Thursday, 18 June 2015

KELEBIHAN BERWUDUK SEBELUM TIDUR



1.   Dalam posting yang bertarikh 1.2.2015 telah dimuatkan artikel yang bertajuk “Penemuan Saintifik Dalam Amalan Berwuduk”. Wuduk dari segi bahasa bererti bersih dan indah. Dari aspek syar’ie pula wuduk bererti membersihkan anggota-anggota wuduk untuk menghilangkan hadas kecil. Wuduk yang sah adalah syarat kepada sahnya solat sesaorang.

2.  Kelazimannya orang akan bercakap tentang berwuduk jika mahu mengerjakan solat sahaja. Kewajipan berwuduk untuk solat telah diperintahkan oleh Allah SWT dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:6) yang berbunyi:


“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib; dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.”

3.    Tahukah kita bahawa berwuduk sebelum tidur juga digalakkan dalam Islam. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa tidur dimalam hari dalam keadaan suci (berwuduk) maka Malaikat akan tetap mengikuti, lalu ketika ia bangun nescaya Malaikat itu akan berkata: “Ya Allah ampunilah hamba mu sifulan, kerana dia tidur di malam hari dalam keadaan selalu suci". (Hadis Riwayat Ibnu Hibban dari Ibnu Umar ra).

4.   Pakar kesihatan di dunia juga menganjurkan agar kita mencuci kaki, mulut dan muka sebelum tidur. Bahkan ada pakar kecantikan telah mencipta alat kecantikan agar dapat menjaga kesihatan kulit muka. Seseorang yang berwuduk sudah tentu berada dalam keadaan suci dan bersih. Ini bererti mereka dekat dengan Allah SWT kerana Allah akan dekat dan sayang kepada orang-orang yang berada dalam keadaan sentiasa berwuduk. Apakah kelebihan berwuduk sebelum tidur?.

4.1.   Pertama, wuduk mampu menenangkan otot-otot sebelum kita berehat. Percikan air wuduk merupakan satu kaedah untuk mengendurkan otot-otot yang kaku. Jika seseorang berwuduk maka fikirannya akan terasa tenang serta badan tidak terasa terlalu letih.

4.2.   Kedua, mencerahkan kulit muka. Wuduk dapat mencerahkan kulit muka kerana air wuduk dapat menghilangkan kotoran pada kulit muka seseorang. Lihat sahaja muka orang alim yang sentiasa berwuduk.  Pastinya muka mereka kelihatan berseri dan bersih. Walaupun warna kulit muka mereka hitam tetapi ia tetap kelihatan bercahaya. 

4.3.   Ketiga, Malaikat mendoakkan untuknya. Malaikat akan sentiasa berdoa memohon perlindungan untuk orang yang sentiasa berwuduk sebelum tidur. Malaikat adalah makhluk yang sentiasa berzikir kepada Allah. Doa malaikat pasti akan  dikabulkan oleh Allah. Oleh kerana itu, selalu berwuduklah agar mendapatkan manfaat dan kelebihan tersebut.

4.4.   Dalam menjelaskan kelebihan dari sabda Rasulullah SAW  di atas, Al-Hafidz Ibnul Hajar menyebutkan hikmahnya ialah agar seseorang itu tidur pada malam hari dalam keadaan suci supaya ketika kematian menjemputnya dia berada dalam keadaan yang bersih. Dari sini diambil kesimpulan dianjurkan untuk sentiasa mempersiapkan diri untuk menghadapi kematian dengan menjaga kebersihan (kesucian) hati karena kesucian hati jauh lebih penting daripada kesucian badan.

5.   Justeru itu jadikanlah berwuduk sebelum tidur ini sebagai amalan dalam kehidupan seharian kita.  Paling kurang pun kita pasti beroleh pahala di sisi Allah kerana mengerjakan apa yang menjadi sunnah Rasulullah SAW.

“Barangsiapa yang membuka kesalahan orang lain, maka akan dibukakanlah kesalahan-kesalahan keturunannya. Barangsiapa yang menghunuskan pedang kezaliman, maka ia akan terbunuh dengannya. Barangsiapa yang menggali parit agar saudaranya jatuh ke dalamnya, maka dia sendirilah yang nanti akan jatuh ke dalamnya”.- Mutiara Kata Al-Imam Jaa’far Ash-Siddik.

No comments:

Post a Comment