Wednesday, 5 November 2014

APAKAH YANG TERSIRAT DISEBALIK KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH SAW ?

 
MASJID NABAWI, MADINAH DI MANA BERSEMADINYA JASAD RASULULLAH SAW
1.       Mungkin sudah ramai dikalangan kita yang pernah membaca khutbah terakhir (khutbatul wada') Rasulullah di bawah ini. Namun demikian untuk kebaikan bersama dalam keluaran kali ini saya ingin berkongsi lagi perkara ini kerana ia sangat penting untuk panduan hidup kita orang Islam.
SUASANA PADANG ARAFAH KINI DIMUSIM HAJI


2. Khutbah ini telah disampaikan oleh Rasulullah S.A.W pada Hari Jumaat, 9 Zulhijjah Tahun 10 Hijrah (bersamaan dengan 6 Mac Tahun 632 Masihi) di Lembah Uranah, Gunung Arafah, iaitu semasa mengerjakan ibadat haji wada' (hajjatul wada') atau haji perpisahan. Ia disampaikan dihadapan kira-kira 144,000 orang sahabatnya. Kurang dari setahun selepas khutbah ini Rasulullah telah diwafatkan oleh Allah dan pergilah Rasulullah untuk selama-lamanya. Pulang kepada penciptaNya dan kekasihNya.

3.     Kita semua tahu bahawa apa yang keluar dari mulut Rasulullah itu tidak lain melainkan petunjuk dan hidayah dari Allah semata-mata untuk beliau berkata-kata.  Isi kandungan khutbah terakhir ini sudah pasti merupakan intisari/intipati misi dakwah Rasulullah selama 23 tahun lamanya untuk menyeru manusia supaya beriman kepada Allah SWT. Oleh kerana itulah ucapan khutbah terakhir ini perlukan sedikit kupasan untuk manfaat bersama.

4.     Ucapan penuh khutbah terakhir Rasulullah itu ialah seperti berikut:

     “WAHAI MANUSIA, DENGARLAH BAIK-BAIK APA YANG HENDAK KU KATAKAN. AKU TIDAK MENGETAHUI APAKAH AKU DAPAT BERTEMU LAGI DENGAN KAMU SEMUA SELEPAS TAHUN INI. OLEH ITU DENGARLAH DENGAN SAKSAMA KATA-KATAKU DAN SAMPAIKANLAH KEPADA ORANG-ORANG YANG TIDAK DAPAT HADIR DI SINI PADA HARI INI.

     WAHAI MANUSIA, SEBAGAIMANA KAMU MENGANGGAP BULAN INI DAN KOTA INI SEBAGAI SUCI, MAKA ANGGAPLAH JIWA DAN HARTA SETIAP ORANG MUSLIM SEBAGAI SUCI. KEMBALIKAN HARTA YANG DIAMANAHKAN KEPADA KAMU KEPADA PEMILIKNYA YANG BERHAK. JANGANLAH KAMU SAKITI SESIAPA PUN AGAR ORANG LAIN TIDAK MENYAKITI KAMU LAGI. INGATLAH BAHAWA SESUNGGUHNYA KAMU AKAN MENEMUI TUHAN KAMU DAN DIA PASTI MEMBUAT PERHITUNGAN DI ATAS SEGALA AMALAN KAMU. ALLAH TELAH MENGHARAMKAN RIBA. OLEH ITU SEGALA URUSAN YANG MELIBATKAN RIBA DIBATALKAN MULAI SEKARANG. BERWASPADALAH TERHADAP SYAITAN DEMI KESELAMATAN AGAMA KAMU. DAN SYAITAN TELAH BERPUTUS ASA UNTUK MENYESATKAN KAMU DALAM PERKARA-PERKARA BESAR, MAKA BERJAGA-JAGALAH SUPAYA KAMU TIDAK MENGIKUTINYA DALAM PERKARA-PERKARA KECIL.

     WAHAI MANUSIA, SEBAGAIMANA KAMU MEMPUNYAI HAK KE ATAS ISTERI KAMU, MEREKA JUGA MEMPUNYAI HAK DI ATAS KAMU. SEKIRANYA MEREKA MENYEMPURNAKAN HAK MEREKA KE ATAS KAMU MAKA MEREKA JUGA BERHAK UNTUK DIBERI MAKAN DAN PAKAIAN DALAM SUASANA KASIH SAYANG. LAYANILAH WANITA-WANITA KAMU DENGAN BAIK, BERLEMAH-LEMBUTLAH TERHADAP MEREKA KERANA SESUNGGUHNYA MEREKA ADALAH TEMAN DAN PEMBANTU YANG SETIA. DAN HAK KAMU ATAS MEREKA IALAH MEREKA SAMA SEKALI TIDAK BOLEH MEMASUKKAN ORANG YANG KAMU TIDAK SUKAI KE DALAM RUMAH KAMU DAN DILARANG MELAKUKAN ZINA.

     WAHAI MANUSIA, DENGARLAH BERSUNGGUH-SUNGGUH KATA-KATA KU INI. SEMBAHLAH ALLAH, DIRIKANLAH SOLAT LIMA KALI SEHARI, BERPUASALAH DIBULAN RAMADAN DAN TUNAIKANLAH ZAKAT DARI HARTA KEKAYAAN KAMU. KERJAKANLAH IBADAT HAJI SEKIRANYA KAMU MAMPU. KETAHUILAH BAHAWA SETIAP MUSLIM ADALAH BERSAUDARA KEPADA MUSLIM YANG LAIN. KAMU SEMUA ADALAH SAMA, TIDAK SEORANG PUN YANG LEBIH MULIA DARI YANG LAINNYA DISISI ALLAH KECUALI DALAM SOAL KETAQWAAN DAN BERAMAL SOLEH.

     INGATLAH, BAHAWA KAMU AKAN MENGHADAP ALLAH PADA SUATU HARI UNTUK DIPERTANGGUNG JAWABKAN DI ATAS SEGALA APA YANG TELAH KAMU KERJAKAN. OLEH KERANA ITU AWASILAH AGAR JANGAN SEKALI-KALI TERKELUAR DARI LANDASAN KEBENARAN SELEPAS KETIADAANKU.

     WAHAI MANUSIA, TIDAK ADA LAGI NABI ATAU RASUL YANG AKAN DATANG SELEPASKU DAN TIDAK AKAN LAHIR LAGI AGAMA BARU. OLEH ITU WAHAI MANUSIA, NILAILAH DENGAN BETUL DAN FAHAMILAH KATA-KATAKU YANG TELAH AKU SAMPAIKAN KEPADA KAMU. SESUNGGUHNYA AKU TINGGALKAN KEPADA KAMU DUA PERKARA, YANG SEKIRANYA KAMU BERPEGANG TEGUH DAN MENGIKUTI KEDUA-DUANYA, NESCAYA KAMU TIDAK AKAN TERSESAT SELAMA-LAMANYA, IAITU AL-QURAN DAN SUNNAHKU.

     HENDAKLAH ORANG-ORANG YANG MENDENGAR UCAPANKU MENYAMPAIKAN PULA KEPADA ORANG LAIN. SEMOGA YANG TERAKHIR LEBIH MEMAHAMI KATA-KATAKU DARI MEREKA YANG TERUS MENDENGAR DARIKU. SAKSIKANLAH YA ALLAH BAHAWASANYA TELAH AKU SAMPAIKAN RISALAHMU KEPADA HAMBA-HAMBAMU.”

 5.     Jika diteliti isi khutbah ini terdapat 12 perintah dari Rasulullah yang perlu kita laksanakan, samada lelaki ataupun perempuan dan ia ditandakan dengan warna biru. Marilah kita muhasabah diri masing-masing, adakah perintah Rasulullah ini telah kita laksanakan dalam hidup kita. Saya fikir agak ramai orang Islam yang dapat melaksanakan perintah Rasulullah ini. Jika kita orang yang benar-benar kasihkan Allah dan Rasulullah, kita wajib melaksanakan perintah ini.

6.       Mari kita lihat pula 7 dosa-dosa besar.  Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: ”Jauhilah diri kamu daripada 7 dosa yang  boleh membinasakan." Baginda ditanya oleh sahabatnya: Apakah dosa itu wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: ”Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, lari dari medan pertempuran perang, menuduh perempuan yang suci melakukan zina dan memakan riba.” (Hadis sahih riwayat Muslim).

7.     Dari 7 dosa besar di atas, hanya 1 sahaja yang diperingatkan semula oleh Rasulullah dalam khutbah terakhirnya, iaitu pengharaman riba dan segala urusan yang berkaitan dengannya seperti yang berwarna merah.  Kenapa Rasulullah hanya memilih riba? sedangkan ada 6 lagi dosa besar lain. Ini kerana Allah dan Rasulullah tahu pada akhir zaman nanti manusia tidak lagi mempedulikan dosa riba. Apa yang penting ialah mencari kekayaan dan kesenangan duniawi semata-mata sehingga menjadikan kita sama taraf dengan orang kafir. Soal halal atau haram sudah tidak menjadi perhitungan lagi.  Yang penting ialah kaya, kaya, dan kaya serta boleh hidup mewah dan senang lenang dengan kekayaan duniawi yang sementara  sifatnya. Soal dosa pahala sudah tidak dihiraukan lagi. Manakala 6 lagi dosa besar lain itu sangat jarang dilakukan oleh orang Islam.

8.   Tahukah kita bahawa riba ini adalah ciptaan tokoh tokoh ekonomi Yahudi untuk merosakkan keimanan umat Islam. Saya pernah terbaca berita bahawa di Israel, bank-bank milik orang Yahudi tidak menjalankan amalan riba. Oleh itu amalan riba yang menindas dan menekan peminjam ini hanya dipraktikkan oleh orang bukan Yahudi. Begitulah jahatnya bangsa Yahudi. Apa yang baik seperti ajaran Islam itu mereka amalkan manakala yang buruk mereka cipta untuk diamalkan oleh orang bukan Yahudi. Selama-lamanya kita orang Islam ditipu oleh Yahudi laknatullah.

9.   Firman Allah tentang larangan riba ialah seperti dalam Surah Al-Baraqah [Lembu Betina](2:278) yang berbunyi:




"Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman."

(2:279)



"Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa".

10.     Para pembaca sekalian boleh muhasabah diri masing-masing.  Dalam bank manakah kita menyimpan wang kita, gaji kita. Adakah dalam institusi yang bebas riba seperti Bank Islam, Bank Muamalat atau Tabung Haji. Atau adakah dalam mana-mana bank konvensional yang mengamalkan riba?. Tanya  lagi, kita membeli harta kita samada rumah atau kereta atau lain-lainnya.  Dari manakah sumber kewangan untuk membiayainya. Adakah dari sumber yang bebas riba ataupun yang terpalit dengan riba.  Jika ia dari sumber riba, kita wajib bertaubat kepada Allah segera.  Jangan kita biarkan kita mati dalam keadaan mengamalkan riba.  Dosanya terlalu besar disisi Allah.  Nauzubillah.  Ingatlah bahawa orang yang melakukan dosa besar, solatnya tidak mampu menghapuskan dosa-dosa kecilnya berbanding dengan orang yang tidak melakukan dosa-dosa besar. Jika kita orang yang benar-benar kasihkan Allah dan Rasulullah, kita wajib berusaha meninggalkan perkara-perkara yang bersangkutan dengan amalan riba ini.

11.  Perenggan terakhir khutbah Rasulullah itu ialah berkaitan kewajipan menyampaikan dakwah kepada orang lain, iaitu kepada sesama Islam.  Namun apa yang lebih afdal ialah menyampaikan agama Islam kepada orang-orang yang belum lagi menganut Islam.  Sesungguhnya agama Islam itu bukanlah milik sesuatu bangsa  sahaja, malah ia adalah kepunyaan semua manusia di atas muka bumi ini.  Islam adalah agama rahmatan lil 'alamin, iaitu agama yang membawa rahmat kepada seluruh alam.  Bukan hanya kepada manusia tetapi juga kepada seluruh isi alam semesta ini.

12.    Tidak berapa lama selepas Rasulullah menyampaikan khutbah terakhir ini maka turunlah wahyu yang terakhir dari Allah kepada kekasihnya Rasulullah S.A.W. seperti firman Allah dalam Surah Al Maidah [Hidangan](5:3) seperti berikut:


"Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya), dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan yang mati dipukul, dan yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, dan yang mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih (sebelum habis nyawanya), dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan juga) kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari ugama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agama kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana sesungguhnya Allah maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

[Terjemahan firman/wahyu Allah terakhir itu ditandakan dengan warna merah.  Ia bermula dengan perkataan alyaumaakmaltulakum..... dan berakhir dengan perkataan isla madina].

13.    Lebih kurang dua bulan selepas turunnya wahyu terakhir itu Rasulullah telah diwafatkan oleh Allah SWT.  Tarikh kewafatan baginda ialah pada  25 Mei 632 Masihi ( 12 Rabiul Awwal tahun 11 Hijrah).

14.   Ya Rasulullah. Sesungguhnya aku bersaksikan pembaca-pembaca blog aku ini bahawa aku telah menyampai dan mengingatkan khutbah terakhirmu kepada mereka. Mudah-mudahan mereka beroleh kebaikan dari blog aku ini dan mengamalkan/meninggalkan apa yang terkandung dalam khutbah terakhirmu.  

SELAMAT TINGGAL RASULULLAH. KAMI SEMUA KASIH, SAYANG DAN MERINDUIMU SELALU.  KAMI JUGA BERTERIMA KASIH KEPADAMU KERANA TELAH MEMBIMBING KAMI UNTUK MEMPEROLEHI SYURGA ALLAH SATU HARI NANTI.


“Tidak ada kebaikan ibadah yang tidak ada ilmunya dan tidak ada kebaikan ilmu yang tidak difahami dan tidak ada kebaikan bacaan kalau tidak ada perhatian untuknya.” – Mutiara kata Sayidina Ali Karamallahu Wajhah

1 comment: