Thursday, 11 December 2014

BERTEKADLAH UNTUK MEMPRAKTIKKAN TUJUH SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

 
1.     Apakah yang dimaksudkan dengan sunnah Rasulullah. Sunnah menurut istilah ahli hadith ialah segala yang dipindahkan dari Rasulullah  SAW baik yang merupakan perkataan, perbuatan, mahupun yang merupakan taqrir, sebelum nabi dibangkitkan menjadi rasul, mahupun sesudahnya. Kebanyakan ahli hadith menetapkan bahawa pengertian yang demikian sama dengan pengertian hadith.

2.   Inilah pengertian yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah yang berbunyi:

"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara di mana kamu tidak akan sesat selama-lamanya jika kamu berpegang dengan keduanya: iaitu Kitab Allah dan Sunnahku". (Hadith riwayat Malik)

3.     Sunnah Rasulullah itu terlalu banyak. Untuk renungan kali ini marilah kita lihat dan hayati  tujuh sunnah Rasulullah yang perlu diamalkan pada setiap hari oleh orang yang mengaku dirinya Islam dan beriman kepada Allah, iaitu seperti berikut:

3.1.   Solat Tahajjud – Ia perlu dipelihara kerana kemuliaan seorang Islam terletak pada solat tahajjudnya.


3.1.1. Berkaitan dengan solat tahajjud ini Allah berfirman seperti berikut:

(a) Dalam Surah Al-Israq [Memperjalankan Waktu Malam](17:79) berbunyi:



“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah sembahyang tahajjud padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.

(b) Dalam Surah Az-Zariyat [Angin Kencang](51:15) pula Allah berfirman berbunyi:



“Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman syurga, dengan mata air-mata air terpancar padanya.”

          (51:16)




“Keadaan mereka di sana sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan”.

          (51:17)


“Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja masa dari waktu malam untuk mereka tidur.”

          (51:18)


“Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar dan memohon keampunan  kepada Allah”.

3.1.2. Sekarang kita lihat pula terjemahan sabda Rasulullah berkaitan solat tahajjud:

(a)  Sesungguhnya pada malam hari itu benar-benar ada saat yang seorang muslim dapat menepatinya untuk memohon kepada Allah suatu kebaikan dunia dan akhirat, pasti Allah akan memberikannya(memakbulkannya)”. (Hadith Riwayat Muslim dan Ahmad).

(b)  "Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berakah lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; Barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya." (Hadith Riwayat Bukhari)

(c) “Wahai sekalian manusia, sebarkanlah salam, jalinlah hubungan silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang-orang masih tidur, pasti kamu semua masuk syurga dengan selamat dan sejahtera.” (Hadis Riwayat Termizi)

(d) "Tidaklah seorang hamba tidur dalam keadaan suci lalu terbangun pada malam hari kemudian memohon sesuatu tentang urusan dunia atau akhirat melainkan Allah akan memakbulkannya". (Sunan Ibnu Majah. Dishahihkan oleh Al-Mundziri).

(e) "Solat yang paling utama setelah solat wajib adalah sholat tahajjud." (Hadis riwayat Imam Muslim).

3.2. Membaca Al-Quran sebelum terbit matahari - Alangkah baiknya sebelum mata kita melihat dunia, mata kita terlebih dahulu melihat dan membaca Al-Quran (sebaik-baiknya dengan memahami ertinya).


3.2.1.   Lihatlah firman-firman Allah berkaitan dengan membaca AlQuran:



 (a) Dalam Surah AlAnfal [Harta Rampasan Perang](8:2) berbunyi:




“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.”
 
(b) Dalam Surah Al-A’raf [Tempat Yang Tinggi](7:204) pula berbunyi:




"Dan apabila dibacakan Al Qur'an, maka dengarkanlah dengan baik, dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat"


3.2.2.  Hayati pula terjemahan sabda Rasulullah SAW mengenai pembacaan Al Quran seperti berikut: 

(a)      “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah swt maka untuknya diberi satu hasanah (kebaikan) sebagai ganjaran bagi huruf itu dan satu hasanah adalah sama dengan sepuluh pahala. Aku tidak berkata (alif,lam,mim) sebagai satu huruf tetapi (alif) adalah satu huruf, (lam) adalah satu huruf dan (mim) adalah satu huruf.” (Hadith Riwayat Tirmizi).

(b)    "Bacalah Al Qur'an. Karena ia pada hari kiamat nanti akan datang untuk memberikan syafaát kepada para pembacanya." (Hadith Riwayat Muslim).
   
(c) "Perumpamaan orang Mukmin yang membaca Al- Quran adalah seperti bunga utrujjah, baunya harum dan rasanya lazat; orang Mukmin yang tidak membaca Al-Quran pula adalah seperti buah kurma, baunya tidak begitu harum, tapi manis rasanya; orang munafiq yang membaca Al-Quran ibarat sekuntum bunga, berbau harum, tetapi pahit rasanya; dan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran, ia tak ubah seperti buah hanzalah, tidak berbau dan rasanya pahit sekali." (Hadith Riwayat Bukhari). 

3.3.   Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh - Sebelum kita melangkah ke mana pun, langkahkan dahulu kaki kita ke masjid. Ini kerana masjid adalah merupakan pusat keberkatan dari Allah. Kita ke sana bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan rumahNya.
   

3.3.1. Perintah Allah agar menunaikan solat berjemaah terdapat dalam Surah Al Baqarah[Lembu Betina](2:43) berbunyi:





Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk.

3.3.2. Sama-sama kita lihat terjemahan sabda Rasulullah SAW berkenaan dengan kelebihan orang yang solat berjemaah di masjid: 

(a) Dari Anas bin Malik : Rasulullah SAW bersabda, “Berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan di kegelapan untuk pergi ke masjid dengan (balasan) cahaya yang sempurna pada hari kiamat kelak.” 

(b) Dari Abu Hurairah : Rasulullah SAW bersabda, “Orang-orang yang jauh dan yang lebih jauh dari masjid, maka pahalanya lebih besar.”   

(c) Dari Anas bin Malik, dia berkata : Bani Salimah bermaksud ingin memindahkan rumah mereka dekat masjid. Rasulullah SAW tidak menyukai bila pinggiran Madinah menjadi kosong (kerana ditinggalkan oleh mereka); maka Rasulullah saw bersabda, “Wahai Bani Salimah! Tidakkah kalian memperhitungkan pahala langkah kalian (untuk menuju ke masjid)?” Akhirnya mereka pun tetap tinggal di pinggiran Madinah.

(d) “Solat berjemaah itu lebih baik daripada solat bersendirian 27 kali ganda” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari). 

(e) Ada juga riwayat yang mengatakan dapat 25 kali ganda. Seperti hadis riwayat Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Solat seseorang dengan berjemaah itu digandakan 25 kali ganda berbanding solat yang dikerjakan di rumah atau di pasar. Demikian itu, kerana apabila seseorang berwuduk dan menyempurnakan wuduknya, kemudian pergi ke masjid dengan tujuan khusus untuk solat, maka setiap kali dia melangkah kaki, diangkat satu darjat dan dihapuskan satu dosa. Dan bila dia mengerjakan solat, maka malaikat sentiasa memohon rahmat kepadanya selama dia berada di tempat solat dan selagi dia tidak berhadas.  Doa malaikat ialah: “Ya Allah, ampunilah dia. Ya Allah kasihanilah dia. Dan para malaikat sentiasa mendoakan selama ia menanti solat” (Hadith Riwayat Imam Muslim).  

3.4.   Pelihara solat dhuha – Ini kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.


Sama-sama kita renungkan terjemahan sabda Rasulullah berkaitan dengan kelebihan solat dhuha:

 3.4.1. “Telah berpesan kepadaku temanku (Rasulullah saw) tiga macam pesanan: Puasa 3 hari setiap bulan, sembahyang dhuha 2 rakaat dan sembahyang witir sebelum tidur” (Hadith Riwayat Bukhari, Muslim dan Thabarani).

 3.4.2. “Barangsiapa yang menunaikan sembahyang sunat dhuha sebanyak dua rakaat ditulis dia daripada orang-orang yang tidak lalai daripada mengingati Allah dan barangsiapa yang menunaikannya sebanyak empat rakaat ditulis akan dia daripada orang-orang yang suka beribadat dan barang siapa yang menunaikannya sebanyak enam rakaat dicukupkan baginya pada hari tersebut, barangsiapa menunaikannya sebanyak lapan rakaat Allah menulis baginya daripada orang-orang yang selalu berbuat taat, barang siapa yang menunaikannya sebanyak dua belas rakaat Allah akan membina baginya mahligai di dalam syurga dan tidak ada satu hari dan malam melainkan Allah mempunyai pemberian dan sedekah kepada hamba-hambaNya dan Allah tidak mengurniakan kepada seseorang daripada hamba-hamba-Nya yang lebih baik daripada petunjuk supaya sentiasa mengingati-Nya.”  (Hadith Riwayat At-Thabarani).

 3.4.3. “Barangsiapa mengerjakan solat Subuh secara berjemaah lalu sesudah itu dia tetap duduk (di masjid) untuk berzikir kepada Allah sehingga matahari terbit (dan meninggi), kemudian solat (Dhuha) dua rakaat maka dia akan mendapat pahala sebagaimana pahala haji dan umrah.”  (Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi).

3.4.4. “Sesiapa yang bersolat sunat dhuha secara rutin, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan.” (Hadith riwayat Termizi)

3.4.5. “Bahawasanya di syurga ada pintu yang dinamakan “Dhuha”, maka jika datang pada hari kiamat, berserulah (malaikat):”Manakah orang-orang yang selalu bersolat Dhuha? Inilah pintu kami persilakan mereka masuk ke dalamnya dengan rahmat Allah SWT.” (Hadith Riwayat Tabrani)

3.5.   Bersedekah setiap hari - Allah menyukai orang yang suka bersedekah dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah.


3.5.1. Sebahagian besar firman-firman Allah dalam Al Quran berkaitan dengan sedekah dan kelebihannya ialah dalam Surah Al Baqarah [Lembu Betina](2:195) ialah seperti berikut:




“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
  (2:215)



“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): Apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah: Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang-orang yang terlantar dalam perjalanan dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuiNya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).”

(2:245)




“Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipat gandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah yang menyempit dan yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.”
 
(2:254)


“Wahai orang-orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian dari apa yang telah Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula pertolongan syafaat dan orang-orang kafir, mereka itulah orang-orang yang zalim.”
 
(2:261)



“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas rahmat kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya.”
 
(2:262)



“Orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan (agama) Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang mereka belanjakan itu dengan perkataan membangkit-bangkit (pemberiannya) dan tidak pula menyinggung atau menyakiti (pihak yang diberi), mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita”.
 
(2:265)




“Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.”
 
(2:267)


“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
(2:271)



“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik) dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(2:272)





“Tidaklah engkau diwajibkan (wahai Muhammad) menjadiKan mereka (yang kafir) mendapat petunjuk (kerana kewajipanmu hanya menyampaikan petunjuk), akan tetapi Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufik) kepada sesiapa yang dikehendakinya (menurut undang-undang peraturanNya) dan apa jua harta yang halal yang kamu belanjakan (pada jalan Allah) maka (faedahnya dan pahalanya) adalah untuk diri kamu sendiri dan kamu pula tidaklah mendermakan sesuatu melainkan kerana menuntut keredaan Allah dan apa jua yang kamu dermakan dari harta yang halal, akan disempurnakan (balasan pahalanya) kepada kamu dan (balasan baik) kamu (itu pula) tidak dikurangkan.”
(2:274)




“Orang-orang yang membelanjakan (mendermakan) hartanya pada waktu malam dan siang, dengan cara sulit atau terbuka, maka mereka beroleh pahala di sisi Tuhan mereka dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, serta mereka pula tidak akan berdukacita.”

3.5.2. Firman-firman Allah dalam Surah An-Nisa[Kaum Perempuan](4:39) pula seperti berikut:


“Dan apakah (kerugian) yang akan menimpa mereka jika mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, serta mereka mendermakan sebahagian dari apa yang telah dikurniakan Allah kepada mereka? Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mengetahui akan keadaan mereka.”
(4:114)



“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.”
 
3.6.   Berwudhu setiap masa – Ini kerana Allah menyayangi hamba-hambaNya yang berwudhu. 


3.6.1. Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:6) Allah berfirman yang berbunyi:




“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan shalat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku, dan usaplah kepalamu dan (basuh kedua) kakimu sampai ke dua mata kaki. Jika kamu junub maka mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air (kakus) atau menyentuh (menyetubuhi) wanita, lalu kamu tidak memperoleh air, maka bertayammumlah dengan debu yang baik (suci); usaplah wajahmu dan tanganmu dengan (debu) itu. Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur.”
 
3.6.2. Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah bersabda; “Telaga ku pada hari kiamat teramat luas dan airnya lebih jernih dari salju, lebih manis dari madu bercampur susu, bejana-bejananya lebih baik dari bintang di langit; Aku melarang umat selain umat ku yang akan datang minum di situ, sebagaimana seorang yang menjaga unta-unta orang lain yang akan minum dari telaganya; Kemudiannya Rasulullah ditanya: “Dapatkah Rasulullah mengenal kami ketika itu?” Jawab Rasulullah: “Ya, iaitu dengan bekas wuduk yang gilang-gemilang di muka mereka sebagai tanda yang diistimewakan dari umat-umat yang lain.” (Riwayat Imam Muslim)

3.6.3. Khalifah Ali bin Abu Thalib pernah berkata: “Orang yang selalu berwudhu sentiasa akan merasa selalu bersolat walaupun sebenarnya dia tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, iaitu ampunilah dosa dan sayangilah dia, Ya Allah”.

3.7.   Amalkanlah istighfar setiap masa - Dengan istighfar Allah akan menjauhkan bencana yang akan terjadi kerana dosa kita.



3.7.1. Hayatilah firman-firman Allah berkaitan dengan istighfar (memohon keampunan dari Alllah) seperti berikut:





(a) Dalam Surah Az-Zumar[Rombongan](39:53) berbunyi:



“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

(b) Dalam Surah An-Nisa[Kaum Perempuan](4:110) yang berbunyi:




“Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah maha pengampun lagi maha mengasihani.” 

(c)      Dalam Surah Asy-Syura [Musyawarah] (42:25) berbunyi:




“Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hambaNya (yang bertaubat) serta memaafkan kejahatan-kejahatan (yang mereka lakukan); dan Dia mengetahui akan apa yang kamu semua kerjakan.”
 
(d) Dalam Surah Al’Aaraf [Tempat Yang Tinggi] (7:153) pula berbunyi:





“Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
 
(e) Dalam Surah An-Nur[Cahaya](24:31) berbunyi:




“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”


(f) Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:74) berbunyi:




“Tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunannya (sesudah mereka mendengar keterangan-keterangan tentang kepercayaan mereka yang salah dan balasan seksanya)? padahal Allah maha pengampun, lagi maha Mengasihani.”

(g) Dalam Surah At-Taubah[Pengampunan](9:104) pula berbunyi:



“Tidakkah mereka mengetahui, bahwasanya Allah menerima taubat dari hamba-Nya dan menerima zakat, dan bahwasanya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

(h) Dalam Surah At-Tahrim[Pengharaman](66:8) berbunyi:



“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan ‘taubat nasuha’, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, pada hari Allah tidak akan menghinakan nabi dan orang-orang yang beriman bersama-sama dengannya; cahaya (iman dan amal soleh) mereka, bergerak cepat di hadapan mereka dan di sebelah kanan mereka (semasa mereka berjalan); mereka berkata (ketika orang-orang munafik meraba-raba dalam gelap-gelita): “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”.


(i)         Dalam Surah Ta Ha (20:82) berbunyi:



“Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya”

(j) Dalam Surah Ali Imran[Keluarga Imran](3:135) berbunyi:



“Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”.
(3:136)



“Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”

3.7.2. Rasulullah pernah bersabda bermaksud:Tidaklah dianggap melanjutkan perbuatan keji orang yang memohon ampun, meskipun dalam sehari ia ulangi sebanyak 70 kali.” (Hadith Riwayat: Abu Ya’la, Abu Daud, At-Termizi dan Al Bazzar).

3.7.3.  Rasulullah sendiri walaupun maksum dari dosa kecil dan dosa besar tetap memohon keampunan dari Allah 100 kali sehari.

3.8.  Tujuh amalan yang menjadi sunnah Rasulullah ini bukanlah sesuatu yang tersangat berat untuk diamalkan.  Marilah kita sama-sama memulakannya semoga kita beroleh  rahmat dan barakah dari Allah SWT.  Diampunkan segala dosa-dosa kita dan yang lebih penting ialah mendapat rahmat Allah untuk masuk dalam syurgaNya.


“Orang yang bakhil itu tidak akan terlepas daripada salah satu daripada 4 sifat yang membinasakan iaitu : Dia akan mati dan hartanya akan diambil oleh warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan dipergunakan untuk kejahatan pula atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan dipergunakan untuk jalan yang membazir dan sia-sia.” ~ Mutiara kata Sayidina Abu Bakar Assyidiq

No comments:

Post a Comment