Friday, 29 May 2020

ALMARHUM DR.SURIN PITSUWAN (1949-2017) DALAM KENANGAN

DR. SURIN PITSUWAN
LATAR BELAKANG RINGKAS

1.   Tan Sri Dr. Surin Abdul Halim Ismail Pitsuwan atau lebih dikenali dengan nama Dr. Surin Pitsuwan telah dilahirkan pada 28 Oktober 1949 di wilayah Nakhon Si Thammarat, Thailand. Beliau berketurunan Melayu Thailand dan dilahirkan dalam keluarga Islam yang kuat berpegang kepada ajaran agama. Perkataan "Pitsuwan" adalah bahasa Thai iaitu nama keluarga beliau yang pernah menjadi tukang emas. ‘Pitsuwan’ adalah dari dua kata nama, iaitu ‘Pit’ bermakna tukang atau pemahat manakala ‘Suwan’ bermakna emas. Pitsuwan maknanya tukang emas.

 2.  Beliau berkahwin dengan Alisa Pitsuwan dan dikurniakan 3 orang cahaya mata lelaki, iaitu Hussani Pitsuwan, Frickli Pitsuwan dan Muhammad Fuake Pitsuwan.

 PENDIDIKAN/KELULUSAN AKADEMIK

3.      Dr.Surin mendapat pendidikan awal di kampongnya di wilayah Nakhon Si Thammarat. Kemudiannya menyambung pelajaran di Universiti Thammasat, Thailand. Memperolehi ijazah dari Kolej Claremont McKenna, California dalam bidang sains politik pada tahun 1972. Dari tahun 1977 hingga 1980 beliau menjadi seorang pengaji untuk Aturcara Kajian Hak Asasi Manusia  di Institut Kajian Thai dan Yayasan Ford, Universiti Thammasat. Dalam masa yang sama dari tahun 1974 hingga 1978, beliau ialah seorang sahabat Aturcara Rockefeller Fellowship, Yayasan Rockefeller, Universiti Harvard dan Universiti Amerika, Kaherah. Dr. Surin memperolehi ijazah Master dalam bidang Kesenian dari Universiti Harvard dan membuat kajian di Universiti Amerika di Kaherah sebagai seorang sarjana Institut Majlis Tinggi untuk Hal Ehwal Islam dari Mesir dari 1975 hingga 1977 sebelum kembali semula ke Universiti Harvard. Di Universiti terkemuka inilah beliau memperolehi ijazah Ph.D. dalam bidang Sains Politik dan Asia Barat pada tahun 1982.

KERJAYA/SUMBANGAN

4.      Kerjaya Dr. Surin bermula sebagai seorang ahli akademik. Beliau pernah berkhidmat dipelbagai universiti di Thailand mahupun di luar Thailand. Beliau boleh berbahasa Arab dan pernah menyambung pengajian di Kaherah, Mesir. Selain itu, beliau aktif sebagai penulis (kolumnis) dari 1975-1992  di akhbar The Nation dan Bangkok Post, dua akhbar berbahasa Inggeris utama di Thailand. 

5.      Dr Surin adalah satu nama yang cukup besar dalam dunia politik Thailand dan juga rantau ASEAN. Beliau mula menceburi bidang politik dengan bertanding bagi kerusi parlimen di bandar kelahirannya dan menang. Sebagai ahli parlimen, beliau dilantik sebagai setiausaha kepada speaker parlimen ketika itu, Chuan Leekpai yang kemudian menjadi Perdana Menteri Thailand. Kemudian beliau dilantik sebagai setiausaha kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri sebelum dilantik menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri. Beliau berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Luar dari tahun 1992-1995 dan seterusnya menjadi Menteri Luar dari tahun 1997-2001 semasa Thailand dipimpin oleh Chuan Leekpai sebagai Perdana Menteri. Kemuncak kejayaan beliau ialah apabila dilantik menjadi Setiausaha Agung ASEAN dari tahun 2008 hingga 2012. Beliau menjadi orang yang mempunyai latar belakang politik pertama yang dilantik menjadi Setiausaha Agung ASEAN.

6.      Semasa tercetusnya konflik di Timor Leste pada tahun 1999, Dr. Surin memainkan peranan yang cukup besar. Beliau menerajui negara-negara ASEAN berjaya mengembalikan keamanan di negara itu selepas mendapat sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa. Ketika negara Myanmar dilanda taufan Nargis pada Mei 2008, Dr Surin berjaya mendapat sokongan anggota ASEAN, PBB serta beberapa institusi antarabangsa seperti World Bank dan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam misi pemulihan semula Myanmar selepas tragedi tersebut. Beliau berada di negara itu sehinggalah misi tersebut tamat sepenuhnya pada Disember 2010.

7.   Selepas berakhirnya tempoh perkhidmatannya sebagai Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin dilantik sebagai Profesor Emeritus di Universiti Thammasat, Thailand. Beliau juga adalah Penasihat Kehormat dan Felo Pelawat di Institut King Prajadhipok, sebuah badan penasihat akademik kepada parlimen Thai.

8.     Dr. Surin juga pernah menjadi ahli visi suruhanjaya Bank Pembangunan Islam. Sebagai menghargai jasa dan sumbangannya kepada masyarakat antarbangsa beliau telah dianugerahi darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) Kehormat yang membawa gelaran Tan Seri oleh Yang di Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada 6 Jun 2015.

9.     Beliau amat aktif dalam usaha mempromosikan integrasi serantau di Asia dan juga reformasi dalam bidang pendidikan dan politik di Thailand. Dr. Surin sering dijemput sebagai ahli panel dalam pelbagai platform diskusi dan persidangan antarabangsa serta diundang memberikan ucapan dalam pelbagai forum atau dialog antarabangsa.

10.   Dr. Surin adalah seorang Melayu Islam yang paling terkenal dalam sejarah Thailand. Beliau  mempunyai pendidikan akademik yang sangat tinggi hingga sampai ke peringkat Ph.D. Beliau juga mempunyai pengaruh yang amat besar dalam kerajaan Thailand yang didominasi oleh rakyat beragama Buddha.

KEMBALI KERAHMATULLAH
 
SOLAT JENAZAH DR. SURIN

ORANG RAMAI BERKUMPUL DIMASJID THA I

VIDEO
LIPUTAN KETIBAAN TETAMU DI RUMAH DR.SURIN
                                                             VIDEO
                SUASANA DI RUMAH DR.SURIN DAN TANAH PERKUBURAN

11.    Pada 30 November 2017 lalu rakyat Thailand khasnya dan masyarakat antarabangsa amnya telah dikejutkan dengan berita kematian mengejut allahyarham Dr. Surin akibat serangan jantung. Allahyarham rebah ketika sedang berucap di Perhimpunan Halal Thailand 2017 di Bitec Bangna, Bangkok. Beliau segera dikejarkan ke Hospital Ramkhamhaeng tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Allahyarham berumur 68 tahun. Jenazah negarawan itu dikebumikan di tanah perkuburan Islam bersebelahan Masjid Tha I, di Nonthaburi tidak jauh dari kediamannya dengan dihadiri ratusan masyarakat Islam tempatan. Allahyarham adalah seorang tokoh diplomat beragama Islam yang dikenali dan disegani di peringkat antarabangsa dan seorang negarawan ASEAN yang hebat.

12.    Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Chakri Sirindhorn serta Puteri Soamsawali menghantar wakil mereka ke upacara pengebumian allahyarham. Antara orang kenamaan yang melawat kediamannya hari itu ialah bekas Perdana Menteri Thailand, Chuan Leekpai, yang kekal sebagai penasihat kepada Parti Demokrat, pemimpin kanan parti selain ahli politik dan anggota komuniti diplomatik. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Suwaphan Tanyuwattana yang mewakili Perdana Menteri, Jeneral Prayut Chan-o-Cha juga mengunjungi kediaman allahyarham untuk menyampaikan ucapan takziah daripada kerajaan Thailand.
                                        

13.  Menteri Ehwal Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan turut menyampaikan ucapan takziah di atas pemergian Dr. Surin dan mengakui almarhum sebagai teman rapat Singapura dan seorang pejuang teguh perpaduan dan kerjasama ASEAN.

14. Jabatan Negara Amerika Syarikat menyampaikan ucapan takziah kepada Thailand dan juga keluarga allahyarham serta menyanjungnya sebagai "negarawan Asia Tenggara yang hebat" dan "pejuang rakyat Thai yang tidak pernah penat". Selain Amerika, wakil wakil kedutaan dari negara Australia, New Zealand serta Jepun juga telah memberi penghormatan kepada almarhum dengan mengadakan lawatan ke rumahnya
 

15. Di Malaysia pula, mantan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan pemergian allahyarham Dr.Surin sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada ASEAN tetapi juga kepada dunia diplomatik.

16.     Pada bulan April 2019 lalu, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya Tun Jeanne telah melawat Alisa, balu Dr.Surin di kediamannya di Rattanathibet Road, Nonthaburi. Selepas itu mereka turut menziarahi makam allahyarham. 

17.   Turut menziarahi balu almarhum ialah Datuk Dr.Zambry Abdul Kadir, bekas Menteri Besar Perak.
PUSARA DR. SURIN KETIKA DIZIARAHI BEKAS MENTERI BESAR PERAK, DR.ZAMBRY ABDUL KADIR
PUAN ALISA PITSUWAN, BALU DR.SURIN (TENGAH)
18.   Dalam sejarah Thailand, Dr. Surin adalah seorang Melayu Islam yang paling tersohor dalam mendaki tangga kejayaan dalam kerjaya sebagai ahli politik dan juga dalam dunia diplomatik. Negara Thailand khasnya dan Asia Tenggara amnya telah kehilangan seorang negarawan terkenal untuk selama lamanya. Selepas ini apakah ada lagi seorang Melayu Islam di Thailand yang boleh mencapai tahap kecemerlangan seperti beliau?. Semoga kehilangan beliau adalah kehilangan yang ada penggantinya. Ibarat kata pepatah Melayu; "Patah Tumbuh Hilang Berganti".

PENERUSAN LEGASI DR.SURIN

19.    Meskipun penduduk Islam Thailand hanya berjumlah sekitar 10 peratus tetapi agama Islam di negara gajah putih itu tetap subur. Pengaruh Islam dapat disebarkan secara meluas menerusi sekolah pondok yang dibuka ulama di negara tersebut demi mengembangkan syiar Islam. Antara pondok terkenal dan terbesar di wilayah Nakhon Si Tammarat yang menjadi pusat perkembangan dan pendidikan Islam  ialah Pondok Bantan. Pondok berkenaan telah diasaskan 80 tahun lalu oleh ulama terkenal, Tok Guru Yaakob Pitsuwan Abdul Rauf yang mendapat pendidikan di Patani dan Makkah. Beliau ialah datuk kepada Dr. Surin.

20. Pelbagai cabaran terpaksa dilalui Tok Guru Yaakob untuk membangunkan pondok berkenaan yang pada mulanya hanya mempunyai kira-kira 50 pelajar ketika dibuka. Kemudian pondok ini dibangunkan menjadi sekolah aliran Islam yang turut mempunyai pengajian akademik dan kemahiran. Pendidikan Islam termasuk al-Quran diutamakan berbanding dengan akademik. Selain Pondok Bantan, terdapat dua lagi sekolah dibangunkan keluarga Dr.Surin, iaitu sekolah persendirian Islam dan tadika kanak-kanak di daerah Tha Sala serta Ron Phiboon di wilayah berkenaan. Terdapat lebih 2,000 pelajar dan 100 guru di tiga sekolah terbabit. Sekolah sekolah ini berkembang maju semasa ia diuruskan oleh Dr. Surin. Jasa allahyarham terhadap Pondok Bantan cukup besar dalam meneruskan perjuangan datuknya sehingga ia menjadi antara sekolah pondok yang paling terkenal dan berpengaruh di Thailand.
 
PONDOK BANTAN

                                                                          VIDEO

                                                                        VIDEO

                                                                          VIDEO
21.   Pondok Bantan didirikan di atas tanah seluas 8 ekar (3.2 hektar). Di sini terdapat empat blok asrama, masjid, dewan sukan, padang bola, blok pentadbiran, perpustakaan, pusat bahasa dan ICT, koperasi, klinik, serta kediaman untuk guru, doktor dan jururawat. Dari segi kemudahan dan kelengkapan, pondok ini bagaikan sekolah berasrama penuh atau maktab perguruan. Pengurusan sekolah berkenaan di ambil alih oleh adik Dr.Surin, Huwaidiyah Pitsuwan Useng bersama lapan adik beradik lain. Mereka meneruskan legasi ditinggalkan allahyarham untuk memastikan sekolah ini terus berjaya dalam memberikan pendidikan terbaik kepada pelajar. Pelajar di sekolah sekolah tersebut berusia antara 13 hingga 18 tahun dan menerima kemasukan pelajar tanpa mengira kemampuan serta latar belakang mereka. Pondok Bantan sering menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak mereka belajar. Walaupun berstatus sekolah persendirian tetapi mendapat sokongan kerajaan Thailand dan menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, antaranya Bank Pembangunan Islam, Yayasan Keamanan Sasakawa (Jepun) dan dermawan dari Kuwait dan Qatar. Pondok tersebut berdepan dengan sedikit cabaran selepas Dr. Surin meninggal dunia kerana beliau umpama tulang belakang kepada pondok itu.                                        
          
     
                                                           VIDEO 
                        PENGHARGAAN KEPADA ALMARHUM DR. SURIN


22.    Alfatihah untuk Dr. Surin. Semoga Allah SWT menghimpunkan rohnya bersama sama dengan roh orang orang yang beriman dan bertaqwa kepadaNYA.

"Atom yang begitu kecil itu ada pasangannya. Wayar elektrik pun ada pasangannya yang disebut sebagai negatif dan positif. Jika dipasang dengan cara yang betul, lampu akan menyala. Jika tidak, wayar itu boleh terbakar. Begitu juga dengan lelaki dan perempuan, jika dipasangkan dengan yang tidak baik, dapat anak zina, lalu anak-anak ini dibuang. Benda ini berlaku kerana pasang tak betul. Islam datang untuk mengajar bagaimana memasang atau menyatukan manusia dengan cara yang betul iaitu perkahwinan dengan nama Allah." ` Mutiara Kata Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat


Sunday, 24 May 2020

SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA EIDUL FITRI 2020 (1441 H)





“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” {Petikan dari surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:185)}

1.      Selamat Hari Raya Eidul Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh pembaca dan penjenguk blog ini tidak kira di mana jua anda berada. Pada hari ini, 24.5.2020 bersamaan dengan 1 Syawal 1441 umat Islam di seluruh dunia sama sama meraikan hari yang mulia dan penuh dengan keberkatan ini.

2.      Buat pertama kalinya dalam sejarah, kita terpaksa menyambut Eidul Fitri tahun ini dalam keadaan menghadapi wabak Covid 19 yang melanda seluruh dunia.  Sebagai mematuhi perintah kerajaan, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka seluruh rakyat Malaysia terpaksalah menyambut hari raya tahun ini secara amat sederhana. Tiada lagi aktiviti menziarahi jiran tetangga dan sahabat handai. Apa lagi untuk bergerak merentasi sempadan negari pulang ke kampong halaman.

3.      Selain dari itu kita juga terpaksalah bertakbir raya dan menunaikan solat sunat Eidul Fitri bersama sama isteri, anak menantu dan cucu cucu di rumah sahaja.

4.      Walau apa pun kepada yang beragama Islam, sambut dan raikanlah Eidul Fitri kali ini dengan rasa gembira sebagai tanda kemenangan setelah sebulan kita sama sama melakukan ibadah puasa. Semoga ibadat puasa kita selama sebulan lalu diterima oleh Allah SWT dan diberikan ganjaran pahala yang besar.

Allahuakbar. Allahuakbar.Allahuakbar. 

SALAM EIDUL FITRI. MAAF ZAHIR DAN BATIN
 
TAKBIR RAYA
 
"Kebangkitan Islam sekarang telah berlaku di seluruh dunia. Ia tidak boleh disekat, umpama sebiji bola yang ditekan ke dalam air, semakin ia ditekan, semakin ia akan melantun naik. Oleh itu kuatkan hubungan dengan Allah, tahajjud jangan ditinggal, kalau boleh menangis, menangislah di hadapan Allah SWT.” ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat