Thursday, 31 December 2020

SELAMAT TAHUN BARU 2021

1.      Esok (17 Jamadil Awwal 1442 Hijrah)  kita akan melangkah ke tahun baru 2021 Masihi. Ini menandakan blog saya bertajuk “MENCARI JALAN PULANG” sudah memasuki tahun ketujuh. Alhamdulilah saya masih dapat bertahan untuk mengisi blog ini walaupun sejak kebelakangan ini artikel artikel dalam blog saya amat berkurangan. In sha Allah saya akan cuba menambahkannya mulai tahun 2021 ini. 

2.      Tahun paling rancak bagi blog saya ialah pada tahun 2015 dengan pengisian sebanyak 153 posting meliputi berbagai perkara/tajuk. Kemuncaknya ialah pada bulan April dimana terdapat 30 posting. Setiap hari ada satu artikel yang dapat diterbitkan. Ia diikuti pada tahun 2016 sebanyak 91 posting. Tahun 2017 sebanyak 34 posting, tahun 2018 sejumlah 12 posting  dan tahun 2019 sebanyak 6 posting. Sepanjang tahun 2020 pula saya hanya dapat menerbitkan sebanyak 11 posting sahaja.

3.   Walau apapun saya mengucapkan terima kasih banyak kepada penjenguk setia blog saya ini yang masih tetap menjenguk dan membacanya walaupun di luar sana masih ada berbagai medium serta wadah lain untuk mendapatkan maklumat/informasi. 

4.      Selagi terdaya dan ada penjengok blog ini,  in sha Allah  saya akan terus menulis dan berkongsi informasi untuk menambahkan ilmu pengetahuan kita.  Saya juga amat mengalu alukan komen ikhlas dari penjengok blog ini supaya saya dapat memperbaiki kualiti penulisan dan persembahan blog saya.

5.      Sejak blog ini dimulakan pada 20.10.2014 lalu ia telah menerima page view sebanyak 162,112. Terima kasih banyak banyak atas sokongan anda semua yang sudi melayarinya. Selamat Tahun Baru 2021. Semoga ditahun baru 2021 ini kita akan dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa berada dalam rahmat serta redha Allah SWT. Apa yang lebih utama lagi ialah semoga dengan hadirnya tahun baru ini iman dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT akan bertambah baik lagi. Aamiin.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 2021

Wednesday, 28 October 2020

SELAMAT MENYAMBUT HARI MAULIDUR RASUL 2020 (1442 H)


1.      Esok, tanggal 29 Oktober 2020 (12 Rabiul Awwal 1442) umat Islam di negara ini sekali lagi akan menyambut ulang tahun kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. 12 Rabiul Awwal adalah tarikh kelahiran seorang insan terbaik didunia yang telah diputerakan pada tahun 571 M, iaitu 1449 tahun yang lalu. Tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini ialah “Ummah Rabbani, Negara Harmoni”.

2.       Di dalam Al-Quran terdapat beberapa firman di mana Allah SWT memuji Rasulullah SAW, iaitu seperti dalam surah Al-Qalam ayat 4, surah An-Najm ayat 2, 3,11 dan 17, surah Asy-Syarh ayat 1 dan  4, surah At Taubah ayat 128, surah Al-Hijr ayat 72 dan surah An-Nisa ayat113.

3.      Menurut pandangan sebahagian ulama’ seperti Imam al-Suyuti beliau menyatakan bahawa amalan sambutan Maulidur Rasul adalah baik dan akan diberi pahala serta ganjarannya kerana bertujuan melahirkan rasa cinta dan sayang kepada junjungan Nabi Muhammad SAW. Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Anas Bin Malik, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Tidak (sempurna) iman seseorang sehinggalah aku menjadi orang yang paling disayanginya melebihi ahli keluarganya sendiri dan hartanya dan manusia keseluruhannya”.(Hadis Riwayat Muslim)

Salah satu tanda seseorang itu menyayangi Rasulullah SAW adalah dirinya merasa gembira dengan kelahiran Rasulullah SAW serta berbangga dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

4.      Antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul adalah dengan berpuasa. Diriwayatkan dari Abu Qatadah, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa  pada hari Isnin. Maka Rasulullah menjawab yang bermaksud:

“Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku”.(Hadis Riwayat Muslim)

Hadis di atas memberikan isyarat bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada hari Isnin bagi mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari tersebut. Maka, jika Rasulullah SAW sendiri berpuasa pada hari Baginda dilahirkan begitulah juga yang sewajarnya dilakukan oleh umat Islam pada hari ini sebagai tanda mensyukuri nikmat Allah kerana diutuskan Rasulullah SAW kepada manusia.

5.      Berselawat juga antara amalan yang sangat digalakkan pada sambutan Maulidur Rasul. Menurut pandangan Syeikhul Islam Sayid Dahlan menyatakan bahawa selawat dan berdiri kerana membesarkan Rasulullah adalah amalan baik lagi mulia. Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Sesiapa yang berselawat ke atasku sekali Allah SWT berselawat ke atasnya 10 kali”(Hadis riwayat Muslim dan Abu Daud)

Ini antara amalan yang boleh dilakukan ketika menyambut Maulidur Rasul. Meskipun sambutan tersebut merupakan perkara yang baik, namun mestilah dipastikan ianya menepati syariat Islam baik dari sudut akidah, syariah dan akhlak Ahli Sunnah Wal Jamaah.

6.    Dalam surah Al-Ahzab [Golongan Yang Bersekutu](33:21), Allah SWT berfirman tentang Rasulullah SAW yang berbunyi:

 "Sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat serta banyak menyebut nama Allah" .     

7.    Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan An-Nasai, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang paling dekat denganku pada hari kiamat adalah orang yang paling banyak berselawat padaku"

Oleh itu marilah kita bersama sama mengingati, membesarkan dan memuliakan Rasulullah SAW dengan selalu berselawat kepadanya – "Allahummasolli’ala saiyidina Muhammad wa'alaalisaiyidina Muhammad"

 


                                  

"Perbezaan yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu. Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia, sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangan dengan lebih meluas."memuliakan Rasulullah SAW. Allahummasoli’ala Muhammad.~ Mutiara Kata Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Sebahagian kandungan dipetik dari laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara

Tuesday, 18 August 2020

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1442

 Salam Maal Hijrah- Mulakan tahun baru dengan 'KESYUKURAN' | Seranta Kolej  Komuniti Kepala Batas

 

                                                  VIDEO LAGU HIJRAH

Dalam surah At-Taubah[Pengampunan](9:36), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi”

 

“Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa”.

1.      Pada hari Khamis ini (lusa), iaitu 20.8.2020 sekali lagi umat Islam seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Muharam (1 Muharam 1442). Muharam ialah permulaaan bulan Islam dalam kalendar Hijrah. Tahun baru Islam ini juga dikenali dengan panggilan Maal Hijrah. Maal Hijrah merupakan satu hari yang sangat penting bagi umat Islam kerana ia menandakan berlakunya peristiwa besar dalam sejarah Islam, iaitu penghijrahan Rasulullah SAW dari Kota Makkah ke Kota Madinah (Yathrib). Bagi Malaysia, tema sambutan Maal Hijrah tahun ini ialah “Ummah Rabbani Negara Harmoni”.

2.     Memandangkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, maka ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasululah berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasulullah bukan berlaku pada bulan Muharram, sebaliknya ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah SAW meninggalkan rumahnya pada malam 27 Safar tahun ke 14 kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13 hb. September 622M. Kemudian, baginda dan Saidina  Abu Bakar bersembunyi di dalam Gua Thur selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqit, yang bertindak sebagai pemandu jalan. Baginda sampai di Quba’ pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba’ selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan dari kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

3.    Persoalannya, kenapakah taqwim hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan peristiwa hijrah Rasulullah telah berlaku pada bulan Rabiul Awwal?. Jawapannya ialah walau pun  permulaan tahun hijrah dihitung bermula dengan hijrah Rasulullah, namun taqwim hijrah (kalendar Islam) hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar Al-Khattab iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

4.    Terdapat beberapa peristiwa yang mendorong Saidina Umar menetapkan tahun Islam. Antaranya ialah:

4.1.   Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang?.

4.2.   Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya’la bin Umayyah r.a. Beliau telah menulis surat dari Yaman kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh.

4.3.   Abu Musa al-Asy’ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh dan ini boleh menimbulkan kekeliruan.

4.4.   Pada satu masa, Saidina Umar telah menghantar surat kepada gabenor di Basrah. Beliau menerima balasan daripada gabenor tersebut. Salah satu ungkapan di dalam balasan surat tersebut ialah gabenor Basrah tidak pasti surat dihantar pada Syaaban tahun tersebut atau tahun sebelumnya.

5.      Bagi menyelesaikan isu ini Saidina Umar telah mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh. Dalam perbincangan itu  dikemukakan empat cadangan bagi menentukan permulaan tahun Islam, iaitu samada tarikh kelahiran Rasulullah, atau tarikh Rasulullah diangkat menjadi rasul, atau tarikh hijrah Rasulullah atau tarikh kewafatan Rasulullah. Akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasulullah sebagai asas permulaan tarikh/kalendar Islam.

6.      Tidaklah akan meninggalkan apa apa impak positif kepada diri kita jika hanya kita sekadar mengingati peristiwa penghijrahan Rasulullah semata mata. Apa yang lebih penting ialah semangat hijrah (perpindahan) Rasulullah itu dijadikan pengiktibaran atau ibrah (pengajaran) untuk kita sama sama melakukan kebaikan dan meninggalkan kebatilan/kejahatan. Berhijrahlah kearah kebaikan dengan satu keazaman untuk menambahkan amalan baik yang mendapat ganjaran pahala, sebaliknya meninggalkan perkara perkara maksiat dan jahat yang mendatangkan dosa.

7.    Bersempena hijrah tahun ini (2020M / 1442H) ayuh kita bersama sama berhijrah untuk menjadi muslimin dan muslimat sejati seperti yang dituntut oleh agama Islam.

SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH

Sebahagian kandungan dipetik dari blog tasekpauh.blogspot.com

"Atom yang begitu kecil itu ada pasangannya. Wayar elektrik pun ada pasangannya yang disebut sebagai negatif dan positif. Jika dipasang dengan cara yang betul, lampu akan menyala. Jika tidak, wayar itu boleh terbakar. Begitu juga dengan lelaki dan perempuan, jika dipasangkan dengan yang tidak baik, dapat anak zina, lalu anak-anak ini dibuang. Benda ini berlaku kerana pasang tak betul. Islam datang untuk mengajar bagaimana memasang atau menyatukan manusia dengan cara yang betul iaitu perkahwinan dengan nama Allah." ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Thursday, 30 July 2020

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL ADHA 2020





Dalam surah As-Saffat[Yang Bersaf-saf](37:102), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


"Manakala Ismail telah besar sedikit, Ibrahim berkata kepada anaknya itu " Hai anakku, bahawasanya aku bermimpi agar aku menyembelihmu, maka fikirkanlah, apa pendapatmu?." Ismail menjawab: "Wahai bapaku, perbuatkanlah apa yang diperintahkan, engkau akan dapati  InsyaAllah aku dari orang-orang yang sabar" . 

(37:103)

“Maka ketika keduanya telah menyerah diri dan dia (Ibrahim) membaringkan anaknya atas pelipisnya, (untuk melaksanakan perintah Allah)”.

(37:104)

Lalu Kami panggil dia, “Wahai Ibrahim!”

(37:105)


“Sesungguhnya engkau telah membenarkan mimpi itu. Sesungguhnya demikianlah  Kami memberi balasan kepada orang yang berbuat  baik”.


Allah SWT telah merakamkan di dalam Al-Quran kisah yang sangat hebat ini. Ia adalah tentang perintahNYA agar Nabi Ibrahim menyembelih anak kesayangannya, Ismail sebagai tanda mematuhi dan mentaati perintah Allah. Upacara penyembelihan ini telah menjadi salah satu syariat dalam agama Islam apabila datangnya 10 Zulhijjah setiap tahun. Umat Islam diseluruh dunia digalakkan mengorbankan binatang ternakan sebagai simbolik mematuhi perintah Allah SWT sepertimana yang telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim.

===================================================

1.      Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha (Hari Raya Haji) kepada semua penjengok blog saya, terutamanya yang beragama Islam tanpa mengira di mana anda berada.

2.      Hari Raya Eidul Adha atau juga dikenali dengan panggilan Hari Raya Haji/Korban disambut umat Islam diseluruh dunia pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun.  Di Malaysia ia akan dirayakan pada hari esok, 31 Julai 2020. Hari raya ini juga mempunyai kaitan dengan  ibadat haji di Mekah yang merupakan rukun Islam yang kelima.

3.      Korban  terhadap binatang ternakan seperti lembu, kerbau atau unta yang dilakukan pada hari raya haji setiap tahun adalah bersempena umat Islam memperingati peristiwa Nabi Allah Ibrahim yang diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail.  Nabi Ibrahim melakukannya  kerana semata mata mentaati perintah Allah SWT.

4.      Ibadat korban dengan menyembelih binatang ternakan amat dituntut dalam Islam dan mendapat ganjaran pahala yang besar disisi Allah SWT. Bagi orang orang yang berkemampuan mereka berkesempatan menunaikan haji di tanah suci Mekah.

5.   Bagi yang belum berkemampuan kerana kekangan kewangan, sentiasalah mentaati perintah Allah SWT serta berusaha melakukan yang terbaik sesuai dengan ajaran agama Islam. Semoga kita diberikan kesempatan oleh Allah SWT untuk bertemu lagi dengan Eidul Adha pada tahun tahun mendatang.

6.       Bila datangnya hari raya, samada hari Raya Eidul Fitri ataupun Eidul Adha maka berkemundanglah di semua masjid dan surau di seluruh dunia bertakbir memuji kebesaran, kemulian dan keagungan Allah SWT.  Lafaz takbir raya dan maknanya ialah seperti di bawah:





                               Salam Eidul Adha dan Maaf Zahir Batin.
 
Berhati hati di jalan raya
Biar lambat asalkan selamat 
Selamat Hari Raya Eidul Adha  
Kepada semua muslimin dan muslimat

Apabila terjaga di pagi hari
Lihat semua berlawan sakan
Eidul Adha berkunjung lagi
Marilah sama kita raikan


"Bila kita beragama, dengan sendiri kita akan rasa bahawa di sisi kita ada malaikat yang memerhati, ada Allah SWT yang sedang memantau. Keyakinan ini merupakan satu brek untuk kita dari terus lakukan dosa. Tanpa adanya keyakinan seperti ini, manusia akan hilang brek. Kalau kereta hilang brek, ia akan terjun gaung. Tapi kalau manusia hilang brek, dia akan terjun neraka."  ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Tuesday, 21 July 2020

AMALAN YANG DIGALAKKAN DALAM 10 HARI PERTAMA DIBULAN ZULHIJJAH



 
1.   Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam (Hijrah). Ia termasuk dalam “Asyhurul Hurum”, iaitu salah satu dari empat bulan mulia yang Allah SWT haramkan untuk berperang di dalamnya, kecuali dalam keadaan membela diri atau terdesak.  Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:2), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan haram, dan mengenai binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka (dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.

Bulan yang termasuk dalam Asyhurul hurum (bulan-bulan haram) itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab.

2.  Esok ialah 22 hb. Julai 2020 yang bersamaan dengan 1 hb. Zulhijjah 1440.  Pada sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah itu terdapat kemuliaan dan barakah padanya. Dalam surah Al-Fajr[Waktu Fajar](89:1), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

"Demi waktu fajar.”

(89:2)

“Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”

Adapun yang dimaksudkan dengan “layaalin asyrin” (malam yang sepuluh) itu ialah sepuluh malam pada permulaan bulan Zulhijjah. Pendapat ini dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair,  Mujahid dan beberapa ulama salaf lain. Menurut riwayat Al-Bukhari dari Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada amal-amal soleh yang lebih disukai  Allah melebihi hari-hari itu".

3.   Bulan Zulhijjah ialah bulan bagi umat Islam menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu fardhu haji di Mekah dan juga bulan yang terdapat di dalamnya Hari Raya Haji serta ibadat korban.  Bagi orang-orang yang tidak sempat menunaikan haji maka adalah digalakkan mereka melakukan amalan-amalan berikut dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah.  Ini kerana ganjaran pahalanya amat besar di sisi Allah SWT. Amalan-amalan itu ialah:

3.1.   BERZIKIR: Memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT seperti “La ilaha Illalah”, “Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan juga “Allahu Akbar”.  Ini berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh At-Tabrani. Dalam konteks ini Allah SWT  berfirman dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:


"Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Ibnu Abbas  mentafsirkan maksud “hari-hari yang tertentu” itu ialah sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah dan inilah pendapat kebanyakan ulama.

3.2.   BERPUASA: Umat Islam  sangat-sangat digalakkan untuk berpuasa sunat daripada 1 hingga 9 Zulhijjah atau mana-mana hari darinya.  Hari Arafah yang jatuh pada 9 Zulhijjah pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Ia juga dikenali dengan nama puasa Arafah. Jika tidak mampu berpuasa pada hari lain maka berpuasalah pada hari itu. Pada hari itulah umat Islam yang mengerjakan haji berwukuf di Padang Arafah, iaitu yang menjadi salah satu dari rukun haji. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah” (Hadis Riwayat Muslim).  Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah, baginda menjawab; “Puasa itu menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya.” (Hadis Riwayat Muslim). 

3.3.   MENUNAIKAN SOLAT EIDUL ADHA: Sangat digalakkan  untuk menunaikan solat Eidul Adha dan mendengar khutbah. Imam Ibnu Taimiyah berpendapat solat Eidul Adha adalah wajib (kecuali jika ada keuzuran atau halangan) berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar[Nikmat Yang Banyak](108:2) yang berbunyi:


“Oleh itu, tunaikanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)”.

                                                              TAKBIR RAYA
3.4.   BERTAKBIR: Ibnu Taimiyah dalam majmu' Fatawa menjelaskan; "Hendaklah takbir dilakukan mulai dari waktu fajar hari Arafah sampai akhir hari Tasyriq (pada 11,12,13 Zulhijjah).  Ia dilakukan setiap kali selesai mengerjakan solat dan disyariatkan bagi setiap orang untuk meninggikan suara dalam bertakbir.

Imam Bukhari menjelaskan bahwa Ibnu Umar dan Abu Hurairah, mereka berdua pergi ke pasar pada sepuluh hari Zulhijjah untuk menggemakan takbir pada khalayak ramai, lalu orang-orang mengikuti takbir mereka.


3.5.   BERKORBAN: Dalam surah Al-Hajj[Haji](22:32), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hatinya.”

(Syiar-syiar Allah itu bermaksud segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan termasuklah korban).

Berkorban adalah ibadah kepada Allah dengan menyembelih seekor kambing atau sepertujuh binatang korban pada hari Eidul Adha dan tiga hari tasyriq, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijjah. Hukumnya ialah sunat muakkadah, menurut jumhur ulama. Ibadah korban bukan kewajiban sekali seumur hidup, tetapi amalan sunat yang dianjurkan setiap tahun jika berkemampuan. 

Ketika di Madinah Rasulullah SAW berkorban setiap tahun. Dalam sebuah hadis disebutkan:

عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَال : ضحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّى  
وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا ( متفق عليه)
Dari Anas ra berkata; Rasulullah SAW berkorban dengan dua kambing yang baik dan bertanduk yang disembelihnya dengan tangannya sendiri sambil mengucapkan takbir.

3.6. MENJAUHI MAKSIAT DAN MASA TERBAIK UNTUK BERTAUBAT: Bagi sesiapa yang selama ini menangguhkan taubat kepada Allah SWT, maka 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah ini ialah masa yang terbaik.  Adalah amat biadap sekali kepada Allah jika kita sebagai orang Islam masih lagi bersuka ria dengan melampaui batas dan berbuat maksiat pada hari yang sangat dimulia dan diagungkan oleh Allah SWT.



3.7. BERSEDEKAH, MEMBACA AL-QURAN, SOLAT SUNAT:  Semuanya termasuk dalam hadis umum yang membuktikan amalan-amalan itu amat disukai oleh Allah SWT.

4.   Jom kita pakat beramal dengan amalan-amalan yang mudah ini.  Carilah harta kekayaan akhirat yang pasti akan menjadi milik kekal abadi kita selama-selamanya. Yakinlah bahawa kekayaan duniawi ini akan kita tinggalkan sebaik sahaja berpisahnya roh dari jasad kita.  Perbanyakkan bekalan untuk negeri akhirat. Kita pasti akan ke sana tidak lama lagi.  Carilah JALAN PULANG  seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kita akan hidup abadi dan tinggal di sana untuk selama-lamanya. Infiniti.
                                 
"Ilmu itu tumpang menumpang, murid menumpang ilmu guru, guru juga turut menumpang kebijaksanaan muridnya. Itulah dia 'taawun' iaitu saling mengambil manfaat antara satu sama lain" – Mutiara Kata almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat