Sunday, 16 October 2016

TUJUH GAYA HIDUP SIHAT RASULULLAH SAW

BAJU RASULULLAH

"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat dan orang yang banyak mengingati Allah". {Petikan dari Surah Al-Ahzab[Tentera Ahzab](33:21)}

 

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. {Petikan dari Surah Al-Anbiyaa[Para Nabi](21:107)}.

1.  Berdasarkan dua firman dari Allah SWT di atas jelas membuktikan bahawa pada diri Rasulullah itu adalah sebaik-baik dan semulia-mulia contoh, teladan, panduan dan pedoman untuk diikuti oleh manusia yang mengharapkan keredhaan Allah.  Contoh teladan dari Rasulullah yang akan diulas dalam posting kali ini ialah dalam konteks gaya hidup sihat Rasulullah.  Gaya hidup sihat Rasulullah memanglah banyak, tetapi untuk posting ini hanya disenaraikan 7 sahaja, iaitu seperti berikut:

1.1.  BANGUN SEBELUM SUBUH

Antara amalan Rasulullah SAW ialah bangun awal sebelum masuk waktu subuh bagi menunaikan solat sunat tahajjud dan kemudiannya diikuti cengan solat subuh secara berjemaah. Amalan ini pastiya memberikan kebaikan yang sangat besar seperti limpahan pahala dari Allah SWT.  Selainnya ialah boleh menikmati  kesegaran udara pada waktu subuh yang baik untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.

1.2.  MAKAN BILA LAPAR DAN BERHENTI SEBELUM KENYANG

1.2.1. Sabda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Kami adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih).

1.2.2. Dalam perut manusia ada tiga ruang untuk tiga benda. Satu pertiga ialah untuk udara, satu pertiga lagi untuk air manakala bakinya satu pertiga lagi ialah untuk makanan.

1.2.3.  Kenapa Rasulullah mengamalkan makan yang sedikit?.  Jawabnya ialah kerana salah satu sumber penyakit datangnya dari perut, iaitu makanan yang manusia makan. Amalan pemakanan yang tidak betul, tidak seimbang dan berlebihan boleh meningkatkan kadar kolesterol dalam darah yang kemudiannya boleh memudaratkan badan kita. Oleh sebab itulah juga Islam mewajibkan amalan berpuasa di bulan Ramadan kerana ia boleh menjadi terapi untuk merehatkan perut bagi menyihatkan tubuh badan kita.

1.3.  MEMENTINGKAN KEBERSIHAN

Rasulullah sentiasa kelihatan bersih dan rapi. Setiap hari Khamis dan Jumaat, Rasulullah akan mencuci rambut halus di pipi, memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi. Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa, demikian pula menggosok gigi dan memakai harum-haruman.”(Hadis Riwayat Muslim).

1.4.   BERFIKIRAN POSITIF DAN MENJAGA HATI

Bagi menjaga kebersihan hati dan kesihatan jiwa, kita perlulah menjauhi diri daripada sifat iri hati atau dengki dengan kejayaan dan kelebihan yang dimiliki oleh orang lain. Banyakkanlah berdoa: “Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”

1.5. MELAKUKAN AKTIVITI FIZIKAL & SENAMAN

1.5.1. Rasulullah SAW berjalan kaki ke masjid, pasar dan mengunjungi rumah-rumah sahabat baginda. Apabila berjalan kaki peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan dengan lancar. Ia penting untuk mencegah penyakit jantung. Jauh berbeza dengan amalan kita hari ini yang gemar berkenderaan walaupun tempat yang dekat. Malah jika boleh mahu meletakkan  kenderaan betul-betul di hadapan tempat yang hendak kita tuju.

1.5.2. Rasulullah juga menganjurkan sukan berkuda dan memanah sebagai salah satu aktiviti untuk kesihatan tubuh badan.

1.6.  SENTIASA MEMAAFKAN

Memaafkan kesalahan dan kesilapan orang kepada kita adalah sebaik-baik amalan untuk membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan. Sifat mudah memaafkan kesalahan orang sangat dituntut bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa.  Sekiranya kita marah, maka marah itu akan melekat pada hati. Oleh itu jadilah seorang yang pemaaf kerana ia boleh menyumbang kepada kesihatan badan.

1.7.  MENGELAK DARI SIFAT MARAH

1.7.1. Satu hari Rasulullah bertanya sahabat2nya siapakah orang yang paling kuat dikalangan kamu.  Sahabat pun menjawab dengan memberi nama-nama orang yang gagah perkasa dan berbadan sasa. Namun Rasulullah memberikan jawapannya orang yang paling kuat ialah orang yang mampu bersabar walaupun kemarahannya telah sampai ke kemuncaknya. 

1.7.2. Ada pendapat mengatakan salah satu cara yang baik untuk menahan perasaan marah ialah dengan mengubah posisi ketika marah, iaitu jika berdiri maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk,  perlu berdiri ataupun berbaring. Kemudian membaca ta’awwudz kerana marah itu adalah dari syaitan. Lepas itu segeralah mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi mendapat ketenangan serta menghilangkan kemarahan.

2. Jadilah umat Rasulullah yang sentiasa mahu mencontohi amalan Rasulullah dalam hidupnya.  Sesungguhnya setiap apa yang dilakukan oleh Rasulullah itu sudah pasti baik untuk kesihatan manusia.  Ini kerana apa yang dilakukan oleh Rasulullah adalah atas perintah dari Allah juga.

                                   SELAWAT KE ATAS RASULULLAH SAW
“Janganlah seseorang hamba itu mengharap selain kepada Tuhannya dan janganlah dia takut selain kepada dosanya”. ~ Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah
Sebahagian kandungan dari detikislam.com

Sunday, 9 October 2016

5 KESAH KEMATIAN DAN HIDUP KEMBALI DALAM AL-QURAN


  TANAH PERKUBURAN, TEMPAT PENANTIAN SEMENTARA MANUSIA 
  SEBELUM DIHIDUPKAN KEMBALI
1.  Sebagai orang Islam kita wajib percaya, yakin dan mengimani sifat-sifat yang dimiliki Allah SWT yang tidak dimiliki oleh mana-mana manusia di atas muka bumi.  Salah satu dari sifat atau nama Allah dalam Asma ul Husna (nama-nama dan sifat-sifat yang baik) itu ialah Al Muhyii (Yang Maha Menghidupkan). Allah SWT berkemampuan menghidupkan orang atau makhluk yang telah mati dengan kekuasaanNya.  Kekuasaan serta kehebatan Allah ini telah dirakamkanNya dalam qalamNya, Al-Quran yang melibatkan lima kematian dan hidup semula seperti berikut:

1.1  1.1. KESAH PERTAMA ~~ Ia adalah kesah seramai 70 orang umat Nabi Musa  yang telah disambar petir kerana engkar menurut perintah Allah SWT.  Pada awalnya mereka telah meminta Nabi Musa tunjukkan Allah kepada mereka jika tidak mereka tidak mahu beriman kepada Allah. Permintaan tersebut telah menimbulkan kemurkaan Allah sehingga Allah menurunkan azab yang berupa sambaran petir yang menyebabkan seramai 70 orang mati kerananya. Selepas peristiwa itu Allah menghidupkan mereka semula dengan tujuan agar mereka sedar akan kebesaran Allah serta mendapat peluang untuk bertaubat dan beriman kepada Allah. 

Peristiwa ini Allah telah rakamkan dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:55) yang berbunyi:


“Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: "Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)". Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.”

(2:56)

“Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur.”

1.2   1.2. KESAH KEDUA ~~ Ia juga melibatkan umat Nabi Musa juga. Dalam satu peristiwa, seorang telah membunuh seseorang. Tapi pembunuh tidak mengaku hingga berlakulah  pergaduhan/perselisihan dan saling tuduh menuduh antara satu sama lain. Akhirnya peristiwa ini dilaporkan kepada Nabi Musa. Kemudiannya Nabi Musa meminta supaya sembelih seekor lembu betina. Lepas itu Allah perintahkan agar ambil satu bahagian anggota lembu betina itu dan dipukul pada orang mati itu.  Akhirnya orang yang mati itu hidup semula dengan kehendak dan izin Allah SWT. Bila dia hidup orang bertanya kepadanya siapa yang membunuhnya. Orang yang mati itu telah memberitahu siapa pembunuhnya.

Peristiwa ini Allah telah rakamkan dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:72) yang berbunyi:


“Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan.”

(2:73)

“Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukulah si mati dengan   sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu memahaminya.”

Allah takdirkan peristiwa ini berlaku supaya ia boleh memberi pengajaran kepada umat Nabi Musa agar jangan sekali-kali menjadi tidak jujur dan tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang mereka kerjakan.

1.3     1.3. KESAH KETIGA~~ Penduduk sebuah negeri yang cuba menghindari dari wabak penyakit berbahaya di negeri mereka.  Ribuan orang sudah mati lalu mereka meninggalkan negeri mereka. Mereka berfikir jika tinggalkan negeri, mereka akan selamat tetapi sangkaan mereka salah kerana semuanya telah dimatikan oleh Allah.  Kemudian Allah hidupkan mereka semula. Tujuannya ialah supaya mereka sedar bahawa kematian itu adalah ketentuan Allah yang tidak boleh dihindari oleh sesiapa pun. Dan Allah jugalah yang berkuasa menghidupkan semula orang yang telah mati.

Peristiwa ini Allah rakamkan dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:243) yang berbunyi:


“Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya?. Maka Allah berfirman kepada mereka:" Matilah kamu " kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.”

1.4  1.4. KESAH KEEMPAT ~~ Kesah seorang musafir yang menunggang keldai dan sampailah dia di sebuah kota yang tidak berpenghuni. Bangunan kota itu banyak yang telah rosak. Dia rasa heran dan takjub serta bertanya dalam dirinya bagaimanakah agaknya Allah mahu membangunkan semula kota yang telah rosak ini. Dengan kehendak Allah, orang itu telah dimatikan selama 100 tahun. Lepas kematiannya Allah matikan pula keldainya.  Selepas  100 tahun Allah hidupkannya semula si musafir itu. Si musafir itu ialah Nabi Uzair, seorang hamba Allah SWT yang hidup pada zaman Nabi Isa AS. Nabi Uzair AS adalah salah seorang nabi dan rasul utusan Allah SWT.

Kesahnya di rakamkan oleh Allah SWT dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:259) yang berbunyi:


Atau (tidakkah engkau pelik memikirkan wahai Muhammad) tentang orang yang melalui sebuah negeri yang telah runtuh segala bangunannya, orang itu berkata: "Bagaimana Allah akan menghidupkan (membina semula) negeri ini sesudah matinya (rosak binasanya)? " Lalu ia dimatikan oleh Allah (dan dibiarkan tidak berubah) selama seratus tahun, kemudian Allah hidupkan dia semula lalu bertanya kepadanya: "Berapa lama engkau tinggal (di sini)?" Ia menjawab: "Aku telah tinggal (di sini) sehari atau setengah hari". Allah berfirman:" (Tidak benar), bahkan engkau telah tinggal (berkeadaan demikian) selama seratus tahun. Oleh itu, perhatikanlah kepada makanan dan minumanmu, masih tidak berubah keadaannya, dan perhatikanlah pula kepada keldaimu (hanya tinggal tulang-tulangnya bersepah), dan Kami (lakukan ini ialah untuk) menjadikan engkau sebagai tanda (kekuasaan Kami) bagi umat manusia; dan lihatlah kepada tulang-tulang (keldai) itu, bagaimana Kami menyusunnya kembali kemudian Kami menyalutnya dengan daging ". Maka apabila telah jelas kepadanya (apa yang berlaku itu), berkatalah dia: Sekarang aku mengetahuinya (dengan yakin), sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu".

1        1.5. KESAH KELIMA ~~  Nabi Ibrahim adalah seorang yang sangat yakin akan kekuasaan Allah dalam menghidupkan kembali makhluk yang telah mati. Namun timbul di dalam hatinya keinginan untuk menyaksikan sendiri bagaimana Allah menghidupkan makhluk yang mati sehingga keimanannya menjadi semakin mantap. Oleh kerana itu, beliau memohon kepada Allah agar ditunjukkan kepadanya kejadian tersebut. Allah telah memakbulkan permintaan Nabi Ibrahim. Allah memerintahkan baginda menangkap hidup-hidup empat ekor burung kemudian dikumpulkan dan setelah itu dipotong-potong hingga menjadi bahagian-bahagian yang kecil. Kemudian Allah memerintahkannya untuk meletakkan potongan-potongan kecil dari keempat ekor burung tadi merata tempat di atas di beberapa buah gunung. Setelah selesai melakukannya Allah memerintahkan pula Nabi Ibrahim untuk memanggil keempat-empat ekor burung tersebut. Tiba-tiba Nabi Ibrahim melihat suatu kejadian yang sangat menakjubkan, iaitu potongan-potongan burung tadi kembali bersatu dan menjadi empat ekor burung yang  hidup dan sempurna seperti sebelumnya dan berkumpul di hadapan baginda.

Kisah Nabi Ibrahim ini Allah rakamkan dalam surah Al Baqarah[Lembu Betina](2:260) yang berbunyi:


“(Ingatlah) ketika Ibrahim berkata: "Wahai Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati." Allah berfirman: "Belum yakinkah kamu ?" Ibrahim menjawab: "Aku telah meyakininya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku). Allah berfirman: "(Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera. Ketahuilah bahawasanya Allah itu Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."

2   2. Demikianlah lima kesah yang membuktikan sifat Allah SWT yang maha berkuasa menghidupkan kembali makhluk yang telah mati. Semoga kesah-kesah ini memberi pengajaran kepada kita agar sentiasa takut kepada kekuasaan Allah.  Lebih-lebih lagi takut kepada kehidupan kembali kita selepas kematian nanti, iaitu kehidupan di negeri akhirat yang kekal abadi buat selama-lamanya. Infiniti.  Justeru, kesedaran perlu ada dalam diri setiap orang Islam dan yang beriman bahawa apa yang sepatutnya dikejar ialah kebahagian dan kesenangan kehidupan di negeri akhirat dan bukannya kehidupan sementara di dunia ini.  Beruntung dan bertuahlah orang-orang yang menjadikan akhirat sebagai matlamat hidupnya.  Sebaliknya celakalah orang yang menjadikan dunia sebagai matlamat hidup sehingga melupakan kehidupan di negeri akhirat.

Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti kehormatan dirinya akan terjaga. ~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab.

Wednesday, 5 October 2016

APAKAH HIKMAH SUNNAH MENCUKUR RAMBUT BAYI

1.  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:    “Tiap-tiap anak itu tergadai dengan akikahnya yang disembelih untuk dia ketika hari ketujuh dan dicukur, lalu diberi nama.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Tirmidzi).

2. Berdasarkan sabda Rasulullah di atas, Islam menggalakkan mencukur rambut anak-anak yang baru dilahirkan. Ibnul Qayyim rahimahullah menerangkan katanya: “Menggondol adalah untuk menghilangkan (rambut) yang kotor dari kepala bayi. Menggondol juga bererti membuang rambut yang lemah agar diganti dengan yang lebih kuat dan lebih kukuh. Selain itu, amalan menggondol boleh meringankan (beban) bayi dan membuka liang rambut di kepala agar wap dapat keluar dengan mudah. Hal ini akan menguatkan penglihatan, pendengaran dan deria hidung.” (Tuhfatul Maudud halaman 48).

3.  Kaedah yang betul ialah mencukur keseluruhan rambut bayi dan bukan sebahagiannya. Disunahkan juga setelah mencukur rambut ialah  menyapu wangian kepada kepala bayi. Rambut yang dicukur itu pula ditimbang dan bersedekah mengeluarkan emas atau wang yang sama nilainya dengan kadar timbangan rambut tersebut.

4.   Ali bin Abi Thalib radhiyallahu berkata bahawa Rasulullah SAW mengaqiqahkan Hasan dengan kambing, dan beliau menyuruh Fatimah untuk mencukur rambutnya. “Cukur rambutnya dan bersedekahlah dengan perak seberat rambut itu.” Fatimah pun menimbang rambut itu dan ternyata beratnya sekitar satu dirham atau kurang dari satu dirham. (Hadis Riwayat Termidzi, dishahihkan al-Hakim dalam Mustadrak 7589).

5.   Amalan bercukur ini ialah sunnah Rasulullah SAW yang sudah tentu perintahnya datang dari Allah SWT. Ini sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah An-Najm[Bintang](53:3) yang berbunyi:


“Dan Dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri”.

(53:4)

“Segala yang diperkatakannya itu (sama ada Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya”.

6.   Setiap sunnah Rasulullah SAW pasti ada kebaikan kepada manusia.  Apakah kebaikan atau kelebihan bercukur rambut bayi:

6.1.   Semasa bayi keluar dari rahim ibunya pasti banyak lendir dan kotoran akan melekat pada kulit badan dan termasuk rambut bayi. Dengan mencukur rambut bayi  semua kekotoran yang meletak padanya akan hilang sepenuhnya.

6.2. Mencegah gangguan visual mata. Bila rambut terlalu panjang, terutamanya sekitar dahi, ia boleh menutupi mata.  Ini akan mengganggu pemandangan bayi. Bila hujung rambut sering mengenai mata ia boleh merosakkan kornea mata sehingga menyebabkan gangguan penglihatan yang dipanggil visus.

6.3. Rambut sekeliling telinga yang terlalu panjang boleh menimbulkan ketidakselesaan dan luka pada liang telinga. Ia boleh memberi gangguan alergi kulit pada telinga

6.4.  Rambut yang baru tumbuh selepas dicukur sepenuhnya lebih baik, sihat, subur dan kelihatan berkilat.

6.5. Bagi bayi yang menghadapi gangguan kerak kepala (dermatitis seboroik), mencukur rambut boleh memudahkan rawatan gangguan kulit tersebut. Dermatitis seboroik atau cradle cap (kulit kepala tebal dan bersisik) sering dialami bayi.  Tandanya ialah adanya kerak berwarna kuning dan berminyak. 

6.6. Memudahkan untuk mengesan adanya masalah di kulit kepala bayi seperti bisul, iritasi atau luka.

6.7. Meningkatkan aliran darah ke kepala bayi.  Justeru kulit kepala mendapat nutrisi yang mencukupi.

7.  Satu lagi sunnah Rasulullah SAW yang terbukti banyak kebaikannya kepada orang yang mempraktikkannya. Jelaslah bahawa sunnah ini membuktikan satu lagi kebenaran agama Islam dan ajarannya.

                        
                               MAJLIS BERCUKUR BAYI DI KELANTAN
                                   
"Seseorang tidak akan mencapai darjat kesolehan, kecuali melalui  enam    rintangan: menutup pintu kemuliaan dan membuka pintu kehinaan, menutup pintu nikmat dan membuka pintu kesukaran, menutup pintu istirehat dan membuka pintu perjuangan, menutup pintu tidur dan membuka pintu jaga, menutup pintu kekayaan dan membuka pintu kemiskinan, menutup pintu harapan dan membuka pintu bersiap menghadapi maut" ~~  Mutiara kata Ibrahim bin Adham