Monday, 9 October 2017

KENYATAAN AL-QURAN TENTANG MARYAM, NABI ISA DAN AJARANNYA (BAHAGIAN 1)


1.    Nabi Isa AS adalah salah seorang dari 25 nabi/rasul yang disebutkan oleh Allah SWT dalam Al-Quran. Nabi Isa ialah anak kepada Maryam.  Mayam pula anak Imran dari Bani Israel. Nabi Isa dilahirka tanpa ayah.  Dia lahir atas kehendak dan ketentuan (Qun fayaqun ) Allah SWT. Beliau berdakwah kepada Bani Israel di Palestin. Diangkat menjadi nabi ketika berusia 30 tahun. Hanya sempat berdakwah selama 3 tahun sebelum diangkat oleh Allah SWT kepadaNYA ketika berumur 33 tahun. Nabi Isa hidup di dunia antara tahun 1 Masihi hingga 33 Masihi. Nama baginda disebut sebanyak 25 kali dalam Al-Quran. 

2.    Nabi Isa menerima wahyu dari Allah SWT melalui perantaraan Malaikat Jibrail dan membawa risalah Islam, iaitu Kitab Injil. Kitab Injil yang asal sudah tidak dapat dipastikan di mana ia berada. Namun sebahagian ajaran Nabi Isa masih terdapat dalam kitab Bible orang yang beragama Kristian, iaitu dalam New Testament (Kitab Perjanjian Baru).  

3.    Orang Kristian mempercayai Nabi Isa atau dipanggil Jesus adalah tuhan mereka walaupun dalam Bible tidak ada satu patah perkataan pun Jesus pernah menyebut “Akulah Tuhan” atau “Sembahlah Aku”.

4.   Posting kali ini dan dua posting berikutnya akan menjelaskan firman-firman Allah SWT dalam Al-Quran tentang Maryam, Nabi Isa (Jesus) dan ajaran Nabi Isa.  Sebahagian darinya boleh dibuat perbandingan dengan ajaran yang terkandung dalam kitab Bible orang Kristian. Perbandingan itu boleh menentukan manakah yang benar dan menasabah.

5.    Firman-firman Allah itu ialah seperti berikut:

5.1.   Maryam, ibu Nabi Isa (Mary, mother of Jesus) 

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:42) yang berbunyi:



“Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu (beroleh kemuliaan) melebihi perempuan-perempuan seluruh alam (yang sezaman denganmu).”

5.2.   Malaikat menemui Maryam( The Angel’s visit to Mary)
 
Allah SWT berfirman dalam surah Maryam (19:17) yang berbunyi:



“Kemudian Maryam membuat dinding untuk melindungi dirinya dari mereka maka Kami hantarkan kepadanya: Roh dari kami lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna bentuk kejadiannya.”

(19:18)



“Maryam berkata: Sesungguhnya aku berlindung kepada (Allah) Ar-Rahman daripada (gangguan) mu kalaulah engkau seorang yang bertaqwa.”

(19:19)



Ia berkata: "Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak yang suci".

5.3.   Isa Al Masih, anak Maryam (Jesus The Messiah, son of Mary) 

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:45) yang berbunyi:



(Ingatlah) ketika malaikat berkata: "Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang mengembirakanmu, dengan (mengurniakan seorang anak yang engkau akan kandungkan semata-mata dengan) Kalimah daripada Allah, nama anak itu: Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan ia juga dari orang-orang yang didampingkan (diberi kemuliaan di sisi Allah).”

(3:46)


"Dan ia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian, dan semasa ia dewasa, dan ia adalah dari orang-orang yang soleh."


5.4.   Maryam mengandung secara mukjizat (Miraculous conception)

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam(19:20) yang berbunyi:



“Maryam bertanya (dengan cemas): Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukan perempuan jahat?"

(19:21)


Ia menjawab: "Demikianlah keadaannya tak usahlah dihairankan; Tuhanmu berfirman: Hal itu mudah bagiKu; dan Kami hendak menjadikan pemberian anak itu sebagai satu tanda (yang membuktikan kekuasaan Kami) untuk umat manusia dan sebagai satu rahmat dari Kami; dan hal itu adalah satu perkara yang telah ditetapkan berlakunya.”

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3.47) yang berbunyi:



Maryam berkata:" Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun?" Allah berfirman; "Demikianlah keadaannya, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya; apabila Ia berkehendak melaksanakan sesuatu perkara, maka Ia hanyalah berfirman kepadanya: ` Jadilah engkau ', lalu menjadilah ia."

5.5. Nabi untuk Bani Israel (A Prophet to the Israelites)

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3.48) yang berbunyi:



“Dan Allah akan mengajarnya ilmu menulis, dan hukum-hukum aturan agama, dan juga kandungan kitab-kitab Taurat dan Injil."

(3:49)




“Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.”

5.6. Maryam yang dara mengandungkan Isa (Virgin Mary conceived Jesus)

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Anbiya[Para Nabi](21:91) yang berbunyi:




“Dan (sebutkanlah peristiwa) perempuan yang telah menjaga kehormatan dan kesuciannya; lalu Kami tiupkan padanya dari Roh (ciptaan) Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya sebagai satu tanda (yang menunjukkan kekuasaan Kami) bagi umat manusia.”

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam(19:22) yang berbunyi:



“Maka Maryam hamillah mengandungkannya, lalu dia memencilkan diri dengan kandungannya itu ke sebuah tempat yang jauh.”

5.7. Isa dibawa kepada keluarga Maryam (Jesus brought to Mary’s family).

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam(19:27) yang berbunyi:



“Kemudian baliklah ia kepada kaumnya dengan mendokong anaknya mereka pun menempelaknya dengan berkata: Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya.”

(19:28)



"Wahai saudara perempuan Harun, bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan jahat."

(19:29)



“Maka Maryam segera menunjuk kepada anaknya. Mereka berkata (dengan hairannya): "Bagaimana kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih kanak-kanak dalam buaian?.”

5.8. Mukjizat pertama – bercakap dari dalam buaian (First miracle - spoke in the  cradle)

Allah SWT berfirman dalam surah Maryam(19:30) yang berbunyi:



Dia menjawab:" Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Dia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil), dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi.”

(19:31)



“Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada, dan diperintahkan daku mengerjakan sembahyang dan memberi zakat selagi aku hidup.”

(19:32)



"Serta (diperintahkan daku) taat dan berbuat baik kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang sombong takbur atau derhaka.”

5.9. Kitab Nabi Isa (The Gospel of Jesus)

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Maidah[Hidangan](5:46) yang berbunyi:



“Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Maryam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil) untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya; dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayah dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.”

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Baqarah[Lembu Betina](2:87) yang berbunyi:




“Dan sesungguhnya Kami telah memberikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul-Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kamu seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kamu, kamu (dengan) sombong takbur (menolaknya), sehingga sebahagian dari Rasul-rasul itu kamu dustakan, dan sebahagian yang lain pula kamu membunuhnya?”.

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:50) yang berbunyi:




“Dan juga (aku datang kepada kamu ialah untuk) mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian (dari perkara-perkara) yang telah diharamkan kepada kamu; dan juga aku datang kepada kamu dengan membawa satu mukjizat dari Tuhan kamu. Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.”

(3:51)



"Sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu, beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus".

5.10. Mukjizat-mukjizat Nabi Isa (Miracles of Jesus).

Allah SWT berfirman dalam surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:49) yang berbunyi:




“Dan (akan melantiknya) menjadi seorang Rasul kepada Bani Israil, (dengan menegaskan kepada mereka): "Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu, dengan membawa satu tanda (mukjizat) dari tuhan kamu, iaitu aku boleh membuat untuk kamu dari tanah liat seperti bentuk burung, kemudian aku tiup padanya lalu menjadilah ia seekor burung (yang hidup) dengan izin Allah; dan juga aku boleh menyembuhkan orang yang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah; dan juga aku boleh memberitahu kepada kamu tentang apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara yang demikian itu, mengandungi satu tanda (mukjizat) bagi kamu (yang membuktikan kebenaran bahawa aku seorang Rasul yang diutus oleh Allah kepada kamu), jika kamu orang-orang yang (mahu) beriman.”

"Kita tentunya lebih mulia dari binatang ternakan. Jika lembu dilepaskan di padang ternak itupun kita tidak lepas saja-saja, pastinya ada rumput yang boleh diragut dan dimakan. Jika lembu pun kita lepaskan di tempat yang ada makanan, demikian juga Allah SWT 'lepaskan' kita di dunia, ada 'makanan' untuk kita iaitu Al-Quran. Orang yang menolak Al-Quran ialah mereka yang menolak 'makanan rohani' yang telah disediakan oleh Allah SWT." ~~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian besar kandungan dipetik dari risalah yang disediakan kepada pengunjung (pelawat) di Masjid Putra, Putrajaya.

No comments:

Post a Comment