Friday, 16 January 2015

DOA IALAH SENJATA ORANG YANG BERIMAN

 
1.   Daripada Ibnu Abbas R.a. beliau berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Seampuh-ampuh senjata orang yang beriman ialah kesabaran dan doa”. (Hadith Riwayat Al-Dailami)

2.  Sabda Rasulullah ini bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:153) yang berbunyi:




“Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.”

3. Beberapa contoh dari firman Allah dalam Al-Quran di bawah ini membuktikan bahawa para nabi juga pernah berdoa kepada Allah:

3.1. Doa Nabi Ibrahim kepada Allah seperti dalam Surah Ibrahim (14:37) yang berbunyi:



“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur”.

3.2.   Nabi Musa berdoa kepada Allah untuk difasihkan lidahnya dalam menyampaikan dakwahnya.  Doa tersebut dalam Surah Ta-Ha (20:25) yang berbunyi:


“Nabi Musa berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku, dadaku.”

(20:26)


“Dan mudahkanlah bagiku, tugasku”;

(20:27)



“Dan lepaskanlah simpulan dari lidahku”.

(20:28)


“Supaya mereka faham perkataanku”.

3.3.   Nabi Yunus juga pernah berdoa kepada Allah semasa beliau ditelan dan berada dalam perut ikan yu yang sangat besar.  Doanya ialah seperti dalam Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:87) yang berbunyi:




“Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika ia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan ia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka ia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

4.      Sama-sama kita lihat pula mutiara kata berikut:
          4.1.   Mahatma Gandhi, pemimpin agung India pernah berkata:
“Memohon, memuji dan berdoa bukanlah tahyul tetapi kesemuanya itu adalah perbuatan yang lebih nyata daripada makan, minum, duduk ataupun berjalan.”

4.2. Kata Pujangga : Berdoalah seakan-akan segala sesuatu bergantung kepada tuhan, dan bekerjalah seakan-akan segala sesuatu bergantung kepada manusia.

5.   Sejarah silam dan juga masakini telah membuktikan bahawa senjata doa kepada Allah ini sangat ajaib dan mampu mengatasi/mengalahkan sesuatu yang diluar pemikiran normal manusia.  Itulah yang akan terhasil apabila permintaan/doa kepada Allah dimakbulkanNya. Sebagai contohnya ialah dalam peperangan apabila tentera Islam yang lebih kecil kekuatannya dapat mengalahkan tentera musuh yang jauh lebih besar dan kuat. 

6.      Lihat sahaja Peperangan Badar yang berlaku pada tanggal 17 Ramadan Tahun 2 Hijrah (17 Mac 624 Masihi). Tentera Islam hanya berjumlah 313 orang dengan kekuatan 2 ekor kuda dan 70 ekor unta sementara tentera musyhrikin  Mekah seramai 900 orang dengan dibantu 100 ekor kuda dan 170 ekor unta.  Terlalu jauh beza kekuatannya, tambahan pula perang berlaku dalam bulan Ramadan di mana tentera Islam sedang berpuasa. Dalam perang ini menyaksikan Rasulullah berdoa kepada Allah sehingga menampakkan ketiaknya kerana agak tinggi mengangkat tangannya. Antara doa Rasululah ialah:
"Ya Allah, penuhilah bagiku apa yang Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah, sesungguhnya aku mengingatkan-Mu akan sumpah dan janji-Mu,"

"Ya Allah, jika pasukan ini hancur pada hari ini, tentu Engkau tidak akan disembah lagi. Ya Allah, kecuali jika memang Engkau menghendaki untuk disembah untuk selamanya setelah hari ini."

7.   Sejarah telah mencatatkan bahawa tentera Islam telah menang dengan pertolongan malaikat yang dihantar oleh Allah.  Seramai 14 orang tentera Islam mati syahid manakala dipihak musuh pula seramai 70 orang.

8.  Peperangan Salib kedua telah berlaku dalam tahun 1187 Masihi (583 Hijrah). Perang ini juga dikenali dengan nama Perang Hittin. Pemimpin tentera Islam ialah Salahuddin Al-Ayubi yang sangat terkenal.  Tentera Islam berjaya menakluki semula Baitulmaqdis dari tentera Kristian. Peristiwa besar lain ialah penaklukan Kota Konstantinople, Turki pada 29 Mei 1453 oleh Sultan Muhammad Al Fateh dan tenteranya yang hebat. Sangat diyakini bahawa kemenangan tentera Islam dalam kedua-dua perang tersebut kerana pertolongan Allah berkat doa dan keazaman mati syahid dikalangan tentera Islam.

9. Perkembangan terkini yang boleh diambil sebagai contoh ialah perjuangan rakyat Palestin melalui HAMAS menentang tentera zionis Israel. Bukanlah mudah untuk mengalahkan tentera HAMAS. Perjuangan mereka berpaksikan syahid dan doa yang tidak pernah putus kepada Allah.  Kita pernah membaca beberapa peristiwa mutakhir yang membuktikan bahawa tentera HAMAS Palestin dibantu oleh malaikat Allah dalam perang melawan tentera zionis Israel. Bantuan malaikat Allah inilah yang sangat ditakuti dan digeruni oleh tentera Israel.

10.   Allah telah menyediakan senjata terakhir untuk orang Islam yang tidak dimiliki oleh orang kafir, iaitu doa kepadaNya. Orang Islam perlu yakin dengan kekuatan kuasa doa ini yang pasti akan dimakbulkan Allah dengan syarat perjuangan orang Islam hendaklah di atas jalan Allah. 


“Perkataan itu seperti ubat, kalau sedikit bercakap memberi manfaat, tetapi terlalu banyak bercakap nescaya boleh membunuh,” – Mutiara Kata Amru Al-As

Thursday, 15 January 2015

KEHIDUPAN DI DUNIA YANG DIPENUHI UJIAN KEIMANAN DARI ALLAH SWT




1.   Dari Ummu Salamah R.anha, beliau berkata bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Apabila ditimpa musibah kepada salah seorang daripada kamu, maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNya kita kembali. Ya Allah, disisiMu aku bermuhasabah atas musibahku, maka kurniakanlah pahala kepadaku dan gantilah aku dengan yang lebih baik.” (Hadith Riwayat: Muslim)

2.  Kehidupan manusia di dunia ini penuh dengan ujian dari Allah SWT. Dalam Surah-surah Al-Baqarah [Lembu Betina](2:214) Allah berfirman yang berbunyi: 


“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah)”.

(2:155) 

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

(2:156)

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

3.    Ketahuilah bahawa kita semua adalah milik Allah dan kepadanyalah kita akan dikembalikan.  Kita adalah peminjam dan bukan pemilik. Apabila sesuatu nikmat (harta, kesihatan, suami, isteri, anak-anak, ibu bapa dan sebagainya) telah diambil dari kita janganlah kita bersedih. Jangan kita memarahi Allah kerana Allah hanya mengambil apa yang dia pinjamkan kepada kita.

4.    Bagi orang bersabar dengan ujian Allah mereka akan beroleh kurniaan Allah yang sangat besar seperti firman Allah berikut:

(2:157)

“Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.”

5.    Sebagai seorang yang beriman kita wajib meyakini bahawa semua yang berlaku itu adalah kerana qada’ dan qadar Allah sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Hadid [Besi](57:22) yang berbunyi:


“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah”

6.   Kebenaran firman-firman Allah ini dapat kita saksikan dalam riwayat hidup para nabi dan rasul pilihan dan utusan Allah. Walaupun bertaraf maksum yang tidak melakukan apa-apa dosa kepada Allah namun para nabi dan rasul ini tetap diuji oleh Allah SWT dengan pelbagai ujian yang hebat dan berat. Rasulullah sendiri terpaksa melalui pelbagai jenis dugaan dan cabaran hebat sebaik sahaja dilantik menjadi rasul. Sehinggalah klimak dugaannya ialah apabila Rasulullah telah dikepung oleh musyrikin Mekah untuk dibunuh.

7.   Dalam posting kali ini saya ingin berkongsi suatu kesah sahabat yang telah berlaku di zaman Rasulullah SAW untuk menilai tahap keimanan dan kesabaran seorang sahabat yang telah ditarbiyah sendiri oleh Rasulullah. Kesah ini juga ada kaitan dengan salah satu mukjizat Rasulullah, iaitu dapat menghidupkan orang yang telah mati. Nama sahabat itu ialah Abu Jabit.    
  
8.    Satu hari Abu Jabit mempelawa Rasululah makan tengahari di rumahnya selepas solat zohor.  Pelawaan ini diterima oleh Rasulullah.  Abu Jabit pun segera pulang ke rumahnya untuk membuat persediaan.  Adalah menjadi perkara biasa bagi orang arab untuk menyembelih kambing kerana meraikan tetamu.  Begitu juga halnya dengan Abu Jabit.  Beliau telah memilih seekor kambing lalu dibawa kambing itu ke padang untuk disembelih dengan dibantu jirannya.  Dua orang anaknya yang masih kecil berumur dalam lingkungan 4 atau 5 tahun ikut sama ke tempat menyembelih kambing.  Lalu kambing disembelih dengan diperhatikan oleh kedua adik beradik itu.  Selesai sembelih Abu Jabit pulang ke rumahnya untuk keluar sebentar membeli keperluan dapur. Isterinya sedang sibuk di dapur membuat persedian menerima Rasulullah sebagai tetamu. 

9.  Abu Jabit telah meletakkan pisau sembelihannya di satu tempat.  Anak-anaknya yang masih nakal itu telah mengambil pisau itu.  Siabang telah mengajak adiknya ke satu tempat dibelakang rumah untuk melakunkan semula sembelihan kambing.  Siabang menyuruh adiknya berbaring untuk disembelih seperti yang ditonton dari perlakuan ayahnya menyembelih kambing. Pisau yang tajam itu telah memotong leher si adik lalu meraunglah adik kesakitan.  Si abang yang terkejut itu pun berlari dengan pisau ditangannya dan terjatuh lalu pisau tajam itu menikam perutnya. Meraunglah pula siabang kesakitan. Kedua-dua mereka telah mati.  Raungan sianak ini telah didengari oleh siibu yang sedang memasak didapur lalu begegaslah dia keluar melihat anak-anakknya.  Alangkah terkejutnya siibu bila mendapati kedua anaknya telah mati.

10.   Ibu yang beriman kepada Allah ini tidak lekas panik dan tidak juga menangis atau meraung.  Sebaliknya membawa dua anaknya ke dalam bilik.  Tidak lama lepas itu Abu Jabit pun pulang ke rumah. Sesampai di rumah, isteri solehah pun terus bertanya suaminya: “Wahai suamiku jika kita meminjam barang seseorang, apakah yang kita perlu lakukan jika tuannya menghendaki kembali barang itu”. Jawab suami yang juga beriman kepada Allah: “Sudah tentu kita wajib mengembalikannya semula kepada tuannya”. Berkata lagi si isteri: “Wahai suamiku ketahuilah olehmu bahawa Allah telahpun mengambil dua orang anak kita yang dia pinjamkan kepada kita selama ini.  Dua orang anak kita telahpun dimatikan oleh Allah”. Si isteri telah menunjukkan dua mayat anaknya di dalam bilik kepada suaminya. Tanpa rasa keluh kesah, sedih atau berdukacita kedua mereka meneruskan kerja membuat persiapan menyambut tetamu istimewa.

11.  Setelah sampai waktunya selepas zohor Rasulullah pun keluar dari rumahnya untuk ke rumah Abu Jabit. Sebaik melangkah keluar datanglah malaikat memaklumkan kepada Rasulullah bahawa dua orang anak Abu Jabit telah meninggal dunia. Setelah tidak berapa lama berjalan sampailah Rasulullah di rumah Abu Jabit.  Rasulullah memberi salam dan disambut salamnya oleh Abu Jabit dan isterinya dengan muka yang manis dan tidak ada sebarang riak kesedihan pun di wajah mereka berdua. Setelah duduk Rasulullah bertanya: “Wahai Abu Jabit di manakah anak-anak kamu”.  “Mereka sedang tidur Rasulullah”, jawab Abu Jabit dengan lancar. Setelah makanan dihidangkan Abu Jabit pun menjemput Rasulullah makan. 
 
12.   Setelah selesai makan, Rasulullah bertanya lagi:  “Masih tidur lagikan anak-anak kamu wahai Abu Jabit”.  Jawab Abu Jabit; “Mereka berdua sangat keletihan Rasulullah kerana banyak bermain-main pagi tadi.”.  Sebelum pulang Rasulullah bertanya lagi Abu Jabit: “Kenapa terlalu lama benar anak-anakmu tidur”. Untuk soalan yang ketiga ini Abu Jabit tidak tergamak lagi untuk berbohong kepada Rasulullah. Dia pun menceritakanlah perkara sebenar yang berlaku kepada anak-anaknya.  Rasulullah minta izin dari Abu Jabit untuk melihat anak-anaknya lalu dibawalah ke dalam bilik oleh Abu Jabit.  Dua mayat anaknya terbujur kaku dengan penuh berlumuran darah.

13.    Rasulullah telah berdoa kepada Allah memohon supaya anak-anak Abu Jabit dihidupkan semula.  Selepas berdoa, Allah memakbulkan terus permintan Rasulullah.  Kedua-dua anak Abu Jabit hidup semula.  Inilah salah satu peristiwa mukjizat Rasulullah.

14.    Apakah pengajaran dari peristiwa besar ini:

14.1. Setiap manusia akan diuji oleh Allah samada kecil ataupun besar.  Jenis ujian sahaja yang berbeza antara satu sama lain. Semakin beriman seseorang semakin berat pula ujian dari Allah.

14.2.  Tujuan ujian itu tidak lain melainkan hanyalah untuk Allah mengetahui tahap keimanan dan ketaqwaan hamba-hambaNya.

14.3. Balasan segera yang Allah berikan kepada orang yang bersabar dengan ujiannya seperti hidupnya semula anak Abu Jabit. Alangkah manisnya iman kita jika mampu mencontohi keimanan dan ketaqwaan Abu Jabit dan isterinya.

14.4. Mampukah kita menghadapi ujian sangat besar seperti dilalui Abu Jabit dan isterinya itu. Jika kita benar-benar beriman, insyaallah kita mampu menempuhnya.  Jika kita fikir tidak mampu, bermohonlah kepada Allah supaya kita tidak diuji dengan ujian yang berat. 



"Takutlah kamu akan perbuatan dosa di saat sendirian, di saat inilah saksimu juga adalah hakimmu". ~ Mutiara Kata Khalifah ‘Ali Karramalah Wajhah