Friday, 11 September 2015

MIZAN : KETAHUI CARA MEMBERATKAN TIMBANGAN PAHALA

 
 
1.   Hari Kiamat dikenali dengan pelbagai nama.  Salah satunya ialah Hari Timbangan (Yaumul Mizan).  Tahukah kita apakah yang dimaksudkan dengan Mizan. Dari segi bahasa (etimologi) mizan bererti alat (neraca) untuk menimbang sesuatu bagi menentukan berat atau ringannya. Dari segi istilah (terminologi) pula, mizan ialah sesuatu yang Allah sediakan pada hari Kiamat untuk menimbang amalan hamba-hambaNya.  

2.   Firman Allah SWT tentang mizan ialah dalam surah-surah berikut:


2.1.   Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:47) yang berbunyi:


“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”

2.2.   Surah Al-A’araf[Tempat Yang Tinggi](7:8) yang berbunyi:


“Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya”.

(7:9)

“Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).”

3.   Setelah ditiupkan sangkakala kali kedua, semua manusia yang mati akan dibangkitkan semula dari kubur masing-masing.  Berjalanlah kita berduyun-duyun ke Padang Mahsyar untuk menghadapi mahkamah Allah SWT yang maha adil. Di sinilah setiap amalan kita di dunia walaupun sebesar zarah sekalipun akan ditimbang di hadapan Allah SWT. Berat timbangan inilah yang akan menentukan kita ke syurga atau neraka, Nauzubillahiminzalik. Jika amalan baik lebih berat dari buruk maka syurgalah tempat kita. Jika sebaliknya pula maka di nerakalah tempat kediamannya. Bersediakah kita dengan saat yaumul mizan yang pasti dan wajib berlaku itu?. Jika kita telah bersedia dengannya maka fikirkanlah apakah cara atau kaedah untuk memberatkan timbangan amalan baik kita di atas neraca mizan Allah nanti. 

4.   Empat amalan yang boleh dipraktikkan semasa hidup ini untuk menambahkan berat timbangan amal baik kita di hari yaumul mizan nanti dari pelbagai amalan ialah:

4.1.  PUASA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT:

4.1.1. Puasa yang dikerjakan dengan ikhlas mengikut tuntutan syarak akan menerima ganjaran pahala yang amat besar disisi Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahuinya. Menurut pandangan alim ulama’, semasa di akhirat nanti, jika kita telah kehabisan pahala kerana membayar hutang pahala kepada orang-orang yang kita hutangi kerana dosa-dosa yang kita lakukan kepada seseorang semasa di dunia, pahala puasa tidak akan diberi untuk membayar hutang itu. Pahala puasa hanya digunakan apabila kita menghadapi timbangan amal (mizan) untuk menimbang dosa dan pahala di hadapan Allah SWT nanti. Dengan rahmatNya, Allah SWT akan memberi pahala kepada puasa kita.  Hanya Allah sahaja yang mengetahui nilai pahala tersebut. Sesungguhnya orang yang berkualiti puasanya dan  ikhlas kerana Allah begitu istimewa disisi Allah SWT. 

4.1.2. Firman Allah SWT yang bermaksud : "Semua amal perbuatan anak Adam adalah untuknya, kecuali puasa, ia adalah kepunyaanKu, dan Akulah yang akan membalasnya. Dan bagi orang yang berpuasa diberikan dua kegembiraan. Satu kegembiraan ketika berbuka dan satu kegembiraan lagi ketika menemui Tuhannya (menerima balasan yang telah dijanjikanNya). Dan sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada kasturi." (Hadis Qudsi Riwayat Tabrani dalam Al Kabir).

4.1.3. Dalam satu lagi hadis Qudsi Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Puasa itu dinding atau perisai dari api neraka dan ia adalah untukKu dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (yang berpuasa) meninggalkan nafsu syahwat, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Sesungguhnya bau yang keluar dari mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah dari bau kasturi". (Hadis Qudsi Riwayat Baghawi, Tabrani dan 'Abdan bin Basyir dari Ibnu Khasasiah).

4.1.4. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Di syurga terdapat lapan pintu, diantaranya ada pintu bernama Ar-Rayyaan. Tidak diizinkan masuk melaluinya kecuali orang-orang yang berpuasa." (Hadis Riwayat Bukhari).

4.2.  MEMBANYAKKAN ZIKIR “SUBHANALLAH WA BI HAMDIH, SUBHANALLAHIL ‘AZHIM”:

Dari Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Dua kalimat yang ringan di lisan, namun berat ditimbangan, dan disukai Allah SWT ialah:“Subhanallah wa bi hamdih, subhanallahil ‘azhim” (Maha Suci Allah dan segala puji bagi-Nya. Maha Suci Allah Yang Maha Agung). (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4.3.  MEMILIKI AKHLAK YANG BAIK:

4.3.1. Abu Hurairah berkata. Rasulullah SAW pernah ditanya tentang sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam syurga, maka baginda pun menjawab, “Takwa kepada Allah dan akhlak yang mulia.” Dan baginda juga ditanya tentang sesuatu yang paling banyak memasukkan manusia ke dalam neraka, maka baginda menjawab, “Mulut dan kemaluan.” (Hadis Riwayat Termizi).

4.3.2. Dari Saiyidatina Aisyah dia berkata; Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin betul-betul akan mendapatkan kedudukan ahli puasa dan solat dengan akhlak baiknya.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

4.3.3. Akhlak yang baik itu sangat banyak.  Antaranya ialah:

(i) Memiliki sifat-sifat mahmudah seperti jujur, amanah, zuhud, qanaah, sabar, ikhlas, bersyukur, suka menolong fakir miskin dan anak yatim, suka bersedekah, reda dengan takdir Allah, mentaati kedua orang tua dan pelbagai lagi.

(ii) Tidak memiliki sifat-sifat mazmumah seperti iri hati, hasad dengki,  bongkak, sombong, riak, ujub, takbur, suka mengumpat, memfitnah, suka dedahkan keaiban orang lain, mencerca orang lain, mengadu domba dan suka memutuskan silaturahim sesame saudara Islam dan pelbagai lagi.

(iii) Istiqamah dengan ajaran Islam, banyak amal ibadah dan amal-amal soleh lain, berdakwah untuk agama Allah, melakukan amal makruf nahi mungkar dan pelbagai lagi.

4.4. PERBANYAKKAN NIAT-NIAT YANG BAIK WALAU PUN BELUM MAMPU MELAKSANAKANNYA:

Berkaitan dengan perkara ini sama-sama kita hayati sabda-sabda Rasulullah SAW berikut:

4.4.1. "Seorang hamba yang dikurniakan Allah ilmu dan niat yang ikhlas, ia berkata, 'Seandainya aku memiliki harta, nescaya aku akan beramal sebagaimana yang diperbuat oleh si polan (golongan yang diberikah harta dan ilmu).' Dengan niatnya tersebut, maka pahala kedua-dua hamba ini sama." (Hadis Riwayat Termizi).

4.4.2."Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

4.4.3. “Sesungguhnya Allah menulis kebaikan-kebaikan dan kesalahan-kesalahan kemudian menjelaskannya. Barangsiapa berniat melakukan kebaikan namun dia tidak (jadi) melakukannya, Allah tetap menuliskanya sebagai satu kebaikan sempurna di sisi-Nya. Jika ia berniat berbuat kebaikan kemudian mengerjakannya, maka Allah menulisnya di sisi-Nya sebagai sepuluh kebaikan hingga tujuh ratus kali ganda. Barangsiapa berniat berbuat buruk namun dia tidak jadi melakukannya, maka Allah menuliskan di sisi-Nya sebagai satu kebaikan yang sempurna. Dan barangsiapa berniat berbuat kesalahan kemudian mengerjakannya, maka Allah menuliskannya sebagai satu kesalahan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

5.  Sayangilah masa depan hakiki kita, iaitu masa depan di alam akhirat nanti. Alam di mana kita akan mendiaminya untuk selama-lamanya. Takutilah mahkamah Allah di Padang Mahsyar untuk menghadapi timbangan amalan kita.  Berusahalah semasa hayat dikandung badan ini untuk menghadapinya nanti.  Sekurang-kurangya beramal dengan 4 perkara yang di sebutkan di atas.

“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali sumur agar saudaranya masuk ke dalamnya, maka ia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya” - Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Shodiq
Sebahagian kandungan dipetik dari abubasyer.blogspot.com

Wednesday, 9 September 2015

ISTIDRAJ : DERHAKA KEPADA ALLAH SWT TETAPI KAYA RAYA DAN BERKUASA

 

1.   Posting kali ini akan membicarakan tentang tajuk istidraj. Masih ramai yang tidak memahami maksud istidraj. Perkataan istidraj berasal dari perkataan Arab dan diambil dari perkataan ‘darajatun’ yang bermakna tangga. Istidraj merupakan kelebihan atau keistimewaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia dalam pelbagai bentuk yang dikehendakiNya. Bagaimana pun anugerah Allah itu bukan disebabkan Allah menyayangi mereka tetapi lebih merupakan tanda kebencian Allah terhadap golongan berkenaan. Dengan kata lain, Allah mahu mereka menjadi lebih sesat melalui kelebihan itu dan akhirnya tergolong dalam kalangan orang yang tidak mendapat hidayahNya. Istidraj sebagai anugerah Allah kepada hamba yang tidak diredaiNya datang dalam pelbagai bentuk. Antaranya ialah kuasa, kemewahan harta benda, kedudukan di sisi masyarakat, pengaruh, pangkat, kepandaian, kecerdikan, kepakaran, keupayaan menguasai orang lain dan sebagainya. Istidraj ini tidak hanya terkena kepada orang Islam malah orang bukan Islam juga diuji dengannya.  Ia sesuai dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Imran[Keluarga Imran](3:178) yang berbunyi:


“Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan (mereka hidup lama) itu baik bagi diri mereka; kerana sesungguhnya Kami biarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa (di dunia), dan mereka pula beroleh azab seksa yang menghina (di akhirat kelak).”

2.  Sekiranya kita melakukan maksiat dan derhaka kepada Allah SWT sedangkan kita diberikan kesenangan dan kekayaan maka kita hendaklah merasa takut.  Ini kerana kemungkinan ia adalah istidraj dari Allah SWT. Dalam Surah Al-A’araf[Tempat Yang Tinggi](7:182) Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya”.

3.   Cuba kita perhatikan realiti dunia hari ini. Siapakah yang kaya raya, menguasai perniagaan yang hebat-hebat hingga berjaya menjadi billionaire. Sebahagian besar mereka ialah orang kafir. Semua mengetahui bahawa ekonomi dunia hari ini dikuasai oleh bangsa Yahudi. Yahudi ialah bangsa yang telah dilaknat oleh Allah SWT dalam Al-Quran tetapi Allah masih berikan kekayaan kepada mereka.  Mereka memiliki kepintaran dan kecerdikan hingga boleh menguasai dunia hari ini dalam pelbagai bidang.  Ini adalah pemberian dari Allah. Kenapa perkara ini terjadi.  Jawabnya ialah kerana istidraj.

4.   Orang Islam yang beriman kepada Allah pula terdiri daripada mereka yang lemah, tidak berpendidikan tinggi, berkedudukan rendah dalam masyarakat dan tidak kaya raya. Kemewahan dan kesenangan yang dimiliki oleh orang yang tidak beriman dan ahli maksiat mempesonakan orang-orang Islam yang lemah iman mereka. Mereka tidak dapat membezakan kurniaan yang mengandungi nikmat dari Allah dan kurniaan yang telah dicabut nikmat daripadanya.  Kurniaan yang tidak mengandungi nikmat dinamakan istidraj. Istidraj bermaksud kurniaan yang diberi oleh Allah terus menerus kepada ahli maksiat dan orang kafir. Kurniaan seperti ini membuatkan ahli maksiat dan orang kafir bertambah lalai dan derhaka kepada Allah SWT. Apabila kelalaian dan kederhakaan mereka telah melampaui batas maka Allah akan menurunkan bala yang besar kepada mereka dengan mengejut dan tidak disangka-sangka. Mereka ibarat orang yang diangkat ke tempat yang tinggi sambil mereka menganggap itu sebagai satu kemuliaan tetapi setelah mereka berada di tempat yang tinggi itu lalu mereka dicampakkan ke bawah. Jatuh dari tempat yang tinggi tentunya memberi kesakitan yang lebih dahsyat dan hebat. Apa yang berlaku itu adalah bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-An’am[Binatang Ternakan](6:44) yang berbunyi:


“Kemudian apabila mereka melupakan apa yang telah diperingatkan mereka dengannya, Kami bukakan kepada mereka pintu-pintu segala kemewahan dan kesenangan, sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)”.

5.  Firman Allah di atas memberi peringatan kepada kita agar jangan terpedaya dengan kurniaan yang terus menerus diperolehi sedangkan kita tidak mentaati perintah Allah SWT, sebaliknya kita leka dengan kemaksiatan. Sekiranya kurniaan itu berupa istidraj maka akhirnya kemusnahan dan kesengsaraan yang akan kita rasai. Oleh itu sentiasalah berwaspada dengan nikmat yang Allah berikan.

6.   Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :"Apabila kamu melihat Allah SWT memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka) ketahuilah bahawa orang itu telah 'diistidraj' oleh Allah SWT.(Hadis Riwayat Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi).

7.  Untuk mengajak manusia kembali kepadaNya, Allah SWT sentiasa mengirimkan peringatan  yang berupa kesusahan atau bala yang menyeksa jiwa manusia agar manusia insaf, bertaubat dan kembali kepadaNya. Kemudian Allah gantikan kesusahan atau bala itu  dengan sedikit kesenangan sebagai ujian untuk membezakan manakah yang benar-benar insaf dan mana pula yang hanya berpura-pura.  Bila kesenangan sudah dirasai kembali orang yang tidak teguh imannya akan kembali kepada kemaksiatan dan kemungkaran. Mereka akan memberi hujah bahawa kesenangan dan kesusahan adalah asam garam dan lumrah dalam kehidupan.  Mereka tidak mengaitkannya dengan soal keimanan kepada Allah SWT. Mereka kembali lalai dan leka dengan sedikit kesenangan dunia. Ketika mereka sedang lalai dan leka itulah Allah datangkan kebinasaan kepada mereka. Perkara ini telahpun difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Al-A’araf [Tempat Yang Tinggi](7:94) yang berbunyi:


“Dan (Tuhan berfirman): Kami tidak mengutus dalam sesebuah negeri seorang Nabi (yang didustakan oleh penduduknya), melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan (kesempitan hidup) dan penderitaan (penyakit), supaya mereka tunduk merendah diri (insaf dan tidak berlaku sombong takbur).”

(7:95)


“Setelah (mereka tidak juga insaf) Kami gantikan kesusahan itu dengan kesenangan hingga mereka kembang biak (serta senang-lenang) dan berkata (dengan angkuhnya): “Sesungguhnya nenek moyang kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan (sebagaimana yang kita rasakan)”. Lalu Kami timpakan mereka (dengan azab seksa) secara mengejut, dan mereka tidak menyedarinya.”

8.   Allah juga telah menegaskan bahawa setelah datang seksaan dariNya maka tidak ada siapa yang dapat menghalangnya seperti firmanNya dalam Surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:40) yang berbunyi:


“(Mereka tidak diberitahu akan masa itu) bahkan (yang dijanjikan) itu akan datang kepada mereka secara mengejut, serta terus membingungkan mereka; maka mereka tidak akan terdaya menolaknya, dan tidak akan diberi tempoh bertaubat.”

9.  Kita perlu memahami bahawa dalam sejarah silam sudah banyak kaum-kaum yang dibinasakan oleh Allah kerana istidraj ini. Contohnya Firaun dan Namrud yang diberi umur panjang dan hidup di dalam kesenangan dan kemewahan yang kemudiannya Allah datangkan azab dengan tiba-tiba kepada mereka. Firaun dibinasakan setelah mati lemas di Laut Merah manakala Namrud dibinasakan oleh hanya seekor nyamuk. Qarun yang hidup sezaman dengan Firaun juga binasa di telan bumi ketika asyik dengan kesombongan diri dan kekayaannya. Begitu juga dengan kaum-kaum nabi terdahulu seperti umat Nabi Nuh yang di tenggelamkan oleh banjir besar manakala umat Nabi Luth  dihancurkan dengan gempa bumi yang sangat dahsyat.

10.   Bagaimana dengan pemimpin zalim, jahat dan perasuah zaman moden ini yang hidup sezaman dengan kita. Mereka juga telah dihina oleh Allah dengan kejatuhan dari tampuk kuasa dengan cara yang mengaibkan. Lihatlah apa yang berlaku kepada Shah Reza Pahlavi di Iran, Nicolae Ceausescu di Romania, Ferdinand Marcos di Filipina, Suharto di Indonesia, Saddam Hussin di Iraq, Zine al-Abidin Ben Ali di Tunisia, Muammar Gaddafi di Libya dan Hosni Mubarak di Mesir. Mereka telah dijatuhkan dari kuasa oleh kuasa rakyat yang tertindas. Ada yang dibunuh seperti di Libya, dijatuhkan hukuman bunuh seperti di  Romania dan Iraq.  Ada pula yang melarikan diri seperti berlaku di Iran dan Tunisia. Tidak mampukah pemerintah hari ini belajar dari kesudahan hidup pemimpin-pemimpin yang zalim dan korup ini?.

11.  Pemerintah yang terlalu lama memerintah atau memerintah dengan zalim pasti akan jatuh dan digantikan dengan pemimpin baru yang lebih baik dan adil. Pertukaran ini adalah sunnatullah kerana itulah janji Allah dalam hal istidraj dan firman-firmanNya seperti disebutkan di atas. 

12.   Kesimpulannya apa yang patut kita buat. Bagi orang yang ada sedikit imannya kepada Allah SWT hendaklah sentiasa beringat dan mengawasi diri agar sedikit kekayaan, kesenangan dan kemewahan dunia ini tidak melalaikan mereka yang boleh menyebabkan mereka dihina Allah melalui istidraj. Dalam konteks ini Allah SWT telah berfirman seperti dalam Surah Al-A’araf[Tempat Yang Tinggi](7:56) yang berbunyi:


“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”

13.    Berusahalah membaiki diri supaya kita tidak menjadi pemburu dunia. Jika kita mengiktiraf Rasulullah SAW itu sebagai model terbaik dari Allah SWT untuk dicontohi oleh manusia maka perlulah diingati bahawa Rasulullah tidak memiliki apa-apa kekayaan dunia. Hidupnya hanyalah semata-mata untuk beramal ibadat kepada Allah SWT.  Mencari bekalan untuk kehidupan akhirat yang jauh lebih baik dari kehidupan di dunia ini.

"Kunci dunia ialah kenyang manakala kunci akhirat pula ialah lapar". – Mutiara kata ulama sufi, Abu Sulaiman ad-Darani.

Monday, 7 September 2015

HARTA KEKAYAAN BUKAN UNTUK BERMEGAH.


1.  Kebanyakan manusia sangat berbangga dan bermegah dengan kekayaan dunia yang Allah SWT anugerahkan kepada mereka. Kasih dan sayangnya mereka kepada harta dunia tidak dapat dibayangkan lagi seolah-olah ia boleh dibawa bersama-sama setelah mati nanti. 

2.     Abu Hurairah r.a telah berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda  yang bermaksud: "Sesiapa yang mencari dunia untuk berbangga-bangga ke atas orang lain, untuk menjadi kaya atau untuk mendapat nama, walaupun dengan cara yang halal, dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan Allah SWT  sangat murka terhadapnya. Dan sesiapa yang mencari dunia dengan cara yang halal bertujuan supaya dia tidak perlu meminta-minta kepada orang lain, untuk mencari rezeki kepada ahli keluarga dan supaya dia mampu melakukan kebajikan kepada jiran tetangga; maka pada hari kiamat dia akan bertemu Allah SWT dalam keadaan wajahnya bercahaya seperti bulan purnama." (Hadis Riwayat Baihaqi). Maksudnya carilah harta dunia dengan cara yang halal (tidak terlibat riba, tidak melakukan rasuah dan tidak menipu orang lain) bertujuan supaya kita tidak perlu meminta-minta dari orang lain, untuk memberi nafkah kepada ahli keluarga dan supaya kita mampu melakukan kebajikan kepada saudara seagama. Jika ini yang kita lakukan maka pada hari kiamat nanti kita akan bertemu dengan Allah SWT dalam keadaan wajah yang bercahaya seperti bulan purnama dan akan diberikan balasan syurga. Ini adalah jaminan daripada Allah SWT.

3.   Berdasarkan hadis di atas boleh difahami bahawa bekerja dan berusaha untuk mencari kekayaan dunia tidak di larang dalam Islam selagi mana tujuan kekayaan yang diperolehi bukan untuk bermegah-megah dan menunjuk-nunjuk bagi mendapat nama dan pujian.  Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud : "Tidak akan masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya sifat takbur walaupun seberat biji sawi" (Hadis Riwayat Muslim).

4.     Sifat bermegah-megah adalah sifat mazmumah yang dibenci oleh Allah SWT seperti dalam firmanNya dalam Surah Al-Qasas[Kesah-Kesah](28:76) yang berbunyi:


“Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu).”

5.  Setiap harta yang diperolehi adalah amanah Allah SWT kerana di dalamnya terdapat hak-hak orang lain yang perlu ditunaikan. Harta tersebut perlu dibersihkan dengan membayar zakat jika sampai nisab dan haulnya. Harta tersebut perlu diinfakkan pula dijalan Allah SWT seperti untuk kerja-kerja dakwah, pembinaan masjid atau sekolah agama, membantu anak-anak yatim, disedekahkan kepada fakir miskin, ibu tunggal yang daif yang memerlukan bantuan dan seumpamanya.

5.    Walaupun Islam tidak melarang mencari harta kekayaan tetapi kita perlu beringat bagi mengelakkan agar tidak menjadi orang yang leka dan lalai kerananya.  Amr bin ‘Auf r.a telah menceritakan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Demi Allah! Bukanlah kemiskinan itu yang aku khuatirkan terhadap kamu, tetapi yang aku khuatirkan kepada kamu ialah dunia dilapangkan kepada kamu, sepertimana ia telah dilapangkan kepada orang-orang sebelum kamu, kemudian kamu akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya sepertimana orang-orang sebelum kamu berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Lalu dunia akan melalaikan kamu sepertimana ia telah melalaikan mereka. (Hadis Riwayat Bukhari).

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri