Monday, 29 June 2015

MUKJIZAT AL-QURAN : MAMPU MENYEDARKAN ORANG YANG TELAH MATI OTAK


1.   Dalam Surah Al-Israq [Memperjalankan Waktu Malam](17:82), Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.”

2.   Firman Allah di atas jelas membuktikan bahawa isi kandungan  Al-Quran itu bukan hanya sekadar menjelaskan perintah, larangan, ancaman dan lain-lain dari Allah SWT malah ia juga boleh menjadi penawar (ruqyah) untuk mengubati dan menyembuhkan penyakit dengan izin Allah. Antara ayat-ayat yang sesuai untuk meruqyah adalah surah Al-Fatihah, ayat Kursi (ayat ke-255 dalam surah Al-Baqarah), dua ayat terakhir dalam surah Al-Baqarah (ayat 285-286), dan tiga surah terakhir dalam Al-Quran (Al-Ikhlas, Al-Falaq, An-Nas) sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW. Namun demikian pada umumnya semua ayat Al-Quran dapat menjadi terapi penyembuhan dan pencegahan dari berbagai penyakit, insya Allah.

3.  Mari sama-sama kita menghayati kesah berikut untuk membuktikan kebenaran firman Allah SWT dalam Surah Al-Israq  di atas. Kesah benar ini diceritakan oleh seorang wanita yang tinggal di sebuah kota kecil di Arab Saudi. Wanita ini memiliki seorang anak perempuan bernama Asma,  seorang gadis kecil yang cerdas dan mampu menghafal Al-Qur'an.

4.  Sejak Asma masih kecil, suami wanita ini terbaring koma di hospital. Kejadian itu berlaku  pada 9 Ramadhan tahun 1395 H (sekitar tahun 1975 Masihi).  Sisuami terlibat dalam kemalangan kereta yang dahsyat. Kereta yang ditumpanginya terbalik ketika pulang dari tempat kerja di timur Arab Saudi menuju Riyadh. Kemalangan itu begitu hebat hingga membuatnya koma. Dia segera dikejarkan ke hospital.  Kumpulan doktor pakar yang merawatnya mengatakan suami wanita itu mengalami kelumpuhan otak. 95 peratus otaknya telah mati. Ketika itu Asma belum cukup mengerti keadaan ayahnya. Setiap kali Asma bertanya ke mana ayahnya, si ibu  selalu merahsiakannya dan tidak bercerita apa yang sebenarnya.

5.   Kini Asma  sudah berusia 15 tahun. Dia juga sudah boleh menghafal Al-Qur’an dan kelihatan lebih dewasa dari usianya. Asma juga telah memahami keadaan ayahnya. Sementara sisuami masih terbaring koma, siisteri pula terus menunggu dan menjaganya dengan penuh harapan agar sembuh. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Ujian kesetiaan kepada sisuami pun tiba setelah lima tahun berlalu  apabila ada orang menyarankan kepada si isteri agar berkahwin dengan orang lain. “Tidak,” jawab si isteri dengan tegas. “Selama suamiku belum dikembumikan, aku akan tetap menjadi isterinya.”
GAMBAR HANYA SEKADAR HIASAN

6.  Si isteri cekal mendidik Asma di samping berganti-ganti dengan keluarga menjaga suami di hospital. Kemudian Asma dimasukkan ke sekolah tahfiz hingga dia menjadi seorang hafizah, penghafal Al-Qur’an. Asma selalu bersama ibunya ke  hospital. Dia mendoakan, membacakan ayat-ayat ruqyah untuk ayahnya serta  bersedekah untuk ayahnya. Hingga satu hari pada tahun 1990, Asma meminta izin untuk bermalam di hospital kerana mahu menjaga ayahnya. Malam itu, Asma duduk di sisi ayahnya. Dia membaca surah Al-Baqarah. Setelah selesai ayat terakhirnya, Asma rasa sangat mengantuk. Dia tertidur   disebelah ayahnya yang masih koma. Tak berapa lama kemudian, Asma terbangun. Ada ketenangan dalam tidur singkatnya itu. Lalu dia pun mengambil wuduk dan menunaikan solat malam. Selesai solat beberapa rakaat, rasa sangat mengantuk kembali menguasai Asma. Tetapi mengantuk itu segera hilang ketika Asma merasa ada suara yang memanggilnya ketika dia berada dalam keadaan antara tidur dan terjaga. Bangunlah… bagaimana mungkin engkau tidur sementara waktu ini adalah waktu mustajab untuk berdoa? Allah tidak akan menolak doa hamba di waktu ini”

7.   Asma pun kemudian mengangkat tangannya dan berdoa: “Yaa Rabbi, Yaa Hayyu…Yaa ‘Adziim… Yaa Jabbaar… Yaa Kabiir… Yaa Mut’aal… Yaa Rahmaan… Yaa Rahiim… ini adalah ayahku, seorang hamba dari hamba-hambaMu, dia telah ditimpa penderitaan dan kami telah bersabar, kami Memuji Engkau…, kami beriman dengan keputusan dan ketetapanMu baginya…

Ya Allah…, sesungguhnya dia berada di bawah kehendakMu dan kasih sayangMu.., Wahai Engkau yang telah menyembuhkan Nabi Ayub dari penderitaannya, dan telah mengembalikan Nabi Musa kepada ibunya… Yang telah menyelamatkan Nabi Yunus dari perut ikan paus, Engkau Yang telah menjadikan api menjadi dingin dan keselamatan bagi Nabi Ibrahim… sembuhkanlah ayahku dari penderitaannya…

Ya Allah… sesungguhnya mereka telah menyangka bahawasanya dia tidak mungkin lagi sembuh… Ya Allah milikMulah kekuasaan dan keagungan, sayangilah ayahku, angkatlah penderitaannya…”

8.   Sebelum Subuh rasa mengantuk datang lagi dan Asma pun tertidur. “Siapa engkau, mengapa engkau ada di sini?”. Suara itu menjadikan Asma tersedar dari tidurnya. Dia menoleh ke kanan dan ke kiri. Mencari dari mana datang suara itu. Tetapi tidak ada orang. Asma terkejut! Subhanallah, Masyaallah. Betapa bahagia dirinya kerana suara itu adalah suara ayahnya. Dia telah sedar dari koma panjangnya. Begitu gembiranya Asma lalu terus memeluk ayahnya yang masih terbaring. Siayah terkejut. “Takutlah engkau kepada Allah. Engkau tidak halal bagiku” kata si ayah. “Aku ini anakmu wahai ayah. Aku Asma” kata Asma kepada ayahnya. Ayahnya kelihatan seperti orang yang sangat kehairanan. Asma segera memberitahu doktor apa yang telah terjadi.

9.   Para doktor yang bertugas pada pagi itu segera ke katil ayah Asma. Para doktor hanya mampu mengucapkan “Allahuakbar, Subhanallah dan MasyaAllah”. Mereka tidak percaya sama sekali dengan peristiwa yang menakjubkan ini. Bagaimana mungkin otak yang telah mati kini kembali berfungsi? Ini benar-benar tanda kekuasaan Allah SWT.

10.   Ketika Asma dan ibunya menceritakan kepada ayahnya bahawa dia telah koma selama 15 tahun si ayah terus bertasbih dan memuji Allah. “Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Dialah yang menjaga hamba-hambaNya” kata ayahnya.

11.  Semoga kesah ini menjadi inspirasi para pembaca, khususnya mereka yang memiliki anak-anak yang sedang membesar, agar mereka dididik menjadi zuriat yang soleh dan solehah, keturunan yang menjadi cahaya mata untuk kedua ibu bapanya. Galakan hendaklah diberikan kepada anak-anak agar mereka dapat membaca Al-Quran dengan baik. Anak yang soleh adalah merupakan barakah bagi kedua ibu bapa mereka. Selain itu kita hendaklah menyakini sepenuhnya bahawa Al-Quran itu mampu menyembuhkan penyakit manusia. Selain dari berubat dengan cara moden, jangan lupa untuk membaca Al-Quran sambil berdoa kepada Allah SWT  agar menyembuhkan penyakit yang kita alami.

                      Bacaan surah Al Baqarah oleh Sheikh Saad AlGhamidi

“Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada mereka yang menjaga lidahnya. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada takwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat yang baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar”. ~ Mutiara Kata Saidina Umar bin Al-Khattab

Sunday, 21 June 2015

RAMADAN IALAH BULAN KEINSAFAN



1.  Berpuasa dalam bulan Ramadan telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:183) yang berbunyi:


“Wahai orang yang beriman!. Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan  atas orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.

2.   Berdasarkan firman Allah di atas, jelaslah kepada kita bahawa berpuasa itu bukanlah hanya sekadar menahan diri untuk tidak makan dan minum sahaja. Allah memerintahkan berpuasa agar umat Islam menjadi orang yang bertaqwa.  Apakah yang dimaksudkan dengan taqwa. Taqwa adalah berkaitan dengan sifat kepatuhan seseorang terhadap perintah Allah dan RasulNya, samada perintah itu berupa suruhan atau larangan. Ringkasnya orang yang bertaqwa ialah orang yang menjunjung dan patuh kepada semua perintah Allah.

3.   Para ulama' Islam telah memberikan pandangan bahawa  taqwa itu ialah menyucikan hati daripada dosa sehingga menguatkan azam untuk meninggalkan dosa dan seterusnya memelihara diri daripada segala maksiat. Definisi taqwa mengikut Thalq Bin Habib Al’Anazi ialah mengamalkan ketaatan kepada Allah dengan cahaya Allah (dalil), mengharap keampunan Allah, meninggalkan maksiat dengan cahaya Allah (dalil), dan takut terhadap azab Allah.

4.    Menurut Imam Al-Ghazali rahimahullah, kalimah taqwa yang terdapat di dalam al-Quran al-Karim membawa tiga maksud, iaitu:

4.1.   Bermaksud takut, gerun atau ngeri.

4.2.   Bermaksud taat.

4.3.   Bermaksud menyucikan hati daripada dosa.     
   
5. Imam al-Ghazali membuat kesimpulan bahawa taqwa itu ialah menjauhkan setiap apa yang ditakuti akan membawa mudarat kepada agama. Bandingannya ialah berpantang bagi orang yang mengidap penyakit. Ada pun bertaqwa pula ialah berpantang daripada melakukan perkara-perkara yang membawa kerosakan kepada agama.

6. Sesungguhnya terdapat banyak hikmah atau kebaikan dari amalan berpuasa. Dalam posting ini aspek yang dipilih ialah bagaimana berpuasa boleh menjadikan seseorang Islam bertambah keinsafannya terhadap pemberiaan Allah dan seterusnya menjadikan kita lebih bersyukur kepadaNya.  Walaupun kita memiliki harta kekayaan dan mampu membeli makanan namun Allah melarang makan semasa berpuasa supaya kita dapat sama-sama merasai lapar dan dahaganya orang yang tidak mampu membeli makanan/minuman lantaran kemiskinan mereka.

7.    Dalam Surah Ar-Rahman[Maha Pemurah](55:13) Allah berfirman dengan ayat berikut sebanyak 31 kali:
Firman ini bermaksud “Maka nikmat Tuhammu yang manakah yang kamu dustakan.” Firman ini pertama kali disebut pada ayat yang ke 13. Dalam  surah ini Allah mengulangi firman ini sebanyak 31 kali.  Kenapa Allah mengulanginya sebanyak 31 kali?. Ini sudah tentu menandakan betapa pentingnya ayat tersebut. Pentingnya kita yang mengaku beriman kepada Allah untuk sentiasa bersyukur kepada nikmat yang telah Allah anugerahkan.  Ingatlah orang yang tidak bersyukur kepada nikmat Allah bermakna mereka telah kufur kepada nikmat Allah.  Ini kerana syukur lawannya kufur.

8.   Kita hanya akan bersyukur kepada nikmat yang Allah SWT berikan jika kita sentiasa melihat nasib orang lain yang jauh lebih susah dan dhaif dari kita.  Tatapilah gambar-gambar di bawah semoga kita menjadi orang yang sentiasa bersyukur kepada nikmat Allah SWT.







"Setiap orang di dunia ini adalah seperti seorang tetamu dan hartanya adalah pinjaman. Tetamu ini pasti akan pergi samada cepat atau lambat dan pinjaman itu haruslah dikembalikan kepada tuannya". ~ Mutiara Kata Ibnu Mas’ud

Thursday, 18 June 2015

KELEBIHAN BERWUDUK SEBELUM TIDUR



1.   Dalam posting yang bertarikh 1.2.2015 telah dimuatkan artikel yang bertajuk “Penemuan Saintifik Dalam Amalan Berwuduk”. Wuduk dari segi bahasa bererti bersih dan indah. Dari aspek syar’ie pula wuduk bererti membersihkan anggota-anggota wuduk untuk menghilangkan hadas kecil. Wuduk yang sah adalah syarat kepada sahnya solat sesaorang.

2.  Kelazimannya orang akan bercakap tentang berwuduk jika mahu mengerjakan solat sahaja. Kewajipan berwuduk untuk solat telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:6) yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

3.    Tahukah kita bahawa berwuduk sebelum tidur juga digalakkan dalam Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa tidur dimalam hari dalam keadaan suci (berwuduk) maka Malaikat akan tetap mengikuti, lalu ketika ia bangun nescaya Malaikat itu akan berkata: “Ya Allah ampunilah hamba mu sifulan, kerana dia tidur di malam hari dalam keadaan selalu suci". (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dari Ibnu Umar ra).

4.   Pakar kesihatan di dunia juga menganjurkan agar kita mencuci kaki, mulut dan muka sebelum tidur. Bahkan ada pakar kecantikan telah mencipta alat kecantikan agar dapat menjaga kesihatan kulit muka. Seseorang yang berwuduk sudah tentu berada dalam keadaan suci dan bersih. Ini bererti mereka dekat dengan Allah SWT kerana Allah akan dekat dan sayang kepada orang-orang yang berada dalam keadaan sentiasa berwuduk. Apakah kelebihan berwuduk sebelum tidur?.

4.1.   Pertama, wuduk mampu menenangkan otot-otot sebelum kita berehat. Percikan air wuduk merupakan satu kaedah untuk mengendurkan otot-otot yang kaku. Jika seseorang berwuduk maka fikirannya akan terasa tenang serta badan tidak terasa terlalu letih.

4.2.   Kedua, mencerahkan kulit muka. Wuduk dapat mencerahkan kulit muka kerana air wuduk dapat menghilangkan kotoran pada kulit muka seseorang. Lihat sahaja muka orang alim yang sentiasa berwuduk.  Pastinya muka mereka kelihatan berseri dan bersih. Walaupun warna kulit muka mereka hitam tetapi ia tetap kelihatan bercahaya. 

4.3.   Ketiga, Malaikat mendoakkan untuknya. Malaikat akan sentiasa berdoa memohon perlindungan untuk orang yang sentiasa berwuduk sebelum tidur. Malaikat adalah makhluk yang sentiasa berzikir kepada Allah. Doa malaikat pasti akan  dikabulkan oleh Allah. Oleh kerana itu, selalu berwuduklah agar mendapatkan manfaat dan kelebihan tersebut.

4.4.   Dalam menjelaskan kelebihan dari sabda Rasulullah SAW  di atas, Al-Hafidz Ibnul Hajar menyebutkan hikmahnya ialah agar seseorang itu tidur pada malam hari dalam keadaan suci supaya ketika kematian menjemputnya dia berada dalam keadaan yang bersih. Dari sini diambil kesimpulan dianjurkan untuk sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dengan menjaga kebersihan (kesucian) hati karena kesucian hati jauh lebih penting daripada kesucian badan.

5.   Justeru itu jadikanlah berwuduk sebelum tidur ini sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita.  Paling kurang pun kita pasti beroleh pahala di sisi Allah kerana mengerjakan apa yang menjadi sunnah Rasulullah SAW.

“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali parit agar saudaranya jatuh ke dalamnya, maka dia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya”.- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Siddik.

Thursday, 11 June 2015

MASJIDIL HARAM DAN NABAWI YANG BERCAHAYA DIWAKTU MALAM.


1.  Allah SWT telah memberikan kemuliaan kepada Masjid Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah dengan kemuliaan yang Allah tidak berikan kepada masjid lain di dunia ini. Di Dalam Surah Al-Hajj[Haji](22:25), Allah SWT berfirman yang berbunyi:

“Sesungguhnya (amatlah zalim) orang-orang yang kafir serta menghalangi manusia dari jalan Allah (ugama Islam), dan dari memasuki Masjid Al-Haram (Makkah) yang Kami jadikan dia tempat beribadat untuk seluruh umat manusia (yang beriman) – sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah; dan sesiapa yang berazam melakukan di situ sebarang perbuatan yang di larang dengan cara yang zalim, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya”.

2.   Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

2.1.   “Solat di masjidku ini lebih baik daripada 1000 kali solat di tempat lain, kecuali di Masjid Al-Haram.” (Hadis Riwayat Muslim)

2.2.   “Janganlah kamu bersusah payah melakukan perjalanan jauh kecuali menuju ke tiga masjid: Masjidku ini (Masjid Nawabi), Masjid Al-Haram (diMakkah), dan Masjid AlAqsa.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

2.3.   “Tempat di antara mimbarku dan rumahku adalah satu taman dari taman-taman surga. Dan mimbarku berada di atas telagaku.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

3.   Apakah keistimewaan yang ada dikedua-dua masjid ini sehingga ia diberikan kemuliaan oleh Allah SWT?. Tahukah kita bahawa hanya kedua-dua kawasan masjid ini sahaja yang bercahaya dan cantik apabila dilihat dari angkasa lepas di waktu malam.  Inilah dua objek dimuka bumi yang memancarkan cahayanya di waktu malam sedangkan tempat lain dibumi tidak sedemikian.  Subhanallah.

BERCAHAYA WAKTU MALAM. MASJID NABAWI (KIRI) DAN HARAM (KANAN)

PEMANDANGAN MEKAH DAN MADINAH WAKTU MALAM DARI LUAR ANGKASA LEPAS

4.   Perkara ini telah disahkan oleh angkasawan Russia.  Seramai 3 orang angkasawan Russia yang terdiri dari Anatoli Ivanishin, Anton Shkaplerov dan Dan Burbank telah melawat Pusat Sains Putera Salman di Riyadh. Lawatan mereka adalah sebahagian dari program setelah menghadiri Kongres Persatuan Pengembaraan Angkasa Lepas ke 25 yang diadakan seminggu di Riyadh, Arab Saudi. Kongres ini menjadi forum untuk ahlinya berinteraksi dan membina program berkaitan angkasa lepas.  Ia merupakan forum perjumpaan terbesar pakar-pakar dunia dalam bidang angkasa lepas.

ANATOLI IVANISHIN SEMASA MELAWAT PUTERA SULTAN BIN SALMAN
5. Salah seorang angkasawan berkenaan iaitu Anatoli Ivanishin telah memberitahu kepada pelajar Arab Saudi di Pusat Sains Putera Salman.  Katanya: “Ketika berada di angkasa lepas, kami tidak berdepan dengan masalah untuk merakam gambar bandar raya di bumi pada siang hari. Tetapi sebelah malam, ia begitu rumit dan kamu  perlu menggunakan teknik khas. Namun, saya berjaya merakam gambar beberapa bandar waktu itu. Yang memeranjatkan saya ialah kota Makkah dan Madinah begitu terang berbanding bandar lain di seluruh dunia ketika waktu malam. Bandar lain tidak begitu jelas ketika itu tetapi pemandangan Makkah dan Madinah begitu menakjubkan dan tidak diduga sama sekali.”

6.  Siapakah Anatoli Alekseyevich Ivanishin (Bahasa Rusian: Анатолий Алексеевич Иванишин). Beliau dilahirkan di Irkutsk Rusia pada 15.1.1969.  Merupakan salah seorang angkasawan Rusia.  Beliau telah pergi ke angkasa lepas buat pertama kali pada 14.11.2011 menggunakan kapal angkasa Soyuz TMA-22. Telah berada di angkasa lepas selama 165 hari. Beliau telah berkahwin dengan Svetlana Ivanishina.  Mempunyai seorang anak lelaki bernama Vladislav.

ANATOLY IVANISHIN

7.    Dalam tahun 1986 Anatoli telah menamatkan pelajarannya di sekolah menengah di Irkutsk. Dalam tahun tersebut beliau gagal memasuki Sekolah Tinggi Penerbangan Tentera Chernigov untuk menjadi juruterbang.  Oleh itu beliau memasuki Institut Politeknik Irkutsk dan pada tahun 1987 menamatkan tahun pertamanya. Percubaan kali kedua Anatoli berjaya memasuki Sekolah Tinggi Penerbangan Tentera pada tahun 1987.  Dalam tahun 1991 beliau menamatkan pengajiannya dengan memperolehi pingat emas.  Dalam tahun 2003 Anatoli menjadi graduan dari Moscow State University dalam bidang ekonomi, perangkaan dan Teori Maklumat.

8. Kenyataan yang diberikan oleh angkasawan Anatoli Ivanishin ini membuktikan bahawa kedua-dua masjid ini sememangnya di muliakan oleh Allah SWT.  Tiada penjelasan yang dapat diberikan oleh Ivanishin kenapa kedua masjid ini cerah bercahaya di waktu malam. Apa yang kita wajib sedari ialah bukankah kedua-duanya bercahaya kerana di Masjid Haram itulah terletaknya bangunan yang paling mulia di atas muka bumi, iaitu Kaabah, Baitullah yang menjadi pusat sembahan orang Islam seluruh dunia semasa solat. Manakala di dalam Masjid Nabawi pula bersemadinya jasad kekasih Allah SWT, iaitu Nabi Muhammad SAW, Rasulullah. Allah SWT pastinya akan memelihara kemuliaan kedua-dua rumahNya. 

“Ketahuilah bahawa sabar, jika dipandang dalam permasalahan seseorang adalah ibarat kepala dari suatu tubuh. Jika kepalanya hilang maka keseluruhan tubuh itu akan membusuk. Sama halnya, jika kesabaran hilang, maka seluruh permasalahan akan rosak.” ~ Mutiara kata Khalifah ‘Ali Karramallah Wajhah

Saturday, 6 June 2015

KEWUJUDAN OBJEK DARI LANGIT MENGHENTAM BUMI: LAGI KEBENARAN AL-QURAN


1.    Di alam sistem suria kita dikatakan terdapat 9 buah planet. Nama-nama planet itu ialah Utarid, Zuhrah (Kejora), Bumi, Marikh, Musytari (Jupiter), Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto. Dalam sistem suria ini semua planet bergerak berpusing mengelilingi matahari.  Allah telah menentukan kedudukan dan pergerakan  setiap planet supaya ia tidak berlanggar antara satu sama lain. 
 
2.  Diangkasa raya dunia, selain dari planet-planet di atas terdapat juga pelbagai jenis objek yang boleh jatuh ke bumi dan berkemungkinan merosakkan bumi. Antara objek-objek itu ialah:


KOMET MELINTASI BUMI
2.1. Komet: Komet ataupun juga dikenali dengan nama bintang berekor adalah objek angkasa yang mirip asteroid, tetapi hampir seluruhnya terbentuk dari gas (karbon dioksida, metana, air) dan debu yang membeku. Ekor komet terhasil kerana pembalikan cahaya matahari. Komet memiliki orbit atau laluan pergerakannya. Ekor komet berbeza-beza bentuk dan ukurannya. Semakin dekat komet tersebut dengan matahari, semakin panjanglah ekornya. Ada juga komet yang tidak berekor. Komet bergerak mengelilingi matahari berkali-kali tetapi peredarannya memakan waktu yang lama. Komet dibezakan mengikut tempoh waktunya  mengorbit matahari. Waktu mengorbit paling pendek adalah kurang dari 200 tahun dan waktu yang paling panjang pula melebihi 200 tahun. 

ASTEROID MENGHAMPIRI BUMI
2.2.   Asteroid: Ia adalah objek dari langit.  Struktur badannya terdiri dari batu, karbon, dan logam. Sama seperti objek langit lain ia juga mengorbit matahari. Bersaiz agar kecil dan padat yang terdapat dalam sistem suria dunia. Asteroid adalah contoh dari sejenis planet kecil atau disebut juga planetoida.  Saiznya jauh lebih kecil dari sebuah planet. Asteroid berada dalam lingkungan  antara planet  Marikh dan Jupiter.

METEOROID DI ANGKASA RAYA
2.3.   Meteoroid: Ia adalah batu-batu angkasa berukuran kecil yang melayang-layang bebas di angkasa dan bergerak pantas. Lintasan meteoroid tidak teratur dan ia tidak mengorbit matahari.


2.4.   Meteor: Meteor atau juga dipanggil tahi
bintang ialah meteoroid yang tertarik masuk ke dalam atmosfera bumi kerana pengaruh tarikan graviti bumi. Meteroid mengalami pergeseran yang hebat di atmosfera bumi dan menyebabkannya terbakar. Meteoroid yang terbakar inilah yang disebut meteor. Penduduk bumi boleh melihat meteor yang terbakar ini dan ia dikatakan sebagai tahi bintang yang jatuh ke bumi. Meteor yang jatuh ke bumi dipanggil meteorit.

GAMBARAN METEOR JATUH KE BUMI
METEORIT
3.  Kesimpulannya ialah runtuhan asteroid dan komet dikatakan meteoroid.  Jika sudah memasuki atmosfera bumi dan terlihat cahayanya ia disebut meteor.  Jika meteor ini mampu sampai dan jatuh  dipermukaan bumi/tanah ia dipanggil meteorit.  Jika berlaku perlanggaran sesebuah objek di langit, maka serpihannya kemungkinan akan bertebaran jatuh  ke bumi. Saintis yang mengkaji bidang astronomi mengesahkan serpihan yang jatuh ada yang bersaiz besar dan mampu mencapai berat hingga ribuan tan. 

4.   Peristiwa hentaman meteor ke bumi sudah acap kali berlaku.  Namun yang paling hebat ialah apa yang berlaku 107 tahun lalu, iaitu pada 30 Jun 1908. Meteor terbesar telah menghentam bumi di daerah Tunguska, Siberia Rusia. Kesan hentakannya dapat dirasai hingga 64 kilometer dari tempat kejadian. Pengkaji menganggarkan ukuran meteor itu ialah sekitar 60 hingga 190 meter. Kekuatan ledakan yang dihasilkan mencapai 30 megaton. Kekuatan ledakan sehebat ini dianggarkan sama dengan kekuatan ledakan 1000 kali bom nuklear yang pernah digugurkan oleh tentera Amerika Syarikat di kota Hiroshima Jepun pada tahun 1945. Ledakan meteor Tunguska ini telah membakar sekitar 80 juta pokok di kawasan seluas 2.15 kilometer persegi dan ia terasa seperti gempa bumi dengan kekuatan 5 skala Richter. 
KESAN HENTAMAN METEOR DI TUNGUSKA, RUSIA
5.   Sesungguhnya amaran akan berlakunya kejadian hentaman meteor (tahi bintang) ke bumi ini telahpun difirmankan oleh Allah SWT lebih 1,400 tahun lalu dalam Al-Quran.  Firman- firman Allah itu ialah dalam surah-surah berikut:

          5.1.   Surah Al-Mulk [Kerajaan](67:16) yang berbunyi:


“Patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Tuhan yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menunggang-balikkan bumi menimbus kamu, lalu bergegarlah bumi itu dengan serta-merta (melenyapkan kamu di bawahnya)?”

          (67:17)


“Atau patutkah kamu merasa aman (tidak takut) kepada Allah yang pusat pemerintahanNya di langit itu: menghantarkan kepada kamu angin ribut yang menghujani kamu dengan batu; maka dengan itu, kamu akan mengetahui kelak bagaimana buruknya kesan amaranKu?”

          (67:18)

“Dan demi sesungguhnya! orang-orang (kafir) yang terdahulu daripada mereka telah mendustakan (rasul-rasulnya lalu mereka dibinasakan); dengan yang demikian, (perhatikanlah) bagaimana buruknya kesan kemurkaanKu.”

          5.2.   Surah Saba [Negeri Saba](34:9) yang berbunyi:


“(Setelah mereka mengejek-ejek dan membuat tuduhan-tuduhan itu) tidakkah mereka melihat apa yang ada di hadapan mereka dan yang ada di belakang mereka dari langit dan bumi (dapatkah mereka melarikan diri)? Jika Kami kehendaki nescaya Kami timbuskan mereka di bumi, atau Kami gugurkan atas mereka ketul-ketul dan serpihan-serpihan dari langit (yang akan membinasakan mereka). Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda (yang memberi keinsafan) bagi tiap-tiap hamba Allah yang mahu kembali kepadanya (dengan taat dan berbakti)”.

6.   Rasulullah SAW juga telah bersabda tentang peristiwa akhir zaman ini. Antaranya ialah:

6.1.   "Pada umat ini akan terjadi (di akhir zaman) penenggelaman bumi, hujan batu dan pengubahan rupa. Ada seorang dari kaum muslimin yang bertanya, bilakah peristiwa itu akan terjadi?  Rasulullah menjawab, " Apabila muzik dan nyanyian telah maharajalela dan khamr (arak) telah dianggap halal. (Hadis Riwayat Termizi).

6.2.   "Menjelang terjadinya Kiamat akan terjadi pengubahan rupa, penenggelaman bumi dan hujan batu." (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

7. Berlakunya peristiwa hentaman bumi ini hanyalah mengesahkan kebenaran dan ketepatan apa yang telah difirmankan oleh Allah SWT yang Maha Mengetahui dalam Al-Quran. Ini satu lagi bukti bahawa Al-Quran itu datangnya dari pencipta manusia dan alam semesta. Adakah ramalan seperti dalam Al-Quran ini juga ada dalam kitab-kitab agama yang lain di dunia?.  Jawabnya sudah tentu tidak. Bukankah ini bukti nyata bahawa Islam itu agama yang benar?. Kenapakah manusia mesti menafikannya.

“Syaitan lebih suka untuk menyesatkan orang yang alim daripada orang jahil kerana orang alim apabila sesat maka dia akan turut menyesatkan orang lain dengan kejahilannya sedangkan orang jahil tidak begitu” – Mutiara Kata Imam Abdullah bin Alwi al-Haddad al-Husaini