Tuesday, 12 July 2016

ALEXANDER RUSSELL WEBB : PENGANUT DAN PENDAKWAH ISLAM PERTAMA DI AMERIKA SYARIKAT



“Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman”. {Petikan dari Surah Al-Anam[Binatang Ternakan](6:125)}.

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk”. {Petikan dari Surah Al-Qashah[Kesah-Kesah](28:56)}

 
1.  Mengikut catatan sejarah, Alexander Russell Webb adalah warga Amerika Syarikat pertama yang telah memeluk Islam. Beliau dilahirkan  pada 9 November 1846 di Massachusetts, Amerika Syarikat dan meninggal dunia pada 1 Oktober 1916 di Rutherford, New Jersey ketika berusia 70 tahun. Ayahnya ialah Alexander Nelson Webb, seorang wartawan terkenal masa itu dan telah mempengaruhi Russell Webb kemudiannya menjadi seorang wartawan. Webb mendapat pendidikan awalnya di Home School di Glendale, Massachusetts dan kemudian memasuki Kolej Claverack, sekolah tinggi yang terkenal berdekatan dengan Hudson. Selepas itu beliau berhijrah ke New York dan mula bekerja di sana.

2.   Ketika di New York inilah bakat dan kebolehan kewartawanan Webb mula terserlah.  Beliau banyak menulis artikel-artikel yang berjaya mempengaruhi para pembacanya.  Beliau telah dilantik sebagai ketua badan redaksi syarikat akhbar tempatnya bekerja, Missouri Republican. Selain dari menjadi wartawan beliau juga meluangkan masa untuk mengkaji dan mempelajari beberapa agama seperti Judaism, Kristian dan juga Islam termasuk kandungan Al-Quran. Selain dari tiga agama besar ini, Webb  juga mempelajari ajaran agama-agama lain seperti Zoroaster, Konghucu dan Buddha.

3.  Pengaruhnya dalam bidang kewartawanan menjadikan beliau seorang yang terkenal dalam bidangnya. Kemampuannya mempengaruhi massa dan pengalamannya dalam memimpin menjadi faktor utama untuk pemerintah Amerika melantiknya sebagai konsulat Amerika ke Filipina pada tahun 1887. Begitulah perancangan Allah untuknya. Semasa di Filipinalah beliau telah memeluk Islam pada tahun 1888 ketika berumur 42 tahun dan menggunakan nama Mohammed Alexander Russell Webb. Di awal pengislamannya 128 tahun yang lalu, Webb terlibat dalam ajaran fahaman Ahmadiyah kerana terpengaruh dengan seorang sahabatnya dari India yang menganut fahaman tersebut. Walaupun demikian, seiring dengan pertambahan ilmu Islamnya, beliau kemudiannya meninggalkan fahaman Ahmadiyah itu.

 
4.  Sultan Abdul Hamid II, pemerintah Turki terakhir dari Khalifah Uthmaniah ketika itu turut berbangga dengan pengislamannya. Sultan Abdul Hamid mengutus wakilnya, Abdullah al-Jadawi untuk bertemu dengan Webb. Hasil pertemuan tersebutlah menjadi titik mula Webb menjadi seorang  daei (pendakwah) Islam pertama di bumi Amerika Syarikat. Di Amerika, Muhammad Webb memulai dakwahnya dengan menulis sebuah artikel tentang latar belakangnya memeluk Islam. Antara lain beliau berkata:

“Aku menjadikan agama ini sebagai jalan hidupku. Setelah lama ku pelajari beberapa agama, dan kubandingkan satu dengan yang lainnya, kudapati Islam sebagai agama terbaik bahkan ini adalah agama sejatinya. Islam memenuhi apa saja yang diperlukan oleh rohani dan jasmaniku. Di sini aku tekankan, ketika berusia dua puluh tahun, aku merasa kecewa dengan kejumudan gereja, lalu kutinggalkan gereja dan tidak kembali lagi ke sana. Aku memiliki jiwa yang kritis, aku selalu meneliti setiap permasalahan yang kuhadapi. Aku juga menyedari bahawa orang-orang sangat lemah usaha dan pemikirannya untuk mengenali hakikat akidah ini.”

 
5.  Di New York, Webb telah mendirikan sebuah pusat Islam yang bertujuan untuk menyebarkan Islam di Amerika Syarikat. Pusat Islam ini juga menjadi sumber bantuan untuk mendirikan masjid dan perpustakaan-perpustakaan Islam. Sumber dana utamanya adalah dari Sultan Abdul Hamid II, Turki. Dari sinilah benih Islam mula tumbuh di Amerika Syarikat hingga merebak ke kota-kota lain kemudiannya. Webb adalah wakil utama bagi Islam di persidangan agama-agama peringkat dunia yang diadakan di Chicago pada tahun 1893.  Pada tanggal 20 dan 21 September 1893, beliau telah menyampaikan dua pidato yang berjudul “Pengaruh Islam Terhadap Keadaan Sosial” dan “Semangat Islam”.  Kedua-dua ucapan ini telah diterbitkan dalam dua jilid besar yang diberi judul “The First World’s Parliament of Religions (1894)”. Kemudiannya beliau menjadi juru bicara bagi Islam di Amerika Syarikat. Banyak pemikir-pemikir terkemuka Amerika yang telah mendengar ucapannya mengenai asas ajaran Islam, antaranya Mark Twain.
BATU NESAN MOHAMMED WEBB DI NEW JERSEY

6. Mohammed Alexander Russel Webb telah meninggal dunia pada 1 Oktober 1916  ketika berusia lebih dari 70 tahun. Seorang penulis yang bernama Umar F. Abdullah menulis sebuah biografi untuk mengenang jasa dan sumbangannya kepada Islam. Biografi itu diberi  judul “A Muslim in Victorian America: The Life of Alexander Russell Webb”. 

7.  Alfatihah untuk almarhum Mohammed Alexender Russell Webb. Semoga Allah SWT memasuk dan menghimpunkan rohnya bersama-sama dengan roh orang-orang yang beriman dan bertaqwa kepadaNya.


"Walaupun malam gelap dan di bawah meja, semua kerja-kerja sulit akan didedahkan apabila kita berhadapan dengan Allah SWT di akhirat kelak. Baik manusia hebat mana pun, semuanya akan didedah rahsianya nanti. Keyakinan seperti ini boleh menyebabkan manusia terbantut untuk buat maksiat.." ~ Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

No comments:

Post a Comment