1. Hari Kiamat menurut bahasa bermaksud hari
kehancuran dunia atau alam semesta ini. Perkataan ini diambil dari dari bahasa
Arab “Yaum al Qiyamah” yang bererti hari kebangkitan semula manusia. Hari
kiamat (kehancuran alam semesta beserta isinya) dalam bahasa Arab sering
disebut dengan “As-Saa’ah“.
2. Ada dua jenis hari kiamat, iaitu:
2.1. Kiamat sughra
atau kiamat kecil. Ia merujuk kepada kejadian atau musibah yang terjadi di alam
ini seperti kematian, berlakunya banjir yang besar, angin puting beliung yang
dahsyat, meletusnya gunung berapi, berlaku gempa bumi, kemarau yang berpanjangan,
peperangan dan seumpamanya.
2.2. Kiamat kubro
atau kiamat besar. Ia bermaksud kehancuran seluruh alam semesta dan berakhirnya kehidupan alam dunia serta hari
mulai dibangkitkan semua manusia yang sudah mati sejak Nabi Adam sampai manusia
terakhir untuk menjalani proses kehidupan berikutnya.
3. Di dalam Al-Quran Allah SWT menggunakan
pelbagai nama untuk menyatakan tentang hari kiamat ini. Antaranya ialah:
3.1. Yaumiddin (Hari pembalasan segala
amalan baik atau buruk). Ia difirmankan dalam surah Al-Fatihah [Pembukaan] (1:4) yang berbunyi:
“Yang
Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)”.
3.2. Al Yaumul Akhir (Hari akhirat). Ia
difirman dalam surah Al Baqarah[Lembu
Betina](2:232) yang berbunyi:
“Dan apabila kamu
menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka ' maka janganlah
kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan
(bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju
sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak). Demikianlah
diberi ingatan dan pengajaran dengan itu kepada sesiapa di antara kamu yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik bagi
kamu dan lebih suci. Dan (ingatlah), Allah mengetahui (akan apa jua yang baik
untuk kamu) sedang kamu tidak mengetahuinya”.
3.3. Yaumul Qiamah
(Hari Kiamat). Ia difirmankan dalam surah An
Nisa' [Kaum Wanita](4:87) yang berbunyi:
“Allah, tiada Tuhan
(yang berhak disembah) melainkan Dia. Sesungguhnya Dia akan menghimpunkan kamu
pada hari kiamat, (hari) yang tidak ada syak padanya. Dan siapakah pula yang
lebih benar perkataannya daripada Allah?”
3.4. Yaumul Hasrah (Hari penyesalan). Ia
difirmankan dalam surah Maryam(19:39) yang
berbunyi:
“Dan berilah amaran
(wahai Muhammad) kepada umat manusia seluruhnya tentang hari penyesalan iaitu
hari diselesaikan perbicaraan perkara masing-masing pada masa mereka (yang
ingkar) di dunia ini berada dalam kelalaian serta mereka pula tidak mahu
beriman”
3.5. Ad Darul Akhirah
(Negeri Akhirat). Ia difirmankan dalam surah Al- Ankabut[Labah-Labah](29:64) yang berbunyi:
“Dan (ingatlah bahawa)
kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika
dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan
permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang
sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak
akan melupakan hari akhirat)”.
3.6. Yaumul Ba'tha(Hari
kebangkitan dari kubur). Ia difirmankan dalam surah Ar-Rum [Bangsa Rom](30:56) yang
berbunyi:
“Dan (bagi menjawabnya)
berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: "Demi sesungguhnya,
kamu telah tinggal - menurut yang terkandung dalam Kitab Allah - sampai ke hari
kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan)
itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui
(kebenarannya)".
3.7. Yaumul Fasli (Hari Allah memberikan
keputusan dan balasan kepada hamba hambanya). Ia difirmankan dalam surah As Saffat[Yang Bersaf-Saf](37:21) yang
berbunyi:
“(Lalu malaikat berkata
kepada mereka): "Ini ialah hari memutuskan hukum untuk memberi balasan
yang dahulu kamu mendustakannya ".
3.8. Yaumul Hisab (Hari perhitungan). Ia
difirmankan dalam surah Sad (38:53) yang
berbunyi:
“Inilah dia balasan
yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai hitungan amal”
3.9. Yaumuttalaq (Hari bertemu dengan Allah).
Ia difirmankan dalam surah Ghafir [Yang
Maha Pengampun](40:15) yang berbunyi:
“Dialah yang maha
tinggi darjat kebesaranNya, yang mempunyai Arasy (yang melambangkan keagungan
dan kekuasaanNya); Dia memberikan wahyu dari hal perintahNya kepada sesiapa
yang dikehendakiNya di antara hamba-hambaNya (yang telah dipilih menjadi
RasulNya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari pertemuan”
3.10. Yaumuttanad
(Hari saling panggil memanggil). Ia difirmankan dalam surah Ghafir [Yang Maha Pengampun](40:32) yang
berbunyi:
"Dan, wahai
kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab seksa hari (kiamat)
yang padanya masing-masing menjerit-jerit memanggil (memohon pertolongan)”
3.11. Darul Qarar
(Negeri yang kekal). Ia difirmankan dalam surah Ghafir [Yang Maha Pengampun](40:39) yang berbunyi:
"Wahai kaumku!
Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu
sahaja), dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal”.
3.12. As Sa'ah (Hari yang pasti datang). Ia
difirmankan dalam surah Ghafir [Yang
Maha Pengampun](40:59) yang berbunyi:
“Sesungguhnya hari
kiamat tetap akan datang, tidak ada sebarang syak tentang kedatangannya; akan
tetapi kebanyakan manusia tidak beriman (akan hakikat itu)”.
"Dalam perjuangan ini, idola kepada para
pejuang ialah Rasulullah SAW. Sebagaimana Rasulullah SAW merupakan seorang yang
bersifat dengan sifat fatonah (cerdik), demikianlah kita sebagai seorang
pejuang, perlu bersifat dengan fatonah. Fatonahnya kita ialah dengan mempelajari
semula sejarah Rasulullah SAW dan melaksanakan dalam kehidupan kita pada hari
ini.” – Mutiara kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat