Monday, 17 September 2018

HANYA MEMPEROLEHI 8 PERKARA AGAMA SETELAH BELAJAR SELAMA 33 TAHUN


Satu hari seorang guru, Imam Syaqiq Al-Balkhi bertanya kepada anak muridnya, Hatim Al-Asom. Dialog percakapan mereka berdua adalah seperti berikut:

Guru: Sudah berapa lama engkau menuntut ilmu dari aku?.

Murid: Sudah 33 tahun, tuan guru.

Guru: Apa yang telah engkau pelajari selama 33 tahun itu wahai Hatim?.

Murid: Hanya 8 perkara tuan guru.

Guru: Innalilahiwainnailaihirajiun.  Aku habiskan umurku untuk mendidikmu, namun engkau hanya mampu mempelajari 8 perkara sahaja.

Murid; Ya, benar tuan guru. Aku hanya memperolehi 8 perkara sahaja dan aku tidak mahu berbohong kepada tuan guru.

Guru: Cuba engkau senaraikan 8 perkara yang telah engkau pelajari itu.

Murid: 8 perkara itu ialah:

Pertama:  Aku melihat setiap manusia memiliki seorang kekasih.  Ketika dia mati, kekasihnya ikut menghantarkannya ke tanah perkuburan lalu meinggalkannya bersendirian di sana.

Maka aku lebih memilih amal kebajikanku sebagai kekasihku  sehingga ketika aku masuk liang lahad nanti, amalku akan bersamaku di sana.

Kedua: Aku merenungkan firman Allah yang berbunyi:


“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu” = Petikan dari surah Surah An-Naaziat [Malaikat Yang Mencabut] (79:40).


“Maka sesungguhnya Syurgalah tempat kediamannya”. = Surah An-Naaziat (79:41)

Aku sedar bahawa firman Allah pastilah benar, maka akupun berjuang untuk melawan keinginan nafsuku hingga nafsuku tunduk kepada perintah Allah SWT.

Ketiga: Aku perhatikan manusia selalu memuliakan  dan menyimpan harta benda berharga yang mereka miliki, lalu ku pelajari firman Allah yang berbunyi:


“(Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan”. = Petikan dari surah An-Nahl[Lebah](16:96)

Keempat: Aku melihat setiap manusia mengejar harta , kedudukan, kehormatan dan kemuliaan nasab. Namun setelah aku mempelajarinya ternyata semua itu tidak memberi apa apa makna apabila aku membaca firman Allah SWT yang berbunyi:


“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)” = Petikan dari surah Al-Hujurat[Bilik-Bilik](49:13)

Kerana itulah aku pun beramal untuk membina taqwa dalam diriku agar aku memperolehi kedudukan yang mulia disisi Allah SWT,

Kelima: Aku melihat manusia saling mencela dan melaknat dan punca semua itu adalah hasad dengki. Lalu aku mempelajari wahyu Allah yang berbunyi:


“(Mengapa pemberian Kami itu mereka ingkarkan?) Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan (perkara-perkara keruhanian dan keugamaan yang menjadi sebesar-besar) rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad, seolah-olah Kami hanya berkuasa dalam perkara kebendaan dan keduniaan sahaja? Mereka tidak ingkarkan): Kami membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita); dan juga Kami telah menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain. Dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan”. = Petikan dari surah AZ-Zukhruf [Perhiasan] (43:32)

Akupun sedar bahawa semuanya telah dibahagi oleh Alah SWT. Maka aku tinggalkan hasad dengki, ku jauhi manusia dan aku tidak bermusuhan dengan sesiapa pun.

Keenam: Aku melihat manusia saling menganiaya dan berbunuhan padahal Allah SWT telah berfirman yang yang berbunyi:


Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka” = Petikan dari surah  Al-Faatir [Pencipta] (35:6).

Oleh sebab itu aku tinggalkan permusuhan dengan manusia dan kujadikan syaitan sebagai satu satunya musuhku.  Aku selalu berwaspada dengannya dengan sekuat tenaga sebab Allah telah menjadikan syaitan sebagai musuhku.

Ketujuh: Aku melihat setiap orang hanya demi sepotong roti (harta), mereka rela menghinakan diri mereka sendiri dengan melakukan perkara perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.  Lalu aku perhatikan firman Allah yang berbunyi:


Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang melata di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan)”. = Petikan dari Surah Hud (11:6)

Lalu aku sedar bahawa diriku adalah salah satu dari yang melata itu dan Allah SWT telah menjanim reezekiku.  Oleh itu aku sibukkan diriku untuk menunaikan kewajipan yang telah diamanahkan Allah dan aku tidak pernah merisaukan sesuatu yang telah dijamin oleh Allah untukku.

Kelapan: Aku melihat semua orang bergantung kepada makhluk Allah. Ada yang bergantung kepada ladangnya, perniagaannya, pekerjaannya, kesihatan jasmaninya.  Akupun kembali kepada firman Alah SWT yang berbunyi:


“Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”. = Petikan dari surah At-Talaaq[Perceraian] (65:3)

Oleh kerana itulah akupun bertawaqal kepada Allah yang maha berkuasa lagi perkasa  dan Allah pun mencukupi semua keperluanku.

Mendengar 8 jawapan anak muridnya itu, si guru pun berkata : “Wahai  Hatim, semoga Allah SWT memberimu taufiq. Aku telah mempelajari kitab zabur, Taurat, Injil dan Al-Quran. Dan aku temui bahawa semua jenis kebaikan dan ajaran agama berkisar pada 8 perkara yang telah engkau jelaskan tadi.  Sesiapa yang telah mengamalkan 8 perkara itu sesungguhnya dia telah mengamalkan isi dari 4 kitab tersebut.

Dipetik dari grup MPKM-Herbal
Di rumah Allah kita menjadi imam dan makmum, manakala di luar rumah Allah kita disebut pemimpin dan rakyat. Orangnya masih sama. Khutbah dalam masjid menerangkan dasar-dasar Allah manakala ucapan di luar masjid adalah untuk melaksanakan dasar-dasar Allah. = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment