PINTU MAKAM RASULULLAH SAW |
1. Semua orang mengimpi dan mendambakan kebahagiaan dalam kehidupan
masing-masing di dunia ini. Apakah semua
orang dapat memiliki dan seterusnya menikmati kebahagiaan itu?. Sudah
tentu jawabnya tidak. Manusia mempunyai
satu tendensi (kecenderungan) untuk berfikir bahawa kebahagiaan itu ialah
apabila mempunyai harta kekayaan berupa wang yang banyak, pangkat dan kuasa yang
besar, memiliki anak-anak yang ramai, mempunyai rumah banglo yang besar dan
mahal, ada kereta mewah, memilki rumah kedai, kebun dan ladang atau ada banyak
saham-saham dalam pelbagai syarikat.
2. Benarkah kekayaan duniawi ini akan membolehkan pemiliknya
mendapat kebahagiaan?. Sebenarnya belum pasti.
Ini kerana terbukti betapa adanya orang yang memiliki kekayaan luar
biasa sedangkan jiwanya tidak tenteram dan rumah tangganya pula porak
peranda. Isteri dan anak-anak memiliki kebebasan yang tidak terbatas. Masing-masing membawa haluan
sendiri tanpa menghiraukan haluan dan pendekatan bapa mereka. Bahagiakah
namanya jika masih tetap memikirkan kekayaan demi kekayaan sedang kekayaan yang
telah dimiliki tidak habis di makan oleh anak, cucu dan cicit.
3. Apakah kebahagiaan itu?. Secara ringkasnya kebahagiaan itu
ialah memiliki hati yang tenang dalam menghadapi apa jua ujian dalam kehidupan.
Sebagai orang Islam kita wajib mengikut petunjuk dari Allah SWT. Apakah kebahagiaan sejati mengikut ukuran
Allah SWT. Ia dijelaskan dalam firmanNya
dalam surah Ar-Raad[Guruh](13:28)
yang berbunyi:
"(Iaitu)
orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan
zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang
tenteramlah hati manusia".
4. Lihat pula apa sabda Rasulullah SAW tentang kebahagian. Sabdanya:
“Bahawasanya di dalam badan manusia ada seketul daging. Apabila ia
baik, baik pulalah seluruh badan, tetapi apabila ia rosak maka rosak pulalah
seluruh badan. Ingatlah bahawa ia adalah hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Rasulullah SAW bersabda lagi: “Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta
benda tetapi kekayaan itu sebenarnya ialah kaya hati.”
5. Kaya hati bermakna memiliki hati yang tenang, lapang dan merasa
cukup dengan apa yang dimiliki dan bersyukur dengan apa yang ada. Tidak pernah merasa resah dan gelisah dengan
apa yang tiada. Semuanya diterima seadanya dengan penuh kesabaran. Orang seperti ini tentunya memiliki sifat
qanaah yang tinggi. Justeru itu hati perlu dibersihkan dan dipelihara agar sentiasa
sihat bagi melahirkan sifat-sifat mahmudah seperti sabar, syukur, sabar, qanaah,
redha, pemaaf, amanah dan seumpamanya. Ketahuilah kemuncak kebahagiaan itu ialah
apabila hati seseorang mampu mendorong pemiliknya melakukan kebaikan dan
menghindari dari berbuat kejahatan yang dilarang oleh Islam.
6. Oleh kerana manusia gemarkan kebahagiaan maka Allah SWT telah berfirman banyak tempat dalam Al-Quran tentang
bagaimana untuk mencapai kebahagiaan ini. Begitu juga Rasulullah SAW telah
bersabda mengenainya. Antaranya ialah:
6.1. BERSERAH (BERTAWAKKAL)
KEPADA ALLAH SWT.
Dengan
cara bertawakkal, seorang akan memiliki kekuatan jiwa dan tidak mudah putus asa
atau kecewa. Dalam surah At-Talaq[Perceraian](65:3)
Allah SWT berfirman yang berbunyi:
“Serta memberinya rezeki dari jalan yang
tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat
kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan
menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya.
Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu”.
6.2. TETAP
TEGUH BERIMAN DAN BERAMAL SOLEH.
Dalam
surah An-Nahl[Lebah](16:97) Allah
SWT berfirman yang berbunyi:
“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki
atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia
dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan
memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
Ibnu
‘Abbas r.a. meriwayatkan bahawa ada ulama mentafsirkan bahawa kehidupan yang
baik dalam ayat di atas ialah rezeki
yang halal dan baik (halalan tayyiban). Saidina Ali Karramallahwajhah pula
mentafsirkannya dengan sifat qanaah (merasa cukup dengan pemberian Allah). Ali
bin Abi Thalhah dari Ibnu ‘Abbas, meriwayatkan bahawa kehidupan yang baik itu
adalah kebahagian.
6.3. MELIHAT
KELEBIHAN DAN BUKANNYA KEKURANGAN PADA DIRI.
Manusia
lazimnya suka membandingkan dirinya dengan orang lain. Seseorang akan merasakan
dirinya susah apabila dia membandingkannya dengan orang yang lebih kaya
darinya. Islam mengajar kita untuk sentiasa melihat dan membandingkan kehidupan
kita dengan orang lain yang lebih susah. Dengan cara ini in sha Allah kita akan
sentiasa menjadi orang yang bersyukur kepada Allah. Rasulullah SAW pernah
bersabda yang bermaksud: “Lihatlah orang
yang di bawah kamu dan jangan melihat orang yang di atas kamu kerana dengan
(melihat ke bawah) lebih pantas untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang
dilimpahkanNya kepada kamu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
6.4. SENTIASA
MENCARI PELUANG BERBUAT KEBAIKAN.
Ketenangan
jiwa dan kebahagiaan juga boleh diperolehi jika kita sentiasa berbuat kebaikan
sesama manusia samada melalui lisan ataupun perbuatan asalkan ia dilakukan
dengan ikhlas dan mengharapkan pahala daripada Allah. Dalam konteks ini Allah
SWT telah berfirman dalam surah An-Nisa[Kaum
Perempuan](4:114) yang berbunyi:
“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan
bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau
berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat
demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi
kepadanya pahala yang amat besar.”
6.5. TIDAK
PANJANG ANGAN-ANGAN TENTANG MASA DEPAN DAN TIDAK MERATAPI MASA SILAM.
Islam
tidak menggalakkan kita banyak berangan-angan terhadap masa depan yang belum
pasti. Ini kerana ia akan mengundang rasa resah gelisah oleh kesukaran dan
kepayahan yang belum tentu datang. Begitu juga kita ditegah dari terus meratapi
kegagalan dan kepahitan masa silam kerana apa yang telah berlalu tidak mungkin
dapat dikembalikan semula. Pasrahlah dengan ketentuan dan takdir Allah SWT.
Daripada
Anas bin Malik r.a. beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "
Dalam semua perkara pada anak Adam yang
akan menjadikan mereka tua adalah dua perkara : Tamak dan angan-angan."
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
6.6. JANGAN MENGHARAPKAN UCAPAN TERIMA KASIH DARI MANUSIA.
Ketika
melakukan sesuatu kebaikan dan kebajikan, jangan sama sekali kita mengharapkan
ucapan terima kasih ataupun balasan dari manusia. Berharap dan bergantunglah
hanya kepada Allah SWT. Malah ada yang berkata, “sekiranya kita mengharapkan ucapan terima kasih daripada manusia
nescaya kita akan menjadi orang yang sakit jiwa”.
Untuk
memastikan kita memperolehi pahala melalui kebajikan yang dilakukan, anggaplah kebajikan
kita itu seperti najis yang kita keluarkan dari perut kita. Tidak ada manusia waras yang akan memikirkan
apa jadi dengan najisnya setelah berak, ke mana ia pergi.
Jadilah
seperti orang yang Allah firmankan dalam surah Al-Insan[Manusia](76:9) yang berbunyi:
(Sambil berkata dengan lidah atau dengan
hati): "Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah
semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan
terima kasih,"
6.7. MEMPERBANYAKKAN
MENGINGAT ALLAH SWT.
In sha
Allah, dengan banyak berzikir kita akan mendapat kelapangan dan ketenangan jiwa.
Dengan itu ia akan membebaskan diri dari rasa gelisah dan gundah gulana. Allah
telah pun memberikan jaminannya seperti dalam firmanNya. Lihat Para 3 di atas.
7. Dalam surah Al-Ahzab[Tentera
Ahzab](33:21) Allah SWT telah berfirman yang berbunyi:
"Sesungguhnya
pada diri Rasulullah itu sebaik-baik teladan bagi kamu (untuk diikuti) iaitu
bagi orang yang mengharapkan (keredhaan) Allah dan (kemuliaan hidup) di akhirat
dan orang yang banyak mengingati Allah".
8. Melalui firman di atas, Allah telah pun mengiktiraf bahawa
Rasulullah itu adalah sebaik-baik contoh teladan untuk manusia jika ingin mencapai
keredhaan dan rahmat Allah. Apakah yang telah dicontohkan oleh Rasulullah
selama 23 tahun menjadi nabi/rasul?. Apakah mencari kekayaan atau kesenangan
duniawi?. Tidak sama sekali, melainkan berbuat kebajikan dan beramal soleh untuk
mencari kesenangan dan kenikmatan di negeri akhirat.
9. Jika kita bangga menjadi umat Nabi Muhammad, ayuh marilah kita berusaha
mencontohi kehidupan baginda. Sentiasalah ingat bahawa kehidupan di dunia ini
adalah sementara sahaja. Akhirat jua
yang kekal abadi.
"Perbezaan
yang paling besar di antara manusia dengan makhluk yang lain ialah ilmu.
Manusia diberikan kebolehan untuk diajar dan mengajar. Binatang ternakan
contohnya, boleh diajar untuk mematuhi perintah tuannya, tetapi tidak boleh
mengembangkan ilmu tersebut kepada binatang yang lain. Berbeza dengan manusia,
sedikit ilmu yang diperolehinya mampu dikembangkan dengan lebih meluas." ~
Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Sebahagian kandungan dari abubasyer.blogspot
No comments:
Post a Comment