Saturday, 24 June 2017

MERAYAKAN EIDUL FITRI MENGIKUT KEHENDAK ISLAM



1.   Dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:185) Allah SWT berfirman yang berkaitan dengan sambutan eidul fitri yang berbunyi:


(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

2.    1 Syawal (Eidul Fitri) datang lagi selepas 1 bulan umat Islam seluruh dunia menunaikan kewajipan berpuasa dalam bulan Ramadan. Di Malaysia ia dijangka akan dirayakan pada tanggal 25 Jun 2017.

3.   Hari raya eidul fitri merupakan rahmat dari Allah SWT yang diberikan kepada umat Muhammad SAW yang berpuasa. Ia disebut “eid” kerana pada hari itu Allah memberikan berbagai macam kebaikan kepada kita sebagai hambaNya. Diantara kebaikan itu adalah berbuka setelah adanya larangan makan dan minum selama sebulan berpuasa dan menunaikan zakat fitrah. Perkataan “fitri” pula bermaksud fitrah. Pada umumnya fitrah  membawa maksud kejayaan manusia  kembali kepada fitrah yang asal kejadiannya. Fitrah itu merupakan suatu permulaan kejadian manusia yang sememangnya bersih dan suci daripada dosa. Ini bererti  janganlah sesekali kita mencampur adukkan perkara yang hak dengan yang batil. Kita menyambut hari raya sebagai suatu perayaan agama dan bukannya sebagai satu budaya atau tradisi. Oleh yang demikian cara menyambutnya mestilah mengikut adab dan peraturan sepertimana yang ditetapkan oleh Islam.  Elakkanlah dari  mencontohi perayaan yang disambut dan diraikan oleh orang bukan Islam.   Ibnu Umar RA berkata, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “ Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari kalangan mereka." ( Hadis Riwayat  Abu Daud).

4.  Para ulama Islam telah menjelaskan tentang sunah-sunah Rasulullah SAW yang berkaitan dengan sambutan hari raya, iaitu seperti berikut:

4.1.   Apabila diumumkan hari raya, maka mulalah malamnya dengan aktiviti ibadat dengan memperbanyakkan solat sunat, bertakbir, bertahmid dan bertasbih sebagai tanda melahirkan kesyukuran dan kasih sayang kita kepada Allah SWT. Daripada Abu Umamah  RA katanya Rasulullah SAW telah bersabda: “ Sesiapa mengerjakan amal ibadat pada malam hari raya (Aidil Fitri atau Aidil Adha) dengan mengharapkan keredaan Allah SWT semata-mata, hatinya tidak akan mati (pada hari kiamat) sebagaimana matinya hati (orang-orang yang kufur engkar) pada hari itu.”  (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

4.2.   Mandi pada pagi hari raya: Disunatkan mandi pada pagi hari raya sekalipun tidak berhasrat untuk solat hari raya dimasjid. Ini berdasarkan kepada amalan sahabat dimana Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda “Sesungguhnya Ibnu Umar R.A mandi pada hari raya fitrah sebelum keluar pada pagi hari raya”.(Hadis Riwayat Imam Malik). 

4.3.  Selepas itu kita disunatkan menghias diri dengan memakai pakaian baru kerana hari raya adalah hari yaum az-zinah, iaitu hari perhiasan. Berhias sebelum berangkat menunaikan solat hari raya. Disunatkan bagi laki-laki untuk membersihkan diri dan memakai pakaian terbaik yang dimilikinya, memakai minyak wangi dan bersiwak. Bagi wanita pula tidaklah dianjurkan untuk berhias dengan mengenakan pakaian yang mahal-mahal dan mewah serta menggunakan minyak wangi. Sebaik-baiknya hendaklah memakai baju baru sebagai melahirkan kegembiraan kita menyambut hari raya. Dari Hasan bin Ali RA  menceritakan bahawa: “Rasulullah SAW meminta kami pada dua hari raya supaya memakai pakaian paling cantik yang kami miliki, menggunakan wangian paling harum yang kami ada dan supaya kami menyembelih korban dengan binatang paling gemuk yang kami miliki”. (Hadis Riwayat Imam al-Hakim dan at-Thabrani).

4.4.   Makan sebelum menunaikan solat hari raya: “Dari Anas RA, beliau berkata: “Rasulullah SAW tidak keluar rumah pada hari raya eidul fitri sebelum baginda makan beberapa biji kurma dengan bilangan yang ganjil.” (Hadis Riwayat Bukhari). Menurut Ibnu Muhallab, hikmah makan sebelum solat adalah agar jangan ada yang beranggapan harus tetap puasa hingga solat hari raya.  
 
4.5.   Mengambil jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari solat hari raya seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Tujuannya adalah agar orang-orang yang melalui jalan itu boleh memberikan salam kepada orang-orang yang tinggal disekitar jalan yang dilalui tersebut bagi mengeratkan lagi silaturrahim.

4.6.   Bertakbir: Rasulullah bertakbir sambil berangkat menunaikan solat hari raya  hingga tiba tempat  solat bahkan sampai solat akan dilaksanakan. Kenapakah kita diwajibkan bertakbir.  Jawapnya ialah kerana firman Allah dalam ayat di atas supaya kita membesarkan Allah SWT dan bersyukur kepadaNya. 

                        BERTAKBIR MEMBESARKAN ALLAH S.W.T. DI HARI RAYA

SUASANA SOLAT HARI RAYA DI CHINA
4.7.   Solat hari raya: Hukum solat hari raya adalah fardhu ‘ain bagi setiap orang kerana Rasulullah sentiasa mengerjakan solat hari raya. Solat hari raya akan menggugurkan kewajipan solat Hari Jumaat jika hari raya jatuh pada hari Jumaat. Rasulullah juga menyuruh wanita yang tidak mempunya jilbab untuk dipinjamkan jilbab agar dia boleh hadir ke tempat solat.  Ini menunjukkan bahawa hukum solat eidul fitri adalah fardhu ‘ain. Kaum wanita juga dibenarkan sama bersolat sunat hari raya secara berjemaah. Ummu ‘Athiyyah r.a. menceritakan “Kami (para wanita di zaman Rasulullah SAW) diperintahkan supaya keluar pada hari raya (ke tempat solat) sehingga kami mengeluarkan anak gadis dari tabir/tirainya (yakni kami mengeluarkan anak gadis kami dari biliknya untuk membawa mereka bersama-sama ke tempat solat), dan sehingga perempuan-perempuan yang kedatangan haid juga turut sama keluar tetapi mereka duduk di belakang orang ramai; bertakbir bersama dengan takbir mereka dan berdoa bersama dengan doa-doa mereka serta mengharapkan keberkatan hari tersebut dan kesuciannya” (Hadis Riwayat Imam Bukhari).

SULTAN MUHAMMAD V DAN ARWAH TUAN GURU NIK AZIZ
4.8. Ucapan Selamat Hari Raya: Al-Hafidz ibnu Hajar berkata dari Jubair bin Nufair yang menceritakan “Adalah para sahabat Rasulullah SAW apabila saling bertemu pada hari raya maka berkata sebahagian mereka kepada sebahagian yang lain ‘Semoga Allah menerima dari kami dan dari kamu” (Riwayat Fathul-Bari). Sewaktu menemui saudara, kita hendaklah bersalam-salaman dalam suasana dan semangat persaudaraan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang berjumpa, lalu mereka berdua saling berjabat tangan melainkan akan diampunkan bagi kedua-dua mereka sebelum mereka berpisah lagi”(Hadis Riwayat Imam Abu Daud). Semangat ukhwah dan persaudaraan Islam hendaklah disuburkan semasa meraikan sambutan hari raya. Inilah lambang kekuatan sebenar umat Islam seumpama binaan batu-batan yang kukuh dan kuat dan saling memerlukan antara satu sama lain.

5.  Kemenangan sewaktu menyambut Eidul Fitri bererti kemenangan sahsiah manusia yang mampu membendung nafsu dan sifat mazmumah selama berpuasa.  Puasa merupakan sekolah latihan dan apa-apa yang dipelajari disekolah tersebut hendaknya berterusan dan berkekalanlah  selama-lamanya.

SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN DI SINI UNTUK MENGUCAPKAN SALAM EIDUL FITRI KEPADA SEMUA PENJENGUK BLOG SAYA YANG BERAGAMA ISLAM.  MAAF ZAHIR BATIN KEPADA SEMUA.  SEMOGA SEMUA AMALAN BAIK KITA SELAMA INI DITERIMA OLEH ALLAH SWT.

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri.

No comments:

Post a Comment