Berikut
ini ialah 10 jenis haiwan yang akan masuk syurga. Haiwan haiwan ini telah disebutkan dalam Al-Quran, iaitu seperti berikut:
1. Unta Rasulullah SAW
Unta tersebut
digunakan oleh baginda untuk berhijrah dari Mekah ke Madinah. Unta inilah yang
kemudiannya menunjukkan di rumah siapakah baginda tinggal di Madinah tatkala
mula sampai di sana. Para sabahat berebut rebut meminta kepada Rasulullah agar
bermalam di rumah mereka. Supaya tidak mengecewakan sahabatnya lalu baginda
memutuskan agar pilihan rumah itu ditentukan oleh unta baginda. Caranya dengan
melihat di rumah siapakah unta itu berhenti setelah tali pengikatnya
dilepaskan. Akhirnya unta itu berhenti di rumah sahabat baginda yang bernama
Abu Ayub Al Ansari. Di rumah Abu Ayublah Rasulullah bermalam.
2. Semut Nabi Sulaiman
Satu
satunya nabi yang Allah kurniakan kebolehan bercakap dengan semua binatang ialah Nabi Sulaiman,anak
Nabi Daud. Itulah antara mukjizat besar yang Allah berikan kepada baginda. Percakapan
semut dengan Nabi Sulaiman ini Allah SWT rakamkan dalam surah An-Naml[Semut](27:17) yang
berbunyi:
“Dan
dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta
burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing”.
(27:18)
(Maralah
angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml",
berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing,
jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka
tidak menyedari".
(27:19)
Maka
tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan
berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan
nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku
tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan
limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
3. Burung Belatuk (Hud Hud) Nabi Sulaiman
Ratu Balqis
ialah seorang wanita pemerintah Negeri Saba’ di Yaman. Burung belatuk ini digunakan oleh
Nabi Sulaiman bagi menghantar surat pada Ratu Balqis. Surat untuk berdakwah
kepadanya agar beriman kepada Allah. Dalam surah An-Naml[Semut](27:20),
Allah SWT berfirman mengenai peristiwa ini yang berbunyi:
Dan
(setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam
tenteranya) lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk?
Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?
(27:21)
"Demi
sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku
akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang
membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir)".
(27:22)
Burung
belatuk itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada
Nabi Sulaiman): "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang
engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba'
dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.
(27:23)
"Sesungguhnya
aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya
(serba sedikit) dari tiap-tiap sesuatu (yang diperlukan) dan ia pula mempunyai
singgahsana yang besar.
(27:24)
"Aku
dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan
ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka
perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar);
oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, -
(27:25)
"(Mereka
dihalangi oleh Syaitan) supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang
mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui
apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan.
(27:26)
"Allah!
- Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".
(27:27)
Nabi Sulaiman
berkata: Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang
engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta.
(27:28)
"Pergilah
bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari
mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka".
(27:29)
(Setelah
membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai
ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang
mulia.
(27:30)
"Sesungguhnya
surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `
(27:31)
"Bahawa
janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan
menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah)."
4. Unta Nabi Saleh
Unta tersebut
merupakan mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi Saleh yang hidup
bersama sama kaumnya bernama kaum Tsamud disebuah perkampongan bernama Madain
Saleh yang bererti Kota Saleh. Ia adalah sebuah kota kuno yang letaknya di bahagian
utara Hijaz (Arab Saudi). Tetapi akhirnya unta itu telah dibunuh oleh kaumnya
walaupun ia telah dilarang oleh Nabi Saleh.
Peringatan
Nabi Saleh kepada umatnya dan datangnya azab Allah kerana membunuh unta itu
telah Allah firmankan dalam surah Hud(11:64) yang berbunyi:
"
Dan wahai kaumku! Ini adalah unta betina dari Allah untuk kamu sebagai tanda
(mukjizat) yang membuktikan kebenaranku. Oleh itu, biarkanlah dia mencari makan
di bumi Allah dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitinya,
(kalau kamu menyakitinya) maka kamu akan ditimpa azab seksa yang dekat masa
datangnya".
(11:65)
“Mereka
kemudiannya menyembelih unta itu, lalu berkatalah Nabi Soleh kepada mereka:
Bersenang-senanglah kamu di tempat masing-masing selama tiga hari; tempoh yang
demikian itu, ialah suatu janji yang tidak dapat didustakan".
(11:66)
“Maka
ketika datang azab kami, kami selamatkan Soleh beserta umatnya yang beriman,
dengan rahmat dari Kami, dan Kami selamatkan mereka dari azab serta kehinaan
hari itu. Sesungguhnya Tuhanmu, Dia lah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa”.
(11:67)
“Dan
orang-orang yang zalim itu, dibinasakan oleh satu letusan suara yang
menggempakan bumi, lalu menjadilah mereka mayat-mayat yang tersungkur di tempat
tinggal masing-masing”.
(11:68)
“(Mereka
punah-ranah) seolah-olah mereka tidak pernah tinggal di situ. Ketahuilah!
Sesungguhnya kaum Thamud itu kufurkan Tuhan mereka. Ketahuilah! Sesungguhnya
kebinasaanlah akhirnya bagi kaum Tsamud”.
5. Anak Lembu Nabi Ibrahim
Daging
anak lembu itu hendak dihidangkan kepada tamu Nabi Ibrahim, iaitu para malaikat
yang membawa khabar gembira tentang kelahiran anak Nabi Ibrahim yang bernama
Ishak. Dialog Nabi Ibrahim dengan para malaikat itu Allah firmankan dalam surah
Az-Zaariyat [Angin Kencang](51:24)
yang berbunyi:
“Sudahkah
sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?”
(51:25)
“Ketika
mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: "Salam
sejahtera kepadamu!" Dia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu!
"(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal”.
(51:26)
“Kemudian
dia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu
gemuk (yang dipanggang)”.
(51:27)
“Lalu
dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: "Silalah makan".
(51:28)
“(Setelah
dilihatnya mereka tidak menjamah makanan itu), maka dia merasa takut dari
keadaan mereka. (Melihat kecemasannya), mereka berkata: "Janganlah engkau
takut (wahai Ibrahim)". Lalu mereka memberikan berita gembira kepadanya,
bahawa dia akan beroleh seorang anak yang berpengetahuan”.
(51:29)
“(Mendengarkan
berita yang menggembirakan itu), maka datanglah isterinya sambil menjerit
(kehairanan) lalu menepuk mukanya sambil berkata: "Aku sudah tua, lagi
mandul, (bagaimana aku boleh mendapat anak)?"
(51:30)
Mereka
berkata: "Demikianlah Tuhanmu berfirman, (kami hanya menyampaikan sahaja);
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui".
6. Kibas Nabi Ismail
Allah
SWT pernah menguji kesabaran, ketaatan dan keimanan Nabi Ibrahim kepada perintahNya dengan
arahan untuk menyembelih anak kesayanganya, Ismail. Akan tetapi oleh kerana
keikhlasan serta kepatuhan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail kepada Allah, maka Allah
SWT telah menggantikan Ismail dengan seekor kibas yang gemuk dan besar. Peristiwa bersejarah dan agung dalam Islam ini kemudiannya
menjadi satu syariat kepada orang Islam untuk berkorban binatang ternakan pada
setiap kali menyambut Hari Raya Eidul Adha (Hari Raya Qurban).
Kisah
dramatis yang bersejarah ini telah Allah firmankan dalam surah As Saffat[Yang
Bersaf Saf](37:102) yang berbunyi:
“Maka
ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha
bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: "Wahai anak kesayanganku!
Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka
fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab: "Wahai ayah,
jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati
daku dari orang-orang yang sabar".
“Setelah
keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim
merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah,
(Kami sifatkan Ibrahim - dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan
perintah Kami)”
“Serta Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!”
(37:105)
"Engkau
telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu". Demikianlah
sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan”.
(37:106)
“Sesungguhnya
perintah ini adalah satu ujian yang nyata”
(37:107)
“Dan
Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar”
7. Lembu Nabi Musa
Nabi
Musa diutuskan oleh Allah bagi memimpin Bani Israil ke jalan benar. Beliau
merupakan anak kepada Imran dan Yukabad binti Qahat, (Musa bin Imran bin Qohath
bin Lewi bin Yakqub bin Ishaq bin Ibrahim). Bersaudara (adik-beradik mengikut
sesetengah periwayatan) dengan Nabi Harun. Beliau dilahirkan di Mesir pada masa
pemerintahan Firaun.
Pada ketika
itu ada seorang Bani Israil yang meninggal dunia. Mereka ingin mengetahui siapakah
pembunuh orang tersebut. Lalu datanglah Bani Israil itu kepada Nabi Musa untuk
meminta petunjuk.
Maka
Allah SWT menyuruh mereka supaya menyembelih seekor lembu betina milik seorang
yatim dan dipukulkan kepada mayat tersebut. Lalu, hiduplah orang mati itu sekejap
untuk mengkhabarkan siapakah pembunuh yang sebenarnya. Kesah ini Allah
firmankan dalam surah Al-Baqara[Lembu Betina](2:72) yang berbunyi:
“Dan
(ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia lalu kamu saling tuduh menuduh
tentang itu. Dan Allah hendak menyingkapkan apa yang selama ini kamu
sembunyikan”.
(2:73)
“Lalu
Kami berfirman:"Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina
itu!". Demikianlah Allah menghidupkan kembali orang-orang yang telah mati,
dan memperlihatkan padamu tanda-tanda kekuasaanNya agar kamu mengerti”.
8. Ikan Paus Nabi Yunus
Sepanjang
yang dapat dicatat dan diceritakan oleh para sejarawan dan ahli tafsir tentang
Nabi Yunus ialah beliau bernama Yunus bin Matta. Baginda telah diutuskan oleh Allah
untuk berdakwah kepada penduduk di sebuah tempat bernama "Ninawa"
yang bukan tempat kaumnya dan tidak pula ada ikatan darah dengannya. Di situ baginda merupakan
seorang asing mendatang di tengah-tengah penduduk Ninawa itu. Dia mendapati
mereka berada di dalam kegelapan, kebodohan dan kekafiran kerana mereka menyembah
berhala dan menyekutukan Allah. Setelah keenganan mereka menerima dakwah Nabi Yunus maka baginda meninggalkan kaum itu dengan menaiki sebuah
kapal.
Tiba tiba kapal
yang dinaiki oleh Nabi Yunus itu dilambung ombak yang tinggi dan hampir
karam. Maka tidak ada pilihan lain melainkan perlulah mengurangkan muatan.
Setelah berbincang dikalangan penumpang kapal, lalu mereka setuju untuk
mencabut undi untuk memilih siapa yang sepatutnya dikeluarkan daripada kapal.
Takdir Allah, Nabi Yunus dipilih. Namun disebabkan ahli kapal lain tidak
sanggup untuk membuang Nabi Yunus maka dibuat undian yang kedua dimana tetap
sama keputusannya, dan seterusnya undian ketiga tetapi tetap juga terkena kepada Nabi Yunus.
Maka
terjunlah Nabi Yunus ke dalam laut. Kemudian dia disambar dan ditelan hidup hidup oleh ikan paus (nun) yang tersangat
besar. Kisah ini dirakam oleh Allah SWT dalam surah As-Saafat [Bersaf-Saf](37:140) yang
berbunyi:
“(Ingatkanlah
peristiwa) ketika ia melarikan diri ke kapal yang penuh sarat”.
(37:141)
“(Dengan
satu keadaan yang memaksa) maka dia pun turut mengundi, lalu menjadilah ia dari
orang-orang yang kalah yang digelunsurkan (ke laut)”.
(37:142)
“Setelah
itu ia ditelan oleh ikan besar, sedang ia berhak ditempelak.”
(37:143)
“Maka
kalaulah ia bukan dari orang-orang yang sentiasa mengingati Allah (dengan zikir
dan tasbih)”
(37:144)
“Tentulah
ia akan tinggal di dalam perut ikan itu hingga ke hari manusia dibangkitkan
keluar dari kubur”.
(37:145)
“Oleh
itu Kami campakkan dia keluar (dari perut ikan) ke tanah yang tandus (di tepi pantai),
sedang ia berkeadaan sakit”.
Ketika
berada dalam perut ikan paus selama 3 hari dan 3 malam Nabi Yunus hanya berdoa
kepada Allah untuk menyelamatkannya. Doa beliau yang masyhur itu dirakamkan
oleh Allah dalam surah Al-Anbiya [Para Nabi](21:87) yang berbunyi:
“Dan
(sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam
keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan
mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku)
maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: "Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong)
melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya,
tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya
diri sendiri".
(21:88)
“Maka
Kami kabulkan permohonan doanya, dan Kami selamatkan dia dari kesusahan yang
menyelubunginya; dan sebagaimana Kami menyelamatkannya Kami akan selamatkan
orang-orang yang beriman (ketika mereka merayu kepada Kami)”.
9. Keldai Nabi Uzair
Dikatakan
bahawa Uzair adalah seorang Nabi dari nabi-nabi Bani Israil. Dialah yang
menjaga kitab Taurat. Lalu terjadilah peristiwa yang sangat mengagumkan
padanya. Allah SWT telah mematikannya selama seratus tahun kemudian ia
dibangkitkan kembali. Selama Uzair tidur satu abad penuh, terjadilah peperangan
yang didalangi oleh Bakhtansir di mana dia membakar Taurat. Tidak ada satu pun
yang tersisa kecuali yang dijaga oleh kaum lelaki. Mukjizat yang terjadi pada
Nabi Uzair adalah sumber fitnah yang luar biasa di tengah kaumnya.
Kisah
tentang keldai milik Nabi Uzair Allah SWT firmankan dalam surah Al-Baqarah [Lembu
Betina](2:259) yang berbunyi:
“Atau
(tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui
sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata:
"Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah
matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan
tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu
bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia
menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari".
Allah berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan
demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan
minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada
keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah
untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan
lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali
kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas
kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya
(dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".
Ibnu Abi
Hatim meriwayatkan dari Ali bin Abi Thalib ra, dia berkata, “Orang yang
dimaksudkan dalam ayat ini ialah Nabi Uzair.” Pendapat ini juga diiwayatkan
Ibnu Jarir dan Ibnu Hatim, dari Ibnu Abbas, al-Hasan, Qatadah, as-Suddi, dan
Sulaiman bin Buraidah. Pendapat inilah yang masyhur. Sedangkan negeri yang
dimaksudkan adalah sudah sangat masyhur iaitu Baitul Maqdis. Dia melintasi
negeri setelah dihancurkan dan dibunuh penduduknya oleh raja Bukhtanasir.
10. Anjing Ashabul Kahfi
Pada
awalnya penduduk negeri Efesus beriman kepada Allah. Tapi keadaan berubah
setelah Raja Diqyanus (Decius) yang menguasainya. Kekejamannya yang luar biasa
telah membuat ramai rakyat sengsara. Sesiapa yang taat dan patuh kepadanya diberi pakaian
dan berbagai macam hadiah lainnya. Tetapi sesiapa yang tidak taat atau tidak
bersedia mengikuti kemahuannya akan segera dibunuh. Dalam masa yang cukup lama,
sebahagian besar rakyat patuh kepada raja dengan menyembah selain Allah.
Demi
mempertahankan keislaman dan keimanan kepada Allah SWT, pemuda pemuda Ashabul Kahfi dan seekor anjing
memilih untuk mengasingkan diri serta bersembunyi dalam sebuah gua. Mereka
teguh mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka
mungkin terancam dengan berbuat demikian.
Kesah
pemuda pemuda ini Allah SWT firmankannya dalam surah Al-Kahf[Gua](18:10) yang
berbunyi:
“(Ingatkanlah
peristiwa) ketika serombongan orang-orang muda pergi ke gua, lalu mereka
berdoa: "Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan
berilah kemudahan-kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan ugama
kami".
(18:11)
Lalu
Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya dalam gua itu, bertahun-tahun, yang
banyak bilangannya.
(18:12)
"Kemudian
Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), untuk Kami menguji siapakah dari dua
golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya, tentang lamanya mereka
hidup (dalam gua itu)".
Berapa
orangkah sebenarnya bilangan pemuda pemuda itu tidaklah dapat dipastikan dengan
tepat. Apa yang Allah firmankan dalam ayat 22 berbunyi:
“(Sebahagian
dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang
keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan
mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara
meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang
lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah
anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih
mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan
sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai
mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di
dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka
kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).”
Walaupun
Allah tidak menjelaskan bilangan mereka dengan tepat tetapi pendapat mashyur
dikalangan ulama ialah bilangan mereka seramai 7 orang dan seekor anjing.
Pendapat
yang mashyur pula pemuda pemuda ini ditidurkan oleh Allah dalam gua itu selama 309
tahun.
"Bila sebut Allah, Allah itulah yang buat langit yang kita
junjung, bumi yang kita pijak dan udara yang kita gunakan. Allah itu jugalah
yang buat bangsa-bangsa yang ada di dunia ini, tujuannya untuk
berkenalan-kenalan antara satu sama lain bukannya untuk bermegah-megah dengan
darah keturunan kita.” ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik
Mat