1. Bulan Zulhijjah adalah bulan terakhir dalam kalendar Islam (Hijrah). Ia termasuk dalam “Asyhurul Hurum”, iaitu salah satu dari empat bulan mulia yang Allah SWT haramkan untuk berperang di dalamnya, kecuali dalam keadaan membela diri atau terdesak. Dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:2), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Wahai
orang-orang yang beriman, janganlah kamu ingat halal membuat sesuka hati
mengenai syiar-syiar agama Allah, dan mengenai bulan-bulan haram, dan mengenai
binatang-binatang yang dihadiahkan (ke Makkah untuk korban), dan mengenai
kalong-kalong binatang hadiah itu, dan mengenai orang-orang yang menuju ke
Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia dari Tuhan mereka
(dengan jalan perniagaan) dan mencari keredaanNya (dengan mengerjakan ibadat
Haji di Tanah Suci); dan apabila kamu telah selesai dari ihram maka bolehlah
kamu berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada suatu kaum kerana
mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam itu - mendorong kamu
menceroboh. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan
bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat)
dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha
Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”.
Bulan bulan yang termasuk dalam
Asyhurul hurum (bulan-bulan haram) itu ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan
Rejab.
2. Esok ialah 13 hb.Ogos 2018
yang bersamaan dengan 1 hb. Zulhijjah 1439.
Pada sepuluh hari pertama dalam bulan Zulhijjah (13 hingga 22 Ogos 2018)
ini terdapat kemuliaan dan barakah padanya.
Dalam surah Al-Fajr[Waktu
Fajar](89:1), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
"Demi
waktu fajar.”
(89:2)
“Dan
malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah).”
3. Adapun yang dimaksudkan dengan “layaalin asyrin” (malam yang
sepuluh) itu ialah sepuluh malam pada permulaan bulan Zulhijjah. Pendapat ini
dikemukakan oleh Ibnu Abbas, Ibnu Zubair,
Mujahid dan beberapa ulama salaf lain. Menurut riwayat Al-Bukhari dari
Ibnu Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Tiada amal-amal soleh yang
lebih disukai Allah melebihi hari-hari
itu".
4. Bulan
Zulhijjah ialah bulan bagi umat Islam menunaikan rukun Islam yang kelima, iaitu
fardhu haji di Mekah dan juga bulan yang terdapat di dalamnya Hari Raya Haji
serta ibadat korban. Hari raya haji pada tahun ini telahpun diisytiharkan, iaitu jatuh pada hari Rabu, 22.8.2018 yang bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1439 Hijrah. Bagi orang-orang
yang tidak menunaikan rukun haji adalah digalakkan untuk mereka melakukan
amalan-amalan berikut dalam 10 hari pertama bulan Zulhijjah. Ini kerana ganjaran pahalanya amat besar di
sisi Allah SWT. Diantara amalan-amalan itu ialah:
4.1. BERZIKIR:
Memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT seperti “La ilaha Illalah”,
“Subhanallah”, “Alhamdulillah” dan juga “Allahu Akbar”. Ini berdasarkan dari hadis Rasulullah SAW
yang diriwayatkan oleh At-Tabrani. Dalam konteks ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:28) yang berbunyi:
"Supaya mereka menyaksikan berbagai
perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut
nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaanNya kepada mereka
dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian
makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan
kepada orang yang susah, yang fakir miskin”.
Ibnu Abbas mentafsirkan maksud “hari-hari yang tertentu” itu ialah sepuluh hari dalam bulan Zulhijjah dan inilah pendapat kebanyakan ulama.
4.2. BERPUASA:
Umat Islam sangat-sangat digalakkan
untuk berpuasa sunat daripada 1 hingga 9 Zulhijjah atau mana-mana hari
darinya. Hari Arafah yang jatuh pada 9
Zulhijjah pula adalah hari yang terbaik untuk berpuasa. Ia juga dikenali dengan
nama puasa Arafah. Jika tidak mampu berpuasa pada hari lain maka berpuasalah
pada hari itu. Pada hari itulah umat Islam yang mengerjakan haji berwukuf di
Padang Arafah, iaitu yang menjadi salah satu dari rukun haji. Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud; “Tiada hari yang Allah lebih banyak membebaskan
hambanya lebih dari hari Arafah” (Hadis Riwayat Muslim). Apabila ditanya tentang kelebihan berpuasa
pada hari Arafah, baginda menjawab; “Puasa itu menghapuskan dosa satu tahun yang lalu dan satu tahun berikutnya.”
(Hadis Riwayat Muslim).
4.3. MENUNAIKAN
SOLAT EIDUL ADHA: Sangat digalakkan
untuk menunaikan solat Eidul Adha dan mendengar khutbah. Imam Ibnu
Taimiyah berpendapat solat Eidul Adha adalah wajib (kecuali jika ada keuzuran
atau halangan) berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Al-Kautsar[Nikmat Yang Banyak](108:2) yang berbunyi:
VIDEO TAKBIR RAYA
4.4. BERTAKBIR: Ibnu Taimiyah dalam majmu'
Fatawa menjelaskan; "Hendaklah takbir dilakukan mulai dari waktu fajar
hari Arafah sampai akhir hari Tasyriq (pada 11,12,13 Zulhijjah). Ia dilakukan setiap kali selesai mengerjakan
solat dan disyariatkan bagi setiap orang untuk meninggikan suara dalam
bertakbir.
Imam Bukhari menjelaskan bahwa Ibnu Umar dan Abu Hurairah, mereka berdua pergi ke pasar pada sepuluh hari Zulhijjah untuk menggemakan takbir pada khalayak ramai, lalu orang-orang lain mengikuti takbir mereka.
4.5.
BERKORBAN: Dalam surah Al-Hajj[Haji](22:32),
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Demikianlah (perintah Allah). Dan sesiapa
yang mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari
ketaqwaan hatinya.”
(Syiar-syiar
Allah itu bermaksud segala amalan yang dilakukan dalam rangka ibadat haji dan
termasuklah korban).
Berkorban
adalah ibadah kepada Allah dengan menyembelih seekor kambing atau sepertujuh
binatang korban pada hari Eidul Adha dan tiga hari tasyriq, iaitu pada 11, 12
dan 13 Zulhijjah. Hukumnya ialah sunat muakkadah, menurut jumhur ulama. Ibadah
korban bukan kewajiban sekali seumur hidup, tetapi amalan sunat yang dianjurkan
setiap tahun jika berkemampuan.
Ketika
di Madinah Rasulullah SAW berkorban setiap tahun. Dalam sebuah hadis
disebutkan:
عَنْ أَنَسٍ رضي الله عنه قَال : ضحَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ وَسَمَّ
وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا ( متفق عليه)
Dari
Anas ra berkata; Rasulullah SAW berkorban dengan dua kambing yang baik dan
bertanduk yang disembelihnya dengan tangannya sendiri sambil mengucapkan
takbir.
4.6. MENJAUHI MAKSIAT DAN MASA TERBAIK UNTUK
BERTAUBAT: Bagi sesiapa yang selama ini menangguhkan taubat kepada Allah
SWT, maka 10 hari pertama dalam bulan Zulhijjah ini ialah masa yang
terbaik. Adalah amat tidak beradab sekali
kepada Allah jika kita sebagai orang Islam masih lagi bersuka ria dengan
melampaui batas dan berbuat maksiat pada hari yang sangat dimulia dan
diagungkan oleh Allah SWT.
4.7. BERSEDEKAH, MEMBACA AL-QURAN, SOLAT SUNAT: Semuanya termasuk dalam hadis umum yang membuktikan
amalan-amalan itu amat disukai oleh Allah SWT.
5. Jom kita pakat beramal dengan amalan-amalan yang mudah
ini. Carilah harta kekayaan akhirat yang
pasti akan menjadi milik kekal abadi kita selama-selamanya. Yakinlah bahawa
kekayaan duniawi ini akan kita tinggalkan sebaik sahaja berpisahnya roh dari
jasad kita. Perbanyakkan bekalan untuk
negeri akhirat. Kita pasti akan ke sana tidak lama lagi. Carilah JALAN PULANG seperti yang telah diajarkan oleh Rasulullah SAW. Kita akan hidup abadi dan tinggal di sana untuk
selama-lamanya. Infiniti.
"Walaupun malam gelap dan di bawah meja, semua kerja-kerja
sulit akan didedahkan apabila kita berhadapan dengan Allah SWT di akhirat
kelak. Baik manusia hebat mana pun, semuanya akan didedah rahsianya nanti.
Keyakinan seperti ini boleh menyebabkan manusia terbantut untuk buat
maksiat.." ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
No comments:
Post a Comment