menunjuk nunjuk kepada orang lain.

4.      Penutup: Solat yang khusyuk boleh mendidik hati kita menjadi orang yang lebih bertaqwa kepada Allah. Sebenarnya ada perbezaan antara solat yang khusyuk dan solat yang sah. Solat yang khusyuk sudah semestinya sah. Tetapi solat yang sah belum tentu lagi khusyuk. Solat yang khusyuk ialah solat yang berjaya menyentuh dan mendidik hati, akal dan nafsu manusia. 

Sebahagian kandungan dipetik dari blog : https://akuislam.com/

“Hidup ini tumpang menumpang...disitulah lahirnya syukur kita kepada Allah. Pada sepinggan nasi yang kita makan, disitu ada nasi yang diusahakan oleh petani, ada ikan yang dicari oleh nelayan, ada ayam yang dipelihara oleh penternak. Betapa banyaknya pihak yang bekerja untuk memberikan sepinggan nasi kepada kita. Alangkah kerdilnya kita dibumi Allah SWT. Maka siapakah kita untuk menolak agama Allah?” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment