Saturday, 5 September 2015

MENGENALI HAKIKAT DIRI


1.  Ada tiga persoalan yang perlu kita tanya diri sendiri dan berikan jawapan yang tepat kepadanya. Memahami tiga persoalan ini boleh menjamin keselamatan hidup kita di dunia dan juga akhirat. Tiga persoalan itu ialah dari mana kita datang?, untuk apa kita datang dan ke manakah kita selepas ini?:

1.1.      DARI MANA KITA DATANG?

1.1.1. Asalnya kita semua manusia ini datang dari mana?. Jawabnya kita semua bermula dari roh yang diciptakan oleh Allah SWT dan tinggallah kita dalam alam itu sebelum roh kita dimasukkan dalam jasad tatkala kita berada di alam rahim (kandungan) ibu masing-masing. Mengikut sebahagian pendapat, roh kita ditiupkan oleh malaikat ke dalam jasad semasa kita berumur lebih kurang 4 bulan dalam kandungan ibu. Tatkala kita di alam roh, apabila ditanya oleh Allah SWT siapakah tuhan mereka,  semua roh memberi jawapan yang sama, iaitu Allah adalah  tuhan mereka. Dalilnya ialah seperti firman Allah SWT dalam Surah A’araf[Tempat Yang Tinggi](7:172) yang berbunyi:




“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab: “Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi”. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.

1.1.2. Ini bermakna sebelum masuk ke dalam jasad kita, roh telahpun mengenali Allah SWT, bahkan sudah menyaksikan bahawa Allah SWT adalah tuhan mereka dan sudah mengaku menjadi hambaNya. Tetapi tatkala dilahirkan ke dunia, roh dikurung dalam jasad (badan) manusia.

1.1.3. Telah diketahui bahawa manusia pertama iaitu Nabi Adam dicipta dari tanah manakala isterinya Hawa dicipta dari tulang rusuk kiri Nabi Adam. Manusia semua diciptakan daripada air mani lelaki dan benih wanita selepas berlaku persenyawaan. Berikutnya  maka terbentuklah  janin di dalam kandungan perut ibu masing-masing. Apabila dilahirkan sahaja maka manusia telah memasuki alam fana, iaitu alam dunia.


1.1.4. Lihatlah bagaimana anak kita semasa dilahirkan untuk mengetahui bagaimana kita dilahirkan ke dunia dulu.  Lahir dari lubang kemaluan ibu yang kotor.  Kita lahir dengan badan yang diselimuti dengan lendir dan darah yang busuk dengan penuh kehinaan.  Lahir dalam keadaan yang paling lemah selemah-lemahnya.  Tidak mengerti apa-apa dan tidak mempunyai apa-apa kekuatan.  Hanya menangis yang kita tahu.  Lapar menangis, kencing menangis, berak menangis, sejuk menangis, panas dan tak selesa pun menangis, takut pun menangis. Bukankah menangis itu fitrah kita?. Lalu membesarlah kita hari demi hari.  Siapakah yang membesarkan kita?.  Ibu kita?. Bukan. Ibu kita hanya boleh memberikan susu dadanya dan makanan-makanan yang lain kepada kita. Ibu kita tidak ada kuasa membesarkan kita. Yang membesarkan kita tidak lain melainkan Allah SWT. Sebab itu ada orang yang makannya tidak pernah putus-putus tapi badanya kecil dan kurang membesar.
 
1.2. APAKAH TUJUAN KITA DATANG KE DUNIA?

1.2.1.  Dengan kemahuan dan ehsan Allah SWT  maka membesarlah kita.  Dari seorang bayi menjadi budak.  Dari budak menjadi remaja kemudiannya bertukar menjadi belia.  Dari belia menjadi dewasa dan kemudiannya tua.  Semuanya dengan peliharaan dan rahmat dari Allah SWT.  Namun kita tetap hina di sisi Allah SWT.  Lihatlah sahaja apa yang ada dalam perut kita yang kita bawa ke mana-mana.  Bukankah di dalamnya ada tahi yang busuk dan hina.  Sedarlah itulah kita walaupun badan dilitupi oleh pakaian yang mahal-mahal dan perhiasan yang hebat.

1.2.2. Tujuan manusia diciptakan oleh Allah SWT dan dilahirkan ke dunia ini telah dijelaskan dalam firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat[Angin Kencang](51:56) yang berbunyi:



“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.”
 
DATANG UNTUK SEKADAR MENCARI BEKALAN AKHIRAT
1.2.3. Beribadat kepada Allah SWT tidak hanya bermaksud mengerjakan solat (menyembah Allah), berpuasa, menunaikan haji, membayar zakat dan melakukan kebajikan dan kebaikan sahaja. Beribadat mempunyai pengertian yang jauh lebih luas. Beribadat kepada Allah SWT bermaksud melaksanakan semua perintah Allah (amal makruf) dan meninggalkan semua laranganNya (nahi mungkar) dengan bersungguh-sungguh. Manusia perlu menerima hakikat bahawa Allah SWT adalah raja  di bumi dan juga di langit. Sebagai seorang hamba kepada Allah SWT maka manusia seharusnya patuh dan taat kepada semua perintah dan laranganNya.  Semua urusan kehidupan di dunia ini wajib  mengguna pakai hukum hakam dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah seperti yang telah diajar oleh pesuruhnya Nabi Muhammad SAW. 

1.2.4. Selain daripada menjadi hamba Allah SWT di dunia ini, kita juga telah dipilih oleh Allah SWT untuk menjadi khalifahNya di muka bumi ini bagi memakmurkan dunia dengan melaksanakan perintah Allah. Allah SWT telah berfirman dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:30) yang berbunyi:
 


Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

1.2.5. Apakah maksud khalifah menurut bahasa: Khalifah  berasal daripada perkataan Arab iaitu khalafa yang bererti ganti. Ganti maknanya seseorang yang menggantikan seseorang yang lain. Dia melaksanakan sama ada bersama-sama dengan orang yang digantikannya atau melaksanakannya ketika ketiadaannya. Ia termasuklah menggantikan orang yang tiada, menggantikan orang yang telah mati, menggantikan tempat bagi orang yang tidak mampu menguruskannya ataupun menggantikan tempat seseorang sebagai memuliakannya.

1.2.6. Maksud khalifah menurut istilah: Bermakna generasi manusia yang dipilih oleh Allah SWT sebagai penggantiNya untuk mentadbir, mengurus dan memakmurkan muka bumi ini dengan berpandukan Al-Quran dan sunah Rasulullah SAW bagi mencapai matlamat kesejahteraan umat manusia sejagat. Gelaran khalifah diberikan oleh Allah kepada kaum mukmin keseluruhannya.  Ia tidak terhad kepada keluarga tertentu, kelas tertentu, suku kaum tertentu atau bangsa tertentu sahaja. Setiap orang mukmin adalah menjadi khalifah Allah SWT di muka bumi yang sesuai dengan kemampuan dirinya. 

1.3. KE MANA KITA AKAN PERGI SELEPAS INI?

 
PERMULAAN UNTUK PERGI, ADA LAGIKAH KESOMBONGAN DIRI ?
1.3.1. Sesungguhnya tidak ada seorang manusia pun yang tidak akan merasai seksaan di saat kematian. Apabila manusia dimatikan oleh Allah SWT maka berpisahlah roh dari jasadnya. Roh manusia akan disimpan oleh Allah di suatu tempat khas manakala jasadnya pula akan disemadikan dalam tanah, iaitu di dalam kubur. Alam kubur ialah alam barzakh, iaitu alam pemisah diantara alam dunia dan alam akhirat. Tidak ada seorang manusia pun yang tahu bila mereka akan mati. Itulah sebabnya ramai orang yang masih leka dan tiada persediaan untuk menanti saat kematian mereka. Dalam Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:35), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

“Tiap-tiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.”

TEMPAT PENANTIAN HARI KEBANGKITAN DAN PERHIMPUNAN
RAKSASA
1.3.2. Apabila seseorang mati maka 3 perkara yang akan mengiringinya ke tanah perkuburan, iaitu manusia (kaum keluarga, jiran, sahabat handai dan sebagainya), harta (kereta, kain penutup keranda, payung dan seumpamanya) dan kebajikan (pahala) dari amalan soleh yang dilakukan semasa hayatnya. Sebaik sahaja selesai mayat ditalqinkan maka manusia dan harta akan balik ke rumah masing-masing.  Tinggalkan kebajikan (pahala) yang akan menjadi teman di dalam kuburnya untuk menjadi pembelanya. Sebaik 3 langkah orang meninggalkan tanah perkuburan maka datanglah janji Allah SWT, iaitu datanglah malaikat Munkar dan Nakir untuk bertanya mayat dalam alam kubur tentang siapa tuhannya, apa agamanya dan siapa nabinya, apa kitabnya, siapa saudaranya dan sebagainya. Begitulah kehidupan manusia di alam barzakh setiap hari berhadapan dengan pertanyaan malaikat. Samada kuburnya menjadi sebahagian dari taman-taman syurga ataupun sebahagian dari jurang neraka akan bergantung sepenuhnya kepada bekalan amalannya semasa hidup di dunia.

1.3.3. Dari hari kehari mayat kita dalam kubur mengalami proses pereputan. Lihat proses pereputan jasad kita di bawah:

Hari  Pertama: Perut dan kemaluan mulai reput. Dua anggota inilah yang merosakan kehidupan manusia. Dengan dua anggota ini manusia akan mendapat untung atau celaka.Warna jasad akan bermula dengan hijau tanpa mekap dan perhiasan.

Hari kedua: Anggota dalaman seperti hati, jantung dan sebagainya mulai hancur.

Hari ketiga:  Semua anggota akan mengeluarkan bau busuk.

Selepas seminggu: Mata, lidah dan pipi mula hancur dan rosak.

Selepas 10 hari: Semua anggota badan telah hancur.

Selepas 2 minggu:  Rambut mulai luruh.

Selepas 15 hari: Lalat dan ulat-ulat mulai mencium bau dan memamah jasad.

Selepas 6 bulan: Tiada lagi sisa dari badan kita. Rangka kita mula terbentuk.

1.3.4.   Renungkanlah gambar di bawah. Mudah-mudahan boleh melembutkan hati kita. 

BETAPA KAYA KITA, BETAPA BESAR PANGKAT KITA, BETAPA TINGGI BINTANG KEBESARAN KITA NAMUN INILAH HAKIKAT KITA YANG SEBENARNYA.  DISEBALIK PAKAIAN YANG MAHAL DAN ISI BADAN ITU IALAH KERANGKA YANG TIDAK ADA SEBARANG NILAI.  RENUNG DAN AMATI GAMBAR DI ATAS DENGAN PENUH KEINSAFAN. INI IALAH KITA SATU HARI NANTI YANG WAJIB BERLAKU. INSAFLAH WAHAI MANUSIA. SEGERALAH BERTAUBAT DAN KEMBALI KEPADA ALLAH SWT, PENCIPTA KITA.
1.3.5. Lama kelamaan jasad kita akan diselimuti oleh tanah. Yang tinggal hanyalah kerangka tanpa sedikit pun isi dan daging. Dari tanah kita datang dan kepada tanah jugalah kita kembali. Begitulah sempurnanya penciptaan Allah SWT.
 
INILAH HAKIKAT KITA SELEPAS RATUSAN ATAU RIBUAN TAHUN DI DALAM KUBUR - HEBAT LAGIKAH KITA?
1.3.6. Selepas berlakunya hari kiamat maka semua manusia akan dihimpunkan di Padang Mahsyar untuk melalui proses keadilan di mana manusia akan di adili seadil-adilnya di mahkamah Allah dan dijalankan timbangan amal (mizan). Selepas mizan akan ada pula titian yang perlu dilalui untuk ke syurga atau ke neraka iaitu titian Siratul Mustakim. Ada manusia yang berjaya melalui titian ini hingga berjaya ke syurga dan ramai yang kecundang hingga terjatuh dibawahnya iaitu  ke dalam neraka. Waliyyazubillah. Kesudahan bagi setiap manusia ialah samada kita mampu ke syurga ataupun ke neraka bagi meneruskan kehidupan untuk selama-lamanya.
 
2.      Apakah hakikat diri ini.  Tidak lain melainkan dicipta dan dihidupkan oleh Allah di dunia ini semata-mata untuk mencari bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat nanti. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud dunia ini ialah tempat manusia bercucuk tanam tetapi hasilnya hanya dapat dituai ketika di akhirat nanti.  Persiapkanlah diri masing-masing dengan bekalan yang mencukupi bagi satu perjalanan yang maha jauh. Perjalanan yang tiada penghujungnya lagi. Infiniti.



“Tiada bekal yang lebih utama daripada takwa. Tiada sesuatu yang lebih baik daripada diam. Tiada musuh yang lebih berbahaya daripada kebodohan. Tiada penyakit yang lebih parah daripada berbohong”. – Mutaiara Kata Al-Imam Ja'afar As-Siddiq

Thursday, 3 September 2015

MENGENALI CIRI-CIRI ORANG YANG MENCINTAI DAN DICINTAI ALLAH


1.  Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:54), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


"Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang mana mereka bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah limpah kurnia Allah, diberikanNya kepada siapa yang dikehendakiNya, dan Allah maha luas limpah kurniaNya lagi maha mengetahui." 

2.   Berdasarkan firman di atas terdapat empat sifat dan kelakuan orang yang mencintai Allah dan dicintai oleh Allah, iaitu bersikap lemah lembut terhadap sesama mukmin, bersikap keras (tegas) terhadap orang-orang kafir, berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.  Huraian kepada firman Allah SWT ini ialah seoerti berikut:

2.1.   Bersikap lemah lembut terhadap orang mukmin:

Bersikap lemah lembut sesama mukmin ini dijelaskan dalam firman Allah SAW dan sabda Rasulullah SAW seperti berikut:

2.1.1. Dalam Surah Al-Fath [Kemenangan](48:29), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

“Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.”

2.1.2. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak beriman seorang daripada kamu sehingga dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis Riwayat Bukhari).

2.1.3. Sabda Rasulullah SAW yang lain pula bermaksud: “Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana-mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

2.2.  Bersikap keras (tegas) terhadap orang-orang kafir:

2.2.1. Setiap orang mukmin perlu bersikap tegas terhadap orang kafir sekiranya mereka mengajak kepada ajaran agama mereka, atau pun mereka cuba menghidupkan budaya mereka dan menyesatkan orang Islam. Apabila Allah SWT kata perlu berkeras ini bermakna jangan sekali-kali orang mukmin terpengaruh dengan ajakan orang kafir untuk mengikuti cara hidup mereka. Cara hidup orang mukmin sangat jauh berbeza dengan cara hidup orang-orang kafir. Orang mukmin menganggap hidup di dunia hanya sementara sahaja kerana kehidupan yang abadi itu di akhirat sedangkan orang-orang kafir menganggap dunia ini ialah tempat untuk berhibur dan berseronok-seronok kerana itulah matlamat hidup bagi mereka. 

2.2.2. Sekiranya orang kafir tidak memusuhi Islam dan boleh bekerjasama dengan orang-orang Islam maka kita perlu menghormati mereka dan berusaha berdakwah supaya mereka memahami Islam dan akhirnya masuk Islam. 

2.3. Berjihad di jalan Allah:

2.3.1. Dalam Surah At-Taubah[Pegampunan](9:111), Allah SWT berfirman yang berbunyi:
 

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya selain dari Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.”

2.3.2. Allah telah memberi jaminan akan membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa dan  harta mereka dengan balasan/ganjaran syurga. Apakah ada tawaran yang lebih hebat dari syurga?. Betapa tinggi dan mulianya tawaran Allah SWT kepada orang-orang beriman. Orang beriman akan berbahagia hidup di dunia dan di akhirat nanti bakal memperolehi ganjaran syurga.

2.4. Tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela:

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mencela seorang muslim adalah kefasikan, dan membunuhnya adalah kekufuran”. (Hadis Riwayat Muslim).  Islam mengajar kita supaya tidak takut kepada celaan orang selagi mana setiap pekerjaan dan perbuatan yang dilakukan tidak bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain itu kita juga diajar supaya tidak mencela orang lain. Orang yang suka mencela, menghina, memfitnah ataupun   mengaibkan orang lain adalah terdiri dari orang-orang yang fasik. 

3.   Jika kita mahu menjadi orang yang mencintai Allah dan dicintai oleh Allah maka kita perlulah beramal dengan empat perkara yang disebutkan di atas.  Empat perkara ini bukanlah sesuatu yang sukar untuk dipraktikkan sedangkan ganjaran dari Allah adalah amat besar sekali, iaitu menjadi seorang hamba yang dicintaiNya.

“Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq

Tuesday, 1 September 2015

DUA MATA YANG TIDAK DISENTUH API NERAKA



1.    Di dalam Al-Quran Allah SWT telah berfirman sebanyak 8 kali tentang tangisan atau air mata manusia. Firman-firman itu ialah dalam surah-surah berikut:

          1.1.   Al-Maidah[Hidangan](5:83) yang berbunyi:


“Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah (Muhammad SAW), engkau melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan apa yang mereka ketahui (melalui Kitab mereka) dari kebenaran (Al-Quran), sambil mereka berkata: “Wahai Tuhan kami, kami beriman (kepada Nabi Muhammad dan Kitab Suci Al-Quran), oleh itu tetapkanlah kami bersama-sama orang-orang yang menjadi saksi (yang mengakui kebenaran Nabi Muhammad SAW)”.

1.2.   At-Taubah[Pengampunan](9:82) yang berbunyi:


Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (di akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka telah usahakan.

(9:92)


“Dan tidak juga berdosa orang-orang yang ketika mereka datang kepadamu (memohon) supaya engkau memberi kenderaan kepada mereka, engkau berkata: “Tidak ada padaku kenderaan yang hendak kuberikan untuk membawa kamu”, mereka kembali sedang mata mereka mengalirkan airmata yang bercucuran, kerana sedih bahawa mereka tidak mempunyai sesuatu pun yang hendak mereka belanjakan (untuk pergi berjihad pada jalan Allah).”

          1.3.   Yusuf(12:16) yang berbunyi:


“Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.”

1.4.   Al-Israq [Memperjalankan Di Waktu Malam](17:109) yang berbunyi:


“Dan mereka segera tunduk sujud itu sambil menangis, sedang Al-Quran menambahkan mereka khusyuk.

1.5.   Maryam (19:58) yang berbunyi:
 

“Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan Allah nikmat yang melimpah-limpah kepada mereka dari keturunan Nabi Adam, dan dari keturunan orang-orang yang Kami bawa (dalam bahtera) bersama-sama Nabi Nuh, dan dari keturunan Nabi Ibrahim, dan (dari keturunan) Israil dan mereka itu adalah dari orang-orang yang Kami beri hidayah petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat (Allah) Ar-Rahman, mereka segera sujud serta menangis.”

1.6.   An-Najm[Bintang](53:43) yang berbunyi:


“Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis.”

(53:60)
 

“Serta kamu tertawa (mengejek-ejeknya), dan kamu tidak mahu menangis (menyesali kesalahan kamu serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu)?”

2.    Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Tiap mata pasti akan menangis pada hari kiamat, kecuali mata yang dipejamkan dari segala yang haram dan mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah dan mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah." (Hadis Riwayat Abu Naim). Berdasarkan hadis ini terdapat 3 mata yang akan mendapat rahmat Allah SWT dihari akhirat nanti sedangkan mata-mata yang lainnya akan menangis tanda penyesalan yang tidak terhingga.  Tiga mata itu ialah (1) Mata yang dipejamkan dari segala yang haram. (2) Mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah. (3) Mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah. Huraiannya ialah seperti berikut:

3.     Mata yang dipejamkan dari segala yang haram:

Terlalu banyak maksiat dilakukan oleh manusia melalui mata. Mata ini akan menjadi saksi di hari akhirat nanti kerana manusia menyalahgunakan nikmat mata yang dikurniakan oleh Allah dengan melihat perkara-perkara yang diharamkan. Antara dosa-dosa yang boleh dilakukan oleh mata adalah seperti berikut :

3.1. Melihat aurat wanita /lelaki.

3.2. Melihat gambar ataupun video lucah.

3.3. Mengintip rahsia dan mengambil gambar dan mendedahkan keaiban seseorang.

3.4. Menulis, mengarang dan mencari bahan-bahan fitnah dan menyebarkan fitnah tersebut kepada orang lain.

4.    Apabila seseorang menggunakan matanya untuk melakukan maksiat, sebenarnya matanya telah melakukan dosa. Tetapi sebaliknya apabila mata digunakan untuk perkara kebaikan seperti solat, membaca Al-Quran, menulis dan mengarang buku atau rencana yang bermanfaat, melihat alam ciptaan Allah dan merasai keagunganNya dan seumpamanya maka Allah SWT akan mengurniakan pahala dan mata ini nanti boleh merasai kegembiraan di hari akhirat. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang menjadikan dunia sebagai cita-citanya, nescaya Allah SWT mencerai-beraikan urusannya dan dijadikan kefakiran di hadapan kedua matanya dan Allah tidak memberinya dari harta dunia ini, kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

5.    Mata yang berjaga malam dalam jihad fisabilillah:

Jihad fisabilillah, iaitu jihad di jalan Allah sebaik-baik amalan yang dilakukan semata-mata untuk mendaulatkan hukum-hukum Allah di muka bumi ini. Tanpa jihad dan pengorbanan, ajaran Islam tidak boleh disebarkan.  Jika seseorang mati ketika berjihad mempertahankan agama Allah, mempertahankan Negara Islam daripada diceroboh oleh musuh Islam atau semasa menyebarkan dakwah Islam maka mati tersebut adalah mati syahid. Mata yang berjaga malam ketika berjihad dijalan Allah untuk menjaga kepentingan dan maslahah Islam daripada diserang musuh adalah mata yang dirahmati Allah SWT.  Di hari akhirat nanti mata ini tidak akan menangis kesedihan. Mata yang mulia ini akan memberitahu Allah bahawa ia telah digunakan untuk mencari keredhaanNya semasa di dunia dahulu.

6.   Mata yang mentitiskan air mata walaupun sebesar kepala lalat kerana takutkan Allah.

6.1.  Khalid bin Al-Walid telah berkata : Telah datang seorang arab badwi kepada Rasulullah SAW dengan menyatakan tujuannya: "Wahai Rasulullah!. Sesungguhnya kedatanganku ini adalah untuk bertanya kepada engkau mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia dan akhirat". Maka Rasulullah SAW telah berkata kepadanya: "Tanyalah apa yang engkau kehendaki." Badwi itu bertanya : "Siapa yang terselamat daripada dosa?." Rasulullah SAW menjawab : "Orang yang sentiasa mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan."

6.2.  Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud :“Tidak ada yang lebih dicintai Allah SWT selain dua titis dan dua bekas kaki. Titisan air mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan titisan darah yang ditumpahkan di jalan Allah. Sedangkan dua bekas kaki adalah bekas ( perjuangan ) di jalan Allah, dan bekas melakukan kewajiban yang diwajibkan Allah.” (Hadis Riwayat Termizi).

6.3.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Dua mata yang tidak akan disentuh api neraka untuk selama-lamanya, iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam di jalanAllah”.(HadisRiwayatTermizi)                                                                                                  
6.4.  Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim disebutkan bahawa salah satu dari tujuh (7) golongan manusia yang Allah SWT memberi naungannya di hari kiamat ialah "......seseorang yang mengingati Allah di saat menyendiri lalu kedua matanya menitiskan air mata." 

7.    Zat Allah SWT tidak akan mampu kita lihat. Justeru, pergunakanlah mata kita untuk melihat dan menilai kebesaran dan keagungan Allah SWT melalui ciptaanNya di dunia ini. Pergunakahlah waktu malam untuk kita bersendirian bersama-sama dengan Allah sebagai teman bagi memohon pertolongan serta mendapatkan keampunanNya.  Lazimilah mata ini untuk menangis kerana takut dan bersyukur kepada nikmat dari Allah SWT. Berusahalah memadamkan api neraka dengan air mata keinsafan dan ketakutan kepadaNya. Ingatlah kematian itu akan datang kepada kita pada bila-bila masa sahaja.

“Peliharalah iman kamu dengan memperbanyakkan sedekah, bentenglah hartamu dengan mengeluarkan zakat dan tolaklah gelombang bencana bala dengan sentiasa berdoa kepada Allah.” – Mutiara kata Saidina Ali bin Abi Thalib