Monday, 1 December 2014

KELEBIHAN BERSEDEKAH

 


1. Ramai orang yang beranggapan sekiranya kita mengeluarkan harta untuk berderma atau bersedekah ia akan mengurangkan harta kita.  Anggapan ini ternyata salah sama sekali. Ini kerana berderma, sedekah dan infaq di jalan Allah mendapat kelebihan yang amat banyak di sisi Allah.  Allah SWT telah menjanjikan pulangan/laba yang sangat lumayan kepada sesiapa yang menderma hartanya di jalan Allah, iaitu pulangan 700 kali ganda berbanding dengan sekali derma/infaq. Inilah hakikat kelebihan dan keajaiban sedekah. Semakin bersedekah semakin kaya. Lihat jaminan Allah dalam firmannya dalam Surah AlBaqarah [Lembu Betina] (2:261) yang berbunyi:


“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.”

2.      Firman Allah seterusnya ialah dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:92) yang berbunyi:




“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”

3.      Berdasarkan firman Allah di atas jelaslah kepada kita bahawa harta kita yang sebenarnya ialah harta yang kita sedekah/infaqkan kepada orang dan bukannya yang dikumpul dan disimpan. Harta yang dikumpul dan disimpan itu sebenarnya adalah kepunyaan orang lain. Kepunyaan siapa?. Ia adalah kepunyaan suami, isteri ataupun anak-anak kita.  Buktinya ialah setelah kita mati semua harta itu tidak dapat kita bawa bersama ke dalam kubur. Jadi apakah sebenarnya kepunyaan kita?.  Kepunyaan kita hanyalah sehelai kain putih untuk menutupi badan kita.     

4.      Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila mati seseorang anak Adam maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang sentiasa mendoakan untuk kedua ibu bapanya.”

5.      Satu lagi hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Muslim berbunyi:
“Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah. Allah tidak menambah keampunan seseorang  hamba melainkan seseorang itu akan ditambahkan dengan kemuliaan.  Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkat darjatnya.”

6.     Malaikat turut berdoa kepada sesiapa yang bersedekahDoa malaikat ialah:  "Ya Allah berikanlah gantian, balasan dan tambahan rezeki kepada orang yang membelanjakan hartanya dijalanMu dan rosakkanlah harta  (hilang keberkatan) orang yang terlalu kedekut".

7.      Jika semasa hidup ini kita menginginkan kesenangan dan kemewahan maka sebagai orang Islam kita juga perlu memikirkan kesenangan hidup kita di akhirat kelak.  Salah satu sumber kesenangan di akhirat itu ialah melalui pahala bersedakah, derma dan infaq. Oleh itu berlumba-lumbalah kita untuk mencari dan mengumpul kekayaan akhirat yang akan menjadi hak serta milik kita selama-lamanya.



“Hendaklah kamu lebih memperhatikan tentang bagaimana amalan itu diterima daripada banyak beramal, kerana sesungguhnya terlalu sedikit amalan yang disertai takwa”. ~ Mutiara Kata Saidina Ali Karamallahu Wajhah

No comments:

Post a Comment