Saturday, 6 December 2014

AKHIRAT YANG JAUH LEBIH BAIK BERBANDING DUNIA




ISTANA PENGHUNI SYURGA JAUH LEBIH HEBAT DARI GAMBAR INI

1.   Sebelum kita melihat kelebihan akhirat berbanding dengan dunia, elok rasanya jika kita fahami dahulu secara ringkas apakah yang dimaksudkan dengan dunia yang sering dikatakan keji dan jijik itu.

 2.    Takrif dunia mengikut pandangan Islam ialah apa jua perkara atau amalan yang faedahnya tidak boleh dibawa kepada akhirat.  Maksudnya ia  hanya habis di dunia ini sahaja. Dengan kata lain, dunia ialah sesuatu yang tidak membolehkan kita mencapai keredhaan Allah. Tetapi jika perkara dunia itu diredhai Allah, maka ia disebut akhirat. Contohnya sesuatu amalan atau pekerjaan yang dilakukan di dunia dan faedahnya untuk kehidupan akhirat. Lawan dunia ialah akhirat. Kalau dikatakan dunia itu penipu maka yang tidak menipu itu ialah akhirat. Apa pula kata Allah tentang dunia. Lihatlah firman-firmanNya seperti berikut:

          2.1. Dalam Surah Al_Hadid [Besi](57:20) yang berbunyi:

“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

       2.2.  Dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran] (3:185) pula berbunyi:



 “Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

3.      Jika dibandingkan dengan kehidupan kita di akhirat nanti, kehidupan di dunia ini tersangatlah singkat. Oleh itu kehidupan di dunia yang sementara ini hendaklah digunakan untuk melakukan amal ibadat kepada Allah SWT serta memperbanyakkan kebajikan dari keburukan.  Kebaikan seseorang akan mendapat pahala dan rahmat dari Allah SWT. Tanpa rahmat Allah semua amal ibadah kita menjadi sia-sia kerana tidak diterimaNya. Umur manusia kini sangat jarang yang mampu bertahan hingga 100 tahun. Jika mampu mencapai umur 86 tahun di dunia ini ia hanya bersamaan dengan masa 1 jam diakhirat. "Sesungguhnya sehari disisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun menurut perhitunganmu.” {Petikan dari surah Al Hajj (22: 47)}. Apakah ada lagi manusia hari ini yang boleh hidup selama 1,000 tahun?. Renungkanlah betapa pendek dan singkatnya kita tinggal di dunia ini berbanding akhirat.

4.  Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut [Labah-Labah](29:64) berbunyi:

“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat).”

5.    Renungkanlah tujuan penciptaan Allah terhadap semua manusia seperti firmannya dalam Surah Al-Mulk [Kerajaan](67:2) yang berbunyi:



“Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup kamu  untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun (bagi orang-orang yang bertaubat)”.

6.    Kehidupan di dunia ini dipenuhi dengan pelbagai bentuk ujian. Allah menguji kita dengan apa yang kita hadapi di dunia ini untuk membezakan orang-orang yang beriman daripada orang-orang yang tidak beriman.  Bagi orang yang beriman mereka akan dibersihkan daripada dosa dan layak untuk memasuki syurga Allah. Dengan kata lain, dunia ini hanyalah medan ujian untuk melayakkan kita mendapat keredaan dan keampunan dari Allah SWT.   
           
7.   Masih terlalu ramai manusia yang mengaku Islam tetapi sangat mencintai kehidupan di dunia ini seolah-olah mereka tidak akan mati. Mereka menjauhi kehidupan beragama, tidak ingat akan mati, lupa akan azab sakratul maut, soalan malaikat di alam barzah dan sengsara di Padang Mahsyar. Padahal mereka tahu bahawa kehidupan di dunia ini yang sangat mereka cintai itu sesungguhnya sangatlah singkat dan sementara sifatnya.  Mereka adalah terdiri dari orang-orang yang lalai dan tersangat rugi.

8.   Dalam Al-Quran Allah SWT berulang kali mengingatkan manusia bahawa dunia ini tidak sempurna supaya kita berlumba-lumba untuk mengejar kesempurnaan akhirat. Renunglah firman-firman Allah di bawah:

8.1.   Dalam Surah Asy Syura [Musyawarah](42:20) yang berbunyi:
 
“Sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat tambahan pada faedah yang dikehendakinya; dan sesiapa yang menghendaki (dengan amal usahanya) kebaikan di dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu (sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.”

          8.2.   Dalam Surah Al_Baqarah [Lembu Betina](2:86) berikut;


“Mereka itulah orang-orang yang membeli (mengutamakan) kehidupan dunia (dan kesenangannya) dengan (meninggalkan perintah-perintah Allah yang membawa kebahagiaan dalam kehidupan) akhirat; maka tidak akan diringankan azab seksa mereka (pada hari kiamat), dan mereka pula tidak akan diberikan pertolongan.”

          8.3.   Dalam Surah Ar-Ra’d [Guruh](13:26) berbunyi:


“Allah memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Ia juga yang menyempitkannya. Dan mereka (yang ingkar): bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain, hanyalah kesenangan yang kecil dan tidak, kekal berbanding dengan kesenangan hari akhirat.”

8.4.   Dalam Surah Al-Israq [Memperjalankan Waktu Malam](17:19) berbunyi:




“Dan sesiapa yang menghendaki akhirat dan berusaha mengerjakan amal-amal yang baik untuk akhirat dengan usaha yang layak baginya, sedang ia beriman, maka mereka yang demikian keadaannya, diberi pahala akan amal usahanya”.

          8.5.   Dalam Surah Al-Ankabut [Labah-Labah](29:64) berbunyi:



“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan Akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri Akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat).”
 
8.6. Surah Al-Qiamah [Hari Kiamat] (75:20) berbunyi:



"Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya."

(75:21)



 "Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang        kekal abadi kehidupannya)."
 
 9. Sabda-sabda Rasulullah SAW dalam konteks kelebihan akhirat berbanding dengan dunia ini dapat dilihat dalam terjemahan hadith-hadith berikut:

9.1.   “Orang yang bijaksana ialah orang yang menghisab dirinya sendiri (dan menahan diri daripada melakukan perbuatan-perbuatan jahat) dan melakukan amalan-amalan yang mulia untuk kebaikan selepas mati; dan orang-orang yang bodoh ialah seseorang yang menyerahkan dirinya kepada godaan-godaan dan keinginan nafsu dan berusaha menjauhi daripada Allah untuk memenuhi hawa nafsunya”. (Hadith riwayat Termizi).

9.2.   “Orang yang pandai adalah orang yang senantiasa membaiki diri dan menyiapkan bekal untuk kematiannya.” (Hadith  riwayat Termizi).

9.3.   “Demi Allah tiadalah kelebihan dunia berbanding dengan akhirat melainkan seperti seseorang yang mencelup jarinya ke dalam laut dan kemudian melihat apa yang terlekat dijarinya. Air yang terlekat dijari itu ialah dunia manakala air yang ditinggalkan dalam lautan itu pula ialah akhirat.” (Hadith Riwayat Muslim dan Ibn Majah)

9.4.   "Sekiranya dunia ini ada nilai atau harga di sisi Allah walaupun seberat sayap nyamuk, maka nescaya Allah tidak akan memberi minum orang kafir walaupun seteguk air."  (Hadith Riwayat Termizi). 

9.5.  "Jadilah engkau di dunia ini seperti orang asing atau bahkan seperti orang yang sekadar musafir. (Hadith Riwayat Bukhari).

9.6.   Satu hari Ibnu Mas’ud melihat Rasulullah tidur di atas sebidang tikar. Ketika bangkit dari tidurnya tikar tersebut meninggalkan bekas pada tubuh baginda. Berkatalah Ibnu Mas’ud, “Wahai Rasulullah, alangkah baiknya seandainya aku boleh persiapkan untukmu tilam yang empuk”. Rasulullah menjawab; Ada kecintaan apa aku dengan dunia?. Aku di dunia ini tidak lain kecuali seperti seorang pengembara yang mencari tempat berteduh di bawah pohon, lalu beristirahat dan kemudian meninggalkannya.” (Hadith Riwayat Termizi). 

9.7.   Umar Al-Khattab pernah menangis melihat  Rasulullah yang hanya tidur di atas sebidang tikar tanpa dialasi apapun  sehingga terlekat bekas tikar di belakang dan rusuk baginda. Lalu Rasulullah bertanya Umar; “Kenapa engkau menangis wahai Umar?’. Kata Umar, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya Kisra (Raja Parsi) dan Kaisar (Raja Romawi) berada dalam kemegahannya, sedangkan engkau adalah utusan Allah.” Rasulullah menjawab; “Tidakkah engkau redha mereka mendapat dunia sedangkan kita memperolehi akhirat?” (Hadith Riwayat Bukhari).

10.    Hayatilah ungkapan ulama sufi terkenal, Abu Sulaiman Ad Darani:

"Jika akhirat memenuhi ruang hati, maka dunia tetap akan datang mendampingi, namun tatkala dunia yang memenuhi ruang hati, maka akhirat akan meninggal pergi, kerana sesungguhnya akhirat adalah suatu yang mulia sedang dunia adalah suatu yang keji."

11. "Setiap orang di dunia ini adalah seperti seorang tetamu, dan hartanya adalah pinjaman. Tetamu itu pastilah akan pergi, cepat atau lambat dan pinjaman itu haruslah dikembalikan". - Ibnu Mas’ud.

12.   Renungkanlah firman-firman Allah SWT, hadith Rasulullah SAW dan ungkapan ulama sufi di atas. Tanyalah diri masing-masing dan berikanlah jawapan yang paling ikhlas untuk diri kita. Apakah sebenarnya keutamaan dalam hidup kita sekarang ini, dunia atau akhirat?. Ketahuilah bahawa malaikat maut sentiasa merenung serta melihat wajah seseorang itu 70 kali dalam sehari. Andainya manusia sedar hakikat itu, nescaya mereka tidak akan lalai dari mengingati mati. Ingatlah bahawa sesungguhnya Malaikat Maut akan mencabut nyawa kita pada bila-bila masa sebaik sahaja dia diperintahkan oleh Allah .

Nota: Posting artikel ini ialah pada tanggal 6.12.2014, jam 4.40 pagi.  Ia adalah posting istimewa bersempena dengan ulang tahun kelahiranku yang ke 60. Sudah lanjut rupanya usiaku.  Alhamdulillah, ALLAH masih panjangkan usiaku dan beri kesihatan untuk aku terus berbakti kepada agamaNYA. 


"Setiap orang di dunia ini adalah seperti seorang tetamu dan hartanya adalah pinjaman. Tetamu ini pasti akan pergi samada cepat atau lambat dan pinjaman itu haruslah dikembalikan kepada tuannya". ~ Mutiara Kata Ibnu Mas’ud

No comments:

Post a Comment