Sunday, 18 June 2017

MENCARI MALAM LAILATUL QADAR


1.   Hari ini  ialah 18.6.2017 bersamaan dengan 23 Ramadan  1438.                   Pada hari ini umat Islam telah berada dalam 10 hari terakhir Raamadan. Dalam tempoh inilah terdapatnya satu malam yang dinamakan malam Lailatul Qadar yang sangat ditunggu-tunggu oleh seluruh umat Islam di dunia.  Kenapa?.  Kerana ternyata ia adalah lebih baik dari 1,000 bulan. Ia telah disahkan/difirmankan oleh Allah SWT dalam surah Al-Qadr[Kemuliaan](97:3) yang berbunyi:


“Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan”.

2.  Kenapakah ia dinamakan Laitalul Qadar?.  Ia dinamakan sedemikian kerana keagungan dan kehebatan nilai serta keutamaannya di sisi Allah SWT.  Pada ketika itulah Allah menentukan  ajal, rezeki, dan lain-lainnya selama satu tahun.  Ia sesuai dengan  firman Allah SWT dalam surah Ad-Duhkaan[Asap](44:4) yang berbunyi:

“(Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar)”.

(44:5)

“Iaitu perkara-perkara yang terbitnya dari hikmat kebijaksanaan Kami; sesungguhnya telah menjadi adat Kami mengutus Rasul”.

3.    Pada malam inilah Al-Quran yang menjadi petunjuk kepada seluruh manusia diturunkan oleh Allah SWT dalam dua fasa. Fasa pertama diturunkan sekaligus, iaitu dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah (Langit Dunia) dan fasa kedua pula diturunkan berperingkat sedikit demi  sedikit selama 23 tahun kepada Rasulullah SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail. Dalam surah Al-Qadr[Kemuliaan](97:1), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar”.

4.  Kelebihan dan keutamaan malam Lailatul Qadar adalah bersamaan dengan 1,000 bulan. Beribadah di malam itu dengan ketaatan, solat, tilawah, zikir, doa, membaca al-Quran dan sebagainya adalah sama dengan beribadah selama seribu bulan di waktu-waktu lain. Seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun 4 bulan.  Allah memberitahu keutamaannya yang lain, iaitu keberkatannya yang melimpah dengan banyaknya. Dalam surah Al-Qadr[Kemulian](97:5), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar”.

5.  Maksudnya, malam itu adalah malam keselamatan dan kebaikan seluruhnya.  Sedikitpun idak ada kecacatan dan kekurangan di dalamnya sampai terbit fajar keesojan paginya. Di malam itu para malaikat  Allah termasuk malaikat Jibril mengucapkan salam kepada orang-orang beriman. Dalam satu hadis, Rasulullah SAW  menyebutkan keutamaan melakukan qiyamullail di malam tersebut. Baginda bersabda: "Barangsiapa melakukan solat malam pada saat Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala Allah, nescaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu," (Hadis Muttafaq 'Alaih).

6.  Mengenai waktunya, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Carilah Lailatul Qadar pada (bilangan) ganjil dari sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan," (Hadis Riwayat Bukhari, Muslim). Yang dimaksudkan  dengan malam-malam ganjil iaitu malam dua puluh satu, dua puluh tiga, dua puluh lima, dua puluh tujuh dan malam dua puluh sembilan.

7.  Sama-samalah kita mengambil peluang mencari malam tersebut dengan memperbanyakkan amalan yang baik. Semoga Allah menemukan kita dengan malam tersebut, menerima amalan kita dan mengampuni dosa-dosa kita.

“Nilai seseorang sesuai dengan kadar tekadnya, ketulusannya sesuai dengan kadar kemanusiaannya, keberaniannya sesuai dengan kadar penolakannya terhadap perbuatan jahat dan kesucian hati nuraninya sesuai dengan kadar kepekaannya terhadap kehormatan dirinya” – Mutiara Kata Khalifah Ali bin Abi Talib

Sebahagian kandungan dipetik dari detikislam

No comments:

Post a Comment