Wednesday, 19 August 2015

10 WASIAT LUQMANUL HAKIM YANG PERLU DIKETAHUI


MAKAM LUQMANUL HAKIM DI MAHDHUMAS ISKANDARIAH, MESIR

TANGGA TURUN KE MAKAM
1.  Dalam Surah Luqman (31:12), Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:


“Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu)”. Dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji.”

2.  Firman-firman seterusnya dari ayat 13 hingga 19 ialah dialog Luqmanul Hakim kepada anaknya yang dirakamkan oleh Allah SWT. Siapakah Luqmanul Hakim yang begitu mulia dan hebat ini sehinggakan namanya dirakamkan oleh Allah dalam Al-Quran seperti di atas dan nama Surah yang ke 31 dinamakan sempena namanya. Mengikut catatan sejarah, Luqman adalah anak kepada Faghur bin Nakhur bin Tarikh (Azar).  Oleh itu Luqman adalah anak saudara kepada Nabi Ibrahim a.s., atau dikatakan juga Luqman itu anak saudara kepada Nabi Ayub a.s. Diriwayatkan juga bahawa Luqman telah hidup lama sampai hampir seribu tahun sehingga dapat menemui zaman kebangkitan Nabi Daud a.s. Beliau dikatakan pernah menolong Nabi Daud a.s. dengan memberikan kepadanya hikmah atau kebijaksanaan. Luqman pernah menjadi kadi (hakim) untuk mengadili perbicaraan kaum Bani Israel.

3. AI-Allahamah AI-Alusy berkata: “Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa Luqman hidup di zaman Nabi Daud a.s.”. Katanya lagi: “Orang juga berselisih pendapat, adakah beliau seorang yang merdeka atau seorang hamba?. Kebanyakan pendapat mengatakan beliau adalah seorang hamba Habsyi”. Dipetik dari Ibnu ‘Abbas katanya: “Luqman bukanlah seorang nabi mahu pun raja tetapi beliau hanyalah seorang pengembala ternakan yang berkulit hitam. Lalu Allah telah memerdekakannya dan sesungguhnya Allah redha dengan segala kata-kata dan wasiat Luqman. Maka kerana itu, kisah Luqman diceritakan di dalam AI-Quran agar kita semua dapat mengambil pedoman dan berpegang dengan wasiat-wasiatnya.”

4.   Mari sama-sama kita berkongsi kata-kata hikmat atau wasiat Luqmanul Hakim yang mulia ini kepada umat manusia selepasnya.  Alangkah berbahagia kita jika mampu beramal dengan apa yang telah ditinggalkan oleh beliau:

4.1.   Kamu hendaklah sentiasa berada dalam majlis para ulama’ dan dengarlah kata-kata para hukama’(orang yang bijaksana) kerana Allah menghidupkan jiwa yang mati dengan hikmat sebagaimana Dia menghidupkan bumi yang mati dengan hujan yang lebat.

4.2.  Berkawan dan hampirilah ulama’ serta duduk dan ziarahilah rumah mereka agar kamu akan menjadi seumpama mereka. Sentiasalah bersama-sama mereka dan tumpanglah kebaikan mereka. Kemungkinan besar apabila Allah menurunkan kebaikan kepada mereka, kamu turut merasai nikmat itu.

4.3.   Sekiranya engkau seorang yang soleh jauhilah dirimu daripada orang yang buruk budi pekerti dan keras kepala kerana ditakuti apabila diturunkan bala Allah, engkau turut menjadi mangsanya.

4.4.  Janganlah engkau menjadi lebih lemah daripada seekor ayam jantan kerana ia telah berkokok pada waktu pagi hari sedangkan engkau pada ketika itu masih terbaring tidur.

4.5.   Jangan sekali-kali engkau menangguhkan taubat kepada Allah SWT kerana mati itu akan datang bila-bila masa sahaja.

4.6.   Dunia ini bagaikan lautan yang dalam yang mana sudah ramai mereka yang sudah ditenggelamkannya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai kapalnya dan iman pula sebagai air yang menyirami tanaman.

4.7.  Pukulan bapa ke atas anaknya bagaikan air yang menyirami tanaman.

4.8.   Sesungguhnya dunia ini sedikit sahaja, sedangkan keseluruhan umurmu lebih sedikit daripada itu. Manakala umurmu yang masih lagi berbaki amat sedikit daripada yang lebih sedikit tadi.

4.9.  Tiga orang yang tidak dapat dikenali melainkan pada tiga keadaan iaitu:

4.9.1.  Orang yang lemah lembut melainkan ketika marah.

4.9.2.  Orang yang berani melainkan ketika berperang.

4.9.3. Saudara maramu melainkan ketika engkau berhajat dan     memerlukan pertolongan daripada mereka.

4.10. Tanda-tanda orang yang memiliki  perasaan hasad dengki itu ada tiga iaitu:

4.10.1. Mengumpat kawan apabila ketiadaan kawan mereka.

4.10.2.  Memuji-muji kawannya apabila berada bersama mereka.

4.10.3.   Merasa gembira jika kawannya ditimpa bala.

“Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq

Monday, 17 August 2015

13 KESAH AKHLAK MULIA RASULULLAH SAW YANG PERLU DICONTOHI

 

MASJID NABAWI, MADINAH

 


1.  Dalam Surah Al-Qalam[Pena](68:4), Allah SWT telah berfirman memuji akhlak Rasulullah SAW.  Firman itu berbunyi: 



"Dan Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia."

2.  Kita tidak ditakdirkan oleh Allah SWT hidup bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Oleh kerana itu hanya kesah-kesah dan cerita tentang Rasulullah sahaja yang kita dengar dan ketahui. Di bawah ini di senaraikan 13 kesah akhlak Rasulullah untuk menjadi renungan kita bersama.  Hayatilah kesah ini semoga kita menjadi orang yang sentiasa kasih dan sayang kepada Rasulullah.  Apa yang lebih penting lagi ialah jika kita mampu melakukan apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah semasa hayatnya. Kesah-kesah itu ialah:

    2.1. Jika ada pakaian yang koyak, Rasulullah SAW menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya. Beliau juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

    2.2. Setiap kali pulang ke rumah, bila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isterinya di dapur. Sayidatina ‘Aisyah menceritakan: “Kalau Rasulullah berada di rumah, beliau selalu membantu urusan rumahtangga.”

     2.3. Jika mendengar azan, Rasulullah cepat-cepat berangkat ke masjid, dan cepat-cepat pula kembali sesudah selesai solat.

    2.4. Pernah Rasulullah SAW pulang ke rumah pada waktu pagi. Tentulah baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk sarapan. Yang mentah pun tidak ada kerana Sayidatina ‘Aisyah belum ke pasar. Maka Rasulullah SAW bertanya: “Belum ada lagi ke sarapan ya Humaira?” (Humaira adalah panggilan mesra untuk Sayidatina ‘Aisyah yang bererti ‘wahai yang kemerah-merahan’). Aisyah menjawab dengan agak serba salah, “Belum ada apa-apa lagi ya Rasulullah.” Rasulullah lantas berkata, “Jika begitu aku puasa sajalah hari ini.” tanpa sedikit tergambar rasa kesal di wajahnya.

    2.5. Rasulullah SAW sangat marah tatkala melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah SAW akan menegur, “Mengapa engkau memukul isterimu?” . Lantas soalan itu dijawab dengan agak gementar, “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.” “Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Rasulullah. “Aku menanyakan mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?”.

    2.6. Pernah Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.” Prihatin, sabar dan tawadhuknya Rasulullah dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikitpun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

    2.7. Pada suatu ketika Rasulullah SAW menjadi imam solat. Dilihat oleh para sahabat, pergerakan baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup seolah-olah sendi-sendi pada tubuh baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Sayidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan baginda itu langsung bertanya setelah selesai solat, “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?” “Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar.” “Ya Rasulullah…mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeseran di tubuh tuan?. Kami yakin engkau sedang sakit…” desak Umar penuh cemas. Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Para sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililiti sehelai kain yang berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu-batu kecil itulah yang menghasilkan bunyi-bunyi halus setiap kali bergeraknya tubuh baginda.
“Ya Rasulullah! Adakah bila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan kami tidak akan mendapatkannya untuk tuan?” Lalu baginda menjawab dengan lembut, “Tidak para sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi Rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya. Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak.”

   2.8. Baginda pernah tanpa rasa kekok sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

   2.9. Hanya diam dan bersabar bila kain yang melilit lehernya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah di lehernya. Dan dengan penuh rasa kehambaan baginda membasuh tempat yang dikencing oleh si Badwi di dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

   2.10. Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah SWT dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah SAW menolak sama sekali rasa besar diri dan sifat ketuanan.

   2.11. Seolah-olah anugerah kemuliaan dari Allah  SWT langsung tidak dijadikan sebab untuknya merasa lebih dari orang lain, ketika di depan orang ramai mahupun dalam ketika keseorangan.

   2.12. Pintu syurga telah terbuka seluas-luasnya untuk baginda. Namun baginda masih lagi berdiri di waktu-waktu sepi malam hari, terus-menerus beribadah hinggakan pernah baginda terjatuh lantaran kakinya sudah bengkak-bengkak.

   2.13. Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Bila ditanya oleh Sayidatina ‘Aisyah, “Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin masuk syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?.”Jawab baginda dengan lembut, “Ya ‘Aisyah, bukankah aku ini hanyalah seorang hamba Allah?. Sesungguhnya aku ingin menjadi hambaNya yang sentiasa bersyukur  kepadaNya.”

(Sebahagian petikan dari blog peribadirasulullah.wordpress.com)

“Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan membina bangunan akhirat di atasnya adalah orang yang bijak. Kawan yang jahat ialah orang yang suka merosakkan orang yang sedang menuju ke jalan Allah. Barang siapa yang terlalu menyintai emas dan perak, dia akan dihina oleh Allah.” – Mutiara Kata Imam Hassan Basri

Friday, 7 August 2015

AIR ZAM-ZAM : ANUGERAH ALLAH SWT KEPADA UMAT ISLAM

GAMBARAN KEDUDUKAN TELAGA ZAM-ZAM DENGAN KAABAH
1.    Dalam Surah Al-Anbiyaa [Para Nabi](21:30) Allah SWT berfirman yang berbunyi:



“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?”.

2.    Allah menjelaskan bahawa air adalah punca segala kehidupan di muka bumi.  Sebaik-baik dan semulia-mulia air itu ialah air zam-zam. Berkaitan air zam-zam ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

2.1.   “Air zam-zam bermanfaat untuk apa saja yang diniatkan ketika meminumnya. Jika engkau minum dengan maksud agar sembuh dari penyakitmu, maka Allah menyembuhkannya. Jika engkau minum dengan maksud supaya merasa kenyang, maka Allah mengenyangkan kamu. Jika engkau meminumnya agar hilang rasa hausmu, maka Allah akan menghilangkan dahagamu itu. Ia adalah air tekanan tumit Jibril, minuman dari Allah SWT untuk Ismail”. (Hadis Riwayat Daruqutni, Ahmad, Ibnu Majah, dari Ibnu Abbas).

TELAGA ZAM-ZAM ZAMAN DAHULU
2.2.   Rasulullah bertanya kepada Abu Dzarr yang telah tinggal selama 30 hari siang dan malam di sekitar Kaabah tanpa makan dan minum, selain air zamzam. “Siapa yang telah memberimu makan?”. “Saya tidak punya apa-apa kecuali air zam-zam ini, tapi saya boleh gemuk dengan adanya gumpalan lemak di perutku.” Abu Dzarr menjelaskan, “Saya juga tidak merasa letih atau lemah kerana lapar, dan tak menjadi kurus”. Lalu Rasulullah SAW  menjelaskan: ”Sesungguhnya, zamzam ini air yang sangat diberkati, ia adalah makanan yang mengandung zat”. (Hadis Riwayat Muslim).  Air zamzam sangat berkhasiat kerana ia menyimpan doa jutaan manusia selama ribuan tahun sejak Nabi Ibrahim a.s.

3.   Air zam-zam juga dinamakan air ubat/penawar (Maun Syifa’): Rasulullah SAW memberitahu air zam-zam memiliki pelbagai keistimewaan, iaitu:

3.1.   Air yang membawa rahmat (maun rahmat);

3.2.   Air yang membawa barakah (maun barakah);

3.3.   Air yang membawa penyembuhan (maun syifa’);

3.4.   Air yang membawa penawar bagi penyakit (maun saqamun)

4.    Oleh sebab itu,  Rasulullah SAW menyuruh orang yang hendak minum air zam-zam supaya berdoa seperti di bawah:


MATA AIR ZAM-ZAM
5. Apakah maksud zam-zam: Zam-zam dalam bahasa Arab bererti “yang banyak atau melimpah”. Adapun air zam-zam yang dimaksud oleh syari'at ialah air yang berasal dari air mata zam-zam yang letaknya dekat dengan Kaabah, iaitu sekitar 38 hasta sahaja. Dinamakan zam-zam sesuai dengan ertinya kerana memang air dari air mata tersebut sangat banyak dan berlimpah luah. Tidak habis-habis walau sudah diambil dan dibawa setiap hari ke seluruh pelusuk dunia oleh orang Islam sejak ribuan tahun lalu. Nama lain bagi zam-zam ialah barrah (kebaikan), madhmunah (yang berharga), taktumu (yang tersembunyi), hazmah Jibril (galian Jibril), syifa` suqim (ubat penyakit), tha'amu tu'im (makanan), syarabul abrar (minuman orang-orang baik), thayyibah (yang baik).

6.    Dalam Al-Quran Allah SWT menyebut tentang air berpuluh kali kerana mahu menarik perhatian manusia. Sesungguhnya air bukan benda yang  mati. Ia menyimpan kekuatan dan daya penyembuh. Islam adalah agama yang paling hampir dengan air kerana banyak membicarakan tentang air. Contohnya solat wajib perlu ambil air wuduk 5 kali sehari. Sebelum memulakan solat sunat juga perlu ambil wuduk. Selepas pergaulan suami isteri wajib mandi junub. Selepas perempuan habis darah haid mesti mandi wajib. Mayat juga wajib dimandikan (melainkan mati syahid). Tidak ada agama lain yang menyuruh memandikan jenazah, malahan ada mayat yang dibakar. 

7.   Pada tanggal 10 November 2002, Pihak Pengurus Masjid dari Wisma Telekom Jalan Semarak, Kuala Lumpur telah menjemput Ustaz Abdullah Mahmud untuk menyampaikan ceramah beliau. Di antara  bicaranya ialah mengenai air yang merupakan salah satu rahmat Allah kepada manusia. Manusia tidak boleh hidup tanpa air dan manusia tidak boleh hidup tanpa rahmat dari Allah. Ustaz kemudiannya menceritakan pengalaman beliau menghadiri salah satu seminar mengenai air yang diadakan di Hotel Istana yang dihadiri oleh orang bukan Islam. Hanya Ustaz Abdullah dan seorang pensyarah dari Universiti Malaya sahaja beragama Islam. Salah seorang pembentang dalam seminar itu ialah seorang profesor pakar air dari Jepun. Beliau menunjukkan hasil kajiannya mengenai air.  Beberapa slide yang ditunjukkan kepada hadirin adalah gambar sampel-sampel air yang diambil dari berbagai sumber air (sungai, laut, mata air dan lain-lain). Dari slide tersebut kelihatan perbagai rupa dan bentuk susunan molekul-molekul air. Ada yang samar-sama berbentuk seolah-olah seperti jin yang tidak begitu jelas dengan telinga yang besar, bertanduk dan sebagainya. Rupanya mengerikan dan menakutkan. Profesor tersebut berkata banyak lagi sampel-sampel air yang lain tapi rupa dan bentuk molekulnya hampir sama. Kemudian beliau menunjukkan  satu bentuk susunan molekul air yang tersusun cantik. Bentuknya seolah-olah berlian yang bersinar-sinar. Dari sinarnya ia mengeluarkan warna-warna yang menarik melebihi 12 warna.  Profesor tersebut bertanya: “Siapa  yang tahu, sampel air apakah ini?” Hadirin terdiam. Kemudian seorang pensyarah dari UM menjawab; “Saya rasa itu adalah sampel air zam-zam”. Profesor meminta pensyarah tersebut menyatakan apakah sebab dia menjawab air zam-zam. Kata pensyarah itu; “Kerana air zam-zam adalah air yang paling mulia di dunia ini”.
MOLEKUL AIR ZAM-ZAM YANG CANTIK BERKILAU
8.   Meskipun usianya sudah lebih dari 4,000 tahun (sejak zaman Nabi Ibrahim), air zam-zam masih dapat diminum oleh seluruh umat manusia hingga kini. Air zam-zam mengandungi pelbagai mineral dan zat yang diperlukan oleh badan manusia. Mineral dan elemen-elemen itu jumlahnya amat menakjubkan, iaitu hampir 2 ribu miligram per liter. Di antaranya ialah sodium (250 mg./per liter), kalsium (200 mg./per liter), potassium (20 mg./per liter), magnesium (50 mg./per liter) sulfur (372 mg./per liter), bicarbonate (366 mg./per liter), nitrat (273 mg./per liter), fosfat (0.25 mg./per liter), dan ammonia (6 mg./per liter).

9.  Keajaiban Air Zam-Zam: Air zam-zam memiliki struktur molekul yang unik dan kemampuan penyembuhan yang luar biasa. Walaupun setiap tahun ia diambil oleh jutaan manusia dari seluruh dunia sumber air itu tidak pernah kering. Berapa banyakkah air zam-zam yang di ambil oleh jemaah haji setiap kali musim haji?. Mari kita hitung secara kasar. Jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia pada setiap musim haji berjumlah sekitar dua juta orang. Setiap jemaah haji diberi 10 liter air zam-zam ketika pulang ke negara masing-masing. Kalau 2 juta orang membawa pulang masing-masing 10 liter air zam-zam ia sudah berjumlah 20 juta liter. Katakan selama di Mekah, jika setiap jemaah tinggal selama 25 hari dan setiap orang meminum 1 liter sehari, maka jumlahnya ialah 50 juta liter!. Bayangkan betapa banyak ia digunakan tetapi ia tidak pernah kering. Itulah keajaiban air zam-zam. Puluhan juta liter air boleh keluar dari mata air di Mekah yang letaknya di tengah padang pasir yang kering kontang. Mekah ialah kawasan  gurun yang hujannya  cuma 2 kali setahun. Air zam-zam itu pula keluar dari kawasan mata air yang hanya berukuran sekitar 5 meter x 4 meter dengan kedalaman 40 meter sahaja. Sungguh menghairankan. Bukankah sudah layak air zam-zam ini menjadi salah satu perkara atau benda yang ajaib di dunia?.

10.  Hasil penelitian contoh air di Eropah dan Arab Saudi menunjukkan bahawa air zam-zam mengandungi zat florida yang memiliki keupayaan membunuh kuman. Ia seperti sudah mengandungi ubat. Perbezaan air zam-zam jika dibandingkan dengan air  lain di kota Mekah dan sekitarnya ialah kandungan kalsium dan garam magnesium. Kandungan kedua mineral ini lebih banyak dalam air zam-zam. Mungkin inilah sebabnya air zam-zam mampu  menyegarkan jamaah haji yang keletihan. Kajian di makmal Eropah mengesahkan bahawa air zam-zam layak dan sihat untuk diminum.

11.  Keistimewaan lain air zam-zam ialah komposisi dan rasa kandungan garamnya stabil dan sama semenjak  terbentuknya air mata air zam-zam. Air zam-zam tak pernah dicampur sebarang bahan kimia seperti air paip biasa. Satu kehebatan lagi ialah  mata air  zam-zam tidak pernah ditumbuhi lumut sedangkan di seluruh dunia air mata sumber air selalu ditumbuhi lumut dan tumbuhan mikro organisme.


DR.MASARU EMOTO

 

12.  Hasil penelitian Dr. Masaru Emoto dari Jepun membuktikan bahawa air zam-zam memiliki struktur unik dan kemampuan penyembuhan penyakit yang luar biasa.  Dalam bukunya bertajuk  “The True Power of Water” yang laris dijual di Jepun dan Amerika Syarikat, ada kenyataan menyebut air zam-zam memiliki kekuatan penyembuhan yang luar biasa.  Masaru Emoto lahir di Yokohama pada  22 Julai 1943 dan meninggal dunia pada 17 Oktober 2014 ketika berumur 71 tahun. Beliau ialah seorang penulis, pengkaji dan usahawan. Beliau merumuskan bahawa interaksi manusia mempunyai kesan kepada molekul air. Baginya air boleh bertindak balas kepada pemikiran dan ucapan yang positif dan air yang kotor boleh dibersihkan melalui cara berdoa serta pemikiran yang positif. Baginya  air memiliki sifat sensitif dan reaktif. Jika dibacakan padanya kata-kata yang baik, air akan bereaksi positif. Sebaliknya jika dibacakan kata-kata yang buruk, air akan bereaksi negatif sesuai dengan makna kata-kata tersebut. Keunikan air digambarkan oleh beliau sebagai sebuah kristal yang berstruktur indah hexogonal (segi enam) ataupun seperti kristal pecah yang berselerak bergantung kepada ucapan yang diucapkan kepada air.

DR.KNUT PFEIFFER
13.   Seorang lagi pengkaji air zam-zam ialah Dr. Knut Pfeiffer, M.D. yang berasal dari Jerman. Dalam tahun 1975 beliau menamatkan pengajian dalam bidang kedoktoran. Kepakaran beliau ialah dalam bidang Gastroenterology, Cardiology, Pulsed Signal Therapy. Satu temu bual dengan beliau telah diadakan di Arab Saudi. Beliau menyatakan  kekagumannya terhadap air zam-zam. Idea untuk menguji air yang dianggap suci oleh umat Islam itu timbul apabila dia menerima sebotol air zam-zam dari seorang kawan lama yang baru pulang menunaikan haji. Dia mengambil masa dua minggu untuk menjalankan uji kaji ke atas 60 orang reponden. Dia membandingkan air di Munich, Jerman dengan air zam-zam. Semua orang tahu bahawa air di Munich adalah paling asli dan bersih. Menurut Dr. Knut, air di Munich dari segi kimianya memang sempurna tetapi dari segi tenaganya tidak sempurna. Katanya walaupun melalui perjalanan yang jauh dari Jeddah ke Munich kemudian melalui tempoh yang panjang berada di dalam simpanan dan mengalami perubahan cuaca tetapi air zam-zam tidak berubah langsung. Itulah hasil yang dapat dibuktikan melalui gambar sel 40 orang yang diberi minum air tersebut. Di dalam temu bual itu Dr. Knut menjelaskan, air zam-zam mampu membekalkan tenaga jauh lebih banyak berbanding air minuman biasa,

                       VIDEO Dr. Knut Pfeiffer berbicara tentang air zam zam


14.  Ujian sel badan ke atas orang yang diberi minum air zam-zam menunjukkan kesan yang positif. Sel-sel di dalam badan menjadi lebih segar dan menyukai air zam-zam. Jika sistem sel badan memberikan kesan positif maka tenaga akan bertambah kerana tenaga datangnya dari sel yang sihat. Ia umpama  seperti menerima ciuman dari orang yang kita suka dan cinta. Perasaan gembira di dalam hati itu sukar digambarkan. Bila lahir di dalam senyuman yang kita balas untuk orang yang memberikan ciuman itu, ia penuh bermakna. Begitulah juga sel yang diberi minum air zam-zam, macam ada rasa cinta. Kalau sel itu boleh bercakap mungkin ia akan berkata, “Wow! Aku menyukainya.”

15.   Bagi beliau air zam-zam adalah pemberi tenaga yang paling hebat dan boleh membuatkan peminumnya sihat. Jika ada peluang minum air zam-zam setiap hari seseorang itu akan menjadi lebih sihat kerana ia adalah terapi semula jadi. Dimasa hadapan mungkin kita boleh hentikan kebergantungan kepada ubatan kimia kerana ianya memberikan kesan yang tidak baik kepada tubuh. Air zam-zam bukan sekadar mengenyangkan, menambahkan tenaga tetapi juga sebagai penawar segala penyakit.

16. Sesungguhnya orang Islam di seluruh dunia memiliki suatu keistimewaan yang tidak dimiliki oleh orang lain. Air zam-zam adalah anugerah khas Allah SWT kepada hambanya yang beragama Islam. Air zam-zam bukan hanya sekadar air minuman bahkan air untuk mengubati penyakit. Masyaallah. 

“Jadilah seperti pohon kayu yang lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar buahnya dengan batu, tetapi tetap dibalas dengan buah.” = Mutaira Kata Saidina Abu Bakar As-Siddiq

Sunday, 2 August 2015

PERSEDIAAN SEBELUM PULANG

 
TEMPAT PENANTIAN SEBELUM PERBICARAAN DI PADANG MAHSYAR
1. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini ialah sesuatu yang fana. Ia hanyalah sebuah perjalanan yang akan ditinggalkan apabila jasad kita dipisahkan dari roh oleh Malaikat Izrail setelah mendapat perintah dari Allah SWT.  Tidak ada satu pun di dunia ini yang akan kekal abadi.  Semua yang ada akan musnah dan hancur berkecai apabila berlakunya kiamat. Yang tinggal kekal abadi itu hanyalah Allah SWT. Dalam Surah Al-Ankabut[Labah-Labah](29:57) Allah SWT berfirman yang berbunyi:


“Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”

2.  Begitulah hakikat kehidupan di dunia ini.  Selama manapun hidup di dunia pasti kita akan menemui noktahnya.   Sebaik sahaja berakhir hidup di dunia ini manusia tidak akan boleh kembali lagi walaupun dunia masih ada dan belum lagi kiamat.  Bagi manusia, pengakhiran hidup ini ditandai dengan kematian. Sebaliknya kehidupan yang abadi adalah di alam akhirat.  Itulah dunia yang kekal dan abadi untuk semua manusia penghuni bumi ini. Justeru kita semua hendaklah sentiasa beringat bahawa nikmat yang diperolehi di dunia ini tidak semestinya kita perolehi di akhirat nanti. Sebaliknya untung nasib kita di akhirat bergantung sepenuhnya kepada apa yang kita kerjakan di dunia ini. Seandainya apa yang dikerjakan di dunia ini menepati kehendak Allah, maka kita akan menjadi manusia yang beruntung  di akhirat nanti. Begitulah sebaliknya jika apa yang kita lakukan di dunia ini bertentangan dengan kehendak Allah, maka celakalah yang menunggu kita di akhirat kelak.  Saidina Uthman bin Affan telah berpesan yang berbunyi: “Sentiasalah beringat bahawa dunia ini perjalanannya adalah mengandungi tipu daya, maka janganlah sesekali kamu diperdayakan oleh dunia ini dari memperingati Allah SWT.”

3.  Sehebat manapun dunia ini ia tidak akan dapat membantu kita menjadi orang yang hebat di akhirat. Yang perlu di tanamkan dalam diri masing-masing ialah  bahawa dunia ini adalah alat bantuan untuk mencapai kebahagian akhirat. Dunia bukanlah matlamat akhir, sebaliknya ia hanyalah alat untuk mencapai matlamat akhir, iaitu kehidupan di akhirat nanti. Justeru jangan sesekali kita terpedaya dengan perhiasan dunia.  Jangan sama sekali  kita hanyut dan leka dengan dunia sehingga lupa bahawa akhirat itulah tempat tujuan terakhir kita dan kita akan hidup di sana selama-lamanya.  Dunia ini di sisi Allah SWT tersangat rendah nilainya.  Nilaikanlah satu hadis Rasulullah SWT yang bermaksud:


“Daripada Jabir bin Abdullah ra. Katanya: Pada satu hari Rasulullah pergi ke pasar melalui bahagian atas.  Ramai orang mengikuti Rasulullah di kiri dan kanan.  Baginda bertemu dengan bangkai seekor anak kambing yang kecil kedua-dua telingannya. Lalu dihampiri dan diambilnya anak kambing pada telinganya.  Kata baginda,”Siapakah diantara kamu yang suka membeli ini dengan satu dirham?”.  Jawab mereka: “Kami tidak suka sedikit jua pun. Untuk apa bagi kami.” Tanya baginda, “Sukakah kamu jika diberi secara percuma?.” Jawab mereka. “Sekalipun dia hidup kami tidak akan mahu kerana anak kambing itu cacat.  Kedua-dua telinganya kecil, apalagi dia sudah menjadi bangkai. Sabda Rasulullah seterusnya, “Demi Allah sesungguhnya dunia ini lebih hina disisi Allah SWT daripada anggapanmu terhadap bangkai ini”. (Hadis Riwayat Muslim).

4. Begitulah nilai dunia di sisi Allah. Dunia yang dianggap sangat hebat oleh manusia yang jahil. Oleh yang demikian, adakah wajar bagi kita melebih-lebihkan kehidupan dunia sehingga lupa akan jalan pulang yang seharusnya kita ikuti. Saidina Abu Bakar As Siddiq pernah berkata, “Sesungguhnya, seorang hamba itu bila berasa ujub kerana suatu perhiasan dunia, nescaya Allah akan murka kepadanya hingga dia melepaskan perhiasan itu”.

5. Bukan bermakna kita perlu menolak dunia. Yang perlu ialah kita berpada-pada dengan dunia. Jangan sampai dunia melalaikan kita hingga terjerumus kepada kemurkaan Allah. Tidak salah mengejar kekayaan dan kesenangan duniawi asalkan ia diperolehi dengan cara yang halal dan dipergunakan pula dengan cara dan jalan yang diredhai oleh Allah.

6. Perlu diketahui bahawa tidak semua urusan dunia ini membawa keburukan.  Sebaliknya seluruh kehidupan ini akan membuahkan kebaikan jika dilakukan dengan tujuan untuk mencari keredaan Allah.  Dalam menghadapi dunia ini, Luqmanul Hakim pernah berpesan kepada anaknya, “Ambillah dari dunia sekadar keperluan dan belanjakan lebihan hasil usahamu  untuk akhirat.  Dunia jangan ditolak habis agar engkau jangan jadi parasit (hidup dengan menumpang orang lain dan tidak membalas apa-apa) yang menjadi beban manusia lain.”

7. Dunia ini ibarat bangkai manakala orang yang mencintainya ibarat anjing.  Dalam konteks ini Allah SWT berfirman dalam Surah Al-A’raf[Tempat Yang Tinggi](7:176) yang berbunyi:


“Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir”.

8.  Allah menyamakan orang yang cenderung kepada dunia melebihi akhirat seperti anjing yang menjelir-jelirkan lidahnya yang menggambarkan ketamakan kepada dunia. Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Andai anak Adam diberi emas satu lembah, nescaya dia ingin mendapat dua lembah. Tidak ada yang dapat membungkam mulutnya selain tanah, dan Allah mengkabulkan taubat hamba-Nya yang bertaubat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
 
9.  Sementara roh masih dikandung badan ini manfaatkanlah masa untuk beramal ibadat kepada Allah SWT dan sentiasa bertaubat kepadaNya. Ini kerana sebaik kita dimatikan oleh Allah maka setiap apa yang dikerjakan di dunia perlu kita tanggung dan tidak boleh bertaubat lagi. Jangan kita jadi orang yang merintih kekesalan sepertimana dijelaskan Allah SWT dalam Surah As-Sajadah[Sujud](32:12) yang berbunyi:


“Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin”.
Sebahagian artikel ini dipetik dari buku “Analogi Nik Abdul Aziz bin Nik Mat” : Kias Pesan Murabbi Agung.

“Cukuplah bila aku merasa mulia karena Engkau sebagai Tuhan bagiku dan cukuplah bila aku bangga bahawa aku menjadi hamba bagiMu. Engkau bagiku sebagaimana yang aku cintai, maka berilah aku taufik sebagaimana yang Engkau cintai” = Mutiara kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah.