Tuesday, 5 April 2016

DUNIA YANG TIADA NILAINYA DISISI ALLAH SWT


BETAPA CINTA DAN KASIH KITA KEPADA DUNIA, NAMUN DI SINI JUA KESUDAHANNYA

57:20
“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya”. {Petikan dari Surah Al-Hadid[Besi](57:20)}

Pada penilaian Allah, dunia dan isinya,
Maksud isi-isinya adalah khazanahnya,
Ada yang di langit, ada yang di bumi,
Ada di gunung, ada di lautan,
Ada di daratan, ada di hutan,
Ada di sungai,
Juga ada di perut bumi.

Intan berliannya, kayu-kayannya, ikan-ikannya,
Air dan minyaknya dan apa sahaja yang berharga
Bernilai dunia,
Bertambah lagi pangkat dan jawatan,
Sekalipun kekuasaan, pengikut-pengikut dan semua bentuk kesenangan,
Serta kebesaran,
Semuanya itu disisi Allah seperti
Sebelah sayap nyamuk tiada nilainya.

Kerana itulah para kekasih Allah
Seperti nabi-nabi dan rasul-rasul,
Walaupun lama berjuang
Allah tidak memberi mereka kesenangan bernilai dunia,
Seperti kekuasaan, seperti intan berlian,
Seperti kekayaan, seperti kesenangan yang berbentuk harta,
Makan minum, pakaian dan kenderaan,
Kerana pada Allah kalau itulah diberi kepada kekasihnya tidak padan,
Bahkan di dunia lagi mereka itu kekasih Allah disusah-susahkan,
Kerana kalau Allah balas di dunia lagi nikmat itu tidak berkekalan,
Di samping murahnya mengikut penilaian Allah.

Sebab itulah Allah simpan di akhirat kelak sebagai balasan,
Kerana balasan Allah di akhirat
Tidak ada tandingannya,
Disamping kekal abadi tidak dapat dibayangkan keindahannya,
Sebab itulah kesenangan, kemewahan, kekayaan,
Dan keselesaan hidup, nama dan glamour,
Diberi oleh Allah kepada musuh-musuhNya,
Kerana yang Allah beri itu nilaiannya
Sebelah sayap nyamuk pun tidak ada.

Sebab itulah kesenangan di dunia ini
Allah bagi kepada orang yang berkuasa,
Kepada raja-raja, orang yang kaya-kaya
Agar di akhirat kelak mereka papa kedana
Bahkan di azab berpanjangan di dalam neraka
Yang azabnya patah lidah nak menceritakannya
Kerana itulah kalau Allah benci seseorang itu, dilebihkan dunianya.

Kalau seseorang itu disayangi oleh Allah
Dikurangkan dunianya, dilebihkan akhiratnya,
Begitulah cara Allah menunjukkan kasih kepada seseorang,
Sebab itu seseorang itu di dunia ini serba ada, kuasa dan kekayaan,
Nama dan glamour dan entah apa lagi bentuk kemewahan dan kesenangan,
Janganlah berbangga,
Jangan-jangan orang itu berada di dalam kutukan Allah.

Ada juga kekasih Allah seperti sebahagian Rasul-Rasul
Diberi kekuasaan dan kekayaan itu,
Tujuannya Allah hendak memberi contoh
Kepada manusia yang berkuasa dan yang kaya,
Supaya mengikut contoh teladan mereka itu,
Kalau tidak ada contoh susah nak melakukan kebaikan,
Seperti yang dikehendaki oleh Allah,
Itu adalah untuk menyelamatkan manusia sebagai rahmat dari Allah,
Tetapi itu bukan sebagai balasan Allah kepada kekasihNya,
Balasan Allah kepada kekasihNya adalah di akhirat kelak,
Yang tidak ada tara dan tandingannya,
Yang tiada bahasa untuk menerangkannya.

“Saintis barat hari ini berlumba-lumba untuk menjalankan kajian benih tumbuh-tumbuhan. Benih-benih dijaga begitu elok untuk menghasilkan tanaman yang bermutu. Jika benih tumbuh-tumbuhan pun dijaga demikian rupa, kenapa tidak ‘benih tamadun’ iaitu manusia ? Lantaran itu didiklah anak-anak dengan jagaan IMAN dan TAKWA kerana dari benih inilah akan lahirnya tamadun UMMAH..InsyaAllah...” = Mutiara Kata Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat

Sebahagian dari cahayamukmin.blogspot.com

No comments:

Post a Comment