GAMBARAN PADANG MAHSYAR?
1. Dalam posting sebelum ini telah dihuraikan tentang dua perkara,
iaitu azab di saat sakratul maut dan di alam barzakh. Posting kali ini akan menghuraikan pula azab
sengsara manusia di Padang Mahsyar pula setelah berlakunya Hari Kiamat. Hari
Kiamat juga dikenali dengan nama berikut:
1.1. Yaumul Jam’ei (Hari Segala Dosa DiBongkar)
1.2. Yaumul Ba’tsarah (Hari Penggeledahan di
Mahsyar)
1.3. Yaumul Haqqah (Jawapan Kepada Yang Meragui
Kiamat)
1.4. Yaumus Shaakh-khah’ (Peristiwa Agung dan
Bersejarah)
1.5. Yaumul Qisas (Hari Pembalasan)
1.6. Yaumus Syahadah/Masyhud (Hari Kesaksian)
2. Setelah semua makhluk dan manusia dimatikan, Allah SWT memerintahkan Malaikat
Israfil untuk meniupkan 'Sangkakala' yang maha dahsyat untuk menghidupkan semula
semua makhluk yang sudah mati. Malaikat Israfil meniup dan berteriak dengan
sekuat-kuatnya: "Wahai nyawa yang
telah keluar dari badan, tulang-tulang yang telah reput luluh, tubuh yang telah
buruk, urat yang telah putus berkecai, kulit-kulit yang telah pecah hancur,
rambut-rambut yang telah luruh! Bangunlah kamu semua untuk menjalani hukuman
dari Allah SWT yang menjadi Hakim Besar dan Raja kepada semua raja!".
3. Lepas itu semua manusia pun tegak bangun berdiri dari kubur masing-masing. Mereka lihat langit,
didapati langit berjalan-jalan, mereka lihat bumi, didapati bertukar wajah,
tidak seperti bumi yang dahulu. Dilihat bintang-bintang, semuanya telah
berhimpun di satu kawasan dengan padatnya. Dilihat laut terdapat api yang
sedang bernyala-nyala diatasnya. Dilihat Malaikat Zabaniah telah berada
dihadapan mereka. Dilihat matahari telah hilang cahayanya. Maka sedarlah dan
tahulah mereka bahawa mereka berada di tempat yang telah dijanjikan oleh
Allah. Lalu manusia berkata:
"Inilah dia sebagaimana yang telah Allah janjikan dan inilah bukti kebenaran
para Rasul utusan Allah". Semua
manusia kelihatan terkejut dan terpinga-pinga. Di dalam Surah Yaasin (36:52), Allah berfirman yang berbunyi:
"Mereka
berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur
tempat tidur kami?, Lalu dikatakan kepada mereka: "Inilah dia yang telah
dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan
oleh Rasul-rasul”
4. Semua manusia keluar dari kubur masing-masing tanpa pakaian,
tidak berkasut dan sebagainya. Mereka bertelanjang bulat tanpa seurat benang
pun dibadan. Tidak lama kemudian, semua makhluk bergerak dalam rombongan besar
yang terdiri dari ribuan juta manusia menuju ke satu arah. Dalam masa bangkit itu, manusia dalam keadaan
bermacam-macam rupa kerana melakukan pelbagai dosa semasa hidup di dunia:
4.1. Mengalir daripada badan mereka nanah dan
darah yang amat busuk dan mereka sentiasa menikam-nikam lidah sendiri. Ini
adalah kumpulan ulama yang bercakap dan mengajar tetapi perbuatannya tidak sama
dengan apa yang diucapkan.
4.2. Badan berupa kera kerana di dunia mereka suka
membuat fitnah kepada orang lain.
4.3. Badan berupa khinzir kerana suka makan rasuah
ketika menjalankan hukuman.
4.4. Buta mata kerana keterlaluan pada menghukum
manusia.
4.5. Luka-luka seluruh badan kerana suka menjadi
saksi yang berbohong.
4.6. Menjadi pekak dan bisu kerana mereka hairan
dengan amalan yang mereka lakukan.
4.7. Gigi mereka menjadi seperti tanduk lembu,
lidah mereka terjelir hingga ke perut, najis dan kencing sentiasa keluar dari
perut mereka. Mereka adalah golongan orang yang suka meminum arak.
4.8. Kelihatan seperti orang mabuk, rebah ke kiri,
rebah ke kanan terhuyung-hayang. Mereka inilah orang yang sanggup menyimpan
harta dan kedekut untuk dibelanjakan ke
jalan Allah.
4.9. Telapak kaki mereka terletak didahi dan
terikat kepada ubun-ubun mereka dan menjadi sangat busuk, lebih busuk daripada
bangkai. Mereka adalah orang yang sanggup membeli dunia dengan akhirat (mencari
kemewahan dunia dengan memperalatkan agama).
4.10. Mengasingkan diri daripada manusia lain kerana
badannya lebih busuk dari bangkai. Mereka ini suka menyembunyikan maksiat
kerana takutkan manusia, tetapi tidak takut pada Allah.
4.11. Berkeadaan benar-benar seperti orang yang
mabuk. Mereka ialah orang yang suka
bercerita dan bersembang kosong hal dunia dalam masjid.
4.12. Berkeadaan tidak bertangan dan tidak berkaki.
Mereka ini orang yang suka menyakiti hati orang lain.
4.13. Berupa khinzir kerana mereka
mempermudah-mudahkan sembahyang serta lalai dalam sembahyang.
4.14. Perut mereka penuh dengan ular dan kala
jengking yang sentiasa mengigit-gigit dan menyengat-nyengat. Mereka ini di
dunia payah hendak mengeluarkan zakat.
4.15. Berkeadaan darah yang amat busuk sentiasa
keluar dari mulut mereka. Orang ini suka berbohong dalam perniagaan.
4.16. Terpotong halkum. Keadaannya tercerai dari
leher. Orang ini selalu sanggup untuk menjadi saksi bohong.
4.17. Mengidap penyakit kusta dan sopak. Mereka inilah
orang yang derhaka terhadap kedua ibu bapanya.
4.18. Tidak berlidah dan mengalir darah busuk dari
dalam mulutnya. Orang itu malas mengucap kalimah syahdah.
4.19. Berjalan dengan kepala di bawah dan kaki di
atas langit. Darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluan mereka. Mereka ini
suka berbuat zina.
4.20. Berupa khinzir kerana suka makan harta riba.
4.21. Berkeadaan muka hitam dan perutnya penuh dengan
api neraka. Mereka ini suka memakan harta anak yatim secara zalim.
5. Berkaitan dengan kesengsaraan, hiruk pikuk dan ketakutan
manusia di Padang Mahsyar ini Allah berfirman dalam banyak tempat dalam Al
Quran. Antaranya:
5.1. Surah Qaaf
(50:21) berbunyi:
“Dan (setelah itu) datanglah tiap-tiap
orang ke Padang Mahsyar disertai dua malaikat: yang satu menjadi pembawa, dan
yang satu lagi menjadi saksi.”
5.2. Surah Al-Naaziat [Para Malaikat Yang Mencabut](79:8) berbunyi:
“Hati manusia pada hari itu sangat
berdebar-debar kerana takut,
(79:9)
“Pemandangan mereka semunya tunduk
ketakutan.”
5.3. Surah An-
Nur [Cahaya] (24:24) berbunyi:
“Pada hari lidah mereka dan tangan mereka
serta kaki mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, tentang segala
yang mereka lakukan.”
5.4. Surah Fussilat
[Pembukaan] (41:21) berbunyi:
“Dan (setelah berlaku yang demikian),
berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: “Mengapa kamu menjadi saksi
terhadap kami?” Kulit-kulit badan mereka menjawab: “Allah yang berkuasa
menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata – telah menjadikan kami dapat
berkata-kata; dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya, dan kepadaNyalah
kamu dikembalikan (untuk menerima balasan).”
5.5. Surah At-Taghabun
[Hari Kiamat] (64:9) berbunyi:
“(Ingatkanlah) masa Allah menghimpunkan
kamu pada hari perhimpunan (untuk menerima balasan), itulah hari masing-masing nampak kerugiannya.
Dan (ingatlah), sesiapa yang beriman kepada Allah serta mengerjakan amal soleh,
nescaya Allah mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam Syurga yang
mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya;
yang demikian itulah kemenangan yang besar.”
5.6. Surah Al-Hijr
[Nama Tempat] (15:92)
“Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka
(yang kafir itu) semuanya (pada hari kiamat kelak).”
(15:93)
“Mengenai apa yang mereka telah lakukan”.
5.7. Surah Al-Israq
[Memperjalankan Di Waktu Malam] (17:36)
“Dan janganlah engkau mengikut apa yang
engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan
penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang
apa yang dilakukannya.”
5.8. Surah AlZalzalah
[Goncangan] (99:7)
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat
zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”.
(99:8)
“Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat
zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)”.
5.9. Surah Al-Qiamah
[Hari Kiamat] (75:22)
“Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang
yang beriman) berseri-seri.”
(75:23)
“Melihat kepada Tuhannya.”
(75:24)
“Dan pada hari itu, muka (orang-orang
kafir) muram dan hodoh.”
(75:25)
“Sambil percaya dengan yakin bahawa mereka
akan ditimpa malapetaka (azab seksa) yang membinasakan”.
(75:26)
“Sedarlah (janganlah mengutamakan dunia
dan melupakan akhirat. Ingatlah akan hal orang yang hendak mati) apabila rohnya
sampai ke pangkal kerongkong.”
5.10. Surah Abasa
[Bermuka Masam](80:34)
“Pada hari seseorang itu lari dari
saudaranya,”
(80:35)
“Dan ibunya serta bapanya,”
(80:36)
“Dan isterinya serta anak-anaknya,”
(80:37)
“Kerana tiap-tiap seorang dari mereka pada
hari itu, ada perkara-perkara yang cukup untuk menjadikannya sibuk dengan hal
dirinya sahaja.”
(80:38)
“Muka (orang-orang yang beriman) pada hari
itu berseri-seri.”
(80:39)
“Tertawa, lagi bersuka ria.”
(80:40)
“Dan muka (orang-orang yang ingkar) pada
hari itu penuh berdebu.”
(80:41)
“Diliputi oleh warna hitam legam dan
gelap-gelita”.
6. Lihat pula apakah yang disabdakan oleh Rasulullah berkaitan dengan azab Mahsyar ini:
6.1. “Tiada
keluhan yang terdengar di Padang Mahsyar melainkan setiap diri berkata:”wahai
diriku yang malang, aduhai alangkah malangnya diriku.”
6.2. Sebahagian mereka berjalan dengan kakinya,
sebahagian yang lain merangkak dengan tangannya, bahkan ada juga yang berjalan
dengan mukanya. Seseorang bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Bagaimana seorang
kafir berjalan dengan mukanya?” Rasulullah menjawab, “Bukankah Allah yang membuatnya dapat berjalan dengan kaki, maka Dia
juga mampu membuatnya berjalan dengan muka?”
6.3. Bayangkan ribuan juta manusia sejak zaman
Nabi Adam hingga generasi terakhir sebelum kiamat berkumpul dan bersesak-sesak
di Padang Mahsyar. Di bawah sinar matahari yang sangat panas, tanah yang
membara, ditambah lagi suasana hati yang dipenuhi ketakutan, pada saat itu
tubuh manusia basah dengan keringat. Dalam hadis Muslim dari Al-Miqdad bin Al-Aswad,
Rasulullah bersabda, “Pada hari kiamat
matahari didekatkan kepada manusia sejarak satu mil. Maka semua manusia
tenggelam di dalam keringatnya sesuai dengan amal perbuatannya (di dunia).
Sebahagian mereka tenggelam hingga ke mata kaki, sebahagian yang lain hingga ke
pinggangnya dan sebahagian yang lain hingga ke mulutnya.”
6.4. Pada hari itu, sekecil mana pun amal kebaikan
yang pernah dilakukan seseorang di dunia sangat berharga untuk melepaskan
sebahagian dari seksaan yang dideritainya. Rasulullah bersabda maksudnya : “Barang siapa yang melepaskan seorang mukmin
dari kesusahan, maka Allah akan melepaskan darinya satu daripada kesusahan yang
terdapat pada hari kiamat.” (Hadis Riwayat
Muslim dari Abu Hurairah).
6.5. Rasulullah bersabda, “Tujuh golongan yang berada di bawah naungan Allah di Padang Mahsyar ketika tidak ada
naungan selain naungan-Nya; pemimpin yang adil, pemuda yang tubuhnya sentiasa
menyembah Allah, seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid jika ia keluar
hingga kembali semula, dua orang yang saling mencintai kerana Allah; mereka
berjumpa dan berpisah kerana-Nya, seseorang yang mengingat Allah dalam keadaan
sendirian hingga menitiskan air mata, seorang laki-laki yang dirayu oleh wanita
cantik dan terhormat namun menolaknya dengan berkata: aku takut kepada Allah,
dan seseorang yang bersedekah dengan sembunyi-sembunyi hingga tangan kirinya
tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan
Muslim)
6.6. Daripada Abu Qatadah bahawa Rasulullah
bersabda maksudnya: “Barang siapa yang menginginkan
agar Allah menyelamatkannya daripada kesusahan (yang dialami) pada hari kiamat,
maka bantulah orang yang dalam kesusahan, atau kurangilah kesusahannya.” (Hadis
Riwayat Muslim).
6.7. Daripada ‘Uqbah bin ‘Amir bahawa Rasulullah
bersabda: “Seseorang akan berteduh di
bawah naungan sedekahnya hingga waktu pengadilan (hisab) tiba.” (Hadis Riwayatkan
Ahmad).
6.8. Al-Hafiz
Ibn Abi Al-Dunya meriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah bersabda: “Semua manusia dibangkitkan pada hari kiamat
dalam keadaan telanjang, sangat lapar, sangat haus dan sangat penat. Barang
siapa yang pernah memberikan pakaian kerana Allah, maka Allah akan memberinya
pakaian. Barang siapa yang pernah memberi makan kerana Allah, maka Allah akan
memberinya makanan. Barang siapa yang pernah memberi minum kerana Allah, maka
Allah akan memberinya minuman. Dan barang siapa yang pernah memaafkan karena
Allah, maka Allah akan memaafkannya.”
7. Setelah dibangkitkan dari kubur nanti ada yang pergi ke Padang
Mahsyar dengan menunggang binatang, ada yang pergi dengan mukanya, ada yang
berjalan, dan yang istimewa di bawa oleh
Malaikat Munkar dan Nakir. Bila sampai
di Mahsyar, perbicaraan tidak berjalan lagi.
Kena tunggu entah berapa lama. Lalu keseluruhan umat manusia tadi pergi
kepada Nabi Adam a.s. hanya untuk meminta
syafaat untuk Allah SWT mempercepatkan hisab. Nabi Adam a.s. menjawab dia tak boleh memberi syafaat kerana dia
pernah melakukan dosa. Pergilah seluruh umat manusia kepada seluruh Rasul Ulul Azmi, bermula Nabi
Nuh a.s, Musa a.s, Isa a.s, dan Ibrahim a.s tetapi nabi-nabi ini hanya berdoa
keselamatan diri masing-masing. Lalu pergi semua manusia kepada Nabi Muhammad
SAW. Lalu Rasulullah berdoa dan Allah memperkenankan doanya untuk
mempercepatkan hisab.
8. Manusia berdiri terpacak dengan kedua belah kaki
tidak berganjak. Sebahagiannya pula berdiri dengan kepala ke bumi. Mereka
berkeadaan demikian selama 300 tahun ukuran akhirat. Suatu jangka masa yang
tidak lagi diukur dengan peredaran bulan atau matahari kerana bulan dan matahari sudah dihancurkan.
Sesaat pun manusia tidak akan tahan dalam pancaran matahari di atas kepala,
betapalah hingga 300 tahun ukuran akhirat. Saidina Hasan r.a menjelaskan bahawa
satu hari di bumi mahsyar itu bersamaan 50,000 tahun ukuran dunia. Setahun mengandungi 365
hari dikali dengan 50,000 tahun dan dikalikan pula dengan 300 tahun akhirat. Dianggarkan penghuni Padang Mahsyar berdiri selama kira-kira lima ribu juta
tahun. Masyaallah, azabnya.
9. Bayangkan semasa menanti perbicaraan, ada orang yang minta kepada
Allah agar di segerakan masuk ke neraka sebab tidak tahan lamanya azab
berdiri di Padang Mahsyar. Bayangkan ruang yang ada hanya untuk meletakkan
tapak kaki kita sahaja kerana padatnya manusia pada hari itu.
10. Sebelum hisab
bermula, kitab-kitab amalan kita akan dibawa turun dari 'Arash Allah. Masa itu
tahulah kita tangan mana yang akan menyambut kitab itu, samada tangan kanan atau kiri. Jika tangan kanan yang mengambilnya maka berbahagialah kita. Sebaliknya celakalah orang yang menerima kitab amalannya dengan tangan kiri. Kemudian Allah akan panggil seorang demi
seorang untuk di hisab amalan mereka. Sebelum Allah mula menghisab, Allah suruh
kita baca semua amalan yang tercatat dalam buku kita dengan di saksikan semua
manusia lain, tiada satu pun yang tertinggal.
11. Setelah di timbang di Al-Mizan,
didapati pahala kita sedikit melebihi dosa kita, seolah-olah sikit lagi kita ke
syurga, tetapi Allah akan bertanya kepada semua orang, siapa yang kenal kita
sila tampil ke depan untuk menuntut hak mereka. Antara yang mula-mula
bangun adalah anak, isteri, keluarga,
jiran-jiran, kawan-kawan dan lain-lain. Jika ada hak mereka yang tidak di
tunaikan, pahala kita tadi terpaksa diberi kepada mereka. Jika pahala dah
habis, dosa mereka pula kita tanggung. Ini yang di maksudkan suami akan menanggung
dosa anak-anak dan isteri.
12. Sebelum Allah menghisab amalan kita di Padang Mahsyar nanti, hisablah diri masing-masing sebelum kita mati. Adakah aku ini bakal menerima suratan (buku) amalan aku dengan tangan kanan atau tangan kiri. Beristigfarlah banyak-banyak kepada Allah kerana azab di Mahsyar itu tidak tertanggung oleh badan kita yang kerdil ini.
12. Sebelum Allah menghisab amalan kita di Padang Mahsyar nanti, hisablah diri masing-masing sebelum kita mati. Adakah aku ini bakal menerima suratan (buku) amalan aku dengan tangan kanan atau tangan kiri. Beristigfarlah banyak-banyak kepada Allah kerana azab di Mahsyar itu tidak tertanggung oleh badan kita yang kerdil ini.
“Orang yang paling aku sukai adalah orang yang
menunjukkan kesalahanku”. ~ Mutiara kata Khalifah ‘Umar Al Khattab
No comments:
Post a Comment