Thursday, 13 November 2014

ALQURAN ADALAH MUKJIZAT YANG DAPAT DIBACA/DILIHAT (VISUAL MIRACLE)





1.      Allah mahu  membuktikan kepada semua manusia bahawa AlQuran itu adalah darinya dan bukannya kerja tangan atau dari idea Muhammad, Rasulullah. Muhammad itu hanyalah utusan Allah semata-mata untuk menyampaikan perintah dan larangan Allah. Pembuktian ini khususnya ditujukan kepada orang bukan Islam yang mengatakan Quran itu ciptaan dan karangan Rasulullah.

2.      Allah mencabar manusia supaya mengumpul semua manusia dan jin untuk membuat Quran seperti yang ada kini.  Cabaran Allah ini ialah seperti dalam Surah Al Israq [Memperjalankan DiWaktu Malam] (17:88) yang berbunyi:

 

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri".

3.      Salah satu dari bukti bahawa Quran itu datangnya dari Allah dapat dilihat dalam Surah Al Muddathir  [Yang Berselimut] (74:30) yang berbunyi: 


“Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas malaikat.”

Sebab turunnya ayat ini ialah apabila sekumpulan Yahudi bertanyakan sahabat Rasulullah tentang bilangan penjaga Neraka Saqar.  Sahabat itu menjawab, ‘Adapun yang tahu jawapannya hanya Allah dan rasulNya’.  Ketika Rasulullah mendapat berita tentang pertanyaan tersebut maka turunlah ayat  di atas. Ia bermaksud bilangan malaikat Zabaniyah yang menjaga Neraka Saqar ialah 19.

4.      Apakah makna disebalik bilangan 19 itu?. Sama-sama kita perhatikan nombor 19.  Ia adalah nombor pilihan Allah. Sebelum ayat ini turun, ayat pertama (wahyu pertama)  yang turun kepada Rasulullah ialah  dari Surah Al’alaq [Segumpal Darah], iaitu surah ke 96 dalam Quran. Peringkat permulaan wahyu  hanya 5 ayat pertama dari surah ini sahaja yang turun. Tetapi Surah Al-Alaq ini ada 19 ayat kesemuanya dan ia juga adalah surah ke 19 terakhir.  5 ayat pertama ini ada 19 perkataan (words). 19 perkataan ini ada 76 huruf (letters) -19 x 4 = 76.

5.      Perhatikan lagi.  Dalam Quran ada 114 surah (19 x 6). Perkataan bismillahirahmanirrahim ada 19 huruf. Bilangan masa (ismi) disebut dalam Quran ialah sebanyak 19 kali. Perkataan Allah dalam Quran disebut sebanyak 2,698 kali (19 x 142).  Setiap surah dimulakan dengan ayat  “Bismillahirrahmanirrahim”.  Arrahman (maha pemurah) dan Arrahim (maha mengasihani) kecuali Surah ke 9 At Taubah [Pengampunan] yang tidak dimulakan dengan bismillah. Surah AtTaubah ialah surah pengampunan untuk orang kafir yang ingkar kepada Allah.  Oleh itu tiada ayat bismillah.  Tapi bukankah mesti ada 114 bismillah kerana ada 114  surah.  Jawapannya ialah ayat  bismillah itu ada pada surah AnNaml [Semut], iaitu surah ke 27 (surah ke 19 lepas surah 9 – AtTaubah). Perkataan  bismillah ada pada ayat ke 30 di surah ke 27, iaitu dalam surat Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis seperti di bawah:

  "Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.”

6.      Nabi Sulaiman memulakan suratnya dengan menyebut bismillah untuk membuktikan bahawa tujuannya bukan kerana untuk menawan hati Balqis yang sangat  jelita dan bukan juga kerana kekayaan emas Balqis  yang banyak. Tapi kerana dakwahnya untuk agama Allah.

7.      Quran adalah satu-satunya buku agama atas dunia yang dimulakan dalam beberapa surah dengan perkataan yang tidak ada apa-apa makna, iaitu 14 huruf Muqattaat seperti : Alif,  Lam, Mim, Ra, Khaf, Ha, Ya, Ain,  Sad, Tha, Sin, Khaf,  Nun dan Ha.  14 huruf ini membentuk 14 kombinasi (formula).  14 kombinasi ini wujud dalam 29 surah.  14+14+29 = 57 .   57 bahagi 19 = 3. Dalam surah Qaf (surah ke 50) ada berapa huruf  Qaf?.  Bilangannya ialah 57 kali.  Jika di bahagi 19 jawapannya ialah 3. 

8.      Allah telah memberikan jaminan bahawa Dialah yang akan menjaga AlQuran.  Lihat fimanNya dalam Surah Al Hijr [Nama Tempat] (15:9) yang berbunyi: 


“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.”

9.      Bilangan nombor disebut dalam Quran ialah 285 kali (19 x 15).  Jumlah nilai nombor-nombor yang disebut itu ialah 174,591 (19 x 9189). Jika dibuang nombor yang berulang jumlahnya ialah 162,146 (19 X 8534). 

10.    Berdasarkan penerangan di atas jelas sekali menunjukkan bahawa Quran itu bukannya datang dari manusia.  Apa lagi jika manusia itu tidak boleh membaca dan menulis (ummi) seperti Rasulullah.  Yakinlah bahawa Quran itu datang dari Allah yang maha berkuasa lagi maha bijaksana. Ia juga menjadi bukti bahawa Quran itu memiliki mukjizat yang dapat dilihat.

“Antara tanda-tanda orang yang bijaksana itu ialah :
1. Hatinya selalu berniat suci. Lidahnya selalu basah dengan zikrullah.
2. Kedua matanya menangis kerana penyesalan terhadap dosa.
3. Segala perkara dihadapinya dengan sabar dan tabah.
4. Mengutamakan kehidupan akhirat daripada kehidupan dunia.”
~ Mutiara kata Sayidina Uthman bin Affan

No comments:

Post a Comment