Thursday, 4 December 2014

DUNIA YANG PENUH DENGAN TIPU DAYA

 

SUBHANALLAH, JIKA GAMBAR INI BENAR
 
1.  Ada tiga perkara yang sangat-sangat diminati oleh manusia dalam kehidupan di dunia yang sementara ini, iaitu kekuasaan, kekayaan dan  kedudukan (mertabat). Manusia sebenarnya lupa bahawa ketiga-tiga perkara inilah yang boleh menyebabkan manusia jauh dari Allah dan ajaran Rasulullah jika sekiranya pemilikan ketiga-tiga perkara ini tidak disandarkan di atas jalan Allah dan peringatan dari Rasulullah. Natijahnya sangatlah buruk dan dahsyat apabila kesudahannya kita mengakhiri kehidupan kita di dalam neraka Allah. Wal'iyyazubillah. Mari kita sama-sama lihat tiga watak yang pernah hidup dalam dunia ini yang mewakili tiga perkara di atas.

2.     Di dalam AlQuran Allah telahpun memberikan peringatan yang berupa contoh manusia yang binasa kerana kekuasaan yang dimilikinya.  Lihatlah apa yang berlaku kepada Firaun, raja Mesir purba yang hidup sezaman dengan Nabi Musa apabila Allah berikan kekuasaan kepadanya. Dia telah melanggar perintah Allah dan  memusuhi Allah serta Nabi Musa, anak angkatnya. Kemuncak kejahatannya ialah dia mengistiharkan dirinya sebagai tuhan yang perlu disembah oleh rakyatnya. Akhirnya Allah telah memusnahkan Firaun seperti firmanNya dalam Surah Yunus [Nabi Yunus] (10:90) yang berbunyi:



“Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): “Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)”.

(10:91)


(Allah berfirman): “Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?.

(10:92)


“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (wahai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil iktibar). Dan (ingatlah) sesungguhnya kebanyakan manusia lalai daripada (memerhati dan memikirkan) tanda-tanda kekuasaan Kami!”.

3.     Qarun iaitu kawan baik Firaun yang memerintah kerajaan Mesir purba adalah merupakan contoh manusia yang dibinasakan Allah kerana kekayaannya. Asalnya dia hanyalah seorang miskin. Allah telah memberikan ujian kepadaanya dengan  memiliki kekayaan yang sangat luar biasa banyaknya namun engkar kepada perintah Nabi Musa dan jadi manusia yang sombong serta kedekut.  Allah telah merakamkan kesombongan Qarun dalam firmanNya dalam Surah AlQashah [Kesah-Kesah](28:78) yang berbunyi:



Qarun menjawab (dengan sombongnya): “Aku diberikan harta kekayaan ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku”. (Kalaulah Qarun bijak pandai) tidakkah ia mengetahui dan pandai memahami, bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta kekayaan ? Dan (ingatlah) orang-orang yang berdosa (apabila mereka diseksa) tidak lagi ditanya tentang dosa-dosa mereka, (kerana Allah sedia mengetahuinya)”.

4.    Lihatlah apa yang Allah mampu lakukan kepada harta Qarun yang banyak itu. Firman Allah seterusnya dalam ayat ke 81, surah yang sama berbunyi:


“Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”

5.     Sekarang kita lihat pula contoh manusia yang dbinasakan Allah kerana kedudukan(mertabat). Orang itu ialah Bal’am bin Ba’ura, seorang ulama besar dari kalangan Bani Israel di zaman Nabi Musa. Beliau seorang yang sangat makbul doanya disisi Allah. Akibat dari desakan isterinya untuk mengikut kehendak raja di negerinya, Bal’am telah berdoa kepada Allah supaya Allah menyesatkan Nabi Musa. Akibatnya Nabi Musa telah sesat selama 40 tahun lamanya di satu tempat bernama Tih (kini dikenali dengan nama Semenanjung Sinai) Mesir. Selepas kesesatan yang maha dahsyat itu Nabi Musa bertanya Allah SWT, “Wahai Tuhan, apakah dosa yang kami lakukan sehingga kami tersesat di Tih ini?”. Jawab Allah SWT, “ia berpunca dari doa Bal’am bin Ba’ura”. Nabi Musa berkata lagi kepada Allah, “wahai Allah, sepertimana kamu mendengar doa Bal’am terhadapku, maka tolong makbulkanlah doaku terhadap Bal’am”. Lalu Nabi Musa mendoakan agar Bal’am dicabut keimanan dari dirinya. Doa Nabi Musa dimakbulkan oleh Allah yang menyebabkan Bal’am mati dalam keadaan kufur dan lidahnya terjelir keluar seperti anjing.

6.    Mengikut tafsiran ulama kesah di atas ada hubungan dengan turunnya firman Allah dalam Surah Al- A’raf [Tempat Yang Tinggi](7:176) yang berbunyi:



 “Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu. Tetapi ia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya: ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah, dan jika engkau membiarkannya: ia juga menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir.”

7.     Apakah pengajaran yang dapat kita sama-sama perolehi dari tiga kesah individu di atas:

7.1.   Segala kekuasaan, kekayaan dan kedudukan yang kita miliki di dunia ini wajib berlandaskan kepada panduan dari Allah dalam Al-Quran dan juga hadith dari Rasulullah SAW. Kegagalan menjadikan kedua-dua ini sebagai panduan akan menyebabkan kita menjalani kehidupan yang sama dengan orang kafir. 
 
7.2. Dunia ini penuh dengan tipu daya.  Segala kemewahan, kekayaan, pangkat dan darjat adalah tipu daya yang akan memungkinkan sesatnya  manusia. Penegasan tentang perkara ini telah difirman Allah dalam Surah Ali Imran [Keluarga Imran](3:185) yang berbunyi:

“Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

 7.3.  Dalam Surah Al-Hadid [Besi] (57:20) pula Allah berfirman seperti berikut:


“Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.”

7.4.   Dalam konteks ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; 

“Orang yang kaya itu bukanlah orang yang banyak hartanya tapi orang yang sentiasa merasa cukup dengan rezeki dari Allah walaupun tidak banyak” (Hadith riwayat Bukhari).

7.5.   Ingatlah bahawa kehidupan kita di dunia ini adalah kehidupan yang sementara. Akhirat juga yang kekal abadi. Lihatlah firman Allah dalam Surah Al-Mukminun [Golongan Orang Beriman](23:112) yang berbunyi:


Allah bertanya lagi (kepada mereka yang kafir itu): “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?

          (23:113)



Mereka menjawab: “Kami tinggal (di dunia) selama sehari atau sebahagian dari sehari; maka bertanyalah kepada golongan (malaikat) yang menjaga urusan menghitung.”

(23:114)


  
Allah berfirman: “Kamu tidak tinggal (di dunia) melainkan sedikit masa sahaja, kalau kamu dahulu mengetahui hal ini (tentulah kamu bersiap sedia).”

(23:115)

 
“Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?”

7.6.  Tiga watak buruk di atas telah terlalu lama meninggal dunia.  Jangan sesekali kita menjadikan diri kita untuk menggantikan mereka ataupun mempunyai ciri-ciri seperti mereka bertiga.



"Kunci dunia ialah kenyang manakala kunci akhirat pula adalah lapar". - Abu Sulaiman ad-Darani, ulama sufi.

Sebahagian kecil kandungan dipetik dari ceramah agama Ustaz Shahril Long

No comments:

Post a Comment