1. Rasuah (dalam bahasa Arab
disebut risywah) adalah pemberian sesuatu dengan tujuan membatalkan sesuatu
yang haq atau untuk membenarkan suatu yang batil. Kesimpulannya rasuah ialah
apa saja pemberian kepada seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang bukan haknya
atau untuk mengelakkan suatu kerugian yang sepatutnya terjadi kepadanya.
2. Rasuah tidak hanya
melibatkan wang tunai. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendifinasikan
rasuah sebagai: “Penerimaan atau
pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana
melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas
rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan
upah, diskaun”. Sebagai contoh, seorang kontraktor telah menghadiahkan
seutas jam tangan kepada seorang pegawai kerajaan kerana telah meluluskan
projek kepada syarikat milik kontraktor berkenaan.
3. Hukum memberi atau menerima
rasuah adalah haram. Ia merupakan dosa
besar kerana pelakunya dilaknat oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Pemberi dan
penerima rasuah akan mendapat kemurkaan Allah dan dijauhkan dari rahmat Allah kerana mereka telah melakukan suatu perbuatan
yang batil dan mengambil sesuatu yang bukan hak mereka. Dalam Surah Al-Maidah[Hidangan](5:42) Allah SWT
berfirman yang berbunyi:
“Mereka sangat suka mendengar berita-berita
dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya). Oleh itu
kalau mereka datang kepadamu, maka hukumlah di antara mereka (dengan apa yang
telah diterangkan oleh Allah), atau berpalinglah dari mereka; dan kalau engkau
berpaling dari mereka maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun;
dan jika engkau menghukum maka hukumlah di antara mereka dengan adil; kerana
sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”
4. Dalam Surah AlBaqarah [Lembu Betina](2:188) pula
Allah berfirman berbunyi:
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil)
harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan
pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana
hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat)
dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”
5. Hayatilah terjemahan sabda-sabda
Rasulullah berkaitan dengan rasuah seperti di bawah:
5.1. “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan
masuk ke dalam api neraka”. (Hadis Riwayat at-Tabrani).
5.2. “Barang siapa yang mengambil harta orang
lain secara haram, Allah kata wajib masuk neraka dan haram baginya masuk syurga, walaupun harta
yang haram itu sebesar dan seberat ranting kayu”.
5.3. “Allah tidak menerima amalan solat yang manusia
lakukan yang di dalam perutnya ada makanan haram.” Makanan haram tidak
bermaksud makan babi, biawak, ular, anjing dan sebagainya sahaja tetapi makanan
yang dibeli dari sumber kewangan yang haram.
6. Kenapa makanan yang halal itu
sangat penting dijaga bagi orang beriman, malah diutamakan dahulu berbanding
ibadah?. Jawabnya ialah kerana makan makanan haram akan menyebabkan Allah tidak
terima ibadah seseorang walaupun satu rakaat solat. Kepentingan makan makanan yang
halal diutamakan selepas kita beriman sebab ia akan menentukan amalan kita
diterima atau tidak oleh Allah. Walaupun kita tidak pernah sembahyang tahajjud,
tidak berzikir, tidak banyak solat sunat (hanya jaga yang wajib sahaja), insyaAllah
kita selamat di akhirat nanti jika jaga makanan yang halal.
7. Orang yang buat amalan
dengan makanan yang haram umpama buat rumah atas ombak. Solat tidak dapat
pahala, tidak diterima sebab makan haram. Haji, zakat, puasa dan semua amalan tidak
dapat pahala selagi makan bersumberkan wang haram. Rosaklah segala amalan kita.
Harta yang dimiliki bersumberkan rasuah tidak akan diberkati Allah. Contoh
tiadanya keberkatan ialah orang yang terima rasuah tidak pernah ada keinginan
untuk berhenti melakukan rasuah. Hendak dan hendak tambah lagi harta yang telah
pun mencukupi.
8. Abdullah bin Mubarak, seorang
ketua ulama hadis yang menghafal ratusan ribu hadis Rasulullah bercerita bahawa dia
pernah bermimpi berada di depan Hijir Ismail dekat Kaabah semasa musim haji.
Ada dua orang lelaki berpakaian putih sedang bercakap-cakap. Seorang bertanya
kepada seorang yang lain, “Berapa ramai yang buat haji tahun ni?”. Yang seorang
lagi menjawab “12,000 orang”. Dia bertanya seterusnya,“Berapa ramai yang Allah terima
haji mereka?”. Lalu dijawab, “Tak lebih 10 orang”. Sebab apa? Sebab
kebanyakannya makan makanan yang haram sumbernya.
9. Jadi apa yang patut kita
buat:
9.1. Sebagai
seorang Islam yang mengaku beriman kepada Allah kita perlu sentiasa ingat
bahawa perbuatan rasuah mesti dielakkan
bukan kerana takut ditangkap oleh pegawai SPRM dan kita akan masuk penjara ataupun
dibuang kerja. Pegawai penguatkuasa SPRM tidaklah ramai sangat dan orang yang
rasuah mungkin terlepas. Yang lebih penting dari itu ialah dosa rasuah disisi
Allah. Seperti dijelaskan di atas segala
amalan kita tidak diterima oleh Allah kerana kita makan makanan yang haram.
Sia-sialah amalan kita puluhan tahun lamanya semasa hidup kerana tatkala berada
di mahkamah Allah nanti kita mendapati kita sebenarnya seorang yang
bankrap. Dengan modal apakah lagi kita
mahu menghuni syurga Allah.
9.2. Beringatlah
bahawa hidup kita ini tidak akan sampai ratusan tahun. Jika sampai ratusan tahun pun tidak ada guna sama sekali kerana kita kena menjalani hidup yang tidak berkualiti. Mungkin sudah berak dan kencing atas tilam. Kita sudah tidak disukai lagi oleh anak-anak dan cucu-cucu. Menyusahkan mereka sahaja. Sebaik mati semua harta rasuah yang dicari menjadi
milik suami, isteri ataupun anak-anak. Jadi
apa yang tinggal kepada kita untuk dibawa pergi berjumpa dengan Allah. Gunakanlah
akal fikiran yang Allah berikan kepada kita untuk membuat pertimbangan yang
saksama untuk masa hadapan kita yang hakiki, iaitu kehidupan di negeri akhirat.
Kehidupan di akhirat ialah selama-lamanya(infiniti). Setelah kita mati yang
kenyang dan hidup mewah ialah suami/isteri atau anak-anak kita yang
ditinggalkan di dunia sedangkan yang menanggung azab dan seksa sakratul maut, kubur,
padang mahsyar dan neraka ialah kita yang berdosa.
9.3. Misi
utama Rasulullah diutuskan oleh Allah ke dunia ialah untuk membimbing manusia
supaya berpeluang masuk syurga. Rasulullah tidak ajar kita untuk menghimpun
harta kekayaan, membina mahligai indah dan hidup dengan keseronokan dan
berpoya-poya tetapi untuk mempersiapkan diri menghadapi sakratul maut yang akan
datang kepada kita pada bila-bila masa. Lebih penting lagi ialah untuk persediaan bagi kehidupan di negeri akhirat. Walaupun Islam tidak pernah melarang umatnya mencari kesenangan duniawi tetapi jangan lupa bekalan kita di akhirat kerana akhirat itu kekal abadi untuk selama-selamanya sedangkan dunia ini untuk dihuni buat sementara waktu sahaja.
9.4. Jadikanlah kehidupan sebahagian orang yang rasuah dipenghujung usia mereka sebagai pengajaran dan iktibar untuk kita. Kita biasa dengar ada yang menderita angin ahmar, masalah sendi yang serius, lemah jantung, kencing manis yang serius dan seumpamanya. Balasan Allah itu kadang-kadang ia datang semasa kita hidup di dunia lagi.
9.4. Jadikanlah kehidupan sebahagian orang yang rasuah dipenghujung usia mereka sebagai pengajaran dan iktibar untuk kita. Kita biasa dengar ada yang menderita angin ahmar, masalah sendi yang serius, lemah jantung, kencing manis yang serius dan seumpamanya. Balasan Allah itu kadang-kadang ia datang semasa kita hidup di dunia lagi.
9.5. Kita
sepatutnya berasa malu kepada isteri atau anak-anak kita kerana memelihara, membesarkan
dan memberi kesenangan/kemewahan kepada mereka dengan wang rasuah. Apakah kita tidak ada harga diri?. Rasanya haiwan yang turut membesarkan anak-anak
mereka lebih mulia dari orang yang rasuah.
9.6. Mungkin
ada yang berfikir, sebelum mati kita bertaubat nasuhalah kepada Allah. Bukankah Allah maha pegampun. Adakah Allah akan terima taubat kita sedangkan
harta rasuah masih ada malah mungkin bertimbun dalam simpanan kita?.
Barangsiapa menjaga kehormatan orang lain, pasti
kehormatan dirinya akan terjaga. ~ Mutiara Kata Saidina Umar Al-Khattab
No comments:
Post a Comment