Monday 27 June 2016

KETAHUI 10 WASIAT IMAM SYAFIE KEPADA MURIDNYA


MAKAM IMAM SHAFIE DI CAIRO, MESIR


“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”. {Petikan dari surah Al-Mujadalah[Wanita Yang Bersoal Jawab](58:11)}.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ulama adalah pewaris para nabi.” (Hadis Riwayat Tirmidzi dari Abu Ad-Darda).

1.  Nama sebenar Imam Shafie ialah Muhamad bin Idris bin Abbas bin Uthman bin Shafie bin Saib bin Abdu Yazid bin Hasyim bin Abdul Mutalib bin Abdul Manaf. Ayahnya berasal daripada keturunan Quraisy dari Bani Mutalib. Ayahnya meninggal dunia ketika Imam Syafie masih kanak-kanak. Ibunya bernama Ummu Habibah al-Uzdiyyah berasal dari kabilah Yaman dari suku Uzd.

2.   Beliau dilahirkan di kota Gaza, Palestin pada bulan Rejab tahun 150 Hijrah bersamaan tahun 765 Masihi. Ada pendapat yang mengatakan pada malam beliau dilahirkan, Imam Abu Hanifah (Imam Hanafi) meninggal dunia. Ia ibarat seperti pepatah Melayu patah tumbuh, hilang berganti. Khalifah Islam pada masa itu ialah Abu Jaafar al-Mansur dari Bani Abbasiyah.

3.   Imam Syafie dibesarkan dalam keluarga yang susah dan hidup dalam serba kekurangan. Sejak kecil lagi beliau sudah mempelajari Al-Quran. Beliau mula menghafal Al-Quran semasa berusia sembilan tahun. Ketika berusia 10 tahun beliau mampu menghafal dan memahami kitab al-Muwatta yang ditulis Imam Malik. Beliau mempunyai suara merdu, boleh bersyair dan bersajak. Ketika berusia 15 tahun beliau mengajar dan memberi fatwa kepada orang ramai di Masjid Al-Haram, Mekah. Kerana kegigihan dan kecerdikan yang luar biasa, beliau di sanjung masyarakat. Beliau meninggal dunia di Mesir pada waktu maghrib hari Jumaat, 29 Rejab tahun 204 hijrah bersamaan 20 Januari 820 Masihi ketika berumur 54 tahun. Almarhum telah disemadikan di Basyattin, Cairo Mesir.

4.    Imam Shafie ialah pengasas mazhab Imam Shafie yang banyak dianuti oleh orang Islam di Asia Tenggara termasuk Malaysia. Mengikut catatan sejarah, beliau ialah salah seorang dari dua orang yang mampu membaca keseluruhan Al-Quran dalam solat tahajjud dua rakaat.  Diberitakan beliau berbuat demikian di dalam Kaabah.  Seorang lagi tokoh  Islam ialah khalifah Islam ketiga, Saidina Othman Al-Affan.

5.   Dalam posting kali ini kita akan sama-sama mengikuti apakah wasiat almarhum Imam Shafie kepada muridnya yang boleh dijadikan iktibar serta panduan kepada umat Islam kini. Wasiat ini bolehlah juga dikategorikan sebagai mutiara kata dari almarhum. Kata almarhum; "Sesiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara." Mengamalkan itu memberi pengertian menunaikan hak kepada sepuluh (10) perkara seperti berikut:

5.1.   Hak kepada Allah SWT ~ Maksudnya mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada melakukan keburukan, menggemari ketaatan dan sebaliknya membenci kemaksiatan.

5.2.   Hak kepada Rasulullah SAW ~ Bermaksud sentiasa bersalawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-sunnah (hadis), menyayangi sahabat baginda dan berlumba-lumba dalam mencari kelebihan daripada Allah.

5.3. Hak kepada diri ~ Bermaksud mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang Allah anugerahkan.

5.4. Hak kepada malaikat maut ~ Bermaksud menggandakan kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan menanam rasa cinta kepada Allah SWT.

5.5.  Hak kepada kubur ~ Bermaksud membuang tabiat suka menabur fitnah, menjauhi tabiat suka kencing merata-rata tempat, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

5.6.   Hak kepada malaikat Munkar dan Nakir ~ Bermaksud tidak berdusta (berkata benar), meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati sesama manusia.

5.7. Hak kepada Mizan (neraca timbangan amalan pada hari akhirat) ~ Bermaksud menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

5.8.  Hak kepada Sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) ~ Bermaksud membuang tabiat suka mengumpat, memiliki sifat warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

5.9.  Hak kepada Malik, Malaikat Penjaga Neraka ~ Bermaksud menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

5.10. Hak kepada Ridhwan, Malaikat Penjaga Syurga ~ Bermaksud kita redha kepada qada’ dan qadar Allah, bersabar ketika menerima bala, bersyukur  atas nikmat pemberian Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

6. Sebagai pengikut mazhab Shafie khususnya sewajarnyalah kita sama-sama berusaha untuk beramal dengan apa yang telah diwasiatkan oleh Imam Shafie.  Semoga kita kembali kepada Allah SWT dalam keadaan mati husnul khatimah dan beroleh syurga seperti yang telah dijanjikan oleh Allah SWT.

“Jika memandu kita perlukan lesen, menggunakan senjata api perlukan lesen, maka hidup di dunia juga tentulah perlukan lesen. Lesen itu ialah Islam. Hidup di dunia dengan menolak Islam ialah umpama hidup tanpa lesen.” ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

No comments:

Post a Comment