Friday, 13 November 2015

CELIK DI DUNIA TAPI BUTA DI AKHIRAT

1.    Dalam Surah Ta-Ha (20:124), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta".

(20:125)

 
“Berkatalah ia: "Ya Tuhanku, mengapa Engkau menghimpunkan aku dalam keadaan buta, padahal aku dahulunya adalah seorang yang melihat?"

2.   Hampir semua manusia dilahirkan ke dunia dalam kedaaan yang cukup lengkap pancainderanya. Mempunyai mata, celik dan boleh melihat semua keindahan ciptaan Allah di dunia ini.  Mampu makan, minum, berjalan-jalan, berkata-kata dan seumpamannya. Tetapi ingatlah bahawa pada hari akhirat nanti ada di antara orang-orang yang celik di dunia ini akan dibangkitkan oleh Allah SWT dalam keadaan buta dan tidak mampu melihat. Kenapakah mereka jadi begitu?. Jawapannya ialah kerana semasa hidup di dunia ini mereka berpaling daripada ajaran Islam sebenar yang dibawa oleh Rasulullah SAW.  Mereka tidak mengerjakan perintah Allah tetapi sebaliknya melakukan maksiat dan membuat dosa-dosa besar.  Mata mereka tidak digunakan untuk melihat kebenaran tetapi digunakan untuk melihat kebatilan. 

3.    Dalam banyak-banyak anggota, lidah dan matalah yang paling banyak melakukan kesalahan melibatkan sesama manusia. Jika mata tidak dihalakan kepada kebaikan ianya akan mendatangkan kemaksiatan. Dosa lidah dan mata inilah penyebab utama seseorang itu menerima azab di akhirat. Hujatul Islam Imam Al-Ghazali pernah berkata: “Menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan”. 

4.   Segala perbuatan dan amalan kita di dunia akan menentukan kedudukan kita di sisi Allah SWT di akhirat nanti. Sesiapa yang mengikut petunjuk Allah mereka tidak akan sesat dan tidak pula akan menderita sengsara ditimpa azab pada hari kiamat nanti. Sesiapa yang ingkar daripada mengikut petunjuk Allah sesungguhnya kehidupan mereka pada hari kiamat nanti teramat sukar, sempit dan dan dihidupkan dalam keadaan buta. Demikianlah balasan terhadap orang-orang yang diberi peringatan tetapi lalai dan ingkar. Akibatnya Allah melupakan mereka pada hari kiamat nanti sebagaimana mereka melupakan Allah semasa hidup di dunia. Perkara ini telahpun difirmankan oleh Allah SWT dalam Surah Ta-Ha (20:126) yang berbunyi:

"Demikianlah, telah datang kepadamu ayat-ayat Kami, maka kamu melupakannya, dan begitu (pula) pada hari ini kamu pun dilupakan".

5.  Seorang sahabat Rasulullah SAW yang bernama Samurah bin Jundab berkata: “Sesiapa yang ingin mengetahui kedudukannya di sisi Allah SWT, maka periksalah kedudukan Allah di sisinya. Barang siapa yang menghormati perintah Allah, lalu bersegera melakukannya, menjauhkan diri daripada larangan Allah, juga berusaha menghiasi diri dengan adab-adab Islam, maka kedudukannya di sisi Allah adalah terhormat.”

6.  Marilah kita sama-sama menghisab diri kita. Adakah kita ini sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Allah SWT di akhirat kelak.  Adakah segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat nanti?. Ingatlah segala amalan kita akan hitung samada ia berpahala atau berdosa. Semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah.  Berwaspadalah kita setiap masa kerana setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkanlah daripada terjerumus ke dalam perkara yang boleh membawa dosa. Janganlah kita tergolong dalam golongan manusia yang celik di dunia tapi nantinya buta di akhirat. 

7. Renungkanlah firman Allah SWT dalam Surah Al-Zalzalah [Kegoncangan](99:7) yang berbunyi:


“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat (balasan)nya”.

(99:8)


“Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah pun, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula”.

“Sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi maka sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang menasihati secara terang maka dia telah menyakiti dan mengkhianatinya. Dan bila tidak berguna nasihat secara sembunyi , maka minta tolonglah orang-orang yang baik untuk mencegahnya dari perbuatan maksiat. Maka jika tidak dikerjakan yang demikian, pasti perbuatan maksiat itu akan menjalar dan bermaharajalela sehingga menghancurkan semua.” – Mutiara Kata Abu Dardaa’ r.a

Wednesday, 11 November 2015

LIMA PERKARA YANG PERLU DISEGERAKAN

1.  Dalam menjalani kehidupan seharian ini banyak perkara yang perlu diurus dan diselesaikan. Justeru itu penyelesaiannya ialah dengan mengutamakan apa yang lebih penting dahulu untuk dibereskan. Banyak hadis-hadis Rasulullah SAW yang menyarankan umatnya mengutamakan lima perkara yang berkaitan dengan kewajipan dan tanggungjawab kepada diri sendiri serta juga masyarakat. In shaa Allah jika kita mengutamankan lima perkara ini terlebih dahulu kita bakal mendapat keredhaan serta ganjaran pahala dari Allah SWT.  Tanggung jawab yang melibatkan lima perkara itu ialah:

1.1.   BERTAUBAT APABILA BERBUAT DOSA 


1.1.1. Hidup dan mati seseorang manusia adalah ketentuan dan takdir dari Allah SWT. Tidak ada seorang pun manusia yang tahu bila mereka akan mati.   Dalam menjalani kehidupan seharian ini sudah tentu sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan dan kesilapan kepada Allah SWT yang menyebabkan kita menjadi berdosa kepadaNya. Justeru jalan penyelesaian terbaik ialah sentiasalah bermohon keampunan dari Allah SWT. Perlu diingati bahawa Rasulullah  SAW yang tidak ada sebarang dosa pun beristighfar dan memohon keampunan Allah 100 kali sehari. 

1.1.2. Keperluan seseorang manusia untuk bertaubat kepada Allah banyak telah disabdakan oleh Rasulullah SWT.  Antaranya ialah:

(a) “Wahai sekalian manusia, bertaubatlah kepada Allah dan memohonlah ampun kepada-Nya, sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari sebanyak 100 kali.” (Hadis Riwayat Muslim).

(b) “Sesungguhnya Allah membentangkan tanganNya pada malam hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di siang hari dan Dia membentangkan tanganNya pada siang hari agar bertaubat orang yang berbuat jahat di malam  hari, sehingga matahari terbit dari barat (Kiamat).” (Hadis Riwayat Muslim).

(c)“Barangsiapa bertaubat sebelum matahari terbit dari barat nescaya Allah menerima taubatnya.” (Hadis Riwayat Muslim).

(d)“Barangsiapa senantiasa beristighfar, nescaya Allah menjadikan untuk setiap kesedihannya kelapangan dan untuk setiap kesempitannya jalan keluar, dan akan diberiNya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Daud).

1.1.3.  Berkaitan dengan kewajipan untuk bertaubat ini Allah SWT telah berfirman dalam beberapa surah berikut:

(a) Az-Zumar [Rombongan] (39:53) yang berbunyi:
 

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

                             (39:54)


“Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan”.

(b) At-Tahrim[Pengharaman](66:8) yang berbunyi:   



“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘Taubat Nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan Nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

1.1.4.  Walaupun memohon keampunan Allah ini perkara yang sangat mudah yang tidak memerlukan apa-apa modal, tidak letih atupun berpeluh  tetapi atas hasutan iblis kita rasa sangat sukar untuk berbuat demikian. Justeru, didik dan asuhlah hati dan jiwa kita untuk sentiasa memohon keampunan dari Allah SWT.  Janganlah kita mati sebelum kita memohon keampunan Allah atas segala dosa-dosa kita kerana dikhuatiri kita mati dalam keadaan suul khatimah.  Sebaliknya matilah dalam keadaan husnul khatimah.

1.2.  BERSEGERA MEMBAYAR HUTANG APABILA SUDAH SAMPAI MASANYA.

1.2.1.   Islam tidak melarang peganutnya berhutang.  Ini kerana mengikut riwayatnya Rasulullah juga pernah berhutang. Apa yang perlu dipastikan ialah kita tidak terjebak dalam jerat riba dan membayar hutang tepat pada masanya. Berkenaan hutang ini, Allah telah berfirman tentang tatacara berhutang seperti dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:280) yang berbunyi:
 

“Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).

(2:282)

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar) dan janganlah seseorang penulis enggan menulis sebagaimana Allah telah mengajarkannya. Oleh itu, hendaklah ia menulis dan hendaklah orang yang berhutang itu merencanakan (isi surat hutang itu dengan jelas). Dan hendaklah ia bertaqwa kepada Allah Tuhannya, dan janganlah ia mengurangkan sesuatu pun dari hutang itu. Kemudian jika orang yang berhutang itu bodoh atau lemah atau ia sendiri tidak dapat hendak merencanakan (isi itu), maka hendaklah direncanakan oleh walinya dengan adil benar); dan hendaklah kamu mengadakan dua orang saksi lelaki dari kalangan kamu. Kemudian kalau tidak ada saksi dua orang lelaki, maka bolehlah, seorang lelaki dan dua orang perempuan dari orang-orang yang kamu setujui menjadi saksi, supaya jika yang seorang lupa dari saksi-saksi perempuan yang berdua itu maka dapat diingatkan oleh yang seorang lagi. Dan jangan saksi-saksi itu enggan apabila mereka dipanggil menjadi saksi. Dan janganlah kamu jemu menulis perkara hutang yang bertempoh masanya itu, sama ada kecil atau besar jumlahnya. Yang demikian itu, lebih adil di sisi Allah dan lebih membetulkan (menguatkan) keterangan saksi, dan juga lebih hampir kepada tidak menimbulkan keraguan kamu. Kecuali perkara itu mengenai perniagaan tunai yang kamu edarkan sesama sendiri, maka tiadalah salah jika kamu tidak menulisnya. Dan adakanlah saksi apabila kamu berjual-beli. Dan janganlah mana-mana jurutulis dan saksi itu disusahkan. Dan kalau kamu melakukan (apa yang dilarang itu), maka sesungguhnya yang demikian adalah perbuatan fasik (derhaka) yang ada pada kamu. Oleh itu hendaklah kamu bertaqwa kepada Allah; dan (ingatlah), Allah (dengan keterangan ini) mengajar kamu; dan Allah sentiasa Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu”.

1.2.2. Apa yang dituntut oleh Islam ialah melangsaikan hutang kita. Jika boleh dengan segera. Malangnya dalam dunia hari ini manusia seboleh-boleh cuba lari dari membayar hutang kerana mereka tidak faham apa yang dianjurkan oleh Islam. Lihat sahaja berapa ramai yang enggan membayar hutang pengajian, rumah, kereta dan sebagainya. Mereka lebih rela di istihar muflis asalkan tidak perlu membayar hutang.  Seseorang yang mati syahid rohnya akan tergantung di antara langit dan bumi jika hutangnya di dunia belum dilunaskan. 

1.2.3. Rasulullah SAW telah bersabda berkaitan dengan hutang:

(a) "Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia).” (Hadis Riwayat Muslim).

(b) "Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, tetapi barang siapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya". (Hadis Riwayat Bukhari).

(c) "Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang". Mendengar itu seseorang bertanya Rasulullah, apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah?. "Benar" Jawab Rasulullah. (Hadis Riwayat Nasaie)

1.2.4. Kesimpulannya janganlah berhutang jika tidak benar-benar mendesak.  Elakkan sama sekali berhutang kerana mahu bermegah-megah dan dipuji.  Sama sekali elakkan salah satu dosa besar, iaitu riba kerana berhutang. Akhir sekali, sampai masa dijanjikan hutang wajib dilunaskan segera. 

1.3. MELAYAN SERTA MEMBERI MAKAN KEPADA TETAMU APABILA DIA SUDAH SAMPAI.



1.3.1. Berkaitan dengan layanan kepada tetamu, Allah SAW telah berfirman dalam Surah Az-Zaariyat [Angin Kencang](51:24) yang berbunyi:


“Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan?”

                   (51:25)

“Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal”.

                    (51:26)

“Kemudian ia masuk mendapatkan Ahli rumahnya serta dibawanya keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang).

(51:27)
“Lalu dihidangkannya kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”.

1.3.2. Salah satu akhlak yang diajarkan oleh Islam yang ditunjukkan oleh Rasulullah ialah melayan tetamu dengan baik dan lemah lembut. Lazimilah memberi makan dan minum kepada tetamu apabila telah sampai ke rumah kita.

1.3.3. Kita lihat pula apakah sabda Rasulullah tentang meraikan tetamu ini:

(a) Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia bercakap hanya perkara yang baik atau diam dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya. Begitu juga sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia memuliakan para tetamunya.” (Hadis Riwayat Muslim).

(b) “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia memuliakan tetamunya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

1.3.4. Islam juga menganjurkan kita menghantar tetamu hingga ke muka pintu rumah bila tetamu mahu pulang sebagai tanda memuliakan dan mengormatinya. Abu ‘Ubaid pernah mengunjungi Imam Ahmad di rumahnya. Dia bercerita: “ Ketika aku bangkit ingin pulang, Imam Ahmad juga bangun bersamaku.  Aku berkata: ‘Jangan susah wahai Abu Abdillah.’ Beliau mengatakan bahawa al-Sha’bi berkata: ‘Termasuk kesempurnaan memuliakan tetamu ialah tuan rumah berjalan bersama tetamu hingga ke pintu rumah dan sehingga mereka menaiki kenderaannya. Tuan rumah tidak terus masuk ke rumah dan mengunci pintu sejurus tetamu keluar rumah kecuali setelah tetamu sudah berlalu pergi atau kenderaannya sudah bergerak.”  (Al-Adab Al-Shari’yyah. Jilid. 3, muka surat 227)

1.4.  MENGURUSKAN JENAZAH






1.4.1. Islam mengajar umatnya agar segera menguruskan jenazah (samada dimandikan, dikafankan, di sembahyangkan dan dikebumikan). Ini kerana bila jenazah itu orang yang beriman dan soleh maka menyegerakannya adalah baik kerana mempercepatkan jenazah ini diletakkan disalah satu taman-taman Syurga. Kubur pula sedang menanti dengan gembiranya orang yang soleh. Bagi jenazah yang tidak baik pula maka menyegerakannya adalah bagi  melepaskan tanggungjawab kita orang yang hidup.

1.4.2. Abu Hurairah r.a berkata Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Segerakanlah pengurusan jenazah kerana jika jenazah itu baik maka sudah sepatutnya kamu menyegerakannya. Jika sebaliknya jenazah itu adalah keburukan maka kamu telah lepaskan dari leher-leher kamu (dari tanggungjawab kamu)". (Hadis Riwayat Muslim)

1.5.  MENGAHWINKAN ANAK GADIS DENGAN LELAKI SOLEH APABILA SUDAH SAMPAI MASA DAN CUKUP USIANYA 


1.5.1.   Dalam Surah Ar-Ruum[Kerajaan Rom](30:21) Allah SWT berfirman yang berbunyi: 



“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

1.5.2. Kita lihat pula apakah sabda Rasulullah SAW berkaitan dengan perkahwinan ini:

(a) "Wahai golongan pemuda!. Sesiapa di antara kamu yang telah mempunyai keupayaan iaitu zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia berkahwin.  Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menjaga pandangan mata dan menjaga kehormatan.Sesiapa yang tidak berkemampuan maka hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat mengawal hawa nafsu". (Hadith Riwayat Muslim)

(b) “Tiga golongan yang akan selalu di beri pertolongan oleh Allah ialah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah SAW, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah demi menjaga kehormatan dirinya”. (Hadis Riwayat Thabrani).

1.5.3. Jika telah ada orang lelaki yang beriman dan baik akhlaknya yang datang meminang anak perempuan kita maka menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menjodohkannya. Islam melarang kita memikirkan tentang  jumlah wang hantaran, barang yang mahal-mahal dan menyediakan perbelanjaan yang besar untuk majlis perkahwinan. Sebaliknya Islam menggalakkan kesederhanaan dan janganlah bermegah-megah. Perkara yang ingin dicapai melalui perkahwinan itu ialah kesejahteraan dan kerukunan hidup suami isteri dalam ruang lingkup dan batas-batas yang telah ditetapkan oleh Islam.

1.5.4. Jarak masa pertunangan dengan pernikahan janganlah terlalu panjang kerana dikhuatiri mereka berdua melakukan perkara-perkara yang mendatangkan dosa. Dalam masa pertunangan ini ibu bapa perlu mengawasi anak masing-masing. Perjumpaan dan pertemuan (dating) adalah dibolehkan dalam Islam dengan syarat ada orang tuan yang mengawasinya.

2. Kesimpulannya sebagai seorang mukmin sejati, sewajarnya kita memberi keutamaan kepada lima perkara di atas seperti yang dituntut oleh Islam.  Mudah-mudahan kita mendapat keredhaan dan rahmat dari Allah SWT serta di kasihi oleh Rasulullah SAW.

“Manusia yang paling lemah ialah orang yang tak sanggup cari teman dan yang paling lemah daripada itu ialah orang yang mensia-siakan teman yang telah diperolehinya.” – Mutiara kata Imam Al-Ghazali

Monday, 9 November 2015

10 PESANAN AS-SYAHID IMAM HASSAN AL-BANNA






“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dia lah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara ugama, ugama bapa kamu Ibrahim. Ia menamakan kamu: “orang-orang Islam” semenjak dahulu dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang-orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah). Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dia lah Pelindung kamu. Maka (Allah yang demikian sifatNya) Dia lah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” Surah Al-Hajj[Haji](22:78)

1.   Posting kali ini akan menyenaraikan apakah wasiat As-Syahid Mujahid Imam Hassan Al-Banna. Saya tidak berhasrat untuk terlalu memperincikan sejarah hidup beliau kerana tumpuannya kepada pesanan yang beliau tinggalkan kepada kita. Telah terlalu banyak penulisan mengenai riwayat hidup Imam Hassan Al-Bana. 

2.   Siapakah Imam Hassan Al-Bana?.  Beliau dilahirkaan pada bulan Oktober 1906 di sebuah desa bernama Al-Mahmudiya yang terletak di daerah Al Buhairah, Iskandariah, Mesir. Beliau berasal dari sebuah keluarga ulama yang ternama kerana kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam. Mujahid Islam ini dibesarkan dalam suasana keluarga yang kuat agama dan hidupnya sangat sederhana. Sejak kecil Hasan Al-Banna dididik dalam rumah tangga yang mementingkan pengembangan daya fikiran dan ilmu pengetahuan. 

AYAH HASSAN AL-BANNA

3. Hassan Al-Banna merupakan anak sulung dari lima adik beradik. Ayahnya, Syeikh Ahmad ibn Abd Rahman Al-Banna adalah seorang ulama, imam, guru dan pengarang buku lulusan Universiti Al Azhar Mesir. Beliau bekerja sebagai tukang jam di desa Al Mahmudiyah untuk memenuhi keperluan keluarganya. 

4. Sejak kecil Hasan Al-Banna sudah dididik orang tuanya untuk mendalami ilmu agama. Peringkat awal belajar di Madrasah Ar-Rasyad. Kemudian melanjutkan pelajaran di Madrasah ‘Idadiyah di kota Mahmudiyah tempat beliau dilahirkan. Pada usianya yang masih muda, Hasan Al-Banna sudah menunjukkan minat mendalam terhadap persoalan pendidikan dan dakwah. Pada tahun 1920 Hasan Al-Banna melanjutkan pendidikannya di Darul Mu’allimin Damanhur hingga menyelesaikan hafalan Al-Quran pada usia belum sampai 14 tahun. Pada tahun 1923 beliau melanjutkan pendidikannya di Darul Ulum, Cairo. Di sinilah Hasan Al-Banna banyak mendapat pendedahan dan pengetahuan yang luas. Pendidikannya di Darul Ulum tamat pada tahun 1927 dengan keputusan yang sangat cemerlang. Menjadi pelajar terbaik  di Darul Ulum dan  kelima terbaik di seluruh Mesir dalam usia baru 21 tahun.

5.  Setelah tamat pendidikan di Darul Ulum, Hasan Al-Banna bekerja sebagai guru  di Ismailiyah. Meskipun mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran beliau memilih menjadi guru di Ismailiyah hingga 19 tahun lamanya. Beliau disenangi dan dihormati oleh murid-muridnya dan guru-guru. Setelah 19 berkhidmat beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah yang berkesan dalam masyarakat di bandar melalui penubuhan gerakan Ikhwan Muslimin. 

6.  Hassan Al-Banna dikatakan mendapat inspirasi dari pergerakan pimpinan Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh. Beliau berjuang bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita menyebarkan akidah yang mantap, kefahaman yang betul dan menyeluruh tentang Islam dan sistemnya. Usaha beliau ini amat dikagumi masyarakat Mesir sehingga Islam kembali kepada kedudukan yang sewajarnya dalam masyarakat. Dalam usia yang muda, Hassan Al-Banna dikagumi kerana penyampaiannya yang jelas dan terang apabila menyampaikan khutbah di masjid. Beliau berjaya meyakinkan pendengar samada golongan intektual atau orang biasa dengan kebenaran yang dibawanya. 

7.   Hassan Al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasinya, Ikhwan Muslimin. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas Perang Dunia Kedua apabila pertubuhan ini turut bertanding dalam pilihan raya. Sehingga tahun 1934, Ikhwan telah menubuhkan lebih 50 cawangan di Mesir. Pertubuhan ini juga telah membina beberapa buah sekolah, masjid dan kilang. Pada penghujung Perang Dunia Kedua, Ikhwan dikatakan mempunyai lebih setengah juta pekerja yang aktif dan setengah juta penyokong. Lebih 3000 cawangan telah wujud di Mesir.

8.  Takut dengan pengaruh Ikhwan maka pada 8 November 1948 pemerintah Mesir, Noqrashi Pasha dari Parti Al-Safdi telah mengharamkan Ikhwan Muslimin atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sumbangan Ikhwan Muslimin menghantar beribu orang pejuang dalam perang dengan Israel seolah-olah telah dlupakan. Kesemua cawangan Ikhwan telah diarahkan supaya dibubarkan. Sekiranya masih beroperasi, mereka akan dianggap sebagai pertubuhan haram, pelampau atau pengganas.

9.   Pelbagai tuduhan dan fitnah dilemparkan terhadap Ikhwan Muslimin. Anggota-anggotanya ditangkap, dimasukkan ke dalam penjara, di seksa dengan teruk malah ada yang dibunuh. Tidak lama kemudian Perdana Menteri Mesir telah dibunuh dan pertubuhan Ikhwan telah dipersalahkan atas kejadian itu. Pada bulan yang berikutnya harta benda pergerakan itu telah dirampas dan beribu ribu ahli Ikhwan telah dimasukkan ke dalam penjara. 

10. Dengan menggunakan helah untuk mengendurkan konflik antara Ikhwan Muslimin dan kerajaan, pihak kerajaan telah menjemput Hassan Al-Banna untuk berunding di Pejabat Jam'iyyah al-Syubban al Muslimin. Sebenarnya mereka mahu membunuh beliau. Pada 12 Februari 1949 jam 5 petang, Hasan Al Banna bersama iparnya Abdul Karim Mansur, seorang peguam, iaitu suami kepada adik perempuannya berada di pejabat tersebut. Mereka menunggu Menteri Zaki Ali Basya yang dikatakan mewakili kerajaan untuk berunding, tetapi malangnya Zaki Ali Basya tidak tiba. Akhirnya setelah selesai menunaikan solat Isyak mereka memanggil teksi untuk pulang. Ketika baru sahaja menaiki teksi yang dipanggil, dua orang yang tidak dikenali menerpa ke arah teksi dan salah seorang daripada mereka melepaskan tembakan pistol. Mereka berdua terkena tembakan itu. Setibanya mangsa-mangsa di hospital Qasral 'Aini mereka dikawal rapi dan tidak dibenarkan sebarang rawatan diberikan kepada Hasan Al Banna. Pada pukul 12.50 tengah malam, Hasan Al-Banna menghembuskan nafas yang terakhir akibat banyaknya darah yang keluar.

11.  Pada pukul 1.00 pagi pihak polis telah menyampaikan berita kematian kepada ayah Hasan Al-Banna dengan memberi dua pilihan. Pilihan pertama ialah pihak polis akan menghantarkan jenazah ke rumahnya untuk beliau menjalankan urusan pengebumian pada jam 9.00 pagi tanpa sebarang perhimpunan. Pilihan kedua ialah pihak polis sendiri menguruskan jenazah dari hospital ke kubur tanpa beliau dapat melihat jenazah anaknya. Ayah Hasan Al-Banna menerima pilihan yang pertama. Sebelum fajar menyingsing, jenazah Hassan Al-Bana dibawa ke rumahnya di Hilmiah Al-Jadid dengan sebuah kereta yang dikawal rapi oleh polis. Di sekitar rumahnya juga terdapat polis dan tentera berkawal dengan rapi. Mereka tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri kawasan tersebut. Jenazah Hassan Al-Bana dibawa masuk ke rumahnya dengan tidak ada orang yang melihatnya. Ayah Hasan Al-Banna yang sudah berusia lebih 90 tahun itu dengan penuh kesabaran terpaksa memandikan dan mengkafankan jenazah anaknya yang baru berusia 43 tahun itu seorang diri. Ini kerana orang lain tidak dibenarkan membantu.

12. Setelah diletakkan ke atas pengusung, beliau memohon pihak polis mencari beberapa orang untuk mengusungnya. Tetapi pihak polis mengarahkan orang-orang perempuan mengusungnya. Polis tidak membenarkan sesiapa datang ke rumah tersebut untuk mengucapkan takziah malah tidak dibenarkan membaca Al-Quran. Ayah Hassan Al-Bana dengan tiga orang perempuan terpaksa mengusung anaknya itu menuju ke Masjid Al-Qaisun untuk disembahyangkan. Pihak polis lebih dahulu telah berada di masjid untuk mengarahkan orang ramai yang ada di situ supaya meninggalkan masjid.  Bapanya seorang diri menunaikan solat jenazah untuk anaknya itu. Kemudian mereka meneruskan pengusungannya menuju ke perkuburan untuk disemadikan jenazah almarhum. Pada waktu itu usia Hassan Al-Banna baru mencecah 43 tahun. Masih muda. Anak bongsunya telah dilahirkan pada hari yang sama beliau dibunuh. Isteri Hassan Al-Banna menamakannya ‘Esteshhaad’ yang bermaksud syahid.

13. Sejak pembunuhan Hassan Al Banna ini ramai pendukung Ikhwan Muslimin telah ditindas dan dizalimi. Namun tindakan tersebut menyebabkan pertubuhan itu bukan sahaja semakin bertambah kuat di Mesir malah telah mengembangkan pengaruhnya ke negara-negara Arab. Kebangkitan Islam yang berlaku di negara Arab pada hari ini sebenarnya secara tidak langsung bermula dari Gerakan Ikhwan Muslimin yang diasaskannya.

14.  Ringkasnya almarhum Hasan Al-Banna merupakan seorang pejuang yang gigih dan berani.  Beliau berjaya menyedarkan masyarakat dengan fikrah dan pendekatan barunya dalam gerakan dakwah dan kaedah tarbiahnya yang menarik. Walaupun beliau telah pergi menemui penciptaNya, namun fikiran dan gerak kerjanya masih menjadi rujukan dan pegangan pejuang-pejuang dan harakah Islam dunia hingga hari ini.

15. Apa yang mahu diketengahkan ialah 10 wasiat almarhum. Untuk membolehkan kita menghargai wasiatnya adalah lebih baik jika  kita ketahui terlebih dahulu ranjau-ranjau yang dilalui oleh almarhum dalam perjuangan kerja dakwahnya. Hayatilah kesah pengurusan jenazah seorang pejuang yang dinafikan hak untuk disemadikan dengan cara biasa.  Pasti sahaja hati kecil kita akan tersentuh walaupun ada sedikit iman. Hanya Allah sahaja yang mengetahui deritanya ahli keluarganya apabila berhadapan dengan penguasa yang jahat dan zalim. Sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah untuk almarhum yang telah mati syahid.  Semoga Allah merahmatinya dan diberikan ganjaran syurga atas pengorbanan yang besar untuk agama Islam. Melihat kepada betapa besarnya pengorbanan almarhum, elok juga kita bertanya pada diri kita sendiri.  Apakah pengorbananku dan sumbanganku untuk Islam, agama Allah SWT. Carilah jawapannya. Tentu kita ada jawapan masing-masing. Tapi perlu diingatkan bahawa solat, puasa, haji dan zakat itu bukannya pengorbanan.  Itu hanyalah baru sekadar tanggung jawab kita sebagai orang Islam.

16.    10 pesanan As-Syahid Mujahid Imam Hassan Al-Banna ialah:

16.1. Apabila saudara mendengar azan, maka bangun dan bersegeralah untuk bersolat pada waktunya walau bagaimana keadaan sekalipun.

16.2. Bacalah Al-Quran atau tatapilah buku-buku atau pergilah mendengar perkara-perkara yang baik ataupun amalkanlah zikrullah.  Janganlah sama sekali saudara membuang masa walau sedikit pun dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah.

16.3. Berusahalah seberapa daya upaya untuk bertutur dalam Bahasa Arab yang betul (Fusha) kerana bahasa Arab yang betul itu adalah merupakan syiar-syiar Islam.

16.4. Janganlah banyak berselisih dalam apa-apa perkara sekalipun kerana perselisihan kosong itu tidak memberi sebarang kebaikan jua pun.

16.5. Janganlah banyak ketawa, kerana hati yang sentiasa berhubung dengan Allah itu sentiasa tenang lagi tenteram.

16.6. Janganlah banyak bergurau kerana umat yang sedang berjuang itu tidak mengerti melainkan bersungguh-sungguh dalam setiap perkara.

16.7. Janganlah saudara bercakap lebih nyaring daripada kadar yang dikehendaki oleh para pendengar kerana percakapan yang nyaring begitu adalah suatu tabiat yang sia-sia malah menyakiti hati orang lain.

16.8. Jauhilah daripada perbuatan mengumpat peribadi orang, mengecam pertubuhan-pertubuhan lain dan janganlah bercakap melainkan apa-apa yang boleh memberi kebajikan.

16.9. Berkenal-kenalanlah dengan tiap-tiap saudara seaqidah yang saudara bertemu dengannya sekalipun ia tidak meminta saudara mengenalinya kerana asas gerakan dakwah kita ialah berkasih sayang dan berkenal-kenalan.

16.10. Kewajipan-kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita. Oleh itu, bantulah saudaramu sendiri tentang cara-cara bagaimana hendak mengguna masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri maka segerakanlah perlaksanaannya.

17.  Sama-samalah kita berusaha untuk mempraktikkan wasiat seorang insan mulia dan agung yang telah mempertaruhkan jiwanya demi agama Allah SWT. 
TEMBOK KE PUSARA ALMARHUM HASSAN AL-BANNA
“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri